Sabtu, 24 November 2012

Jangan Berhenti.

Topik yang sering bermain dalam benak fikiran ku minggu ini ialah berusaha dan tidak berhenti berharap. Yang aku pasti topik tersebut menjadi buah fikiran aku ketika menonton konsert 2 benua 5 negara sebuah band popular daripada Indonesia iaitu Noah yang sebelum ini dikenali sebagai PeterPan melalui laman YouTube. Noah atau PeterPan itu terpaksa berjalan pincang dalam 2 tahun sebelum ini kerana vokalisnya Ariel selaku anggota paling dominan dalam kugiran tersebut dikenakan hukuman penjara selama 2 tahun akibat kontroversi video porno nya. Tamat tempoh hukuman buat Ariel, mereka mereformasi kembali kugiran kebanggaan Indonesia tersebut serta menukar nama PeterPan kepada Noah sejurus melahirkan album baru ''born to make history'' dengan diraikan bersama rekod dunia dengan mengadakan konsert di Melbourne, Hong Kong, Kuala Lumpur, Singapura dan akhir sekali ialah Jakarta dalam hanya 1 hari.

Aku tidak memandang kesilapan Ariel yang mungkin agak keji oleh segelintir mereka yang sempit otak untuk menghalang aku untuk menghargai apa yang beliau adakan dalam sejarah dunia kerana ramai pelaku sejarah yang banyak menyusahkan serta menindas masyarakat masih boleh diterima dan dihargai serta dijulang tinggi menggunung. Maka, Ariel itu tidaklah menyusahkan sesiapa dengan kesilapannya malah beliau itu jujur mengaku kesilapan tersebut walau sedia tahu akan kepincangan yang bakal terjadi oleh sumber rezekinya iaitu Peter Pan.

Semasa konsert penutup atau akhir jelajah Noah di Jakarta, Ariel memperkenalkan David iaitu anggota baru yang merupakan keybordist buat Noah. Ariel berpidato,

     ''tentang David ini, saya bukan sekali ingin merendahkan beliau, sebelum ini David hanya bermain
      di kelab, bistro serta event-event kecil dan saya mengatakan bahawa hanya membazir jika bakat
      yang beliau ada itu dibiarkan di tempat-tempat itu. Apa yang ingin saya katakan di sini ialah
      kepada semua musisi di luar sana, jangan berhenti untuk bermimpi, jangan berhenti untuk 
      berharap, jangan berhenti untuk berusaha, selagi nafas masih ada teruskan berusaha.''

Maksudnya, tidak mungkin kita mampu tiba ke sesuatu destinasi tanpa melalui perjalanan dan kemungkinan kita tidak akan tiba ke destinasi pada hari ini tetapi selagi ada esok dan kita masih punya keinginan, kita pasti bisa sampai.
 


Khamis, 15 November 2012

Perbentang Jasa

Telah kerendahkan dahiku separas bahu mu,
Mendiam di masa engkau bersuara,
Akur segala laksana mu,
Memperbodoh diri sebagai persembahan buat engkau ketawa,

Tapi kini tidak lagi,
Pabila ada yang berbalik tumit kau kata mereka rosak,
Kau kata mereka itu sampah bagi diri mu,
Engkaulah manusia tersangka suci,
Walau kau kata engkau tidak begitu,

Kuakui,
Pernah kau berjasa kepada ku,
Kepada ramai orang pernah kau buang waktu,
Semata mengecap ganjaran pahala,
Tapi kini kau bentangkan jasa mu,
Semata mengecap keutuhan takhta.

Ternyata kau berubah,
Atau memang kau begitu,
Oleh itu,
Kini aku tinggalkan mu,
Dengan harapan baru,
Serta harapan dengan diri ku sendiri,
Terima kaseh kerana menjadi pengajaran buat ku.

Rabu, 14 November 2012

Hijrah Bukan Lari.

Sudah menjelma 29 Zulhijjah iaitu hari terakhir 1433 tahun hijrah dalam kalendar rasmi Islam yang telah diasaskan oleh Amirul Mukminin, Khalifah Umar Al Khattab. Syukur kita kepada Allah Subhana Wa Taala atas sumbangan besar khalifah Islam kedua tersebut serta kesejahteraan buat beliau dan sahabat lainnya yang tidak berhenti berjuang memartabatkan agama Allah serta rasulNya yakni Islam. Wasiat dari seorang kekasih Allah yang tak akan terlupakan bagi mereka yang bersyukur iaitu Al Quran dan Sunnah yang menjadi pedoman agung buat dunia. Walhamdullillahirabbil a'lamin.

Hari ini, menjelang sudah rembulan 1 Muharram 1434 hijrah. Dan umat muslimin akan mula mengingati peristiwa hijrah umat Islam dari Mekah ke Madinah pada 1400 tahun dahulu. Dan pasti ada pula penerangan dan pencerahan berkenaan pengertian hijrah di majlis-majlis sambutan ma'al hijrah di masjid-masjid berdekatan.

Tapi kita kena ingat bahawasanya ma'al hijrah itu bukan hanya tentang tahun baru atau penukaran kalendar walaupun tiada kalendar Hijrah di negara ini melainkan sedikit kerana ditenggelami oleh nombor-nombor dengan fon bersaiz besar pada kalendar masihi. Mungkin ia bagi memudahkan masyarakat negara ini membuat count-down tahun baru masihi. Nombor-nombor kecil tarikh Hijrah itu hanya mendapat perhatian pada bulan Ramadhan sahaja kebanyakannya kerana masyarakat yang berpuasa pada bulan tersebut sibuk membuat count-down raya aidilfitri. Tapi hijrah itu bukan sekadar kalendar. Akan tetapi untuk diri kita sendiri yang perlu mengerti hikmah peristiwa tersebut serta pengajarannya buat kita sendiri yang sememangnya perlu berpindah untuk sebuah kebaikan dan kejayaan di akhirnya.

Berpindah itu bukan hanya sekadar fizikal tetapi rohani juga perlu berpindah. Nabi Muhammad SAW mendapat tentangan dahsyat oleh masyarakat kampung halaman negeri kesayangannya iaitu Makkah lalu terpaksa meninggalkan kota suci tersebut atas petunjuk Allah SWT. Namun akhirnya, baginda menjadi pemimpin di perantauan dan akhirnya berjaya mencerahkan Makkah dengan Islam serta memadamkan jahilliyah di kampung halamannya itu.

Zaman sebelum baginda, Nabi Yusuf juga berjaya dengan melakukan sedemikian sehingga menjadi raja di Mesir walaupun sebelum itu baginda dianiaya oleh saudaranya sendiri, bersusah payah berdikari kerana meninggalkan keluarga, difitnah oleh isteri tuannya, disumbat ke dalam penjara tetapi akhirnya baginda berjaya menjadikan mimpi baginda semasa kecil itu menjadi realiti sambil memberi kesedaran kepada saudara-saudaranya.

Hijrah itu bukan sama maksudnya dengan istilah melarikan diri daripada masalah tetapi hijrah itu suatu bukti bagi orang-orang yang bijaksana bagi merancang kehidupan untuk sebuah kejayaan. Kerana orang yang bijak tidak memilih kemudaratan buat dirinya tetapi memilih sesuatu yang lebih baik buat dirinya. Contohnya, rakyat Yathrib itu menerima dakwah Islamiyah dengan keyakinan yang tinggi sehingga mereka menyambut meriah akan ketibaan Rasullullah SAW berbanding majoriti penduduk jahilliyah Makkah yang membaling batu ke atas Nabi Muhammad SAW sewaktu berkhutbah di Bukit Safa. Maka, manakah yang lebih baik?
Berhijrah ke Yathrib atau baginda terus teraniaya di kampung halamannya sendiri?

Aku juga sedang berusaha untuk berhijrah. Sama-samalah kita berdoa untuk kejayaan kita sendiri.




Jumaat, 9 November 2012

Apakah?????

Dia kata dia punya bangsa sendiri,
Berdasarkan bahasa rutin yang aku gunakan,
Warna kulit yang seakan-akan,
Aku juga tergolong dalam bangsa nya dia,
Dia cuba mengajak aku bersama menjulang bangsa,
Aku percaya akan kepentingannya,
Supaya bangsa ku tidak tersepit jatuh,
Tertinggal jauh,

Tapi aku tertanya kepada diriku sendiri,
Bangsa kita akan tersepit, terjatuh dan tertinggal jauh?
Oleh siapa?
Adakah bangsa kita sedang berlumba dengan sesuatu?
Atau dia sedang berbicara tentang kontinjen negara di sukan olimpik?
Yang disertai Datuk Lee Chong Wei, Roslinda Samsu, Pandalela Renong, Josiah ng dan Azizul Hasni Awang?
Atau mungkin tentang perlawanan akhir Piala Suzuki 2010?
Yang dianggotai oleh Safee Salee, S.Chanturu, Shahrul Idlan, S.Kunalan, Safiq Rahim dan Gurusamy sambil dilatih oleh K.Rajagobal dan Ong Kim Swee.

Apa yang berlumba dengan bangsa ku?
Siapa yang menyepit bangsa ku?

Dah dah..
Lama-lama boleh jadi patriotik sangat pulak,
Angin tak ada ribut tak ada,
Heboh nak perang.


Ahad, 4 November 2012

Lain Dari Yang Lain.

Aku tahu dan mungkin setahu-tahunya tetapi masih tidak maha tahu seperti yang berkuasa di atas itu. Mata mereka yang bukan aku itu pasti ada tafsiran berdasarkan konteks-konteks tersendiri tentang aku. Memang mungkin ada yang mentafsirkan aku berdasarkan prinsip, perwatakan, sifat dan sikap. Sememangnya, lebih mudah tafsiran tersebut berdasarkan sikap kerana situasi lah yang menguji sikap kita maka, lebih mudah kiranya jika kerja mentafsir itu dilihat melalui sikap.

Dikaji daripada asal dahulukala sewaktu aku mula mengenal dan dikenali oleh dunia, hingga kini dan mungkin selamanya aku ialah seorang yang pendiam, berdiam tapi tidak akan terdiam. Terdiam oleh tentangan yang tidak munasabah dan kurang rasional. Tidak pula aku ini saja lebih rasional malah, apabila dipuji aku segera tunduk kerana tidak mahu diri ini tinggi lalu meninggalkan jasa yang menjulang aku tadi. Tidak pula aku terlalu memuji sembarangan kerana takut dia akan mendabik dada kesombongan maka aku agak memilih untuk memuji.

Tetapi, aku bukan maksum, aku bukan Tuhan. Aku masih manusia biasa, cuma kerajaan menggolongkan aku sebagai Orang Kelainan Upaya atau dulunya Orang Kurang Upaya atau bahasa pasar nya ''Cacat''. Tidak mengapa, aku redha jika ada yang mentafsir aku sebagai Si Cacat atau Si Kudung kerana aku masih ''lain dari yang lain''.