Khamis, 10 Ogos 2017

Depressi

Baru-baru ni, ramai yang terkejut dengan kematian tragis Chester Bannington, vokalis band Linkin Park. Dia ditemui tak sedarkan diri dalam keadaan 'gantung diri' di rumah. Punca kematian dipercayai bunuh diri.

Bunuh Diri.

Susulan daripada kematian selebriti tersebut, banyak lah kita temukan bermacam artikel, video dan sebagainya berkenaan punca beliau bunuh diri. Ada yang berpendapat sebab kemurungan atau depressi. Kalau ikut lirik yang ditulis dengan sikap Chester sejak kebelakangan ni, menurut cerita Mike Shinoda, beliau memang nampak murung sejak kematian vokalis Soundgarden yang dikatakan sebagai kawan karib si Chester ni. Kematian kawan dia tu juga disebabkan bunuh diri.

Okay baiklah.

Sebelum dua orang frontman band besar tersebut mati bunuh diri, ada ramai lagi selebriti yang suicide atau overdose dadah. Kenapa aku pair suicide dengan overdose padahal bunuh diri dengan overdose dadah memang beza lah kan? Tapi punca dia tetap sama atau selalu sama; iaitu....

Depressi.

Aku tulis ni sebab ramai pulak kawan-kawan nak acah-acah depress ala-ala Kurt Cobain dan Chester ni. Kadang-kadang aku rasa... tak malu ke dengan aku? Tapi tak ada lah aku cakap macam tu melainkan bagi sikit nasihat, pandangan atau logik aku sendiri. Sebab lain orang lain tanggapan dia tentang sesuatu masalah. Aku kata lain sebab, aku tau kenapa aku mesti melalui hidup yang macam ni padahal tak semua orang tau perkara yang aku tau ni. Mungkin tunggu aku bagitau atau seseorang bagitau. Atau mungkin dia orang tunggu sesuatu dari langit untuk bagi tau. Tahi burung barangkali.

Aku juga pernah depress dan selalu depress.

Aku nak cerita pesal aku sendiri sebab ni blog aku kan. Lagi satu, aku bukan pakar psycologi yang punya pengetahuan luas pesal 'masalah mental' dan yang seumpama dengannya. Selain tu, kalau aku contoh pada seseorang; nanti orang kata "kau tak ada kat tempat dia."

Memang, dia pun tak pernah ada kat tempat aku dan merasakan kehidupan yang aku lalui. So, lebih baik aku cerita tentang aku.

1.Masalah Keluarga.

Tak ada niat nak buka pekung tapi ini kan OneHandTyper, ruang untuk aku kongsi cerita dengan engkau orang semua. Semoga nanti ada yang jumpa blog ni dan boleh lah dijadikan pedoman kalau perlu.

Sejak kanak-kanak lagi aku dah di torture dengan jerit pekik pertengkaran kedua orang tua aku. Kebanyakan berpunca dari prasangka buruk yang mendatangkan syak wasangka dan terus diletupkan tanpa singgah terlebih dahulu di meja rundingan.

Tapi itu lah... Aku fikir jugak, kesian lagi kakak dengan abang aku. Yang itu aku tak perlu cerita lebih melainkan bagi aku, mereka lebih sesuai untuk depress.

Disebabkan aku membesar dengan menyaksikan ketabahan diorang tu, itu adalah inspirasi buat aku.

Bagi aku, kebahagiaan datang ketika kita tabah dan redha dengan segala apa tekanan.

2.Baru bercinta tak sampai setahun, sekali awek pindah sekolah.

Okay, faham-faham lah apa jadi. Cinta pertama lah konon. Nangis beb!

Tapi arwah Abah pesan masa tu.

"Umur Pie sekarang ni. Girlfriend ni untuk main-main jer.. Semua tu cinta monyet. Jangan nak serious sangat."

Lepas tu mak dengan abah bertengkar sebab mak kata abah ajar aku jadi playboy.

Setuju dengan pesan Abah. Yep..aku dapat rasa menjadi seorang playboy sekejap.

Haihh..

3.Hilang Upaya.

Bayangkan kau baru habis sekolah, dah fikir macam-macam impian termasuk impian nak ngorat sorang kawan perempuan ni yang memang aku dah minat sejak kecik, tiba-tiba habis semuanya.

Eksiden. Tangan kudung. Tangan sebelah lagi mengalami 'nerve injury' yang parah.

Ramai tanya apa yang aku rasa.

Aku jawab.

"Aku rasa nak buat apa yang aku minat."

Kenapa kau nampak macam tak ada apa yang berlaku?

Aku jawab

"Siapa kata?! Ingat aku tak resah atau segan ke nak hadap masyarakat dalam keadaan macam ni? Tapi aku ni mana boleh duk diam.. So.. aku fight dan buat macam tak ada apa-apa sampai engkaorang pun pening tengok aku. Kah kah kah!"

Pesan abah, "Allah jadi kan segala sesuatu itu sebab ada fungsi nya. Tak ada kejadian Allah yang tak punya fungsi."

Maka aku mulakan perjalanan hidup mencari fungsi. Mungkin aku adalah punca kepada putaran bumi pada paksinya.

Okay. Hambar.

4.Orang tua cerai.

Damn! Akhirnya mak dengan abah cerai. Sebenarnya aku keliru antara kesal atau seronok.

Entahlah.

Tapi abah selalu pesan.

"Pertemuan abah dengan amak adalah untuk Pie dan Iza."

5.Masalah kewangan.

Sejak perlaksanaan GST oleh pemerintahan Najib anak Razak... Aku mula teringat kata seseorang ni...

"Kau terpekik lawan kerajaan, politik bagai tu...nanti yang cari makan kita sendiri jugak! Siapa pun menang, kalau kita tak usaha tak guna jugak!"

Buntut lah.

Orang dah kurang berbelanja. Kalau kau rasa orang ramai jer shopping padahal kata ekonomi jatuh... Maknanya, kau mesti baru hidup atau baru dibenarkan oleh ketiak mak untuk bebas di lorong-lorong kota sambil buat tarian raver.

Ekonomi aku jatuh merudum. Bisnes aku gulung tikar. Hutang bertimbun-timbun. Hentak kepala tak keluar rumah.

Aku beli pisau blade nak toreh tangan...tapi macam mana nak nak toreh tangan tak ada. Nak pegang macam mana?

Aku nak beli tali. Tapi...tak kan nak mintak tolong abah ikat kan pulak.

Nak beli racun. Haa masa tu baru sedar. Tak ada terfikir nak suicide dah.

-Aku pun tak tau sebenarnya apa yang aku ceritakan kat atas ni bermanfaat atau tak. Macam tak sampai pun ada.

Apa yang aku nak bagitau sebenarnya.

Tak salah untuk kita bersedih tapi jangan sesekali kita hanyut dalam kesedihan. Kalau kita kesal ke atas sesuatu kegagalan; bangkitlah. Sebab penyembuh kepada kekecewaan adalah ketika kita bangkit dari kejatuhan. Kalau kita rasa sunyi. Keluar lah, jangan menyendiri walaupun kau bersendirian di kedai mamak macam aku sekarang ni. Rilek jer..


















Sabtu, 5 Ogos 2017

Kembali Ke Blogspot.

Hai..assalammualaikum.

Lama dah aku tinggalkan blogspot ni walaupun banyak sangat hal yang terpendam dan perlu diluahkan. Luahan itu tidak cukup dengan kata-kata atau perbualan dengan seorang teman yang hampir 70% memahami atau memaksa diri untuk memahami. Mungkin berpunca dari keegoan aku untuk tidak menunjukkan kelemahan pada sesiapa. Bagi aku... Biar lah orang memandang aku sebagai seorang Syafie Yusran yang cool dan sempoi walaupun mereka tahu akan beban berat yang terpikul.

Mulanya, aku terfikir nak buat blog baru sempena fasa baru dalam hidup aku. Fasa di mana kehidupan sebenar itu membuka gerbangnya serta dilalu kan kepada aku akan sebuah perjalanan yang baru, pendakian yang baru, cahaya yang baru serta jurang-jurang yang lebih dalam dan gelap. Matahari yang lebih terik serta malam yang perlu aku lukiskan sendiri jika aku mahukan bintang.

Tapi... Banyak yang dah aku catatkan dalam ruangan ni. Teringat balik tujuan asal blog ni di sign in suatu ketika dulu; tidak lebih dari sekadar sebuah catatan tentang seorang Pie yang cacat. Meluahkan sisi positif bagi sebuah permasalahan supaya ia menyedarkan aku yang hidup di dunia realiti.

Tak kurang dari cuma masalah... review tentang kehidupan sehari-hari, apa yang aku nampak serta bagaimana dengan tanggapan aku atau komen aku tentang tanggapan yang lain.

Kesimpulannya, aku tak menarik sebab aku cuma boleh mendorong. Lepas ni tak ada dah nak acah-acah berpuisi dalam ni melainkan ia benar-benar sebuah puisi.

Isnin, 1 Mei 2017

Jangan Marah Kalau Aku Diam.

Jangan marah kalau aku diam,
Di tengah sorak serta bual bual angin,

Jangan terasa kalau aku diam,
Menyahut tawa badai ke rumah ku,

Kerana di dalam ku sedang menjerit,
Bingar membingitkan,
Dan aku sedang menikmati malam,
Tanpa suara tetes embun rindu,
Yang tenggelam,
Hilang,
Terahsiakan oleh senyuman,
Yang ternampakkan...

Ahad, 30 April 2017

Pulang.

Ombak menderu,
Angin ikut berselang,
Temaram sudah menghiaskan,
Pantai sepi,
Hanya aku dan deruan ombak,

Aneh...

Jauh ku menjengah ke bukit,
Berjalan di lorong-lorong suram,
Menuntut mesra di kalangan pesta,
Keramaian yang tak ada malamnya,
Menari patuhkan irama pelangi,

Nyatanya...

Badai berlalu membawa aku kembali,
Sendirian tanpa kanan dan kiri,
Tanpa masa lalu malah rindu,
Di pantai sepi,
Temaram sedang menghiaskan,

Telah kedengaran oleh ku,
Nyanyian malaikat menyambut ku pulang.

Teriakan Tabuh.

Teriak tabuh subuh,
Menyapa leka ku,
Lantas bangkit ku dalam remang-remang,
Mata lesu seakan-akan tergenang,
Barangkali mimpi tadi punya kisah panjang,
Tentang semalam yang tabah dan suram,

Tapi tiada lagi arti,
Itu cuma tinggal kerinduan,
Itu cuma tinggal cerita yang tak terulang,
Itu cuma tinggal harapan untuk aku menjulang,

Menjulang diri ku di atas keperihan pendakian,
Menahan ketar-ketar tubuh ku menempuh kabut-kabut rayu,
Menguatkan berani ku menelusuri jalan gelap di tengah hutan tebal,

Biar sunyi, biar sepi,
Aku tak perlu hingar bingar pasar,
Tak usah kerumun,
Tak perlu bernyanyi,
Pecahkan saja cermin yang mengajuk wajahku,
Tiang-tiang kayu di tengah ruangan,
Tebang dan biar runtuh semuanya,

Atau...,
Usir saja semua mimpi lalu biarkan aku tempuhkan pula remang-remang ini demi menyahut teriakan tabuh,

Khamis, 27 April 2017

Kita Kembali.

Debu debu jalan di belakang,
Melayang berpusar di hadapan kita,
Sekian waktu direntang terang,
Bercahaya menyuluh alam terbentang,
Erat terpaut sepuluh jari berselang,
Antara aku dan kamu tak terkatakan,
Siapa mawar siapa mentari,
Siapa bintang siapa langit,
Yang kita tahu hanya jernih mata kasih,
Memayungi angkasa sukma tak ternampakkan,
Suara nurani tak terdengarkan,
Hingga debu pun datang menatang usia,
Loceng hayat ikut bergetar,
Baru kita tersedar tersentak mencari di mana kita berada,
Di tengah badai menghimpit dan berlalu,
Mujur debu itu tak membutakan kita,
Ia malah titik temu kelana kita,

Bukalah mata,
Kita telah kembali,
Untuk sebuah pertualangan baru,
Ke kampung sentosa,
Di sana ada teratak di bawahnya sungai sungai,
Telah terjalin segala cinta tanpa rahsia tanpa angan,
Tiada lagi noktah mahupun selamanya,
Yang ada sudah cukup bagi kita,
Kerana yang ada itu adalah yang kekal,
Sebagaimana matahari bersinar bersendirian,
Menghidupkan suara hati sebelum lembayung menjelma,
Sebelum melabuh tirai cerita,

Hentikan santun yang terbungkam,
Tiada malam kan sanggup kelam,
Tenggelam diam karam menerkam,
Berdiri bersemi sunyi digari,
Fitrah resam pengembara menolak tunduk,
Pedoman perantau melangkahi sempadan,
Nukilan punjangga memujuk hati luka,
Kalam mesti persis sepertinya,
Atau kita sedia tertimbus dalam liang berbeza,
Meniti titian itu tanpa kita bersama,
Sedang tangan kita sesaat terpaut,
Setelah akal kita tak pernah di sini,
Memikirkan tentang di mana kita,
Yang hilang.....

Rabu, 19 April 2017

Terik Tadi Siang

Tiada yang lebih hangat,
Selain terik tadi siang menyengat,
Korban kisah lalu tersimpan semat,
Dalam gundah pilu rayu disiat,

Jika begitu arti sahabat,
Biar lidah merasa tentang pahit kelat,
Demi kudrat rayu memiliki diresap amanat,
Terik menusuk seluruh hayat,

Tiada yang lebih sanggup,
Selain malam ini nanti menyingkap,
Tentang hening kamar tak bertingkap,
Dasarnya terlahir ke dunia sunyi senyap,

Jika begitu arti ketenangan,
Biar renung ditelan angan,
Menanti tiada menolak sedu sedan,
Hening malam memeluk bungkamnya kesantunan.....

Jumaat, 20 Januari 2017

Sajak Buat Sahabat Di Pusara

Bayangnya menjelma menyentuh bicara,
Sejenak hinggap di atas sudut mata,
Menjadi kaca bersinar menyeliputi bola mata,
Suara yang hilang dari suasana,
Seleksa peristiwa menjadi bahan rindu,

Jasanya disebut-sebut,
Hati budinya terukir menjadi prasasti,
Kisah cinta di antara teman dengan teman,
Pedoman menjadikan dia idola sepanjang zaman,

Kemudian ramai yang datang,
Mengaku teman paling dekat lantas meluahkan kerinduan,
Bertanding rasa di antara mereka,
Siapa yang paling merindukan,
Siapa yang lebih rapat,
Siapa yang mengenal lebih lama,
Siapa lebih kenal dengannya,
Siapa yang lebih dicintainya,

Bagi aku yang khilaf,
Dia orang yang baik,
Tak guna dibacakan tentang segalanya itu,
Dia tiada memilih-milih akan siapa yang mahu dicintakan,

Tiada yang dekat.. tiada yang jauh,
Yang pasti...
Kita semua... merinduinya..

Damailah dikau sahabat,
Sungguh itu adalah sebaik-baik tempat berpulang,
Kami akan datang menuruti mu nanti....

*untuk sahabat yang telah pergi....

Sabtu, 7 Januari 2017

Hentian.

Tidak kah kau merasa,
Akan hentian ini,
Langitnya tak selalu terang,
Rembulan tak selalu ada,
Mentari kadang menjadi terlalu terik,
Sinarnya menggigit,
Adakala ia mengganas membakar hangus,

Tidak kah kau sedar,
Bahawa tak setiap jalan itu menurun,
Kau mesti berpayah-payah mengerah kudrat mendaki ke tempat tinggi,
Di situ baru kau lihat bertapa luasnya daerah ini,
Atau sebenarnya kau akan sedar betapa kerdilnya engkau,

Tiada yang mudah di sini,
Tapi tiada pula yang mustahil,
Semuanya adalah di atas diri mu sendiri,
Yang pasti dan seharusnya kau yakinkan,
Di hentian ini,
Tiada jalan mudah,
Yang ada hanyalah tipu daya,
Selainnya adalah perjalanan yang harus engkau sudahkan...

Jumaat, 6 Januari 2017

Kita Tak Bersendirian.

Pandang lah ke langit luas,
Ada sekawan burung melayang bersama,
Entah ke mana tujuan mereka,
Yang pasti kita tak bersendirian,

Renungkan lah lautan luas,
Ombak berkejaran menghempas pantai,
Entah darimana asal mereka,
Yang pasti kita tak bersendirian,

Tatapilah puncak dunia,
Menyepi di sana tiada suara,
Entah apa yang difikirkannya,
Yang pasti kita tak bersendirian,

Selamilah dirimu sendiri,
Luahkan segala api,
Entah siapa yang menyalakan,
Yang pasti kita tak bersendirian,

Lalu,
Mengapa kelam menawan terang?
Sedang dirimu pelangi siang,
Biarkan lah senyuman itu hadir,
Terbit di antara fajar dan senja,
Atau di antara hari ini dan esok,
Agar suram menjadi cerah,
Bersinar bak mentari dan bulan purnama,
Menyinari debunga dan rerumputan,

Jangan dikekang haruman mawar,
Kerana yang pasti kita,
Tak bersendirian...