Memaparkan catatan dengan label seuntai kata... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label seuntai kata... Papar semua catatan

Selasa, 28 Januari 2014

Sejarah

Aku memang seorang yang suka mencatat atau merekod peristiwa samada dalam bentuk tulisan, foto atau sekadar simpan dalam kepala jer. Dan aku masih belum pasti untuk apa semua itu, tetapi aku lah murid kesayangan cikgu-cikgu sejarah suatu ketika dahulu.

Ya, belajar sejarah memang bosan, tapi apabila kita kena tahu bahawa sejarah atau masa silam kita sendiri boleh menjadi sebuah motivasi buat kita. Atau boleh juga meleraikan kekeliruan dan kecelaruan di abad ini.

Sejarah yang aku maksudkan ialah sejarah benar dan kita percaya dan adalah berkenaan diri kita sendiri. Misalnya, apabila kita hampir putus asa atau gagal dalam kehidupan dan pekerjaan, cubalah kita ingat bagaimana awal nya dahulu sebelum kita tiba ke tahap ini. Ketika kita nyenyak dalam kesenangan, elakkan sifat bongkak dengan mengingat saat-saat kita berhempas pulas sebelum kesenangan ini menjadi milik kita.

Aku memang dah terkurang idea, tapi dengan 2 misalan di atas harap cukuplah untuk engkorang faham dengan apa yang aku cuba sampaikan.

Kita ni manusia senang lupa, sebab tu lah kita selalu tersilap, tapi normal lah tersilap, asal kita cepat sedar, go on! Dan belajar dari kesilapan.

Selasa, 3 Disember 2013

Peluang Kedua

Di usia yang masih muda dan terlalu mentah untuk sebuah kesempurnaan, aku percaya kepada peluang kedua di mana bila pernah kita tersilap lalu kita masih punya peluang kedua.

Gunanya bukanlah untuk dijadikan alasan untuk melupakan kesilapan dan kegagalan lalu tetapi lebih kepada memperbaiki dan belajar daripada kegagalan lalu menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Seperti bermain playstation atau apapun jenis permainan video. Pada mulanya kita sering gagal tetapi kerana masih punya peluang untuk terus bermain, kita pasti akan mula bermain lebih baik dari sebelumnya.

Peluang kedua adalah untuk seseorang itu menjadi lebih baik dari sebelumnya ketika dia gagal. Bukan untuk mengambil kesempatan bagi mengulangi kesalahan seperti dulu.

Maka kita juga perlu berhati-hati untuk memberikan peluang kedua. Berhati-hati, bukan ego.

Selasa, 5 November 2013

Tauhu Bakar

Suatu hari aku cuba menerbitkan sebuah sesi pendebatan atau diskusi ke atas sebuah perkara yang terlalu sepele jika ia dijamah dengan lidah fizikal. Mungkin kerana terlalu bosan dengan perbualan kosong maka aku terbit kan sesi dialog berkenaan 'tauhu bakar'.

Tauhu bakar ialah salah satu menu menarik di sebuah gerai di mana kami selalu melepak di malam hari. Ia adalah campuran kuah yang agak pedas, kicap, kacang dan tauhu yang dibakar sebagai bahan utama selain sayur seperti kangkung dan sengkuang. Oleh kerana makanan tersebut sangat bercampur-campur seperti rojak aku kurang minat untuk dijadikan sebagai pengisi perut. Manakala Akim, Angah dan adik aku Iza telah memesan makanan pelik tersebut untuk diri mereka masing-masing.

Aku melihat Akim agak obses dengan makanan yang spesial seperti ini melainkan aku yang hanya lebih gemar dengan nasi dan yang diolah dengannya. Apabila pesanan itu siap aku pun mula menguji keghairahan mereka bertiga.

Agak hampir 10 kali Akim, Angah dan Iza mengulang "sedap nya" sambil melahap aku pun mula bersuara, "sedap ke?".
Dari itu mula lah mereka mengutarakan hujah mereka dengan agak lantang terutama nya Akim yang berhempas pulas cuba meyakinkan aku untuk terpikat dengan makanan tersebut manakala iza hanya lebih cuba menikam dengan kata-kata berbaur sarcastic, tapi sorry Iza, sarcastic memang sesuatu yang mendalam tetapi saya perlukan hujah yang lebih straight forward dan sharing.

Akim hampir patah hati untuk memikat aku yang tetap berdegil untuk mengakui keenakan tauhu bakar tersebut apabila memberitahu yang aku tak suka kacang dan rojak. Dan Akim akhirnya berhasil apabila beliau menceritakan sedikit tentang ramuan yang menjadikan ia adalah sesuatu yang lazat, di situ aku cuba menyelami perasaan yang menjadikan mereka bertiga obses dengan tauhu bakar yang bagi aku memualkan.

Aku tetap tidak akan meminati makanan tersebut, tetapi aku tahu kenapa mereka menggemarinya. Itu ialah sebuah keghairahan atau 'passion' yang tidak ada pada aku terhadap makanan. Bagi aku, sambal lada dan gulai rendang ataupun kari yang dihidang bersama nasi bersama lauk-lauk berprotein sudah terbiasa memuaskan nafsu makan aku. Oleh kerana itu, aku lebih suka dengan Nasi Padang dan lepak di restoran mamak.

Kesimpulan daripada diskusi yang sangat kecil tersebut ialah, kita perlu menerima perbezaan orang lain selain turut mempelajari perbezaan tersebut, manakala perlu juga bagi kita berkongsi maklumat terhadap orang lain dengan hujah yang bernas supaya mereka juga memahami kepercayaan kita. Sambil, teguh dengan pendirian.

Jadikan perbezaan itu kepada sebuah istilah yang harmonis.

Ahad, 27 Oktober 2013

Benci

Benci. Aku suka dengan tweet daripada seorang teman jauh bernama Meya baru-baru ini. Iaitu,  benci itu tiada kesudahannya.

Aku sangat bersetuju, mungkin benci yang cuba disampaikan oleh meya ialah apabila kita rasa sakit hati dengan orang yang kita tidak senangi sedang orang itu terus menjadi lebih baik dari kita. Dan kita merasakan perasaan ingin menjatuhkan nya supaya kita menjadi lebih baik.

Aku rasa benci seperti itu ialah lebih kepada, iri hati serta dengki. Tidak senang dengan pencapaian orang lain.

Apabila Meya berkata bahawa benci itu tiada kesudahannya, aku teringatkan akan beberapa negara bergolak yang seperti tiada penyelesaian dan kesudahan.

Mungkin semuanya sudah ditetapkan sebegitu sehingga tiba masanya. Dan kita hanya belajar dan mengambil ikhtibar daripada semua perasaan benci itu.

Tak perlu tunggu sehingga datang akibat menimpa kita baru lah kita ingin sedar bahawa sifat benci itu adalah merugikan.

Jika kita gagal..belajar daripada kegagalan itu.. dan apabila kita berjaya..kongsikan kejayaan itu..

Kita memang tidak akan mampu merubah dunia melainkan semuanya bermula dari diri kita sendiri.

Isnin, 16 September 2013

Khayal Hilangkan Masalah?

Aku masih sedang cuba untuk menerima pendapat segelintir atau umum nya para sahabat yang kalau dipandang melalui kalangan mereka boleh menjadi sebahagian besar yang mempunyai fahaman bahawa khayalan mampu menghilang kan masalah.

Maaf, sebelum kamu mula meneliti perkataan seterusnya ini, sememangnya aku tidak pernah berbicara tentang ini kerana aku boleh menerima atas apa yang mereka amalkan namun, aku tidak dapat menerima pendapat yang mereka cuba alaskan.

Masalah hilang dengan khayalan.

Khayalan yang aku maksud kan adalah berkhayal dengan bahan-bahan khayal seperti dadah dan alkohol contohnya.

Maaf sekali lagi aku pohon kan kerana aku bukan jenis yang melarang tetapi cuma memikirkan alasan itu. Bagaimanakah masalah boleh dihilangkan? Adakah mereka mengenal konsep khayal atau mabukan itu sebenarnya?

Khayal atau mabukan adalah apabila seseorang itu mula hilang daya waras nya sehingga kesan bahan yang di ambil itu hilang. Jika begitu, persoalannya, adakah masalah dan kegusaran itu hilang lenyap selamanya selepas kesan bahan tersebut hilang? Adakah begitu?

Atau khayalan itu adalah sekadar bius bagi menghilangkan sebentar rasa sakit ketika kita cuba mendapatkan ketenangan untuk berehat? Adakah begitu?

Jika ia dianggap bius yang mengebaskan tubuh fikiran supaya menangguhkan sebentar rasa sakit dek keserabutan dan kegusaran, jika itu alasannya aku setuju menerima nya. Tapi jangan kata berkhayal itu mampu menghilangkan masalah kerana orang lain yang sedang bangun mencari arah bakalan tertipu.

Kita tidak mampu menghilangkan masalah melainkan kita menghadapinya. Apabila kesan bahan itu habis maka kita akan memikirkan kembali masalah itu dan yang paling ditakuti sebenarnya ialah, masalah yang datang apabila sedang berada di bawah pengaruh. Maklum lah, dadah itu, seluruh authoriti dunia berjaya menewaskan nya dan ia sudah dikategorikan sebagai jenayah yang berat, adapun hukuman baginya adalah sehingga mencapai tahap hukuman mati mandatori. Bahaya untuk sebuah masa depan cerah yang kita rancang sejak kecil.

Kembali aku mengulang bahawa aku tidaklah sesekali berniat untuk mempersenda, tetapi mempersoalkan alasan yang khayalan mampu menghilangkan masalah. Adakah dengan menjadikan diri separuh waras mampu untuk kita memikirkan cara menyelesaikan masalah? Maaf, mungkin aku tidak mengerti perasaan mereka dengan amalan tersebut.

Bagi aku, ciptaan Tuhan itu tiada yang sia-sia walau nyamuk dan agas sekalipun, semuanya berperanan besar terhadap penghidupan dunia dan alam semesta malah juga untuk dunia akhirat.

Allah juga menyediakan pelbagai nikmat untuk manusia kerana kita dilengkapi dengan 5 deria untuk kita mengenal serta akal untuk kita berfikir. Kenapa akal diberi tetapi kita masih perlu berfikir? Kenapa Tuhan tidak memberi terus akal yang berisi penuh dengan ilmu kepada kita jika benar manusia ialah makhluk nya yang terpilih?

Aku akan cuba terangkan dilain bahagian. Cuma apa yang ingin aku katakan ialah, rasakan, nikmati segala apa yang telah Tuhan sediakan di langit dan di bumi, tetapi jangan lah sehingga berlebih-lebihan. Kerana semua nikmat itu adalah untuk difikirkan bukan membinasakan.

Tuhan tidak membinasakan melainkan kita yang meminta untuk dibinasakan.

Pengulangan

Seketika ini, saya cuba mengulang kembali atas apa yang pernah saya tegas kan di suatu bahagian lain sebelum ini, supaya anda tidak menganggap saya dengan sesuatu pemandangan yang berlebih-lebihan apabila membaca perkataan-perkataan yang saya sematkan di dalam blog ini.

Tidak lah saya yang serba kekurangan dari segi fizikal, mental dan ilmu pengetahuan ini cuba untuk memandai-mandai atau mengada-adakan agar dipandang mulia. Apa yang menjadi tujuan saya adalah mencari jawapan atas apa yang menjadi permasalahan saya sendiri.

Permasalahan saya itu bukan lah bermaksud saya yang bermasalah tetapi kejadian atau peristiwa di dalam lingkungan kehidupan yang membuahkan banyak persoalan di dalam pepohon pemikiran saya. Lalu, saya cuba kongsikan formula atau jawapan yang saya dapat kan dari persoalan itu melalui cerita atau kata-kata ringkas.

Mungkin saya bersikap paranoid ketika mengulang pencerahan ini, kerana ramai yang bersetuju dan mengambil ikhtibar daripada petikan-petikan daripada blog ini. Jutaan terima kaseh.

Dan doa saya yang anoyying ini,

Semoga berbahagia dan diberkati Tuhan.

Khamis, 5 September 2013

Tiada apa yang kita lebih tahu

Kita manusia. Binatang yang berakal. Hamba. Musafir. Khalifah.

Tiada apa yang kita lebih tahu untuk masa hadapan. Jika hari ini kita temui kejayaan, esok masih ada dan tiada lah yang kita tahu dari nya. Jika hari ini kita temui kehampaan, esok masih ada untuk kita belajar daripada kelalaian.

Kita ini pejuang untuk diri kita sendiri. Berpantang undur sebelum mati, berpantang kesal sebelum melangkah.

Biarkan hari ini air mata membasuh luka kita, asal besok kita bisa kembali berdiri. Biarkan hari ini kita disiksa tiada dapat berkata, supaya suatu hari kita sudah bisa mendinginkan bahang lava merapi.

Kita terus kan berharap dan menggigih..kerana tiada apa yang lebih kita tahu di masa hadapan.

Isnin, 3 Jun 2013

Otak, Hati dan Mata Buta Sebelah.

Kita ada fizikal yang kuat,

Lengkap sempurna sifatnya,

Tenaga yang tak terbatas hitungannya,

Perkiraannya,

Perut lembu pun boleh pecah dengan sekali hentaman,

Kita perkasa,

Kita kuat,

Kita adalah jagoan,


Tapi kadang-kadang,

Kerana berbangga kita leka,

Kadang boleh jadi ego,

Diri sendiri saja yang benar dan elok sikapnya,

Maka di saat mata hanya celik sebelah kiri,

Mata kanan nya pula buta,

Kita lupa yang kita ada otak,


Otak itu letaknya di dalam tempurung kepala,

Tinggi letaknya paling atas,

Organ paling tinggi duduknya berbanding organ lain,

Tapi mata buta sebelah tidak mampu melihat otak yang di atas kepala,

Hanya mampu melihat ke tubuh sendiri yang di bawah,

Di bawahnya pula tidak dilihat akan hatinya,

Kerana terhalang dek dadanya yang tegap,


Bila satu masalah datang,

Dek kerana mata buta sebelah itu terpesona dengan ukiran badannya,

Kita tak akan terpandang atau buat-buat tak nampak akan otak dan hati,

Semua tahukan apa guna otak dan apa guna hati?


Pada yang tak tahu itulah yang selalu membuat masalah,

Kerana selalu tak berfikir panjang dalam tindakkannya,

Kerana terlalu berikhtibar dengan keperksaannya,

Lalu mereka tak ingat atau sama sekali tidak tahu mereka punya otak dan hati,

Dan pada saat itu semua keperkasaannya itu hilang,

Maka, sila lah menyesal jika anda gagal kerana kezaliman diri sendiri...



Ahad, 26 Mei 2013

Bunga Mekar Di Tanah Tandus.

Bunga-bunga harapan mekar,
Tumbuh indah di atas tanah subur,
Sebidang tanah subur yang diberkati,
Sujud syukur kepada Ilahi,
Karna-Nya lelah silam terbayar,
Dekad penuh kepahitan berakhir,
Nikmatnya kemanisan datang menyerap keringat,
Keringat perjuangan mengusahakan tanah-tanah tandus,
Hingga bunga-bunga mampu mekar hari ini,

Di atas tanah tandus,
Bunga-bungaan itu di tanam,
Namun, makhluk persis diriku itu gemar pula menabur duri,
Supaya ada yang terjatuh dan terluka,
Sedang ia sudah terperangkap dalam hati kesumatnya,
Hati yang menyimpan sebuah perasaan jahat,
Maka duri-duri mereka taburkan,
Supaya aku terluka,
Namun, setakat ini tubuh mental ku sudah lali dengan duri itu,

Kenyataannya,
Bunga itu sudah pun mekar,
Tumbuh subur menghias sanubari,
Tanah tandus hilang kejelekannya,
Maka lidah-lidah jahat itu perlu ingat,
Kata-kata pengkhianatan yang pernah dilontarkan,
Ternyata silap jangkaan mu,
Bunga ini mekar di atas tanah tandus.

Ahad, 5 Mei 2013

Besok Malaysia.

Aku punya sehelai jersi bolesepak kebangsaan Republik Indonesia dan tak punya sehelai pun jersi Harimau Malaya. Aku lebih gemar memuji Indonesia berbanding Malaysia yang diduduki oleh orang-orang yang keliru. Bukan salah mereka menjadi keliru tetapi pencarian ilmu yang tak terbuka, minda yang ditutup, dibataskan setelah dibutakan.

Kita tak perlu lihat jauh, negara seberang itu sudah cukup buat kita untuk mengesan kelemahan di tanah air kita ini. Politik mereka milik rakyat, mereka bersatu menjadi pemerintah, berpuluh-puluh parti politik yang ada di sana, dan hampir semua sudah merasa menjadi pemerintah, dari Soekarnoe hingga ke S.Bambang.Y, bersilih ganti menghuni Istana Presiden.

Tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tidak diiktiraf dengan memandang parti politik atau idealogi nya, tetapi sumbangan mereka kepada tanah air walau tokoh itu banyak mengkritik pemerintah sekalipun.

Mereka menerima reformasi, dan hari ini negara itu kembali membangun selepas keruduman ekonomi yang teruk di era Suharto. Koruptor tidak diterima lagi suaranya, meski besar manapun popularitinya, dia tidak akan diterima lagi bertanding oleh RAKYAT.

Jauh, terlalu jauh matangnya mereka itu berpolitik berbanding kita.

Aku lahir di Malaysia dan seorang penduduk berstatus warganegara Malaysia. Jangan halau aku ke luar negara kerana catatan di atas, kerana aku yang masih hingusan ini, ingin turut serta berfikir bersama tentang negara yang kompleks ini,

11-5-2013, aku bakal genap berumur 22 tahun, hari ini aku telah pun layak untuk mengundi. Terharunya aku dengan pengalaman pertama memangkah di pusat pengundian.

Setelah bertahun mempertahan pendirian, mencari kebenaran, hari ini kita mengundi dan beberapa minit lagi pusat undi akan ditutup.

Berdoa lah supaya Malaysia yang selepas ini, bertambah matang segala segi nya.

Rabu, 1 Mei 2013

Membersih Sawang.

Oh God!!

Dah bersawang-sawang nampaknya blog ni. Lama sangat tak berpenghuni. Maaflah, bukan tak ada idea tapi masa yang aku ada dah terlalu padat dengan pelbagai aktiviti sehingga tak sempat nak menguraikan lipatan laptop ni. Tapi tenang ya saudara-saudara, aku tetap juga punya banyak idea untuk digarap dan diabadikan dalam blog ni. Alhamdullillah.

Okeylah, sebenarnya bermula 2 April hingga 17 April kelmarin aku pulang kampung di Indonesia. Adalah urusan peribadi yang dikerjakan sikit, panjang kisah nya. Terlalu sibuk sehingga tak sempat nak update apa-apa melainkan di Twitter dan FB melalui handfon dengan plan data internet 8gb aktif dalam tempoh sebulan dengan harga cuma 50 ribu Rupiah bersamaan kira-kira RM 15. Power kan? Malaysia tak ada kan? Eh, gurau-gurau. Saya masih patriotik oke..ha ha ha.

Namun, akan ada beberapa perkara yang aku akan huraikan nanti. Pengisian baru atau ole-ole dari Indonesia yang aku bawa untuk semua yang bersama dengan One Hand Typer.

Stay tuned!!!!!

Rabu, 27 Mac 2013

4 Tahun Lalu.

Sekejapan. Seperti baru semalam rasanya tragedi itu berlaku. 26 Mac iaitu beberapa jam sebelum aku menaip catatan ini telah genap 4 tahun akan sebuah tragedi yang merubah serta mencorakkan hidup ku dengan warna pelbagai tona.

Sehingga kini, sejujurnya aku masih belum boleh melupakan kejadian tersebut hingga kisah kronologi kejadian itu masih segar untuk diceritakan sampai kini. Bukan lah aku ini menyesali atau berduka dengan nasib yang menimpa tetapi bagi aku ia adalah sebuah pengalaman hidup yang layak untuk dikongsi bersama siapa sahaja yang bertanya.

Aku suka menceritakan tragedi itu sebagai pedoman dan pengajaran, atau sebuah kisah karya Ilahi yang amat kemas tersusun. Ia begitu menarik untuk dikongsi, seperti ada 1001 kisah di sebalik peristiwa bersejarah itu. Semuanya terubah, yang tenggelam tiba-tiba timbul, yang bergemalapan tak disangka-sangka telah lenyap dan semuanya itu sangat terkait dengan tragedi 4 tahun lalu itu.

Apapun tanggapan orang, kisah ku tetap bermula dengan tragedi itu atau bagaimana aku boleh didaftar Tuhan untuk menyertai tragedi tersebut sejurus menghantar Arwah Marwan pulang ke Rahmatullah. Kemudian, barulah mudah aku bicarakan tentang diri ku yang tak layu dan tak mekar.

Jangan anggap aku kecewa dan putus asa, itu hampir tiada dalam pemikiran ku. Tapi jangan lupa untuk membakar api ku yang sedia menjulang agar lebih tinggi lidah-lidah api ini menjilat langit. Percayalah, tragedi 4 tahun lalu tidak menghalang aku akan cita-cita ku kerana aku tahu bahawa aku tak pernah sendiri.

*Al Fatihah buat Al Mahrum Marwan Safwan B. Aswirman. Sahabat yang tiada galang ganti. Semoga arwah berada di kalangan orang-orang yang diredhai-NYA.

Isnin, 25 Mac 2013

Bodoh Sombong.

Manusia ni memang selalu bersikap tak adil baik pada diri sendiri atau sekeliling. Aku melihat pada diri aku sendiri dan orang lain. Bila orang lain salah, kita kondem bersungguh-sungguh, tapi apabila kita tersilap, kita tak mahu belajar daripada kesilapan. Orang  nasihat, masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Kita tak perlu komplen bila dunia ini ada pengkritik yang akan sering mengkritik atau mempersoalkan tindak tanduk kita. Malah, jika benar kita salah maka beradab lah untuk belajar memperbetulkan kesilapan itu.

Kalau tidak, itulah namanya ''bodoh sombong''.

Selasa, 12 Mac 2013

Spekulasi Akibat......,

Tentang pencerobohan di Lahad Datu. Aku sebenarnya tak berani untuk mengulas banyak berkenaan khabar dukacita tersebut kerana segala maklumat yang aku tahu hanya berdasarkan khabar-2 berita, akhbar serta cerita-2 masyarakat. 

Setakat ini, apa yang aku tahu ada perwira kita yang terkorban. 

Al Fatihah buat Al-Mahrum dan takziah buat keluarga mereka yang terkorban itu.

Musykil atas apa yang terjadi sebenarnya. Masa kan tidak? Kerajaan tidak memberi sebarang penjelasan yang jelas lagi tentang kejadian ini kepada rakyat. Sebaliknya mencari alasan dan sebagainya. Tiba-2 sudah ada yang terkorban. Maka, di sana itu tidak aman lagi, dan penduduk terancam.

Jika mereka fikir rakyat tidak berhak tahu, tidak kah mereka ingat bahwa polis yang terkorban itu juga adalah rakyat? Adakah mereka yang terkorban itu tahu atas apa yang mereka perjuangkan?

Ada yang marah dengan seorang YB di pihak opposition yang menyatakan kejadian ini adalah sandiwara, so what?? 

Siapa pun akan buat pelbagai spekulasi bila engkau menjerit tiba-tiba, dan bila ditanya kenapa, kau menjawab, ''aku akan siasat siapa yang buat aku menjerit''.....ahhaaaiiii...
Memang aku fikir kau tu sengaja nak cari publisiti, atau kata dasarnya sandiwara lah kan walaupun ada yang mati terkejut dengar kau menjerit. *tamsilan kecil




Selasa, 26 Februari 2013

Putus Asa Ialah..?

Baru-baru ni,

Aku ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) demi menghadiri sesi medical check-up dengan doktor pakar. Memang tiap 6 bulan aku wajib berjumpa dengan specialist kerana mereka hendak memantau perkembangan tangan kanan aku yang masih sedang dirawat ini. 

Straight to the point lah beb!

Sebelum ni, aku sebenarnya tak faham putus asa tu macam mana. Ramai jugaklah yang selalu cakap ke aku,,''jangan putus asa!'' ''jangan menyerah!''..

Aku angguk jer, tapi aku tak faham atau tersalah arti, sebab aku ingatkan putus asa tu macam orang loser, nobe atau lemah bagai. Lagipun aku rilek jer happy2 suka-suka sana-sini...

So, baru aku faham setelah Dr. ...?? alamak lupa nama..ahh.. beliau menegur aku seperti ini.

''awak jangan putus asa, latih lagi tangan ni sebab masih tak kuat,, otot ni boleh kuat kalau awak push lagi..awak masih muda.. mesti semangat!! Saya tak pernah putus asa dengan awak,,saya selalu cuba memikirkan macam mana tangan awak boleh sembuh...''

Serius.. aku terharu woo masa tu, nak meleleh jugak air mata. Bertambah membara semangat ni.

Putus asa ialah .. berhenti berusaha. 

Titisan air pun lama-lama boleh menghakis batu yang keras walaupun makan masa bertahun-tahun. Namun, titisan air yang lemah itu tak berhenti menitis.

*masalah putus asa ni jugaklah yang buat berat badan aku terus meningkat*


Bangkang.

Hahaihhh..!!

Dalam hati kecil ni, nak jugaklah jadi orang yang berpengaruh. Yaa,, sikit-sikit pernah jugaklah duk pengaruh orang ni. Contohnya, kawan-kawan seangkatan kat Tampin ni yang main band sampai sekarang dan komuniti.

Sebenarnya, aku ni lebih kepada seorang pencetus idea jer (uhuk uhuk) atau kadang-kadang tu menganalisa, memberi pengertian, nasihat dan mengajar. Taklah banyak benda tapi Alhamdullillah,..aku masih punya peranan serta diperlukan dalam lingkungan sahabat handai.

Abah aku pernah bagi satu pengajaran ni,

''Pie tak cukup anggota untuk berkerja, tapi syukurlah Pie ada otak yang masih elok berfungsi, mata yang masih cerah serta lidah yang masih ligat berbicara. Maka gunakan apa yang ada''

Tapi, apa yang sudah aku kecapi ni, kalau setakat usaha aku sendiri, mustahil lah jadi.
Semuanya adalah kerana dunia yang menerima aku sebaiknya,,, maksudnya, seperti keluarga, sahabat dan masyarakat. Mereka semuanya adalah pendengar yang tersangat baik kerana mereka sering setuju dengan aku.

Yang tak setuju pun ada sebenarnya, tapi bagi aku mereka itu seperti pembangkang yang juga punya hak serta pendapat. Oleh itu, aku tak perlu pulau atau tindas mereka seperti yang Umngok buat. Kerana satu masa aku juga akan berada di kerusi pembangkang apabila majoriti aku terkurang.

ehh!!
masuk-masuk politik pulak tiba-tiba..hahahaahahaaa


Rabu, 6 Februari 2013

Akulah Perantau.

Ada masa-masa aku memikirkan sebuah kemampuan yang hilang,
Kemampuan yang pernah menjadi tunggak keperkasaan ku,
Menjadikan aku seperti helang yang bersarang di awan,
Seperti pepohon tinggi di puncak dunia,
Atau lautan gelora yang tak pernah surut,

Semua itu sudah bersemadi di dalam memori,
Hanya hidup dalam kenangan atau lagenda,
Orang di perantauan yang mengingati tanah asalnya yang hancur lebur,
Di telan bumi dan tak akan timbul-timbul,
Maka tiada guna untuk dia mengimbau pulang,

Akulah perantau itu,
Tapi di dunia yang tak sekali-kali  menjadi asing bagi ku,
Kerana kemampuan yang ralat ini masih diperlukan dunia,
Segalanya tersuai berbanding memori itu,

Kerana itu,
Helang masih bersarang di awangan,
Pepohon masih berdiri teguh di puncak dunia,
Lautan tetap dalam dan bergelora,

Kerana dunia ini yang tak membiarkan aku terasing,
Kerana rantai dan besi jeriji tidak terpatri di keliling ku,
Kerana ada pusara untuk duka dan derita ku,
Kerana tiada guna untuk aku merasa pilu,
Walau memori ku buat warga menangis tersedu-sedu.




Khamis, 24 Januari 2013

Guru Teragung

Masih lagi ku tersungkur,
Mengelak jerat yang bertaburan,
Atas satu jalan sempit berliku,
Jalan yang tercipta khas untuk ku jalani,
Belum mahir berjalan dengan lancar,
Langkah terhalang kerana pelbagai jerat,

Aku ingin cuba berlari pantas,
Menggapai apa yang seperti 1400 tahun dahulu,
Di mana idola ku merentas ranjau serta duri atas pasir panas,
Ketika batu-batu direjam ke arahnya,
Sewaktu perutnya diikat demi sebuah matlamat,
Matlamat yang sejurus mengubah dunia,
Tercurah rahmat dek perjuangannya,
Hebatnya idola ku tidak akan terlawan,

Hanya dia lah guru teragung,
Mengajar aku untuk mengelak jerat-jerat ini,
Semoga dengan pengorbanan baginda Rasullullah S.A.W,
Aku tidak akan terjerat.

*ingat setiap saat..Salam MaulidurRasul.12RabiulAwal1434.

Ahad, 4 November 2012

Lain Dari Yang Lain.

Aku tahu dan mungkin setahu-tahunya tetapi masih tidak maha tahu seperti yang berkuasa di atas itu. Mata mereka yang bukan aku itu pasti ada tafsiran berdasarkan konteks-konteks tersendiri tentang aku. Memang mungkin ada yang mentafsirkan aku berdasarkan prinsip, perwatakan, sifat dan sikap. Sememangnya, lebih mudah tafsiran tersebut berdasarkan sikap kerana situasi lah yang menguji sikap kita maka, lebih mudah kiranya jika kerja mentafsir itu dilihat melalui sikap.

Dikaji daripada asal dahulukala sewaktu aku mula mengenal dan dikenali oleh dunia, hingga kini dan mungkin selamanya aku ialah seorang yang pendiam, berdiam tapi tidak akan terdiam. Terdiam oleh tentangan yang tidak munasabah dan kurang rasional. Tidak pula aku ini saja lebih rasional malah, apabila dipuji aku segera tunduk kerana tidak mahu diri ini tinggi lalu meninggalkan jasa yang menjulang aku tadi. Tidak pula aku terlalu memuji sembarangan kerana takut dia akan mendabik dada kesombongan maka aku agak memilih untuk memuji.

Tetapi, aku bukan maksum, aku bukan Tuhan. Aku masih manusia biasa, cuma kerajaan menggolongkan aku sebagai Orang Kelainan Upaya atau dulunya Orang Kurang Upaya atau bahasa pasar nya ''Cacat''. Tidak mengapa, aku redha jika ada yang mentafsir aku sebagai Si Cacat atau Si Kudung kerana aku masih ''lain dari yang lain''.


Selasa, 2 Oktober 2012

Menyesuaikan Diri.

Dalam umur yang semakin dewasa, orbit yang tak akan berhenti paksi-paksi berputar di atas nya, pergaulan yang semakin luas, pelbagai bahasa dan istilah baru mula dipelajari mengikut adab serta budaya sesebuah kawanan baru yang lain iklim nya, pendirian peribadi yang berlainan serta angin-angin baru bertiup samada kencang, sepoi-sepoi bahasa, panas atau dingin. Maka, tidak mudah untuk aku pertahankan ke-ego-an ini apabila sukar untuk menerima kekalahan kepada pencapaian mereka, kejamnya lidah mereka, zalimnya tapak kaki yang menginjak-injak sedang akulah yang sedang diinjak. Aku seorang mudah terasa tetapi lebih suka untuk memendam kerana tidak pula aku terasa ingin memakan daging saudara ku itu melainkan luahan ke atas seorang teman yang setia kerana sayang ku kepada mereka. Maka aku berfikir akan bagaimana untuk membiasakan diri dengan penyakit baru ini, aku cuba kembalikan perbuatan mereka itu kembali kepada mereka, nampaknya mereka juga tertawa tanda mereka sedang terhibur lalu aku sedar mereka hanya sahabat yang hanya ingin ketawa dan berhibur. Ternyata aku juga terhibur.

Begini, jika kita tinggal atau dilahirkan di sebuah benua yang iklimnya dingin maka pakaian harian kita pastinya tebal bagi mengurangkan kedinginan, jika kita ke negara yang panas atau yang beriklim khatulistiwa takkan mungkin kita perlu juga mengenakan pakaian yang tebal itu meskipun pakaian tersebut bertatahkan berlian. Perlulah bagi kita untuk menyesuaikan diri dengan sebuah suasana baru tetapi tetap berpaksikan dengan cara kita sendiri dan tidak perlu untuk menjadi orang lain melainkan anda ialah Transformer seperti Optimus Prime. Tetapi Transformer juga bertukar menjadi kenderaan atau apa-apa alat ciptaan manusia bagi menyesuaikan dengan keadaan sambil tidak meninggalkan pendirian mereka.

*semoga hidup lebih bererti.