Memaparkan catatan dengan label kampung aku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kampung aku. Papar semua catatan

Selasa, 10 April 2012

Aku ada kampung yang indah-2

Suatu masa dahulu, aku pernah terbaca di muka-muka akhbar, majalah dan artikel-artikel di google yang mengata-ngata fahaman sosialisme, sekularisme dan liberalisme di Republik Indonesia. Terkilan juga setelah membaca dan memahami semua artikel tersebut kerana negara seberang itu merupakan tanah asal orang tua ku dan kami sering kali ke sana atas sebab 'balik kampung'. Artikel-artikel ini mewartakan fahaman tersebut atau lebih mudah disebut sebagai Islam Liberal ialah sesuatu yang memesongkan akidah dan lebih-lebih lagi negara itu mempunyai jumlah orang Islam teramai di dunia.

Dalam benak fikiran aku pasti terbayangkan suatu gambaran sebuah negara Islam yang muslimin nya semakin hanyut selepas memahami semua artikel berkenaan. Pasti tiada lagi jemaah di masjid seramai di negara ini yang kuat akidah rakyat nya sedangkan aku terlalu berminat dengan tokoh-tokoh Islam di negara itu seperti Prof. Hamka, KH. Ahmad Dahlan, KH. Agus Salim, Syekh Ahmad Khatib dan Syeikh Sulaiman Ar-Rasully. Mungkin tokoh-tokoh ini sudah tiada maka akidah rakyat di seberang itu semakin lemah.

Tahun lalu, aku buat pertama kalinya 'balik kampung' bersama Abah ke kampung halaman beliau sendiri yang terletak di Panampung, Ampek Angkek, Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia. Indah permandangan di sini dengan dihiasi oleh 2 gunung iaitu Gunung Merapi dan Gunung Singgalang sedang di antaranya tersergam indah hamparan sawah padi yang bertingkat-tingkat sambil dikepung oleh Bukit Barisan. Dalam suatu perjalanan ke Ibukota Madya Kab. Agam iaitu Bukit Tinggi yang digelar Kota Wisata(kota perlancongan), dari dalam perkhidmatan awam berbentuk sebuah van bergelar Ekabe atau oplet, aku melihat sawah terbentang luas di tepi jalan dan jauh di hujung sawah itu berlatar belakang sebuah perkampungan. Memang indah tetapi ada yang lebih mempersonakan apabila terdapat banyak sekali kubah dan menara masjid di perkampungan itu dengan jarak antara 500 meter-1 kilometer dan dilatari Gunung Merapi yang menghijau. Dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira 20 minit itu setiap sebentar kami melintasi kawasan masjid yang terletak di tepi jalan dengan binaan yang sangat unik. Aku merasa terpegun dengan bilangan masjid yang ada di sini dengan semuanya giat diimarah kan.

Tiba di Terminal Tengah Sawah yang terletak bersebelahan Masjid Kg. Tengah Sawah dan kebetulan hari itu ialah hari jumaat iaitu hari dimana semua muslimin pergi ke masjid bagi menunaikan solat fardhu jumaat. Aku tidak berapa terkejut dengan bilangan orang yang datang ke masjid kerana Indonesia merupakan antara negara terpadat penduduknya di dunia. Aku terdengar suara khatib yang lantang menyampaikan perisian khutbah dan aku sangat tertarik, selepas mengangkat wudhuk aku terus masuk ke dewan masjid yang sudah pun dipenuhi ramai jemaah dan agak sukar untuk aku mencari ruang untuk solat sunat. Selesai solat sunat aku duduk iktikaf sambil mendengar khutbah oleh khatib yang sangat lantang di atas mimbar jumaat dan cara penyampaiannya sangat berlainan dengan khutbah jumaat di Malaysia yang selalu tergagap-gagap walaupun membaca teks. Ternyata khatib tersebut tidak membaca teks dan khutbah nya yang berkenaan 'pengimarahan masjid' sangat membuat aku bersemangat mendengarnya bersama dalil-dalil Al-Quran dan Hadis yang didahulukan sebelum isi khutbah nya satu persatu. Masya Allah. Saat yang tak pernah aku lupa kan hingga aku lupa akan tujuan aku ke Kota Bukit Tinggi ini kerana rohani ku terasa segar.

Selesai sudah solat fardhu jumaat, kami segera ke Pasar Atas yang terletak 500 meter dari Masjid kg Tengah Sawah melalui Pasar Bawah dan Tangga 40. Dalam perjalanan kaki itu, toko-toko dan gerai-gerai baru dibuka semula kerana tadinya semua peniaga pergi ke masjid. Kami tiba di puncak Tangga 40 dan terdapat sebuah lagi masjid yang dinamakan Masjid Raya terletak berhampiran dengan Jam Gadang dan Istana Bung Hatta. Kemudian, kami makan di rumah makan Simpang Raya yang terletak betul-betul di hadapan Jam Gadang yang merupakan mercu tanda Kota Bukit Tinggi. Kami membeli-belah, mengambil gambar di dataran Jam Gadang, menikmati udara segar dan akhirnya masa pun berlalu. Aku teringin membeli cd lagu-lagu minang yang sukar didapati di Malaysia lalu kami pergi ke sebuah gerai di kaki lima Simpang Raya bersebelahan tempat kami makan tadi. Aku memilih cd lagu-lagu minang lagendaris yang dipopularkan kembali oleh penyanyi yang bukan berketurunan minang namun, berjaya memenangi pelbagai anugerah serantau menerusi album ini iaitu Ria Amelia. Penjual cuba memainkan cd tersebut dengan pemain cd milik nya untuk memuaskan hati aku selaku pelanggan. Kebetulan azan Asar berkumandang di Masjid Raya lalu penjual tersebut segera mematikan lagu yang baru 2 saat dimainkan sambil berkata kepada Abah ''siko indak saroman di Malaysia doh pak'' (sini tidak seperti di Malaysia Pak) dalam senyuman. Aku hairan kerana bagaimana beliau tahu yang kami daripada Malaysia? Padahal, abah sahaja yang berkomunikasi dengan peniaga tersebut sedang aku yang tidak berapa fasih berbahasa minang hanya diam. Mungkin kerana pengalaman. Sejurus selepas selesai urusan jual beli, peniaga tersebut meninggalkan gerai nya begitu sahaja lalu pergi ke Masjid Raya menunaikan solat Asar.

Suatu hari, aku bersiar-siar bersama Iza mengelilingi kampung yang indah permai dengan kamera digital Nikon DSLR 1300 dengan tujuan memungut segala gambar-gambar kenangan untuk di bawa pulang ke Malaysia kelak. Hampir masuk waktu Maghrib dan Masjid Lurah yang terletak hanya di belakang rumah ibu saudara aku yang kami duduki sudah berkumandang suara Syeikh Abdurrahman asSudais yang dimainkan melalui radio. Aku dan Iza segera pulang untuk bersiap-siap supaya tidak terlewat untuk berjemaah di masjid. Semasa melintasi hadapan masjid, kelihatan jemaah-jemaah haji baru tiba sambil disambut oleh ahli keluarga dan sahabat handai. Salah seorang jemaah ialah keluarga persukuan abah. Selepas solat Isyak berjemaah di masjid aku dan abah terus ke rumah beliau yang hanya terletak di seberang jalan daripada rumah yang aku duduki. Ternyata ramai sekali dunsanak-dunsanak dan sahabat handai beliau yang aku lupa namanya itu sudah pun tiba dan sedang menjamu selera di ruangan makan manakala aku dan abah terus ke ruang tamu kerana kami sudah pun makan di rumah tadi. Salahseorang tetamu ialah Ustaz Zaki yang bukan berasal daripada Sumatera Barat dan berketurunan Jawa tapi ditugaskan untuk mengajar di sebuah sekolah agama di kampung ini. Beliau sudah lama menetap di kampung ini sehingga beliau sudah fasih berbahasa minang dan beliau juga merupakan imam Masjid Lurah. Selepas mereka selesai makan, semua naik ke ruang tamu rumah traditional ini supaya boleh terus bersembang dengan yang lebih 20 tahun tidak pulang ke kampung dan tentu sekali Ustaz Zaki yang merupakan salah seorang cerdik pandai di kampung ini tidak mengenali abah yang merupakan bekas Datuk(gelaran bagi ketua suku) serta bekas khatib di Masjid Lurah juga lulusan kelas 7 di Madrasah Tarbiah Islamiah, Canduang yang diasaskan oleh Syeikh Sulaiman Ar-Rasully suatu ketika dahulu.

Aku tahu bahawa Ustaz Zaki pandai memberi ceramah dan aku selalu mendengar suara beliau dari rumah ketika kuliah Subuh yang disampaikan melalui pembesar suara. Pada mulanya, beliau diam mendengar abah dan rakan-rakan berbual-bual mengenai pengalaman haji. Tiba-tiba abah menceritakan kepada ustaz tentang keadaan aku yang hanya duduk di sebelah ustaz dan meminta ustaz memberi sedikit kata-kata semangat kepada aku. Senang cerita malam itu menjadi kelas pengajian agama yang tak boleh aku lupakan selepas abah hanya memancing sedikit pepatah traditional berkenaan ''tiada makhluk ciptaan Allah yang tidak berguna'' iaitu kata-kata keramat oleh abah kepada aku semasa di wad kecemasan dahulu dan kata-kata yang meletakkan aku masih di sini ketika ini. Ustaz Zaki mula menceramah semangat dan kami semua tekun mendengarnya sehinggalah lewat malam lalu semua bersurai pulang. Pertama kali, aku mendengar ceramah seorang ustaz secara peribadi dan bukan di masjid atau majlis.

Sebelum aku mengarut entah ke mana, cukuplah di sini sahaja cerita aku berkenaan kegiatan Islam Liberal di Indonesia. Yaaa. Memang ada fahaman itu sebenarnya di negara republik ini tetapi aku lebih suka mencari yang baik kerana fahaman tersebut membuatkan pemikiran rakyat di sini tidak terlalu jumud atau kaku. Semuanya terlihat harmoni walaupun tak sebaik Malaysia tetapi harmoni nya ilmu membuat kan kepulauan ini lebih baik berbanding Negaraku.

Islam Liberal pun Acheh pakai hukum hudud.
*jangan marah haaaa. i'm still proud to be malaysian.

senja di Paya Kumbuh
50koto,Sumatera Barat

Ahad, 25 Disember 2011

Aku ada kampung yang indah

Wow!
Nak dekat sebulan juga tak 'post' apa-apa 'entry'. Musim tengkujuh ni jalur internet jadi sangat lemah dan bercampur pula dengan urusan yang menyibukkan aku untuk diuruskan supaya ia terurus lalu selesai. Bermula 29 Nov. hingga 11 Dis. kelmarin pula, aku merelakan diri untuk pulang ke kampung halaman yang buat pertama kalinya aku jejakkan kaki bersama Abah dan adik. Maklumlah kampung jauh di seberang Selat Melaka sana.

Bukit Tinggi,Agam,Sumatera Barat,Indonesia. Aku rasa ramai yang tahu akan tempat ini dan yang tak tahu tu sila  gunakan carian google anda. Ya, bangga ada kampung yang indah dan terkenal seperti ini. Dikelilingi sawah, ladang-ladang yang traditional, udara nyaman, kedinginan yang selesa, ketenangan serta pemandangan yang indah. Penduduk yang peramah, sopan-santun, beradab dan beradat, suka bergotong-royong, mengambil berat dan aku rasakan kehidupan kekeluargaan di antara penduduk kampung di sini.

Kemudian, aku mengerti apa arti adat yang dicipta oleh orang kampung lazimnya di MinangKabau ini. Kebetulan ada kenduri kahwin diadakan bagi meraikan tuan rumah iaitu pihak pengantin lelaki untuk berangkat ke rumah pihak pengantin perempuan di kota Padang yang kira-kira 4-5 jam perjalanan. Aku teringin untuk melihat orang-orang lelaki mengerjakan istiadat 'berunding' sebelum menjamah selera. Aku cuba dengar kata-kata madah halus lembut mereka semasa membuat rundingan antara wakil tetamu dan wakil tuan rumah(rasanya begitulah). Aku jadi hairan apabila mereka membincangkan akan kebenaran untuk menjamah makanan yang sudah pun terhidang. Mereka duduk bersila mengelilingi ruang tamu dan tengah-tengah ialah makanan. Semua dapat mendengar apa yang dirunding. Kemudian, ada yang membantah kerana masih ada yang tidak cukup maka bertambah sakit lutut aku bersila sebab selagi ada yang tidak cukup, makanan masih belum boleh dijamah lalu perlulah dicukupkan atau ada alasan dan semua bersepakat dalam rundingan barulah boleh dijamah hidangan tersebut.

Tujuan nya, ialah sebagai penghargaan terhadap tuan rumah dan acara yang diadakan. 'Berunding' bukan sahaja pada kenduri ini tetapi sejak awal perancangan untuk perkahwinan ini. Aku faham bahawa adat iaitu kebiasaan yang ditetapkan itu merupakan kunci kerjasama antara penduduk bagi mengikat erat tali silaturrahim. Sebab itu aku katakan hidup di sini bagaikan sebuah keluarga. Basa basi mereka yang terpuji, seorang sakit semua sakit, seorang bodoh maka semua terasa bodoh, seorang berjaya maka semua terasa bangga dan susah untuk jadi sombong di sini.

Aku tak pernah harungi indahnya kampung. Suatu pagi aku bersama abah dan adik berjalan kaki mengelilingi Negeri Panampung(fahami pembahgian pemerintahan R.I).

Ku lihat Gunung Merapi tersergam indah gagah megah di hujung sawah,
Terima Kasih Allah kerana takdirkan abah lahir di sini,

Aku ada kampung yang indah !!