Memaparkan catatan dengan label memori. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label memori. Papar semua catatan

Rabu, 27 Mac 2013

4 Tahun Lalu.

Sekejapan. Seperti baru semalam rasanya tragedi itu berlaku. 26 Mac iaitu beberapa jam sebelum aku menaip catatan ini telah genap 4 tahun akan sebuah tragedi yang merubah serta mencorakkan hidup ku dengan warna pelbagai tona.

Sehingga kini, sejujurnya aku masih belum boleh melupakan kejadian tersebut hingga kisah kronologi kejadian itu masih segar untuk diceritakan sampai kini. Bukan lah aku ini menyesali atau berduka dengan nasib yang menimpa tetapi bagi aku ia adalah sebuah pengalaman hidup yang layak untuk dikongsi bersama siapa sahaja yang bertanya.

Aku suka menceritakan tragedi itu sebagai pedoman dan pengajaran, atau sebuah kisah karya Ilahi yang amat kemas tersusun. Ia begitu menarik untuk dikongsi, seperti ada 1001 kisah di sebalik peristiwa bersejarah itu. Semuanya terubah, yang tenggelam tiba-tiba timbul, yang bergemalapan tak disangka-sangka telah lenyap dan semuanya itu sangat terkait dengan tragedi 4 tahun lalu itu.

Apapun tanggapan orang, kisah ku tetap bermula dengan tragedi itu atau bagaimana aku boleh didaftar Tuhan untuk menyertai tragedi tersebut sejurus menghantar Arwah Marwan pulang ke Rahmatullah. Kemudian, barulah mudah aku bicarakan tentang diri ku yang tak layu dan tak mekar.

Jangan anggap aku kecewa dan putus asa, itu hampir tiada dalam pemikiran ku. Tapi jangan lupa untuk membakar api ku yang sedia menjulang agar lebih tinggi lidah-lidah api ini menjilat langit. Percayalah, tragedi 4 tahun lalu tidak menghalang aku akan cita-cita ku kerana aku tahu bahawa aku tak pernah sendiri.

*Al Fatihah buat Al Mahrum Marwan Safwan B. Aswirman. Sahabat yang tiada galang ganti. Semoga arwah berada di kalangan orang-orang yang diredhai-NYA.

Khamis, 21 Februari 2013

Halimunan.

Apabila kita bisu, kaku di hujung sudut sosial, kita bakal menjadi seperti halimunan yang tidak kelihatan di mata kasar manusia. Di zaman persekolahan dahulu, sewaktu aku duduk di hostel, golongan yang seperti ini kami panggil ''alien'' atau ''makhluk asing'' apabila seseorang itu selalu menyendiri dan tidak bercampur dengan masyarakat dan warga.

Cuma golongan ini sebenarnya bukan sombong atau berlagak, kerana mereka tidak pula alah dengan teguran dan sapaan kita. Menariknya golongan ini ialah, mereka sukar untuk dijangka kelebihan dan kekurangan serta kegunaan mereka, kerana mereka ini terkadang kita tersalah usik, ada juga yang menjadi berang tahap overdose, ada juga yang lawak jenakanya sedikit tapi mampu membuat kita tertawa di luar jangkaan.

Mereka sukar dijangka, kerana kita hanya mahu mengenali orang yang lebih tampak, maka kita selalu terlepas pandang dengan golongan halimunan ini. Lagipun, mereka itu sangat pendiam dan hanya berbual dengan individu yang sudah rapat atau sudah selesa diajak berbual. Kerana keyakinan diri yang mungkin lemah atau selalu berfikiran negatif maka golongan ini mempunyai sifat begini.

Oleh itu, jika terjumpa golongan seperti ini, imarahkan dunia mereka. Kerana mereka akan menjadi sahabat yang terbaik buat kita jikalau kena dengan cara.

-pengalaman sewaktu di hostel-

Rabu, 6 Februari 2013

Akulah Perantau.

Ada masa-masa aku memikirkan sebuah kemampuan yang hilang,
Kemampuan yang pernah menjadi tunggak keperkasaan ku,
Menjadikan aku seperti helang yang bersarang di awan,
Seperti pepohon tinggi di puncak dunia,
Atau lautan gelora yang tak pernah surut,

Semua itu sudah bersemadi di dalam memori,
Hanya hidup dalam kenangan atau lagenda,
Orang di perantauan yang mengingati tanah asalnya yang hancur lebur,
Di telan bumi dan tak akan timbul-timbul,
Maka tiada guna untuk dia mengimbau pulang,

Akulah perantau itu,
Tapi di dunia yang tak sekali-kali  menjadi asing bagi ku,
Kerana kemampuan yang ralat ini masih diperlukan dunia,
Segalanya tersuai berbanding memori itu,

Kerana itu,
Helang masih bersarang di awangan,
Pepohon masih berdiri teguh di puncak dunia,
Lautan tetap dalam dan bergelora,

Kerana dunia ini yang tak membiarkan aku terasing,
Kerana rantai dan besi jeriji tidak terpatri di keliling ku,
Kerana ada pusara untuk duka dan derita ku,
Kerana tiada guna untuk aku merasa pilu,
Walau memori ku buat warga menangis tersedu-sedu.




Selasa, 8 Januari 2013

Tahun Baru 2013.

poom poommm!!

Tepat jam 12 tengah malam 31 Disember 2012 dilancarkan persembahan bunga api yang gilang gemilang di langit Kuala Lumpur setelah 10 saat sebelumnya diadakan acara count-down. Harap masih belum terlambat untuk aku ucapkan selamat tahun baru untuk semua. Semoga 2013 lebih baik daripada tahun sebelumnya. Bagi mereka yang punya azam baru...goodluck!!!

Seperti tahun lalu, sambutan tahun baru aku kali ini juga di kota raya metropolitan Kuala Lumpur. Di Skate Rock n Roller 2012 yang diadakan di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara. Jika tahun lalu, aku ke KL dengan menaiki kereta baru yang hanya boleh memuatkan 5 orang penumpang tapi tahun ini aku memandu sebuah van dengan kapasiti yang lebih besar. Maka beramai-ramailah kami ke KL hari itu.

Walaupun matlamat utama aku meraikan tahun baru ialah di Dataran Shah Alam bersama Ustz Azhar Idrus tetapi tidak apalah, semoga tahun mendatang punya peluang buat aku bersama mereka yang bertuah itu. Lagipun sambutan tahun baru aku masih positif dan sihat.

Isnin, 6 Ogos 2012

Ramadhan 2012 Day 17 - Nuzul Quran.

Ketika menaip catatan ini, merupakan malam ke 17 ramadhan al mubarak. Malam ini juga mempunyai rakaman bersejarah dalam lipatan sirah berkenaan cahaya agung sekaligus menjadi rahmat buat sekalian alam. 17 Ramadhan 3 tahun sebelum masihi merupakan tarikh yang dipersetujui ulama yang ramai sebagai hari turun Al Quran serta kenabian Nabi Muhammad s.a.w ketika usia baginda menjangkau 40 tahun pada tahun 610 masihi. Di negara ini, hari memperingati peristiwa Nuzul Quran diputuskan pada setiap 17 Ramadhan maka sekitar malam ini lah kejadiannnya.

Iqra' bismirabbikallazi halaq. bacalah dengan nama Tuhan mu yang maha mencipta. Ayat pertama dari surah Al Alaq. Bermula saat itu lah akhirnya kita pada hari ini mempunyai agama selengkap dan sesempurna ini, sesudah titik peluh dan jerih payah Rasullullah s.a.w menghapuskan tradisi jahilliyah yang dibencinya, kemudian sisa hidupnya terus dikorbankan dengan menegakkan syiar Islam agama Allah s.w.t untuk umatnya  kelak. Rasullullah s.a.w dan para sahabat serta Asy Syahid ketika dulu itu masih diingati hingga kini maka, semoga sejarah agung ini terus diingati, diperingatkan, diajarkan serta menjadi pedoman kehidupan kita dan oleh itu tidak lagi jauh hidup ini dari Al Quran lalu menjadi sesempurna agama ini.

Insya Allah.

Rabu, 27 Jun 2012

Sinar Harapan di Langit Bt Pahat

Suatu malam Bbq, di Batu Pahat,
Aku masih terlalu ingat kerana nostalgia itu berlaku hanya beberapa bulan lalu,
Bersama meraikan budaya tersuai buat kami anak-anak muda remaja,
Lokasinya ialah skatepark,
Diadakan oleh rakan-rakan dan sekutu-sekutu di sana,
Tanda kental nya niat mereka dalam bersahabat,
Ada yang mengerjakan urusan bbq,
Ada yang ber-basking,
Ada yang berpapan luncur,

Ada juga yang baring di lantai menonton langit bersama-sama,
Aku ada bersama kelompok yang ini,
Mereka sedang di bawah pengaruh alkohol dan daun-daun,
Sementara aku tidak,
Aku diam mendengar mereka bercerabih,
Aku merakam salah satu perbualan mereka,

''waaa, langit gelap tiada sinar bintang, tiadakah harapan untuk ku?
 Ah, tidak, di sana masih ada satu bintang, masih ada sinar untuk ku.''


Hahaha,
Terpesona ku ketawa,
Semua orang punya harapan punya mimpi,
Kita kena melenjan memandu usaha mendapatkannya,
Jika kita betul-betul impikan,
Jangan lengahkan ia,
Harapan selalu ada jika kita mahu,
Cuma tembok yang menghadang harus lepasi,
Sehingga akhirnya kita nampak sinarnya.

Ahad, 10 Jun 2012

Northern

Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan, Bertambah Pengalaman.

Hari ini merupakan hari terakhir cuti sekolah pertengahan tahun selama 2 minggu. Banyak perkara yang aku lakukan bagi mengisi hari-hari cuti ini walaupun aku memang sudah lama bercuti. Sebenarnya, keutamaan cuti ini adalah untuk adik aku yang berada di tingkatan 5 maka, aku kotakan saja permintaannya untuk ke mana saja. Lalu beliau mengambil kesempatan ini sebaik-baiknya dengan memberi cadangan yang agak mustahil buat aku iaitu bercuti di Negeri Jelapang Padi yang terletak beratus-ratus kilometer dari rumah kami.

Memanglah kami pernah beberapa kali ke sana memandangkan keluarga kakak kami menetap di sana tetapi aku tidak pernah memandu Baby Kenari sejauh itu. Namun, dengan keyakinan kepercayaan kepada Allah swt, aku gagahi jua. Salah seorang sahabat baik aku iaitu Adek(vokalis Throw-ma) juga ikut serta dalam perjalanan yang panjang ini.

Alhamdullillah, kami selamat pergi dan pulang dengan izin Allah yang maha kuasa kerana tanpa izin-Nya aku sekali-kali tidak mampu memecut kereta sejauh ini serta apapun takkan selamat tanpa Allah yang menguasainya. Segalanya berjalan dengan lancar dan tiada perkara yang buruk berlaku.

Masih terbayang-bayang akan indahnya permandangan di Kedah terutamanya semasa mengelilingi Gunung Jerai, selepas melawat Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang menempatkan tapak-tapak candi lama yang ditemui oleh ahli-ahli arkeologi. Pelbagai maklumat yang aku faham daripadanya serta memuji kebijaksanaan Allah mengatur semua kaum-kaum ciptaannya.

Ustaz Azhar Idrus menemani perjalanan kami dengan ucapan kuliyah yang banyak diisi dengan lawak jenaka lalu mencuit hati kami melalui pemain cd di dalam kereta dan ia menambah menarik perjalanan ini. Perjalanan di Kedah mengingatkan aku kepada Sumatera Barat yang masih tak terlawan indahnya tetapi Tuhan sengaja menciptakan sesuatu itu ada lebih dan kurang nya maka lain pula pengalaman yang aku perolehi di sini dan segalanya ialah kurniaan Allah.

Tidak lupa juga Pulau Mutiara yang masih pesat membangun seperti dahulu walaupun sudah dilanda tsunami politik. Masih kelihatan jambatan kedua sedang dibina di sebelah selatan jambatan sedia ada yang menghubungkan terus dari tanah besar ke Bayan Lepas. Kami bersiar-siar di bandar Georgetown, Batu Feringgi dan Padang Kota Lama yang menempat kota yang dibina oleh Sir Francis Light iaitu pengasas kepada Pulau Pinang.

Selama 3 hari bermula Selasa kami menginap rumah kakak di Sungai Petani lalu kami pun berangkat pulang pada petang Jumaat. Perjalanan ke Tampin agak pantas berlalu, kata Adek ''Selangor, KL macam takde je.'' hehehe. Seronoknya kami apabila tiba kembali ke Tampin. hip hip hooray!!

Namun, masih ada satu lagi perjalanan jauh iaitu EURO2012!!

Isnin, 23 April 2012

Arus Masa Lalu Aku.

Aku sudah mula berjinak-jinak layan gig sejak tahun 2008 walaupun aku sudah mula tertarik mendengar lagu-lagu hardcore dan indie atau kata dasarnya underground lebih awal daripada itu. Aku lebih berminat mendengar lagu-lagu underground kerana inginkan sesuatu yang lain daripada muzik-muzik yang dihasilkan daripada kotak-kotak televisi dan radio. Jarang dapat mendengar band-band yang bunyinya lebih berat, keras, atau laju temponya di televisi pada masa itu kerana muzik-muzik di televisi lebih kepada alunan-alunan jiwang yang berlumba-lumba untuk menjadi terpopular dan terglamour lebih-lebih lagi band-band yang berada di bawah naungan label-label kapitalis mainstream sedangkan tidak ada satu pun yang membuat aku tertarik. Malah pada masa itu terdapat pula orang-orang yang mengapi-apikan perbedaan muzik antara Indonesia dan Malaysia selain menuduh band-band pop rock Indonesia yang mempromosikan karya mereka di Malaysia membenam karya-karya artis Malaysia padahal orang-orang waktu itu lebih tertarik mendengar band-band mereka seperti PeterPan, Samsons, Padi, Dewa19 dan banyak lagi. Jika dikaji pada lirik memang lagu-lagu daripada negara seberang itu lebih jiwang berbanding lagu-lagu tempatan tetapi karya mereka menjadi fenomena di Malaysia pada waktu itu. Berpusu-pusu karya mereka masuk ke tanah air sehingga karya-karya tempatan seakan-akan tenggelam. Malah, bukan saja muzik tetapi filem-filem yang mereka hasilkan juga turut seperti itu. 

Tiba-tiba lahir band-band underground yang membawa genre seperti indie pop, pop punk, ska dan punk rock yang lebih terbuka muzik mereka. Maksud aku, influence mereka lebih aggresive dan lagu yang mereka hasilkan lebih bermutu malah lebih baik berbanding komposer berlagak otai di dataran mainstream. Di situ lahirlah Meet Uncle Hussin yang memperkenalkan single mereka bertajuk Lagu Untukmu yang memenangi Anugerah Juara Lagu 2009 dan mengangkat suara tinggi Azlan ke persada mainstream. Sebelum itu, Estrange juga memenangi AJL menerusi lagu Itu Kamu. Industri seni tempatan telah menyekat karya-karya seberang ke Malaysia lalu muzik-muzik Indie pula menjadi fenomena. Kini, banyak antara mereka sudah terkenal di persada arus perdana lalu ramai anak-anak muda yang mula beralih pandang ke sebuah lagi scene underground yang lebih keras dan ramai pengikutnya iaitu Metal. Ada yang suka kerana memandang instrument dan percussion work mereka dan ada pula yang menggemari suatu band metal itu kerana mood lagu yang mendorong mereka untuk mosh atau hardcore dance. Kemudian, disusuli muzik-muzik old skool hardcore dan metal hardcore.

Metal, Old Skool dan Metal Hardcore juga ada yang dah agak sedikit mendedahkan diri mereka di mainstream tapi masih sedikit yang begitu kerana masih berpegang kepada idea Diy. Tetapi ada juga yang meremehkan idea tersebut lalu pergi mengejar kaca tv atas alasan memperkembangkan muzik. Ya.Masing-masing ada keinginan sendiri dan tak boleh nak halang.

Kini, aku layan semua lagu-lagu tanah air yang bermutu kerana pedoman Hardcore/Punk iaitu sesuatu yang mengandungi sebuah perkataan baginya iaitu Respect. 

Kini, Kpop iaitu pangaruh muzik baru yang berasal dari Korea Selatan pula mengambil alih trend masa kini. 

*post ni hanya untuk mengenang arus masa lalu aku.

Rabu, 28 Mac 2012

Rahmati lah Mereka Allah

21 Mac lalu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2011 diumumkan. Aku diminta Salleh si sobat sejati untuk menghantar beliau ke Sekolah Menengah Vokasional Juasseh tempat dia berhempas-pulas selama 2 tahun. Di sini juga keputusan tersebut diberikan. Beliau berjaya memperoleh 2 A dan bersyukur lah dia akan nikmat balasan usaha nya oleh Allah yang Maha Adil. Begitu juga dengan rakan-rakan lain seperti Dush,Akem dan Angah yang ketiga-tiganya merupakan ahli band yang juga dianggotai oleh aku iaitu Red Bullet selain Afiq. Keputusan mereka tidaklah sehebat Salleh tetapi memandang usaha mereka ianya lebih dari setimpal. Sememang nya sedikit hampa bagi mereka tetapi tetap bersyukur selain akur dengan keputusan yang diperoleh.

Kini mereka semua sedang merancang jalan seterusnya. Dush memilih jalan untuk berhijrah ke Johor Bahru mencari kerja manakala Akem, Angah dan Afiq mungkin akan mengambil 'paper july' dan meneruskan pelajaran. Salleh pula sedang bertaffakur memilih bidang pelajaran yang ingin ditempuhnya.

Semoga Allah merahmati jalan hidup mereka.

Sebelum itu, aku mendapat khabar duka tentang sahabat yang merawat aku di hospital semasa masih terlantar 3 tahun lalu iaitu Amar yang mengalami kemalangan jalan raya apabila motorsikal ditungganya merempuh sebuah lori ketika pulang kerja. Aku sudah melawat beliau yang masih terlantar di wad ICU. Aiman iaitu adik nya menerangkan kepada ku tentang kecederaan yang dihadapi Amar.  Tangan kanan dan 3 batang tulang rusuk abang nya patah selain pendarahan di dalam dada sehingga memberi kesan kepada jantung yang boleh mengecil jika dibiarkan. Maka Amar bakal dibedah bagi mengeluarkan darah tersebut. Aiman juga mengambil keputusan SPM masa itu dan memperoleh 3 A bagi subjek Mathematic, Science dan Pendidikan Seni Visual.

Semoga Allah merahmati dan melindungi Amar.

Selasa, 27 Mac 2012

3 Tahun Kudung

pantas masa berlalu
pantas segala nya berlalu
pantas semua nya berlalu
pantas usia berlalu
pantas masa berlalu

Genap sudah 3 tahun aku bergelar si kudung dan aku berasa bangga bisa mendobrak jiwa ku sendiri ke hadapan tanpa aku berhenti dan berpatah balik ke belakang. Masih mampan kuatan semangat ku bergejolak untuk ku kucup semua yang ku cinta. Syahdu nya hidup ini bila ku terlusuri indah nya dugaan sehingga akhir nya gerimis akan berhenti selepas dentuman petir menghenyak telinga. 

Tidak seorang ku tampan semua rusuh ini kerana pasti kini aku berdesah jika tiada darah-darah manis merah ikut mengalir bersama hangatnya nafas memapah ku sebelum jatuh. Darah merah itu lah asbab jantung ku masih terdetak dan akan terus berdetak walau ajal memanggil ku pergi. Itu lah mereka yang bernama sahabat yang tak terlupakan. 

Syukur kepada yang maha pencipta atas peluangnya membekal ku nafas dan waktu supaya masih ada ku hayati siang dan malam dengan akal agar bisa ku berfikir dan bersyukur dengan pemberiannya. Tidak terbayang bertapa gelap nya hidup ku jika takdir tak seperti ini. Tiada Tuhan selain Mu ya Allah.

Dan Allah sahaja yang mampu membalas budi Abah.



 



Jumaat, 24 Februari 2012

Kenangan Indah

Jika bisa ku bawa bintang

Atau sebuah peti yang di dalam nya tersimpan
segala kemewahan hidup di dunia

Atau langit biru yang beserakan nya awan
yang ada nya kawanan burung terbang bersama
dan ada nya siulan-siulan burung yang menjadi simfoni indah

Atau lautan biru yang di permukaan berlumba-lumba si ikan lumba-lumba
ombak nya tenang menghempas pantai
lalu pantai nya putih bersih bersama angin bayu meniup belahan rambut dan bulu roma ku

Atau kenangan indah semalam yang ada nya ikatan kasih manusia kepada manusia
bertemu dengan niat merindu, berpisah menebal lah rindu
terpusar di hari semalam nya kasih sayang yang tak akan terungkai
perbualan, perbuatan dan apa pun yang dijalankan semalam
bagaikan janji supaya hubungan ini tak akan putus selagi darah masih merah
kenangan semalam telah memanjangkan jangka hayat atau tak akan mati
walau pun telah mati,
kerana ikatan yang kuat itu maka dia tetap hidup walaupun mati.

Maka kenangan indah semalam itu yang aku bawa
aku bawa bersama selepas ini semasa
mendaki gunung yang berlumurannya lava
melangkahi jurang yang ada nya ranjau
menempuh lautan bergelora
Akan ku bawa kenangan indah itu
menempuh pendakian, langkah, dan menempuh
perjalanan hidup ini
supaya aku tak lupa dengan kenangan itu
bila ku tiba di puncak pendakian
di seberang langkahan
dan di pasiran pantai.

***********************************************************




RED BULLET DI THE WALL BT PAHAT
23-2-2012
THANKS KEPADA UDA, ZURRY RAYYAL, ABG JAMBANG DRUMMER URUGHAI,
DAN SEMUA YANG MENJAYAKAN GIG UP & ATOM DI THEWALL. JUMPA LAGI DI LAIN HARI
INSYA ALLAH.

Isnin, 6 Februari 2012

12 Rabi'ul Awal

Terlewat sedikit hari dari 12 Rabiul Awal 1433 h bersamaan 5 Februari 2012 kerana pada hari tersebut aku menghadiri Season End Brawl di ibu kota yang membawakan band daripada New York Hardcore iaitu Backtrack dan Final Attack daripada Bandung Hardcore. Alasan sebenar untuk menghadiri event ini bukan semata-mata 2 band luar negara tersebut tetapi untuk melihat Hurricane daripada Tampin Hardcore. Barisan anggota mereka merupakan orang-orang bagak yang pernah menganggotai sebuah kedahsyatan bagi aku di Malaysia ini suatu ketika dahulu iaitu Devilica. Ramai menyangka Malik, Razak dan Ateng akan mengalunkan bunyi-bunyian yang persis Devilica tetapi Hurricane membawa pendengar melayang bersama bunyian baru mereka bersama mood yang lebih epic sehingga 'crowd' hanya mampu terpaku. Persembahan mereka begitu bergaya, ditambah pula bassist mereka Aizat 'line-up' Channeling Mahatma yang terkenal dengan kegilaan nya di atas pentas. Bagi aku mereka best kerana selalu keluar dari bunyi-bunyian atau genre yang menjadi kebiasaan pada masa ini. Itu saja kata-kata aku untuk Hurricane kerana tiada kata-kata untuk mereka sejak Devilica hingga Hurricane melainkan 'noooooiiiseeeeee'

Sebenarnya aku nak cerita tentang Maulidurrasul. Yaa..seperti biasa setiap tahun apabila 12 Rabiul Awal tiba pelbagai majlis diadakan untk memperingati kelahiran baginda. Stesen TV tempatan juga menyiarkan cerita atau segmen berkenan Islam dan rumah aku tiada TV. sorb sorb

Seperti biasa menenung skrin laptop. Membaca artikel berkenaan agama dan Rasullullah saw.

Nabi Muhammad manusia teragung. Bukan hanya pada Mauliddurrasul  kita mengingat baginda tetapi selamanya. Sehingga kita berlari-lari di Padang Masyar kelak mencari utusan terakhir untuk meminta syafaat baginda iaitu Muhammad s.a.w.

Selawat dan Salam ke atas baginda serta ahli keluarga nya.

Jumaat, 3 Februari 2012

Nasihat ada cara.

Aku selalu memerhati sesuatu kejadian menjelekkan di atas meja makan yang dikelilingi oleh orang-orang berlagak sukses dan berjaya, cuba menegur dan menasihati seorang individu yang turut serta dalam perkelilingan meja makan di sebuah restoran. Cuba menegur atau menasihat ialah sesuatu yang mulia dan hebat tapi sesetengah cara oleh mereka ini begitu menjijikkan. Dalam kejadian ini aku bukannya orang tengah, tidak pula berpihak kepada sesiapa tetapi mengambil tahu akan hal ini.

Hal apakah yang cuba ditegur itu bukan persoalan tetapi orang-orang yang kuat rasa sayang ini sebenarnya sedang membenam jiwa orang yang cuba ditegur ini bukan mendorong atau menarik beliau kepada keadaan yang lebih baik. Apa yang diterima oleh si ditegur ini memanglah akan menjadi negatif. Memanglah yang kena tegur perlu menerima secara positif tetapi yang menegur telah menegur dengan niat yang bergaul dengan gelombang negatif.

Kenapa ada gelombang negatif ?
Kerana pandangan penegur kepada yang ditegur ialah dalam keadaan emosi benci, geram atau memboikot. Maksudnya dalam menasihat atau menegur kita mestilah merendahkan diri, jangan menganggap kita benar walau sedikit, jaga perkataan, nada suara atau lebih penting kawal nafsu.

Imam Syafie berkata ''jika rakan mu menasihati kamu secara sembunyi iaitu berdua maka itulah nasihat yang sebenarnya, jika rakan mu menasihati kamu di khalayak ramai, maka dia sedang menghina mu''

Jelaskan? Atas meja makan sekeliling 10 orang termasuk beliau yang berhak sakit hati. Aku pun pernah kena dan aku sangat bengang, tapi lebih bijaksana manusia itu bila kita bersabar. Dan aku senyum tanda aku menerimanya merangkap melawan ego si dungu. Aku pernah menasihat beberapa orang sahabat ku secara sembunyi kerana ingin menjaga maruah dan rahsia nya dan dengan izin Allah mereka lebih tenang dan berkeyakinan sekarang ini.

Beberapa hari kemudian, orang-orang ini mengeluh atas kejadian itu kerana mereka menganggap si pesakit itu tak mendengar nasihat mereka. Humm. Tak konfiden dengan lidah sendiri lah tu. Itu lah, selami diri pesakit tu dulu, ambil tahu akan kelemahan dan masalah si pesakit bagi mengelakkan istilah ''pesakit'' yang aku memandai-mandai berikan ini ditukar kepada ''tertuduh'', memahami jiwa dan emosi pesakit supaya tiada kejadian ''putus kawan'' dan si perawat perlu berfikir sebelum bercakap supaya si pesakit tak berdendam.

Terakhir sekali, kadangkala kita suka nasihat orang tapi kita tak boleh menerima nasihat, kita suka komplen masalah orang tapi kita jadi diktator,

na'udzu billah.

Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati.

Selasa, 17 Januari 2012

Hikmah Menangguh Bosan

Selasa jan 3.33 petang waktu jam dinding rumah aku yang paling sahih sekali. Rumah aku ni tak ada televisyen tapi selamatlah ada rezeki beli laptop ni dulu maka ada juga lah penangguh bosan untuk aku. Tapi semakin bosan, okay aku blogging tapi tak tahu apa nak diceritakan kat engkau-orang ni. Maka, terbaring terlentang lah aku di lantai ruang tamu merenung siling rumah mencari punca dan asbab supaya bermain-mainlah fikiran yang dah mula suntuk ni. 

Renung, tenung, temenung dan bangun semula.
Tenung pula bilah-bilah kipas berkejar-kejaran.
Tapi tak boleh juga ia menghiburkan hati.
Jangan tanya kenapa tak bukak youtube atau main game?
Sebab aku dah buat perkara tersebut berulang-kali.
Sejak daripada masa Tuhan bagi laptop ni lagi.

Bakar rokok Duo-M lepak di laman rumah menghadap Gunung Tampin. Pukul 3 ni hari masih panas lagi tapi aku tak boleh buat apa-apa dah. Sehinggalah pukul 4 aku masih bersila di lantai halaman rumah merenung kebesaran Ilahi. Memukau jiwa dan aku terpesona. Menonton sekalian awan berarak, langit biru meluas, matahari gagah bercahaya berlatar suarakan kicauan burung berbagai nada. Terlalu banyak yang menghiburkan walau tak sampai 1 jam aku menonton dan menatap kebijaksanaan Ilahi. 

Harap semua ini dapat kekal sehinggalah tiada lagi bias mentari mengusik aku.

                                                                       gambar hiasan.
Gunung Tampin. 

Sabtu, 7 Januari 2012

2012

Tahun 2012. Masa aku buat 'entry' ni, sudah genap 1 minggu usia tahun baru ini. Sungguh sekejap, seperti melangkahi lopak-lopak air di atas perjalanan. Dulu kecoh juga filem 2012 kerana plot filem tersebut yang berkisar kan kehancuran bumi pada tahun 2012. Yang taksub dengan filem tu memang telah pun membisingkan tentang kiamat pada tahun 2012. Hari ini atau sejak seminggu lepas telah pun berinjak-injak angka 2012 pada permukaan helaian-helaian kalendar tapi suara-suara bising itu ternyata tiada lagi.

Tapi tak tahu lah. Mungkin esok,lusa,minggu depan,bulan depan atau tidak berlaku.

Orang kita ni selalu banyak alasan untuk menolak sangkaan yang kiamat itu makin atau sudah hampir. Seperti menunggu kedatangan Dajjal, Imam Mahdi, Nabi Isa dan tanda-tanda sahih lain. Apakah kita tahu rupa Dajjal? Imam Mahdi juga tidak tahu dan menyangkakan bahwa diri beliau ialah Imam Mahdi yang menjadi penyelamat kelak. Allahua'lam.


Ahad, 25 Disember 2011

Aku ada kampung yang indah

Wow!
Nak dekat sebulan juga tak 'post' apa-apa 'entry'. Musim tengkujuh ni jalur internet jadi sangat lemah dan bercampur pula dengan urusan yang menyibukkan aku untuk diuruskan supaya ia terurus lalu selesai. Bermula 29 Nov. hingga 11 Dis. kelmarin pula, aku merelakan diri untuk pulang ke kampung halaman yang buat pertama kalinya aku jejakkan kaki bersama Abah dan adik. Maklumlah kampung jauh di seberang Selat Melaka sana.

Bukit Tinggi,Agam,Sumatera Barat,Indonesia. Aku rasa ramai yang tahu akan tempat ini dan yang tak tahu tu sila  gunakan carian google anda. Ya, bangga ada kampung yang indah dan terkenal seperti ini. Dikelilingi sawah, ladang-ladang yang traditional, udara nyaman, kedinginan yang selesa, ketenangan serta pemandangan yang indah. Penduduk yang peramah, sopan-santun, beradab dan beradat, suka bergotong-royong, mengambil berat dan aku rasakan kehidupan kekeluargaan di antara penduduk kampung di sini.

Kemudian, aku mengerti apa arti adat yang dicipta oleh orang kampung lazimnya di MinangKabau ini. Kebetulan ada kenduri kahwin diadakan bagi meraikan tuan rumah iaitu pihak pengantin lelaki untuk berangkat ke rumah pihak pengantin perempuan di kota Padang yang kira-kira 4-5 jam perjalanan. Aku teringin untuk melihat orang-orang lelaki mengerjakan istiadat 'berunding' sebelum menjamah selera. Aku cuba dengar kata-kata madah halus lembut mereka semasa membuat rundingan antara wakil tetamu dan wakil tuan rumah(rasanya begitulah). Aku jadi hairan apabila mereka membincangkan akan kebenaran untuk menjamah makanan yang sudah pun terhidang. Mereka duduk bersila mengelilingi ruang tamu dan tengah-tengah ialah makanan. Semua dapat mendengar apa yang dirunding. Kemudian, ada yang membantah kerana masih ada yang tidak cukup maka bertambah sakit lutut aku bersila sebab selagi ada yang tidak cukup, makanan masih belum boleh dijamah lalu perlulah dicukupkan atau ada alasan dan semua bersepakat dalam rundingan barulah boleh dijamah hidangan tersebut.

Tujuan nya, ialah sebagai penghargaan terhadap tuan rumah dan acara yang diadakan. 'Berunding' bukan sahaja pada kenduri ini tetapi sejak awal perancangan untuk perkahwinan ini. Aku faham bahawa adat iaitu kebiasaan yang ditetapkan itu merupakan kunci kerjasama antara penduduk bagi mengikat erat tali silaturrahim. Sebab itu aku katakan hidup di sini bagaikan sebuah keluarga. Basa basi mereka yang terpuji, seorang sakit semua sakit, seorang bodoh maka semua terasa bodoh, seorang berjaya maka semua terasa bangga dan susah untuk jadi sombong di sini.

Aku tak pernah harungi indahnya kampung. Suatu pagi aku bersama abah dan adik berjalan kaki mengelilingi Negeri Panampung(fahami pembahgian pemerintahan R.I).

Ku lihat Gunung Merapi tersergam indah gagah megah di hujung sawah,
Terima Kasih Allah kerana takdirkan abah lahir di sini,

Aku ada kampung yang indah !!

Rabu, 9 November 2011

Lesen Kereta

Sebelum kemalangan dulu, sepatut nya aku akan menghadapi ujian jalanraya JPJ untuk mendapatkan lesen P kereta. Ujian tersebut akan diadakan pada hari jumaat di Delta Mahsuri, Tampin. Memang Tuhan ada perancangan Nya yang terbaik untuk aku apabila aku mengalami kemalangan tersebut pada hari khamis iaitu sehari sebelum sepatutnya ujian itu diadakan.

Selepas 3 tahun , tangan kanan ini masih belum sembuh dan berfungsi seperti sepatutnya tapi rasa aku, begini sudah cukup elok maka aku cuba memohon lesen semula. Namun , aku perlukan kelulusan doktor dan pihak JPJ. Walaupun banyak kesangsian terhadap aku , semuanya berjalan lancar..

Alhamdullillah

JPJ meluluskan permohonan aku untuk mendapatkan lesen kelas A untuk OKU. 
Dengan syarat aku wajib memiliki kereta Auto yang diubah suai 'starter' dan stering nya.

Nampak nya, aku kena lah beli kereta.

Yeahh !!

Khamis, 22 September 2011

Bola Itu Bulat (olimpik Q- Jap v Mas)

Bola lagi.

Semalam (21 September 2011),aksi kelayakan Sukan Olimpik London 2011 antara pasukan Harimau Malaya bertemu Japan telah berlangsung. Aku nonton di sebuah kedai mamak area Pasaraya Giant di Tampin ini yang diberi nama Ehsania bersama Awe,Akem,Angah dan anak saudara aku Faiz.
Yaa..lawan pun juara Asia,tuan rumah,Samurai Biru menang perlawanan pertama tersebut 2-0.
Bagi aku Malaysia ini belum banyak pendedahan antarabangsa macam Jepang ni, player negara 'matahari terbit' tu dah banyak yang beraksi di liga-liga elit eropah seperti salah satu nya Keitsuki Honda. Skuad Olimpik yang rata-ratanya player Harimau Muda A/B ni pernah membuat latihan di eropah dengan menyertai Liga Slovakia dan tampak memuaskan. Mungkin Malaysia bukan lawan Jepang yang sepatutnya dah boleh buat harimau jadi lauk tapi kepujian diberikan kepada 'Goalie' Khairul Fahmi Che Mat dengan persembahan ala-ala Iker Cassilas nya. Namun, wajarnya semua pemain harus dipuji kerana bisa layak hingga ke tahap ini setelah sekian lama tersungkur. Cuba-cuba lah tanya Khairul Fahmi tu apa sumber inspirasi dia boleh bermain seperti penjaga gol Sepanyol.

Tak apa, ada 5 perlawanan lagi untuk kita layan. 23November, Harimau Muda bertemu Syria di Tanah Air.

Jumaat, 16 September 2011

Tangan Ku Yang Di-Ratah

Pernah dulu, seorang gadis mengatakan sesuatu pada temannya nya yang ditujukan untuk aku, tapi kata-kata itu disampaikan oleh seseorang ke telinga aku yang sebulan sekali baru dikorek ni. Ia berbunyi, ''kalau lelaki tu tak ada rm50,000 dalam bank ,jangan harap nak dapatkan aku''.
   Okay fine, ini bukan nak cerita pasal negatif ke apa, tapi jujur aku kata kan dalam akaun simpanan aku ada beratus-ratus ribu ringgit ,hampir setengah juta ringgit. Ia merupakan wang pampasan insuran kemalangan yang pernah aku ceritakan sebelum ni. Semuanya aku simpan dan labur ke dalam akaun simpanan tetap,ASB,Gold Deposit dan Tabung Haji. Memang banyak duit aku dibandingkan dengan usia muda begini, agak nya aku keliling dunia belum tentu habis duit tu. Itu semua anugerah Tuhan yang Maha Kaya.
  Sebelum dapat duit tu aku sudah pun berjanji pada diri yang aku tidak akan menggunakan nya melainkan sedikit yang aku peruntukkan sebagai perbelanjaan rawatan tangan kanan yang masih kaku ni. Kerana aku memikirkan keadaan diri dan hidup semasa 20 tahun akan datang atau apabila tua nanti. Memang lah kita tak tahu apa nak jadi esok, tempoh hayat memang merupakan urusan Allah swt, tapi aku memikirkan jika wang tersebut habis ketika ini untuk perkara sia-sia atau berfaedah sekalipun, lantas tua nanti aku bagaimana?
Fikir-kan lah sebagai manusia yang masih manusia, bukan manusia yang tak tahu guna akal seperti binatang. 'Sorry to say', perkara ini sangat mengecewakan aku.
  Wang tersebut memang ujian bagi aku dan di 'stapler' sekali bersama dugaan sehingga ibu dan abah aku kini sudah pun berpisah akibat persilisihan faham mengenai apa yang aku fikirkan di atas. Sebenarnya, Abah  yang memikirkan perkara tersebut, orang semua nasihat aku ''jangan boros,jimat'' , bagi aku nasihat macam tu dah 'klise' dan aku benci dengan perkataan yang aku sedia faham tapi diulang-ulang macam aku ni eksiden telinga tercabut dah. Itu lah Abah,  begitulah dia menasihati tapi berbentuk cadangan berserta alasan yang menakutkan aku daripada ber-boros, dia mampu berfikir sejauh itu.
  Kini, aku sudah pun melupakan dan tidak menghiraukan wang di dalam akaun-akaun tersebut kerana aku tak mahu lagi memikirkannya. Tapi ramai orang datang dengan segan atau buat-buat segan nak pinjam duit, ada yang aku bagi akhirnya sedangkan itu ternyata wang hasil tangan yang putus. Sedang kan mereka nampak yang aku tak punya apa-apa, wang tersebut masih pokok dan belum berbuah,jika pokok itu diratah-ratah maka sedikit lah buahnya. Dia semua kata aku kedukut? Lupa diri? Tapi tu tangan aku yang kau ratah tu.
  Aku bukan marah atau tak redha, mana yang pinjam tu, aku memang ikhlas tolong dan ada hikmah nya ,sangat besar hikmah nya. Cukuplah setakat ni, aku nak lupakan wang tu semua dan biarkan sampai aku yang betul-betul susah baru lah aku gunakan tangan yang dah di'kuis' dagingnya itu untuk menolong orang. Sudahlah, aku tiada punya apa-apa pun.Tak nampak? Pergi pekan masih lagi pakai 'treksuit', kereta masih 'nissan sunny', rumah pun tak ada, abah aku masih niaga di 'pasar malam' .

So..mata guna untuk apa?

Khamis, 8 September 2011

Teman Bukan Rimba

Penat, Pening, Sakit Kepala,
Mual, Demam, Lenguh !

Seminggu meraikan Aidilfitri, 
Masa-masa itu begitu manis ,
Habis bersama keluarga dan teman,
Tapi lebih seronok bersama teman,
Walau ada falsafah tentang 'famly first',

Keluarga juga adalah teman,
Tapi kadang-kadang sama juga,
Bila senang baru datang senyum-senyum,
Susah dok jauh ngutuk-ngutuk,
Tapi apakan daya,
Manusia tetap manusia,
Haram nak sama kan dengan binatang,
Melainkan 'seperti binatang',

hahaha

Ketawa aku dengan hidup ni,
Nampak tanah datar melatar,
Memang tempat untuk manusia,
Tapi ada rimba yang ditutup nya,
Di mana yang buas,
Menginjak-injak di atas mangsa.

Apa lah yang aku merepek ni?!

Aku mahu teman yang digelar sahabat,
Bersusah bersenang,
Menangis ketawa,
Bersama.

Biarlah. Moga Tuhan memberkati mereka,

Aku masih belum terperangkap dalam rimba itu,
Aku masih 'anak emas',
Aku belum ada yang menyisihkan,
Aku masih boleh beraya!

Alhamdullillah!