Memaparkan catatan dengan label renungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label renungan. Papar semua catatan

Ahad, 19 April 2015

Berbaring Di Bawah Pohon.

Di kala aku terasa hampir berbangga,
Dengan rasa lelah yang ada pada ku, Dengan tekad dan nekad yang ku pacu kan, Kerana aku mulai mendakwa jalan dan tujuan sudah pun tegak di hadapan ku,

Tiba-tiba terasa pula iri di hati apabila terlihat seorang lelaki seusia dengan ku dengan pakaian daif nya berbaring di bawah pohon yang rendang tatkala terik mentari memerah keringat ku.

Jumaat, 17 April 2015

Cukup lah

Terlalu panjang?
Terlalu lebar?
Atau mengapa mesti panjang?
Dan mengapa mesti lebar?
Atau apakah perlu dipanjangkan?
Dan apakah perlu diperlebarkan?

Setelah yang lain direndahkan
Setelah yang berbeda disingkirkan
Setelah kau sendiri yang melainkan dan memperbedakan setiapnya.

Cukup lah dengan engkau pampangkan keberadaan mu
Dan kelebihan mu
Jangan lah pula dilenyap kan yang kau lain kan itu.

Cukup lah.

Khamis, 16 April 2015

Anggapan Kejam

Orang banyak memperkatakan tentang diri ku hari ini adalah seperti tulisan yang tak lagi terbacakan oleh seseorang yang masih wujud dalam mimpi ku. Tapi aku masih menulis walaupun kesepian menyusuri hari. Mereka juga melihat diri ku seperti orang kecewa yang bermenung di tepian danau kerana tak bisa berenang. Aku juga dilihat seperti orang yang sudah hilang kekuatan untuk ketawa mahupun tersenyum. Mereka fikir aku lemah.

Anggapan mereka itu kejam. Mereka tidak akan pernah tahu tentang api yang sedang bergejolak di dalam dada ku. Mereka tidak tahu tentang raksa yang sedang mengalir bersama darah ku. Mereka lupa akan suara ku yang pernah memecah keheningan ketika ia hampir membunuh mereka. Mereka juga lupa akan nyanyian yang pernah aku ajarkan ketika suara mereka terlalu parau untuk di hayati...mereka telah lupa dan tidak akan pernah tahu yang aku tidak kejam ke atas diri ku sendiri.

Biar lah aku begini. Menelan duka dan nestapa dari kisah dusta dan ayat nista yang mendobrak ku ke dalam jurang derita. Maka jangan lagi mereka itu beranggapan kejam ke terhadap ku. Kerana aku tidak mungkin sanggup untuk kejam ke atas diri ku sendiri dan juga "dia".

Khamis, 23 Januari 2014

2014

Rasa macam baru semalam aku dengan Iza, teman-teman, bersama ramai warga Tampin dan sekitarnya, menonton persembahan bunga api di Afamosa Resort, boleh tahan gilang gemilang juga lah, oke lah daripada tak ada langsung. Bersempenakan ambang tahun baru, dengan perasaan poyo yang sukar untuk ditampung lagi, tak sangka juga orang Tampin boleh tahan ramai, duduk atau berdiri bersama-sama teman, pasangan atau keluarga masing-masing,

meninggalkan tahun 2013.

Selamat datang 2014,

Tup tap tup tap kecebushh...

Dah nak habis dah bulan Januari, terasa pantas dan cergas je kan masa berlalu?

Sebab satu hari, cuma ada 24 jam.

Manfaat kan lah sebaik mungkin, jangan dipersiakan.

Jumaat, 10 Januari 2014

Hidup Dan Masa

Sehari ada 24 jam. Waktu tidur yang normal ialah 8 jam. Waktu berkerja kebiasaannya 5 - 10 jam.

24 - 8 - 5#10 = 11 # 6.

Waktu terluang yang kita punyai dalam sehari cuma 6 - 11 jam sahaja atau mungkin lebih atau mungkin lebih sedikit dari jangkaan itu.

Maka, kita cuma ada tidak sampai 1/3 secara purata masa terluang jika diikut pada sistem masa yang dianggarkan secara hentam2 oleh seorang budak yg bajet power matematik macam aku. Haha

Jadi, apa yang kita perlu fikirkan ialah bagaimana kita menikmati kehidupan yg cuma ada 24 jam sehari di samping terpaksa melayan kesibukan mengikut perintah dan aturan ?

Mungkin dengan cara menghargai dan menikmati segala perbuatan dan tindakan. Atau kita lari dari aturan ini dan keluar melihat dunia. Ataupun duduk di depan PC dan menggunakan Google sebaik mungkin. Lepak di mamak dan berborak benda yang hampir sama setiap hari. Membaca buku-buku ilmiah atau novel tentang cinta tiga segi. Memikirkan keadaan negara di samping Najib Razak atau Anwar ibrahim.

Baiklah.. apapun caranya,

Hidup kita ini hanya sekali, memang kita tidak digalakkan untuk melampaui batas, tetapi sekurang-kuranya kita ambil berat dengan masa dan kehidupan yg kita punya. Jangan biarkan hidup ini disia-siakan dengan kertas yang di keluarkan lalu dikutip lalu dikeluarkan kembali. Murtadlah daripada akidah yang menyangka bahawa kecantikan paras rupa lebih gah daripada kemampuan serta peribadinya. Jauhi momokan yang menuduh puak kita lebih suci daripada puak yang lain lalu, puak lain itu sedang bersedia menghancurkan kita.

Hargai lah hidup dan masa ini walaupun mengecewakan.

Kerana kekecewaan itu adalah sayap buat kita.

Selasa, 19 November 2013

Alpa

Kita selalu lari dari apa yang pernah kita katakan sebelum ini,
Kita selalu biar kan diri melayang diterbangkan angin songsang tanpa kita peduli tentang apa yang bakal diperbuat,
Kita lebih suka dicucuk oleh jarum yang ternyata kelihatan,
Sambil kita tidak pernah hendak bertanya ,
Bakal ke manakah akan di bawa diri ini...?

Rabu, 6 November 2013

Kebebasan dan TanggungJawab

Kebebasan itu memang sejak dulunya pernah berkali-kali dituntut oleh masyarakat di setiap peradaban dunia di setiap kurun dan dekad, hingga kehari ini, pastinya akan ada suatu gerakan, golongan atau pertubuhan yang dibina bagi menuntut kebebasan yang bilamana terjadinya pelbagai peristiwa seperti demo, pemberontakan atau perperangan. Seperti yang berlaku di tanah arab.

Aku sebagai seorang insan yang dilahirkan dalam beragama Islam yang ditradisikan daripada orang tua ku lalu aku masih terus menganutnya apabila angin usia bertiup ke dalam lubang-lubang pengertian dan makna yang membawaku bersama ke dalam nya, maka di dalam lubang-lubang itu aku teguh mempercayai bahawa agama ini adalah yang terbaik dan tersuai buat aku yang lahir di zaman penuh kekeliruan ini, bagi aku agama ini lahir daripada sebuah perjuangan menuntut kebebasan hak yang layaknya bagi manusia.

Jika diteliti kisah asalnya di mana hadirnya agama ini, apabila Nabi Muhammad s.a.w mengasingkan diri di Gua Hira' kerana kecewa dengan ketidak adilan yang berlaku di Mekah. Lalu malaikat Jibril datang membawa wahyu lalu memberitahu Muhammad itu ialah pesuruh Tuhan. Kemudian dipaksanya nabi yang tidak tahu membaca itu untuk membaca wahyu pertama yang dibawa oleh Jibril kepadanya. Aku pasti semua tahu kisah selanjutnya.

Aku menaip tentang perkara ini bukan untuk menunjuk kemuliaan diri sendiri kerana aku percaya bahawa kemuliaan itu hanya di sisi tuhan ku. Makna kebebasan hak itu telah membuahkan kerungsingan di atas pepohon fikiran ku. Kerana ramai yang mengecapi kebebasan lalu mensia-siakan anugerah itu untuk mendatangkan bala bencana. Seperti sistem demokrasi yang di mana rakyat berhak bebas memilih pemimpinnya, tetapi kenapa mesti ada provokasi yang mampu mencetuskan perbalahan?. Begitu juga pemimpin yang diperjuangkan oleh rakyat, mengapa mesti menyalah gunakan kuasa itu.? Perlu kita sedar bahawa jika sebelum itu kita dikongkong dengan sistem beraja mutlak dan monarki di mana kepimpinan hanya dimahkotai oleh golongan istana. Lalu rakyat berjaya menggulingkan sistem itu kerana mendakwa berlaku ketidakadilan dan rasa tertindas, lalu digantikan dengan sistem yang lebih bebas yang kita namakan sebagai demokrasi. Pemimpin berhak dipilih oleh rakyat. Bukan kah perbuatan seperti tadi mampu merosakkan merosakkan erti kebebasan tersebut?

Begitu juga dengan kebebasan hak seperti hak bersuara, hak bersosial dan sebagainya. Semua itu perlu disertakan dengan tanggungjawab. Kita perlu bertanggungjawab ke atas apa yang kita mahukan dan kita kerjakan. Contohnya, di negara ini, kelab malam bebas di buka sehingga larut malam, semua orang bebas meneguk alkohol walau melanggar prinsip atau adat namun kita dibebaskan untuk menikmatinya. Tanggungjawab bagi seseorang yang sedang dipengaruhi kesan alkohol itu supaya mengawal dirinya dan tidak membuat kacau atau mengganggu orang lain. Apabila berlaku sesuatu yang buruk maka orang ini mesti bertanggungjawab sama ada membayar ganti rugi atau dihukum. Kemungkinan juga kelab-kelab malam akan ditutup, tetapi ia hampir mustahil berlaku di negara berdaulat ini.

Perkara ini perlu dipelajari dan diketahui bahawa kebebasan yang kita kibarkan itu perlu ditiup kan dengan tanggungjawab. Seperti memacak bendera di kawasan yang berangin dengan harapan ia akan terus berkibar, namun jika angin berhenti bertiup? Mampukah ia berkibar sendiri? Begitulah kita yang memperjuangkan kebebasan jika tidak disertakan dengan tanggungjawab maka erti perjuangan yang dipadatkan dengan etika dan idea itu rosak pengertian nya. Semuanya tetap bergerak namun tiada roh malah merosakkan.

Oleh kerana itu, Jibril menyuruh Muhammad membaca meskipun sudah diangkat paling tinggi darjatnya di sisi Allah. Kerana Islam tidak pernah menyuruh penganutnya berpakaian seperti orang arab untuk menjadi Islam. Islam menuntut penganutnya belajar dan oleh itu makin tinggi ilmu nya maka makin tinggi kemuliaannya. Maksud aku, bukan jadi ustaz atau ulamak, tetapi pemahaman ke atas hak dan jatidiri itu. Perkara itu bukan islam saja yang ajar bukan?

Selasa, 5 November 2013

Tauhu Bakar

Suatu hari aku cuba menerbitkan sebuah sesi pendebatan atau diskusi ke atas sebuah perkara yang terlalu sepele jika ia dijamah dengan lidah fizikal. Mungkin kerana terlalu bosan dengan perbualan kosong maka aku terbit kan sesi dialog berkenaan 'tauhu bakar'.

Tauhu bakar ialah salah satu menu menarik di sebuah gerai di mana kami selalu melepak di malam hari. Ia adalah campuran kuah yang agak pedas, kicap, kacang dan tauhu yang dibakar sebagai bahan utama selain sayur seperti kangkung dan sengkuang. Oleh kerana makanan tersebut sangat bercampur-campur seperti rojak aku kurang minat untuk dijadikan sebagai pengisi perut. Manakala Akim, Angah dan adik aku Iza telah memesan makanan pelik tersebut untuk diri mereka masing-masing.

Aku melihat Akim agak obses dengan makanan yang spesial seperti ini melainkan aku yang hanya lebih gemar dengan nasi dan yang diolah dengannya. Apabila pesanan itu siap aku pun mula menguji keghairahan mereka bertiga.

Agak hampir 10 kali Akim, Angah dan Iza mengulang "sedap nya" sambil melahap aku pun mula bersuara, "sedap ke?".
Dari itu mula lah mereka mengutarakan hujah mereka dengan agak lantang terutama nya Akim yang berhempas pulas cuba meyakinkan aku untuk terpikat dengan makanan tersebut manakala iza hanya lebih cuba menikam dengan kata-kata berbaur sarcastic, tapi sorry Iza, sarcastic memang sesuatu yang mendalam tetapi saya perlukan hujah yang lebih straight forward dan sharing.

Akim hampir patah hati untuk memikat aku yang tetap berdegil untuk mengakui keenakan tauhu bakar tersebut apabila memberitahu yang aku tak suka kacang dan rojak. Dan Akim akhirnya berhasil apabila beliau menceritakan sedikit tentang ramuan yang menjadikan ia adalah sesuatu yang lazat, di situ aku cuba menyelami perasaan yang menjadikan mereka bertiga obses dengan tauhu bakar yang bagi aku memualkan.

Aku tetap tidak akan meminati makanan tersebut, tetapi aku tahu kenapa mereka menggemarinya. Itu ialah sebuah keghairahan atau 'passion' yang tidak ada pada aku terhadap makanan. Bagi aku, sambal lada dan gulai rendang ataupun kari yang dihidang bersama nasi bersama lauk-lauk berprotein sudah terbiasa memuaskan nafsu makan aku. Oleh kerana itu, aku lebih suka dengan Nasi Padang dan lepak di restoran mamak.

Kesimpulan daripada diskusi yang sangat kecil tersebut ialah, kita perlu menerima perbezaan orang lain selain turut mempelajari perbezaan tersebut, manakala perlu juga bagi kita berkongsi maklumat terhadap orang lain dengan hujah yang bernas supaya mereka juga memahami kepercayaan kita. Sambil, teguh dengan pendirian.

Jadikan perbezaan itu kepada sebuah istilah yang harmonis.

Ahad, 27 Oktober 2013

Benci

Benci. Aku suka dengan tweet daripada seorang teman jauh bernama Meya baru-baru ini. Iaitu,  benci itu tiada kesudahannya.

Aku sangat bersetuju, mungkin benci yang cuba disampaikan oleh meya ialah apabila kita rasa sakit hati dengan orang yang kita tidak senangi sedang orang itu terus menjadi lebih baik dari kita. Dan kita merasakan perasaan ingin menjatuhkan nya supaya kita menjadi lebih baik.

Aku rasa benci seperti itu ialah lebih kepada, iri hati serta dengki. Tidak senang dengan pencapaian orang lain.

Apabila Meya berkata bahawa benci itu tiada kesudahannya, aku teringatkan akan beberapa negara bergolak yang seperti tiada penyelesaian dan kesudahan.

Mungkin semuanya sudah ditetapkan sebegitu sehingga tiba masanya. Dan kita hanya belajar dan mengambil ikhtibar daripada semua perasaan benci itu.

Tak perlu tunggu sehingga datang akibat menimpa kita baru lah kita ingin sedar bahawa sifat benci itu adalah merugikan.

Jika kita gagal..belajar daripada kegagalan itu.. dan apabila kita berjaya..kongsikan kejayaan itu..

Kita memang tidak akan mampu merubah dunia melainkan semuanya bermula dari diri kita sendiri.

Khamis, 10 Oktober 2013

Bertanding Ke-nyaman-an.

Pernah kah engkau merasa,
Semasa engkau di perantauan,
Di sebuah negeri yang jauh asingnya,
Yang jauh dari mahligai yang kau bina dulu,
  Lalu datang suara yang meninggi kan,
Meninggikan tentang apa yang tak dia tahu dari mu,
Dari mu dia cuba membina ,
Namun telah pun kau punya di negeri mu,
Dan hanya engkau saja yang tahu,
Berulang-berulang dia memerli,
Menujah binaan nya supaya engkau tahu,
Tapi engkau sudah punya binaan itu di negeri mu,
Dan hanya engkau saja yang tahu,

Tapi apa daya yang engkau ada,
Engkau perantau untuk kehidupan yang baru,
Lari dari kenyamanan untuk mencari kenyamanan yang baru,
Bagi engkau,
Tiada guna engkau bertanding tentang siapa yang lebih nyaman,
Kerana engkau masih sedang mencari kenyamanan dan kedamaian untuk sisa hidup mu sendiri,
Bukan untuk diri nya...

Rabu, 9 Oktober 2013

Sebelum Hilang.

Terasa siksa ku bernafas,
Di antara dada yang kebas dan mata yang tidak lagi mampu menatap keindahan mu,
Dan aku hanya mampu menggeletar,
Kerana keperitan untuk meninggalkan mu sendiri, sesudah ini.

Apa yang ada di kelihatan ku ketika ini,
Ialah hujan lebat yang menyimbah mu,
Tak perlu engkau begitu menderita,
Semata-mata mengenang gelak tawa kita yang terpapar di layar itu,
Aku sentiasa ada jika engkau perlu,
Cuma aku tidak lagi mampu menyentuh mu,

Jangan lagi engkau bernafas untuk ku,
Tak terduga derita yang bakal engkau hadapi selepas ini,
Untuk bumi yang bakal membawa mu terus berputar,
Bernafas saja lah untuk diri mu sendiri...

Usah kau ulang putar segala yang terakam,
Biar kan ia tamat,
Dan apa yang ada pada mu,
Cuma ikhtibar nya,
Supaya engkau berdiri teguh di bawah mentari dan rembulan yang sering singgah menerangi mu,
Lalu seluruh anggota tubuh mu mampu berlari lebih pantas dari biasa,

Buka luas jendela kamar mu,
Walau tiada aku kau dapati,
Dan rasakan angin yang bertiup,
Mengibar tirai mu di setiap pagi yang baru,
Dan kau depa kan tangan mu,
Hirup lah udara yang pernah kau hembus kan untuk ku,
Serta udara segar yang masih kekal ada untuk mengasihi mu,

Tinggal kan tempat di mana kita pernah mengira bintang yang tersemat di langit malam,
Kerana apa yang menjadikan aku lebih tersiksa,
Apabila kesepian yang menggantikan tempat ku di sisi mu.

Jumaat, 4 Oktober 2013

Percaya Mimpi

Bila kita punya impian,, yang sebenarnya melampaui batas kemampuan, kita mesti percaya yang kita mampu menggapainya di waktu-waktu ke depan, kerana mungkin kemampuan yang tinggal sekarang belum boleh kita nilai untuk masa hadapan, apa yang boleh menjadi kayu ukur bagi sebuah kemampuan itu bukan kemampuan semata-mata, tetapi sejauh mana usaha yang kita mampan kan dalam kekuatan serta keinginan dalam batang tubuh manusia ini untuk merealisasi kan mimpi-mimpi itu.

Maka dari situ kita baru boleh menilai tahap kemampuan yang kita bina daripada asa dan tekad seorang susuk manusia yang berusaha.

Jika sebuah cahaya mimpi itu tiba-tiba terpadam, walau sudah kehabisan darah dan keringat kita berjuang untuk mencapainya, Usah khawatir dan putus harapan, mungkin ada bintang yang lebih terang dan tersuai buat kita, cuma asal kan kita tidak hilang kepercayaan diri, kerana apabila sesuatu hilang, ia hanya sesuatu, tetapi jika hilang kepercayaan dalam diri kita, maka selayaknya kita bakal hilang segala-gala nya.

Kerana manusia itu, kerana punya kepercayaan, tekad dan matlamat nya lah, ia menjadi bukan sekadar daging yang hanya punya nama.

-terinspirasi dari filem '5cm'.

Isnin, 16 September 2013

Khayal Hilangkan Masalah?

Aku masih sedang cuba untuk menerima pendapat segelintir atau umum nya para sahabat yang kalau dipandang melalui kalangan mereka boleh menjadi sebahagian besar yang mempunyai fahaman bahawa khayalan mampu menghilang kan masalah.

Maaf, sebelum kamu mula meneliti perkataan seterusnya ini, sememangnya aku tidak pernah berbicara tentang ini kerana aku boleh menerima atas apa yang mereka amalkan namun, aku tidak dapat menerima pendapat yang mereka cuba alaskan.

Masalah hilang dengan khayalan.

Khayalan yang aku maksud kan adalah berkhayal dengan bahan-bahan khayal seperti dadah dan alkohol contohnya.

Maaf sekali lagi aku pohon kan kerana aku bukan jenis yang melarang tetapi cuma memikirkan alasan itu. Bagaimanakah masalah boleh dihilangkan? Adakah mereka mengenal konsep khayal atau mabukan itu sebenarnya?

Khayal atau mabukan adalah apabila seseorang itu mula hilang daya waras nya sehingga kesan bahan yang di ambil itu hilang. Jika begitu, persoalannya, adakah masalah dan kegusaran itu hilang lenyap selamanya selepas kesan bahan tersebut hilang? Adakah begitu?

Atau khayalan itu adalah sekadar bius bagi menghilangkan sebentar rasa sakit ketika kita cuba mendapatkan ketenangan untuk berehat? Adakah begitu?

Jika ia dianggap bius yang mengebaskan tubuh fikiran supaya menangguhkan sebentar rasa sakit dek keserabutan dan kegusaran, jika itu alasannya aku setuju menerima nya. Tapi jangan kata berkhayal itu mampu menghilangkan masalah kerana orang lain yang sedang bangun mencari arah bakalan tertipu.

Kita tidak mampu menghilangkan masalah melainkan kita menghadapinya. Apabila kesan bahan itu habis maka kita akan memikirkan kembali masalah itu dan yang paling ditakuti sebenarnya ialah, masalah yang datang apabila sedang berada di bawah pengaruh. Maklum lah, dadah itu, seluruh authoriti dunia berjaya menewaskan nya dan ia sudah dikategorikan sebagai jenayah yang berat, adapun hukuman baginya adalah sehingga mencapai tahap hukuman mati mandatori. Bahaya untuk sebuah masa depan cerah yang kita rancang sejak kecil.

Kembali aku mengulang bahawa aku tidaklah sesekali berniat untuk mempersenda, tetapi mempersoalkan alasan yang khayalan mampu menghilangkan masalah. Adakah dengan menjadikan diri separuh waras mampu untuk kita memikirkan cara menyelesaikan masalah? Maaf, mungkin aku tidak mengerti perasaan mereka dengan amalan tersebut.

Bagi aku, ciptaan Tuhan itu tiada yang sia-sia walau nyamuk dan agas sekalipun, semuanya berperanan besar terhadap penghidupan dunia dan alam semesta malah juga untuk dunia akhirat.

Allah juga menyediakan pelbagai nikmat untuk manusia kerana kita dilengkapi dengan 5 deria untuk kita mengenal serta akal untuk kita berfikir. Kenapa akal diberi tetapi kita masih perlu berfikir? Kenapa Tuhan tidak memberi terus akal yang berisi penuh dengan ilmu kepada kita jika benar manusia ialah makhluk nya yang terpilih?

Aku akan cuba terangkan dilain bahagian. Cuma apa yang ingin aku katakan ialah, rasakan, nikmati segala apa yang telah Tuhan sediakan di langit dan di bumi, tetapi jangan lah sehingga berlebih-lebihan. Kerana semua nikmat itu adalah untuk difikirkan bukan membinasakan.

Tuhan tidak membinasakan melainkan kita yang meminta untuk dibinasakan.

Khamis, 5 September 2013

Tiada apa yang kita lebih tahu

Kita manusia. Binatang yang berakal. Hamba. Musafir. Khalifah.

Tiada apa yang kita lebih tahu untuk masa hadapan. Jika hari ini kita temui kejayaan, esok masih ada dan tiada lah yang kita tahu dari nya. Jika hari ini kita temui kehampaan, esok masih ada untuk kita belajar daripada kelalaian.

Kita ini pejuang untuk diri kita sendiri. Berpantang undur sebelum mati, berpantang kesal sebelum melangkah.

Biarkan hari ini air mata membasuh luka kita, asal besok kita bisa kembali berdiri. Biarkan hari ini kita disiksa tiada dapat berkata, supaya suatu hari kita sudah bisa mendinginkan bahang lava merapi.

Kita terus kan berharap dan menggigih..kerana tiada apa yang lebih kita tahu di masa hadapan.

Isnin, 3 Jun 2013

Otak, Hati dan Mata Buta Sebelah.

Kita ada fizikal yang kuat,

Lengkap sempurna sifatnya,

Tenaga yang tak terbatas hitungannya,

Perkiraannya,

Perut lembu pun boleh pecah dengan sekali hentaman,

Kita perkasa,

Kita kuat,

Kita adalah jagoan,


Tapi kadang-kadang,

Kerana berbangga kita leka,

Kadang boleh jadi ego,

Diri sendiri saja yang benar dan elok sikapnya,

Maka di saat mata hanya celik sebelah kiri,

Mata kanan nya pula buta,

Kita lupa yang kita ada otak,


Otak itu letaknya di dalam tempurung kepala,

Tinggi letaknya paling atas,

Organ paling tinggi duduknya berbanding organ lain,

Tapi mata buta sebelah tidak mampu melihat otak yang di atas kepala,

Hanya mampu melihat ke tubuh sendiri yang di bawah,

Di bawahnya pula tidak dilihat akan hatinya,

Kerana terhalang dek dadanya yang tegap,


Bila satu masalah datang,

Dek kerana mata buta sebelah itu terpesona dengan ukiran badannya,

Kita tak akan terpandang atau buat-buat tak nampak akan otak dan hati,

Semua tahukan apa guna otak dan apa guna hati?


Pada yang tak tahu itulah yang selalu membuat masalah,

Kerana selalu tak berfikir panjang dalam tindakkannya,

Kerana terlalu berikhtibar dengan keperksaannya,

Lalu mereka tak ingat atau sama sekali tidak tahu mereka punya otak dan hati,

Dan pada saat itu semua keperkasaannya itu hilang,

Maka, sila lah menyesal jika anda gagal kerana kezaliman diri sendiri...



Sabtu, 1 Jun 2013

Masalah Sayang Ku.

Masalah datang?

Rilek brader..

Jangan anggap atau jadikan ia sebagai musibah..

Jangan fikir masalah itu adalah kecelakaan atau bala..

atau balasan dari Yang Maha Kuasa..

Jangan sampai terduduk garu kepala..

Menangisi masalah dan sebagainya..


Bertindak lah bro..

Cepat cari jalan penyelesaian yang sebaiknya..

Atau cari saja jalan lain..

Biarlah jalan lain itu jauh..

Yang penting sebenarnya keberkatan..

Jalan yang diredhai Ilahi..


Teruskan bergantung kepada Tuhan..

Supaya Allah redha dan melindungi jalan yang kita pilih..

Jangan gelabah lah sayang..

Tak usah buang masa menganggap dunia ini zalim..

Dunia tak zalim yoo..

Kita yang zalimi diri sendiri..

Tak payah lah nak tayang pada dunia..

Yang kita lebih stress..

Atau berlakon yang kita tak ada masalah..

Diri ini saja yang benar..


Dengan tenang..

Luahkan kisah hati yang gusar itu..

Kepada teman tercinta..

Serta kepada yang Maha Pencinta..


Percayalah sayang..

Satu persatu masalah anda itu akan dibuka jalannya..

Maka tak usah meratap di depan pintu yang tertutup..

Kerana masih ada pintu lain untuk kita..


Tapi bila dah dapat jalan..

Jangan lupa bersyukur..

Jangan lupa berterima kasih..

Jangan lupa daratan..

Jangan lupa..

Jangan lupa sama Allah..


Teruskan usaha mengharap kredhaan Allah..

Kerana selagi hayat masih dikandung badan..

Ujian Allah itu tetap tersedia untuk kita..


Maka rugilah bagi mereka yang tidak sabar..

InsyaAllah..

Ahad, 26 Mei 2013

Bunga Mekar Di Tanah Tandus.

Bunga-bunga harapan mekar,
Tumbuh indah di atas tanah subur,
Sebidang tanah subur yang diberkati,
Sujud syukur kepada Ilahi,
Karna-Nya lelah silam terbayar,
Dekad penuh kepahitan berakhir,
Nikmatnya kemanisan datang menyerap keringat,
Keringat perjuangan mengusahakan tanah-tanah tandus,
Hingga bunga-bunga mampu mekar hari ini,

Di atas tanah tandus,
Bunga-bungaan itu di tanam,
Namun, makhluk persis diriku itu gemar pula menabur duri,
Supaya ada yang terjatuh dan terluka,
Sedang ia sudah terperangkap dalam hati kesumatnya,
Hati yang menyimpan sebuah perasaan jahat,
Maka duri-duri mereka taburkan,
Supaya aku terluka,
Namun, setakat ini tubuh mental ku sudah lali dengan duri itu,

Kenyataannya,
Bunga itu sudah pun mekar,
Tumbuh subur menghias sanubari,
Tanah tandus hilang kejelekannya,
Maka lidah-lidah jahat itu perlu ingat,
Kata-kata pengkhianatan yang pernah dilontarkan,
Ternyata silap jangkaan mu,
Bunga ini mekar di atas tanah tandus.

Ahad, 5 Mei 2013

Besok Malaysia.

Aku punya sehelai jersi bolesepak kebangsaan Republik Indonesia dan tak punya sehelai pun jersi Harimau Malaya. Aku lebih gemar memuji Indonesia berbanding Malaysia yang diduduki oleh orang-orang yang keliru. Bukan salah mereka menjadi keliru tetapi pencarian ilmu yang tak terbuka, minda yang ditutup, dibataskan setelah dibutakan.

Kita tak perlu lihat jauh, negara seberang itu sudah cukup buat kita untuk mengesan kelemahan di tanah air kita ini. Politik mereka milik rakyat, mereka bersatu menjadi pemerintah, berpuluh-puluh parti politik yang ada di sana, dan hampir semua sudah merasa menjadi pemerintah, dari Soekarnoe hingga ke S.Bambang.Y, bersilih ganti menghuni Istana Presiden.

Tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tidak diiktiraf dengan memandang parti politik atau idealogi nya, tetapi sumbangan mereka kepada tanah air walau tokoh itu banyak mengkritik pemerintah sekalipun.

Mereka menerima reformasi, dan hari ini negara itu kembali membangun selepas keruduman ekonomi yang teruk di era Suharto. Koruptor tidak diterima lagi suaranya, meski besar manapun popularitinya, dia tidak akan diterima lagi bertanding oleh RAKYAT.

Jauh, terlalu jauh matangnya mereka itu berpolitik berbanding kita.

Aku lahir di Malaysia dan seorang penduduk berstatus warganegara Malaysia. Jangan halau aku ke luar negara kerana catatan di atas, kerana aku yang masih hingusan ini, ingin turut serta berfikir bersama tentang negara yang kompleks ini,

11-5-2013, aku bakal genap berumur 22 tahun, hari ini aku telah pun layak untuk mengundi. Terharunya aku dengan pengalaman pertama memangkah di pusat pengundian.

Setelah bertahun mempertahan pendirian, mencari kebenaran, hari ini kita mengundi dan beberapa minit lagi pusat undi akan ditutup.

Berdoa lah supaya Malaysia yang selepas ini, bertambah matang segala segi nya.

Khamis, 2 Mei 2013

Gadis Bertudung Merah.

Apabila terdengar lagu ST12 sebuah band boy berentak melayu dari Indonesia bertajuk Biarkan Aku, mengingatkan aku kepada suatu peristiwa atau kenangan sewaktu aku di Pekan Baru, Riau, Indonesia beberapa tahun lalu. Dimana aku terpikat dengan seorang gadis manis yang ternyata pertama kalinya aku terpikat bukan kerana pakej fizikal serta wajah anggun anugerah Tuhan itu, tetapi kerana kesantunannya, adabnya serta peribadinya.

Kata orang lama, ''makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah'' , itulah yang aku alami kerana terlalu memikirkan cuitan kenalan yang tak aku sangka terbalas. Lagu tersebut berkumandang sewaktu aku menanti jawapan daripada gadis itu. Bagi aku, dia sangat elok, lagu bertajuk Gadis Bertudung Merah milik kumpulan Wali Band cukup untuk menggambarkan ciri-ciri gadis itu.

Namun, tempoh terlalu singkat di tanah Sumatera, maka tidak banyak yang aku simpan tentangnya. Aku pulang ke Malaysia dengan rasa rindu yang masih aku rasa. Kerana lama tak berhubung, kami lost contact dengan sebuah hubungan otomatis terhenti. Aku terpaksa lupakan walau bukan mudah untuk menghapuskan sesuatu yang sudah terukir kemas di dalam hati. Tapi aku mesti lupakan supaya tidak ukiran itu menjadi luka.

Kelmarin aku kembali ke Pekan Baru, mengubat rindu pada keluarga sebelah ibu. Adik aku, Iza ditemui oleh sepupu kami Tia. Tia ialah teman sekepala buat Iza dan aku juga lebih selesa untuk berbual dengan Tia. Tak tahu kenapa? Mungkin Tia lebih sesuai dengan cara pergaulan kami berbanding yang lain.

Sudah 3 tahun kami tidak ketemu, ternyata Tia sudah gadis. Walau perawakan agak ke arah 'tomboi' tapi wajah gadis nya itu sudah mula terserlah. Tiba-tiba beliau mendekati telinga aku lalu berbisik tentang sesuatu yang sudah lama terhapus lenyap dari benak fikiran aku. Tentang Gadis Bertudung Merah.

Keadaan yang sudah lama pergi itu tiba-tiba kembali meresap mengingatkan kepada sebuah kisah tak kesampaian penghujungnya. Seperti bangunan yang dirancang megah tetapi gagal ditamatkan pembinaannya lalu terbengkalai dan dilupakan, dibiarkan dalam semak-samun dan belukar.

Namun, apa yang diceritakan oleh Tia tentang gadis itu ternyata berbalik 360 darjah dari apa yang diceritakan oleh beliau 3 tahun lalu tentang peribadi indah gadis tersebut. Walau Tia jauh lebih muda dari aku, tapi pemikirannya sudah lebih matang berbanding usianya, masalah dalam keluarga besar ini sudah terhafal oleh nya. Gadis tersebut merupakan adik kepada abang ipar Tia. Tidak hairanlah jika Tia tahu banyak cerita tentang gadis tersebut.

Tia mengkhabarkan tentang gadis yang pernah aku simpan di dalam hati, aku seperti timbul di permukaan air di tengah hutan sunyi yang berkurun lama tak berkocak apabila disentak dengan nama gadis tersebut,

''Kak Ela lari rumah sama lelaki, tak ketemu sampai kini, tak tahu di mana dia, lelaki itu sudah menghamilkan Kak Ela dan lelaki itu seorang Kristen.''

''..keluarga tidak kisah jika lelaki itu yang dia mahukan, keluarganya bisa terima, tetapi lelaki itu seorang Kristen dan mereka takut jika Kak Ela masuk Kristen.''

Aku terkilan, sangat terkilan dengan apa yang terjadi, bukan kerana aku yang tidak dapat bersama meniti hidup bersama gadis itu, tetapi kerana persoalan yang lebih penting, mengapa perkara begini boleh terjadi? Dia baik, dia solehah tapi kenapa terjadi begini? Terlalu tak masuk akal bagi aku untuk gadis seperti dia memperlakukan perkara sebegini.

 Di manakah silapnya? Bukan kerana gadis itu menjalin darah dengan seorang Kristen, tetapi kenapa dia berubah dan tak seperti dulu? Seperti masa-masa aku terpesona dengan peribadinya.

Mudah untuk kita jawab,

Pendirian. Prinsip. Itu tiang kepada peribadi kita.

Walaupun seseorang itu sudah menjadi manusia yang baik, sebaik malaikat sekalipun. Jika tiang itu tak mampu terjaga, maka, runtuhlah mahligai indah yang sekian lama terpuji kebaikannya.

Jika tiang itu rapuh, maka rapuhlah dia ditempuh oleh ujian Allah swt.

Na'uzubilllah.

*semoga Allah memberi petunjuk dan mengembalikan gadis kepangkuan keluarganya dan dugaan ini selesai sempurna sifatnya. Amin.


Rabu, 27 Mac 2013

4 Tahun Lalu.

Sekejapan. Seperti baru semalam rasanya tragedi itu berlaku. 26 Mac iaitu beberapa jam sebelum aku menaip catatan ini telah genap 4 tahun akan sebuah tragedi yang merubah serta mencorakkan hidup ku dengan warna pelbagai tona.

Sehingga kini, sejujurnya aku masih belum boleh melupakan kejadian tersebut hingga kisah kronologi kejadian itu masih segar untuk diceritakan sampai kini. Bukan lah aku ini menyesali atau berduka dengan nasib yang menimpa tetapi bagi aku ia adalah sebuah pengalaman hidup yang layak untuk dikongsi bersama siapa sahaja yang bertanya.

Aku suka menceritakan tragedi itu sebagai pedoman dan pengajaran, atau sebuah kisah karya Ilahi yang amat kemas tersusun. Ia begitu menarik untuk dikongsi, seperti ada 1001 kisah di sebalik peristiwa bersejarah itu. Semuanya terubah, yang tenggelam tiba-tiba timbul, yang bergemalapan tak disangka-sangka telah lenyap dan semuanya itu sangat terkait dengan tragedi 4 tahun lalu itu.

Apapun tanggapan orang, kisah ku tetap bermula dengan tragedi itu atau bagaimana aku boleh didaftar Tuhan untuk menyertai tragedi tersebut sejurus menghantar Arwah Marwan pulang ke Rahmatullah. Kemudian, barulah mudah aku bicarakan tentang diri ku yang tak layu dan tak mekar.

Jangan anggap aku kecewa dan putus asa, itu hampir tiada dalam pemikiran ku. Tapi jangan lupa untuk membakar api ku yang sedia menjulang agar lebih tinggi lidah-lidah api ini menjilat langit. Percayalah, tragedi 4 tahun lalu tidak menghalang aku akan cita-cita ku kerana aku tahu bahawa aku tak pernah sendiri.

*Al Fatihah buat Al Mahrum Marwan Safwan B. Aswirman. Sahabat yang tiada galang ganti. Semoga arwah berada di kalangan orang-orang yang diredhai-NYA.