Rabu, 4 Mei 2011

Tiada yang Abadi

Sejenak kita mencari atau berfikir tentang makna kehidupan ini ,makna yang merupakan tujuan hidup, makna yang mengatur hala tuju hidup ini..Jadi apakah maknanya hidup ini?
Kita pasti ingat akan emas,permata,berlian dan segala apa lagi kemewahan , kita jadikan ia tertindih bersama perjalanan kita menuju kepada apa yang kita masih belum kenali sedangkan itu semua hanyalah merupakan kebahagiaan dunia. Tidaklah salah bagi kita untuk mencari kekayaan bagi mudahnya perut kita untuk kembung kempis kerana itu semua nikmat untuk kita umat manusia menjadi pemimpin di muka dunia ini. Tetapi bagaimana jadinya bila ada yang terlampau mencintai kemewahan serupa itu sehingga itulah cinta teragungnya. Maka lupa pula olehnya akan cerita seorang nabi yang tersemat abadi di dalam helaian kitab Al Quran.

''kami tunjukkan pada Ibrahim kerajaan langit dan bumi supaya dia beriman kepada kami'' itulah kehendak yang Maha Kuasa. Sedang Nabi Ibrahim mencari makna dalam hidupnya mencari kebenaran maka terlihat oleh Ibrahim a.s akan bintang-bintang yang indah bergermalapan maka berkata dia ''inilah Tuhanku'' apabila bintang-bintang itu amat menceriakan akan kekasih Allah itu. KehendakNya , maka hilanglah bintang-bintang itu maka Ibrahim berkata ''aku tidak suka pada sesuatu yang hilang dan tenggelam.'' . Bila tiba waktunya maka terbitlah bulan maka begitulah Ibrahim menyangka itulah tuhannya tetapi bila waktu berakhir maka tenggelamlah bulan itu dan sekali lagi kecewa Ibrahim sambil berkata ''jika tuhanku memberi akan ku petunjuk maka aku menjadi manusia yang merugi''. Lalu bergantilah pagi dan terlihat olehnya akan matahari yang terang bersinar terbit dari ufuk timur di tengah-tengah padang pasir itu ''inilah tuhanku,ini lebih besar'' kata Ibrahim tetapi malam tetap tiba membenam matahari yang tadinya gagah menyinari maka Ibrahim pun berkata ;

''Aku hadapkan wajahku kepada yang mencipta langit dan bumi, maka tidaklah aku bersama-sama dengan orang-orang musyrikin''

Apakah tidak dilihat akan bintang-bintang yang merupakan apa yang tersemat di dalam keinginan kita ? Ia indah bergermalapan berkelip-kelip menyinari lebih indah dari apa yang ada di sekitar malam hari. Begitu juga bulan yang megah menemani di malam yang sepatutnya gelap dan matahari yang menghangatkan hari-hari kehidupan di dunia.
Tidakkah berfikir oleh kita apabila semua itu hilang mengikut kehendak Yang Maha Mencipta langit dan bumi?
Begitulah juga apabila kita lihat keadaan akan seorang bapa dan anak. Anaknya yang merupakan emas dan bintang dalam hidupnya itu bila sampai masa  roh anaknya dijemput maka hilang pemilikannya yang paling berharga itu tanpa bapa tersebut tiada mempunyai kuasa apa untuk menghalang kehendak Allah. Apatah lagi dengan pemilikan-pemilikan kebendaan manusia yang umpamanya bertuhankan akan harta-hartanya padahal itu adalah harta-hartaNya sedang dia sudah tidak ingat akan kuasa Allah merampas pemilikannya itu menjadi binasa sama sekali. Seperti berlakunya khabar-khabar bencana sebelum ini seperti di Acheh hanya dengan air mampu membinasakan segala pemilikan manusia sekelip mata ,hilang segala kemewahan,merugi akan apa yang di cari dahulu,lahirnya rindu pada keluarga yang terkorban. Itulah ,tiada yang abadi di dunia.

Jadi apakah makna atau tujuan hidup ini? 
Mencari dan mengejar kecintaan dunia atau mencari kebenaran dan keredhaan Ilahi yang abadi?
Kerana tiada apa yang abadi di dunia baik suka ataupun duka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan