Khamis, 20 Ogos 2015

Cerita Langit Samar

Di pagi yang hening, sepi serta tak sedikit pula kicauan unggas bergema di ruang langit yang masih samar. Di sisi hujung langit kelihatan seperti selendang biru cerah beralun lembut datang mengganti pakaian langit yang tadi nya hitam sebelum warna samar ini tertebar. Ketika langit sudah semakin cerah membiru dan serakan awan pun sudah kelihatan maka mulai lah terdengar akan bunyi derapan langkah manusia keluar dari tempat tinggal mereka menuju ke tempat yang asing bagi orang yang masih bermimpi di kamar tidur.

Mereka keluar demi sebuah penghargaan kepada kehidupan setelah dari tadi nya dia memanjatkan kesyukuran buat udara dan kudrat yang masih dibekalkan oleh Sang Pencipta. Demikian mereka merasakan setiap hari itu adalah sebuah kesempatan atau peluang malah mereka juga merasakan setiap hari di mana mereka masih mampu untuk bangun lantas punya kekuatan untuk berjalan keluar dari tempat tinggal itu tidak layak dilalui dengan tidur dan berdiam diri.

Mereka itu juga bermimpi tapi mereka juga pegang mimpi mereka. Dengan mimpi itu lah mereka punya kekuatan untuk keluar membina harapan serta mengutuhkannya agar mampu direalisasikan selari bersama keinginan mereka. Jika tidak mereka juga tidak akan pernah berhenti selagi langit samar masih membangun kan mereka. Berbanding dengan orang yang masih tidur dengan mimpi-mimpi yang dibiar berlanjutan menjadi khayalan, orang yang keluar tadi malah punya kekuatan jauh lebih kuat dan kekuatan itu bukan datang dari cuma daya mereka tapi semangat untuk hidup.

Mimpi mereka hanya lah sekadar untuk hidup yang lebih baik, disenangi orang, urusan yang dipermudah, menghindarkan fitnah dan syak wasangka, membela yang lemah dan yang lebih penting buat mereka ialah punya semangat untuk terus berusaha selagi hidup. Kerana hidup adalah sebuah pendakian dan orang yang berjaya tiba di kemuncak ialah orang yang sabar ketika mendaki. Itu masih tiada yang pernah menafikan.

Sememangnya hidup bukan lah semata-mata jalan yang lurus tak berpenghadang sampai sesuatu yang dinamakan sebagai matlamat itu kelihatan  meski berjarak ribuan batu jauhnya dari tempat kita berdiri. Bagi mereka hidup tidak semudah itu. Mereka tidak mahu tertipu dengan khayalan yang boleh berubah-ubah pula berdasarkan nafsu dan kehendak kita. Meski pun kemuncak sering ditutupi kabut dan tidak pasti apa yang ada di atas sana, namun, mereka lebih  percaya untuk terus mengangkat tangan memaut batu-batu supaya terangkat tubuh mereka di pendakian hingga nanti mereka berdiri menjulang tangan mereka ke langit. Mereka ini tahu jika nanti sememangnya tiada apa yang ada di atas sana, sekurang-kurangnya mereka diizinkan Tuhan untuk menangis sambil berteriak kerana kemuncak yang telah mereka takhluk kan hasil keredhaan tuhan terhadap kesabaran mereka dan mereka bakal di saji kan panorama indah di hadapan mata mereka.

Tiba di kemuncak juga bukan lah pengakhiran kepada semua usaha mereka tapi ini boleh jadi sebuah permulaan untuk mendaki kemuncak yang lebih tinggi hingga nanti bintang-bintang yang mereka gapai. Walaupun begitu, mereka juga mengakui bahawa setiap keberhasilan yang mereka kecapi itu tidak akan sama sekali berlaku jika tidak kerana orang disekelilingnya. Iaitu orang yang memapah nya berjalan ketika jatuh, membalut luka nya, mengesat keringat nya juga yang membangkitkan semangat nya. Oleh itu, orang ini tidak bakal berani untuk mempersendakan orang lain malah selalu merendahkan hati serta sering pula membantu yang lain.

Aku dengan segenap hati yang lintuh bersama mata yang berat pula melihat, tidak kurang pula rasa cemburu dengan kegigihan mereka itu. Bukan lah atas sebab kesempurnaan tubuh badan yang terdapat pada mereka tapi peribadi, prinsip, matlamat serta usaha mereka yang tak kenal apa itu putus asa semata-mata untuk menjadikan kehidupan mereka sangat berarti. Kerana mata kita hanya melihat orang yang berhasil atau yang kaya tanpa memandang lantas mencontohi kisah tentang di saat mereka masih memerah keringat, berluka tangan, menitiskan air mata dan di saat mereka juga pernah terpaksa meninggalkan kesenangan untuk turut serta berjuang dalam kehidupan yang sebenar.

-diDedikan buat pahlawan di bumi nyata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan