Khamis, 29 Disember 2011

25-12

Ahad, 25 dis. ialah Krismas atau Hari Natal.
Selamat Hari Natal ! Walaupun ada spekulasi bahawa haram bagi muslimin mengucapkan 'merry christmas' tapi apa masalahnya di sini?  Kenapa haram? Ada yang kata, murtad kalau ucapkan itu?

Sebab apa? Sebab mereka Kafir lalu bila kita ucapkan maka kita pun jadi kafir?

Aku bukan nak jadi radikalis atau pemberontak tapi cuba lah fikirkan. Aku rasakan perkataan 'kafir' itu sangat keras di lontarkan sehingga ia menjadi kata-kata cacian dan makian untuk orang yang berkelakuan seperti kafir. Istilah 'kafir' digunakan untuk manusia yang mengingkari atau tidak mengakui kebenaran agama Islam. Jadi, perkataan itu ialah untuk mereka yang bukan Islam.

Yang percaya Islam itu lah muslim. Yang tidak percaya itu lah kafir.

Tapi apa masalah nya dengan muslim yang mengucapkan 'merry christmas' kepada orang beragama Kristian yang kita golongkan sebagai kafir?

Sebenarnya begini, perbincangan para ulama atau Ijma' telah mengharamkan nya kerana muslim tidak boleh meredhai hari kebesaran mereka kerana Allah tidak meredhai nya. Tapi bukankah Allah menyuruh kita berbaik-baik sesama manusia? Jika diikutkan Allah bukan sahaja tidak meredhai hari perayaan mereka tapi tidak meredhai agama mereka dan setiap individu yang muslim gelarkan sebagai kafir itu. Tapi Allah menyuruh kita untuk berbaik-baik sesama Manusia maksudnya berbaik-baik dengan semua manusia tidak kira bangsa,agama dan ideologi.

Tak salah berbuat apa pun untuk menguatkan keimanan tapi salah bila kita menjauhkan diri dan berpisah-pisah dengan orang beragama lain kerana ini dunia bukan syurga. Semua nya kita kongsi di dunia ini. Semasa zaman Jahillilliya di Mekah dahulu, setiap suku kabilah di kota itu suka berperang dan berbunuh-bunuhan sesama suku sehingga ada yang tempoh perperangan tersebut berlanjutan selama 40 tahun. Itu merupakan salah satu perkara yang merungsingkan Nabi Muhammad s.a.w sehingga baginda mengasingkan diri ke Gua Hira' sehingga Rasullullah s.a.w diperintahkan untuk menyebarkan syi'ar Islam sebuah agama yang harmoni sehingga akhirnya semua kabilah itu bersatu. Bagaimana dengan kisah Muhajirin dan Ansar yang hampir berperang? Bukankah Rasullullah s.a.w yang menyatukan mereka atas petunjuk Allah?

Islam itu indah. Bukan untuk jadi sombong dan bertambah ingkar dan kufur. Islam ialah untuk segalanya maka  bersyukurlah kita lahir dalam agama ini dan terus membesar bersama Islam.

Islam itu indah. Tapi keindahan itu bukan sahaja untuk mereka yang Islam tetapi untuk golongan yang 'kafir' itu merasakan juga keindahan Islam dengan berbuat baik kepada mereka seperti biasa.

Semua agama tidak kira Samawi atau Aryan pasti mengajar penganutnya supaya hormat-menghormati sesama manusia dan begitu juga dengan Islam. Bayangkan jika muslim itu mencerca mereka maka apakah agaknya pandangan mereka pada kita? Fikirkan.

Islam itu indah.

Ahad, 25 Disember 2011

Aku ada kampung yang indah

Wow!
Nak dekat sebulan juga tak 'post' apa-apa 'entry'. Musim tengkujuh ni jalur internet jadi sangat lemah dan bercampur pula dengan urusan yang menyibukkan aku untuk diuruskan supaya ia terurus lalu selesai. Bermula 29 Nov. hingga 11 Dis. kelmarin pula, aku merelakan diri untuk pulang ke kampung halaman yang buat pertama kalinya aku jejakkan kaki bersama Abah dan adik. Maklumlah kampung jauh di seberang Selat Melaka sana.

Bukit Tinggi,Agam,Sumatera Barat,Indonesia. Aku rasa ramai yang tahu akan tempat ini dan yang tak tahu tu sila  gunakan carian google anda. Ya, bangga ada kampung yang indah dan terkenal seperti ini. Dikelilingi sawah, ladang-ladang yang traditional, udara nyaman, kedinginan yang selesa, ketenangan serta pemandangan yang indah. Penduduk yang peramah, sopan-santun, beradab dan beradat, suka bergotong-royong, mengambil berat dan aku rasakan kehidupan kekeluargaan di antara penduduk kampung di sini.

Kemudian, aku mengerti apa arti adat yang dicipta oleh orang kampung lazimnya di MinangKabau ini. Kebetulan ada kenduri kahwin diadakan bagi meraikan tuan rumah iaitu pihak pengantin lelaki untuk berangkat ke rumah pihak pengantin perempuan di kota Padang yang kira-kira 4-5 jam perjalanan. Aku teringin untuk melihat orang-orang lelaki mengerjakan istiadat 'berunding' sebelum menjamah selera. Aku cuba dengar kata-kata madah halus lembut mereka semasa membuat rundingan antara wakil tetamu dan wakil tuan rumah(rasanya begitulah). Aku jadi hairan apabila mereka membincangkan akan kebenaran untuk menjamah makanan yang sudah pun terhidang. Mereka duduk bersila mengelilingi ruang tamu dan tengah-tengah ialah makanan. Semua dapat mendengar apa yang dirunding. Kemudian, ada yang membantah kerana masih ada yang tidak cukup maka bertambah sakit lutut aku bersila sebab selagi ada yang tidak cukup, makanan masih belum boleh dijamah lalu perlulah dicukupkan atau ada alasan dan semua bersepakat dalam rundingan barulah boleh dijamah hidangan tersebut.

Tujuan nya, ialah sebagai penghargaan terhadap tuan rumah dan acara yang diadakan. 'Berunding' bukan sahaja pada kenduri ini tetapi sejak awal perancangan untuk perkahwinan ini. Aku faham bahawa adat iaitu kebiasaan yang ditetapkan itu merupakan kunci kerjasama antara penduduk bagi mengikat erat tali silaturrahim. Sebab itu aku katakan hidup di sini bagaikan sebuah keluarga. Basa basi mereka yang terpuji, seorang sakit semua sakit, seorang bodoh maka semua terasa bodoh, seorang berjaya maka semua terasa bangga dan susah untuk jadi sombong di sini.

Aku tak pernah harungi indahnya kampung. Suatu pagi aku bersama abah dan adik berjalan kaki mengelilingi Negeri Panampung(fahami pembahgian pemerintahan R.I).

Ku lihat Gunung Merapi tersergam indah gagah megah di hujung sawah,
Terima Kasih Allah kerana takdirkan abah lahir di sini,

Aku ada kampung yang indah !!