Selasa, 31 Julai 2012

Ramadhan 2012 Day 11 - Gurau Kasar.

Sememangnya, masyarakat di mana-mana pun di seluruh pulusuk dunia ini mempunyai suatu tabiat dalam bidang pergaulan yang digelar 'bergurau' atau kata dasarnya 'gurau'. Gurau mudah kita dapati di dalam sejenis perbualan yang dikategori sebagai 'bual kosong' dan terdapat juga bagi seseorang yang suka mengusik dan juga bagi seorang yang lucu. Tujuannya, supaya suatu gelak tawa dapat dicipta. Begitulah makna 'gurau' yang aku fahami.

Seringkali, terusik pada gegendang telinga aku tentang suatu gurauan yang aku tak boleh terima iaitu kata-kata seperti, ''ohh..kau Islam rupanya.''.

Ya, niat memang hanya bergurau tetapi hati-hati kerana ia seperti kau mengkafirkan seseorang yang kau tahu dia masih muslim. 2 kalimah shahadah sudah menjadikan seseorang itu Islam, solat bagi mengukuhkan atau mendirikan tiang agama untuk dirinya sesudah dia percaya dengan Islam. Begitu juga dengan ibadat yang lain.

Berhentilah bergurau sedemikian rupa kerana mengkafir-kafirkan ini kerja orang munafik dan hipokrit. Memang terdapat ulamak yang menjatuh hukum mengkafirkan atau menyesatkan tetapi mereka punya hujah serta alasan di hadapan Allah azza wa jalla. Gurau itu ialah bual kosong manakala bual kosong itu sesuatu yang sia-sia dan perbuatan sia-sia itu dibenci Allah s.w.t maka, adakah gurau layak dijadikan alasan di hadapan Allah kelak?

Oleh itu, hanya Allah saja yang Maha Bijaksana serta Maha Adil dalam segala urusanNya.

Ramadhan 2012 Day 11 - Catatan Tertunda.

Subhanallah walhamdullillah.

Seminggu sudah kita tempuhi Ramadhan tahun ini. Walaupun baru seminggu, tapi, rasanya sudah banyak cerita berkenan cabaran dan dugaan yang telah ditempuh seminggu ini. Lepas taraweeh, lepak kedai minum dengan kawan-kawan, sudah tentu ada di kalangan kita yang akan berkongsi pengalaman puasa nya setiap hari. Seperti terpaksa berkerja berat, terliur melihat non-muslim minum di bawah panas terik, gangguan zina mata yang menggoda nafsu dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, tahniah kepada mereka yang masih bisa bertahan dan semoga berjaya dalam pertempuran dahsyat ini.

Aku ingin memohon maaf kerana tidak dapat menaip catatan-catatan mengikut sehari-hari disebabkan kesempitan masa memandangkan terpaksa menguruskan perniagaan ku di bazar ramadhan yang sudah mulai beroperasi minggu ini di Tampin.

Semoga Allah murahkan rezeki kita semua.

Khamis, 26 Julai 2012

Ramadhan Day 5 - Catatan Tertunda

Hari ke-5 Ramadhan, tetap juga sama saja seperti hari-hari sebelumnya. Maklumlah, aku masih belum recover daripada pembedahan kelmarin. Kalau dikira-kira masa, sudah 5 minggu berlalu daripada tarikh pembedahan tersebut sedang aku disaran doktor pakar supaya memakai balutan ini selama 6 minggu barulah boleh dilepaskan balutan bersalut simen bercampur fiber glass yang keras serta agak berat ini. Maka, hanya tinggal lagi 1 minggu menjelang 2 Ogos di mana tarikh ini aku mempunyai temujanji pakar dan ketika itulah tangan ini bakal merdeka! 

Menonton filem Ketika Cinta Bertasbih, 4 jam (2jam pertama KCB 1, 2jam kedua KCB 2) juga durasi nya namun, sangatlah terkesan dan terinspirasinya aku dengan filem yang diadaptasi dari novel Ketika Cinta Bertasbih karangan Habiburrahmah El Shirazy.
Tentang Khairul Azzam yang menuntut pelajaran di Universiti Al Azhar, Mesir sambil berkerja keras menjual tempe dan bakso bagi menampung pembelanjaan keluarganya di kampung halaman. Perjuangan watak Mas Azzam dalam menuntut pelajaran sambil menghidupi keluarganya serta usahanya dalam menemukan jodohnya sambil tetap berpedoman dan berprinsip kepada agama boleh menuntun kita serta menjadi inspirasi yang sangat bermanfaat. Selain kisah watak utamanya, watak-watak lain juga mempunyai peranan tersendiri dalam menuntun dan memotivasi penontonnya. 

Itu sajalah catatan untuk hari ke 5 aku berpuasa.

Selasa, 24 Julai 2012

Ramadhan 2012 Day 4 - Guris

''Puasa konon, tah ikhlas tah tak tu?''

Bagi kawan-kawan yang ada habit macam ni, tanya kepada diri sendiri serta nawaitu kita terlebih dahulu, mengapakah kita berpuasa? Masih mahukah kita menimbul-nimbulkan permusuhan serta syak wasangka dalam keadaan kita benar-benar yakin yang kita ini sedang berpuasa? Oleh itu, ikhlas kah puasa dengan kata-kata yang dilontarkan itu?

Puasa di bulan Ramadhan ini wajib, rela atau terpaksa ia tetap wajib kita kerjakan. Tanpa konpromi, baik miskin, kaya, soleh, jahil atau sesiapa pun asalkan masih mahu beragama Islam, wajib mengerjakannya. Cuma, orang yang tidak waras sahaja yang tidak perlu puasa.

Oleh yang demikian, perkara wajib seperti ini tidak sepatutnya dipersoalkan kerana ikhlas amal ibadah itu hanya Allah yang layak menimbang. Lebih elok rasanya kita dekati individu yang disangsikan itu, lalu sedikit demi sedikit kita bimbing supaya dia merasakan kelazatan ibadah.

Daripada kita guris lebih baik kita tampal, lukis serta warnakan.

Isnin, 23 Julai 2012

Ramadhan 2012 Day 3 - Ya Rabbi

Ya Rabbi,
Aku bermohon kepada Mu,
Teguhkan lah iman ku,
Kuatkan asa ku,
Jangan Kau biarkan aku berpaling
serta melupakan Mu namun 
Engkau biarkanlah rindu ini hanya untuk Mu,

Ya Rabbi,
Aku tidak tahu berapa panjang lagi usia ku,
Dikala mana hayat ku akan terhenti,
Sungguh hanya Engkau yang tahu,
Jangan tinggalkan ku sendiri
di dalam kesamaran ini
mencari cahaya kesinaran kasih Mu,

Ya Rabbi,
Aku tahu keberadaan kasih Mu itu
Aku sedar hidayah Mu itu sudah terbentang untuk ku
Maka aku tahu dan sedar akan kelalaianku ini
Leraikanlah kemendungan langit ku ini,
Debu hitam yang menyamari penglihatan ku,
Agar aku tidak tersalah arah lagi,
Hingga tidak lagi ku tersasar dari jalan Mu,

Ya Rabbi,
Aku yakin Engkau mengetahui lebih dari aku,
Akan apa yang terbaik untuk ku,
Penawar buat titik hitam yang meliputi hatiku,
Dekatkanlah penawar itu kepada aku ya Tuhan,
atau Engkau ubati saja lah ia,
Kemudian terang mata ku melihat keperkasaan Mu,
Sehingga akhir nanti,
Aku lebih bahagia lagi berbanding hari ini,
Bersama dengan Mu.

Aameen.


Ahad, 22 Julai 2012

Ramadhan 2012 Day 2 - Surat Kecil Untuk Tuhan


Terberos lagi hari ini yang merupakan hari kedua Ramadhan 1433h. Mana tak nya, malam tadi melepak di kedai mamak hingga pukul 3 pagi bersama teman-teman sejurus tiba di rumah aku serta merta menghidupkan laptop untuk online. Dipendekkan cerita lepas Subuh baru tidur. Kira-kira pukul 3 petang aku terjaga hari ini.

Masuk hari kedua ni, cabaran untuk aku sama juga seperti semalam, hanya termenung di depan laptop, adik aku kata laptop ni dah melekat kat muka aku, hahaha. Tapi hari ini aku layan cerita sedih, movie Indonesia yang diadaptasi dari novel best-seller serta berdasarkan kisah benar kehidupan Gita Sesa Wanda yang merupakan pesakit kanser Rhabdomyosarkoma yang pertama di Indonesia.

Surat Kecil Untuk Tuhan. Judulnya sudah memberikan aku rasa tragis nya drama yang berunsur biografi ini. Gita Sesa Wanda Cantika atau nama timangannya Keke, selalu memikirkan adakah dirinya akan dikenang oleh keluarga dan teman-teman selepas dia mengenang jasa-jasa tokoh dunia yang dikenalinya dari minat beliau kepada pelajaran sejarah serta mengakui Muhammad s.a.w ialah rahmat bagi sekalian alam. Ya, Keke juga ingin dikenang dalam lipatan sejarah.

Dan sekarang, Keke memang sedang dikenang dalam catatan ini, dinovelkan, difilemkan sudah cukup untuk mengenang kisah hidupnya yang tegar. Begitu juga akan kecekalan ayahnya yang berhempas pulas mencari ikhtiar untuk menyembuhkan anak perempuan satu-satunya itu. Keke juga pelajar pintar dan disayangi guru dan semua teman-temannya manakala orang tuanya pula sudah berpisah dan gadis tabah ini tinggal dengan ayahnya bersama 2 orang abang nya. Walaupun, ibu bapanya bercerai tetapi mereka tetap menyayangi Keke dan beliau sangat beruntung kerana hidup di dalam keluarga yang berada.

Jujur, aku terkesan dengan drama ini. Pada mula, semua nampak okay sehingga gadis cantik ini menghidap kanser sehingga muka nya bengkak sebelah kiri. Beliau terpaksa menjalani serangkaian kemoterapi dan radiasi yang menyeksakan sehingga rambut nya gugur dan muntah-muntah tetapi bengkak di pipi nya semakin susut lalu doktor pakar menyatakan ketekunan ibu bapa Keke berjaya membuahkan hasil dan Keke menjalani aktiviti nya seperti biasa.

Tak disangka, setahun kemudian, kanser tersebut merebak semula malah teruk dan mematikan. Banyak scene yang buat aku merasa sangat terharu tadi, nak nangis, tapi adik aku ada kat sebelah aku ni nonton sekali. Spoil. haha Tapi aku tetap feeling.

Kalau berani tontonlah, kat Youtube.



Gita Sesa Wanda Cantika bersama teman baiknya.
(kisah nyata) 












Tuhan,
Andai aku bisa kembali,
Aku tidak ingin ada lagi,
Hal yang sama terjadi padaku,
Terjadi pada sesiapa pun

Tuhan,
Berikanlah aku kekuatan,
Untuk menjadi dewasa,
Agar aku bisa memberikan arti hidupku,
kepada sesiapa pun yang mengenalku,

Tuhan,
Surat kecilku ini,
Adalah surat terakhir dalam hidupku,
andai aku bisa kembali ke dunia yang Kau berikan padaku.

-surat kecil untuk Tuhan.

Sabtu, 21 Julai 2012

Ramadhan 2012 Day 1 - Malas

Hari pertama puasa di bulan Ramadhan, selepas makan sahur tadi pagi aku terus menyedut 2 batang rokok sementara menunggu azan subuh. Selepas subuh,  aku sambung tidur dan terjaga kira-kira pukul 2 petang dan kelihatan ayah aku masih tidur. Tetapi tidak lama selepas itu, ayah aku pun terjaga dan beliau terus ke bilik air untuk serta menunaikan solat fardhu Zuhur sejurus selepas itu. Memang agak lewat aku bangun hari ini, hukum kata makruh tapi dah terberos nak buat macam mana kan.

3 jam menjelang waktu berbuka, kesan menahan nafsu hampir tiba di kemuncak, malah terbau-bau pula masakan jiran sebelah rumah aku ni yang berbangsa cina. Tapi aku tetap wajib bertahan sebab akal aku masih waras untuk tumbang kerana bau-bauan itu. Namun, setakat ini aku masih bisa bertahan walau perut sudah meminta-minta.

Untuk waktu ini, kekuatan kita bukan lagi kepada makanan dan minuman tetapi apa yang menjadi kekuatan sedang berpuasa ialah kepercayaan kepada Allah. Tak perlu nak tunjuk kepada masyarakat yang kita sudah lemah dan longlai disebabkan berpuasa. Aku teringat semasa menyertai sebuah seminar motivasi yang diadakan dalam bulan Ramadhan semasa tahun SPM dahulu. Pelajar semuanya sudah mula menunjukkan tanda-tanda penat manakala motivator yang berbangsa India meminta kami untuk membuat sesuatu aktiviti yang telah diaturkan tetapi kami sudah mulai penat lalu salah seorang pelajar melayu melaungkan ''Puasa!!''.

Serta-merta motivator menjawab, ''saya tahu kamu semua berpuasa, tetapi kamu tak perlu menunjuk-nunjuk kemalasan itu kepada saya kerana itu bukan puasa tapi malas''.

Jangan sesekali kata tak larat kerana berpuasa, malu lah kepada sahabat yang berperang di Badar 1400 tahun dahulu di tengah-tengah kepanasan dan kehangatan padang pasir lalu berdepan dengan tentera musyrikin yang lebih ramai. Kerana percaya mereka kepada Allah, mudah saja musuh dikalahkan sehingga terbunuhnya Abu Jahal. Peperangan tersebut berlaku dalam bulan Ramadhan dan tentera Islam berpuasa semuanya.

Jadi, jangan jadi malas di bulan yang penuh mulia ini kerana Allah suka hambanya yang rajin dan sabar.

Senang cerita, jangan salahkan puasa.

Ramadhan 2012 Day 1 -Pembuka

Seperti Ramadhan tahun lalu, aku akan menulis catatan bersempena bulan penuh kemuliaan di siang dan malamnya ini. Sekarang sudah hampir pukul 3 pagi dan beberapa jam lagi kita akan mula berpuasa sedang sebelum fajar menjelma kita perlu bersahur seperti yang dituntut oleh Rasullullah s.a.w. agar kita bersahur walau sebiji kurma sekalipun dan seelok-eloknya di akhir malam iaitu semasa waktu yang hampir dengan terbitnya fajar.

Baiklah, sepanjang puasa ini aku akan mencatat lagi tentang pemikiran masyarakat di sekeliling aku sepanjang bulan Ramadhan AlMubarak ini. Ya, seperti biasalahkan.

Semoga kita bersama-sama memperbaiki antara satu sama lain.

Selamat Berpuasa. Jangan lupa niat.

Jumaat, 20 Julai 2012

Ramadhan Countdown - Selamat Berpuasa!

Itu dia 1 Ramadhan sudah tiba menandakan setiap umat Islam yang sudah akil baligh dan waras wajib berpuasa. Sebentar lagi, kita akan menuaikan solat fardhu Maghrib dan kemudiannya kita bersama berjemaah mengerjakan solat sunat Taraweh. Semoga Ramadhan tahun ini lebih bermakna dan penuh dengan ibadah.

Kita bakal berpuasa selama sebulan bermula esok hari kala terbit fajar dan berbuka puasa ketika matahari terbenam.

Selamat berpuasa!

Khamis, 19 Julai 2012

Ramadhan Countdown-3 (Langit dan Bumi)

Hari ini Khamis 29 Syaaban 1433h, Maghrib nanti maka ada lagi 1 hari sebelum datangnya Ramadhan. Ketika menaip catatan ini, cuaca agak dingin kerana hujan renyai-renyai sedikit turun walhal langit masih kelihatan cerah. Tiba-tiba abah menjelaskan cuaca begini memang sering berlaku menjelang pertukaran bulan Islam apabila bulan mula berselisih dengan matahari. Kata beliau lagi, kalau nak tengok anak bulan sekarang ini memang tak nampak kerana langit ketika ini kelihatan mendung berpunca daripada fenomena tersebut. Lebih kurang begitulah keterangan abah yang sebenarnya setiap tahun menjelang Ramadhan abah akan bercerita tentang ilmu falak sehingga menjadi rutin kepada adik aku melihat bulan penuh setiap 15 haribulan dalam kalendar hijrah. Abah memang meminati ilmu falak dan kini nampak seperti minatnya itu mula mempengaruhi adik aku yang mula menunjukkan minat terhadap bidang ini.

Kemudian, aku terfikir akan ciptaan Allah di langit seperti bulan, matahari dan semua bintang-bintang sebenarnya mempengaruhi ekosistem dan bencana yang berlaku di bumi. Allah menciptakan segala yang di langit dan di bumi itu bergantung antara satu sama lain menjadikan apa yang berlaku di sekeliling kita sangat logik dan saintifik. Jika berlaku gerhana matahari atau bulan pasti akan diadakan solat sunat gerhana bagi memohon dijauhkan dari bencana, begitu juga agama lain ada cara mereka tersendiri selain menganggap sesuatu yang sial akan tiba. Seperti fenomena pasang surut yang dipengaruhi bulan begitu jugalah bintang-bintang lain turut mempengaruhi apa yang berlaku di bumi maka cukup bagi kita dengan meyakini bahawa Allah itu maha pencipta serta percaya kepada qada dan qadar maka dengan ini kita bisa memahami tentang apa yang dikatakan sebagai hikmah. Oleh itu, Allah menyuruh kita untuk belajar akan segala yang ada di langit dan di bumi supaya kita tahu akan kebenaran dan mengakui Allah itu maha bijaksana.

Bagaimana kita boleh menyangkal semua ini dicipta oleh Allah sedang Dia sendiri menuntut hambaNya supaya belajar serta membongkar misteri-misteri kejadian dan itu tandanya Allah tidak sesekali ingin membutakan mata kita melainkan kita sendiri yang membutakan mata kita sendiri dengan tidak mahu belajar.    Sebahagian dari kita sering mempersendakan kepercayaan agama lain yang dianggap tahyul tetapi kita tidak pernah berfikir kenapa agama ini benar dan kenapa kepercayaan itu perlu ditertawakan sedang Allah itu meliputi keseluruhan langit, tanah, angin, cahaya, tumbuh-tumbuhan dan manusia jadi memang apa yang kepercayaan tersebut rasakan sebenarnya Allah tetapi mereka tidak mendapat kebenaran dan akidah seperti kita. Oleh itu, bersyukurlah dengan rahmat yang Allah berikan kepada kita ini iaitu sebuah agama yang benar. Begitu juga dengan golongan atheis yang menolak kewujudan Tuhan dalam kejadian alam, mereka juga buntu apabila tiada penglibatan Tuhan dalam setiap kejadian maka kita perlu bersyukur kerana kita sudah tahu lama akan jawapan kepada setiap kejadian itu.


Iaitu ''La illa ha illallah'' -tiada tuhan selain Allah-



Agama Moden

Di zaman moden ini, sebahagian daripada kalangan kita menganggap agama ini (Islam) sama sekali tidak membenarkan penganutnya bercampur dengan perkumpulan-perkumpulan, golongan-golongan atau perkara-perkara yang bersifat sekular, sosial atau sesuatu itu yang berasal dari orang kafir. Seperti contoh tentang facebook yang diasaskan oleh seorang Yahudi. Namun, kali ini aku tidak mahu bercerita tentang facebook tetapi tentang lainnya.

Kita punya agama dan tetaplah kita dengan agama serta prinsipnya tetapi bukan fanatik. Aku maksudkan fanatik apabila hadir sikap fasis dan rasis agama menjadikan Islam tercalar di mata non-muslim. Begitu juga bagi mereka yang bergabung atau mengikuti perkumpulan atau organisasi sosial serta mengikuti idealisme yang dicipta non-muslim maka jangan sesekali meletakkan agama ini dibelakang kerana kata pengasas Muhammadiyah iaitu Kyai Haji Ahmad Dahlan ''kita bisa punya prinsip tapi jangan fanatik kerana fanatik itu sifat orang bodoh''.

Tak kiralah kita mahu jadi rokers, punkers, berfashion, politikus, berdemonstrasi dan sebagainya walau asalnya dari non-muslim atau yahudi sekalipun tetapi berpegang pada prinsip yang Allah swt ajarkan kepada Rasul Allah untuk disampaikan kepada musyrikin quraish yang cuba memujuk Nabi saw menghentikan dakwah dengan menawarkan hadiah lumayan namun Rasul Allah menjawab "Bagiku agama ku dan bagimu agama mu''.(surah Al Kafirun).

Jangan merendahkan agama ini kerana Islam berada di atas segalanya yang terbaik cuma pemikiran sempit manusia sering meletakkan agama itu menjadi terbelakang. Segala etika atau idealisme yang baik dan adil sudah terdapat di dalam Al Quran dan Sunnah maka dulukanlah agama dan jangan sesekali bersangka buruk terhadap mereka yang berprinsip seperti idealisme barat dan etika yang baik dan bersifat adil kerana ia berasal daripada Al Quran.

Harap bisa memahami perkongsian ini lalu bersamalah kita belajar kerana banyak perkara yang kita masih perlu belajar dan percayalah Islam tidak ketinggalan dengan zaman yang berubah-rubah kerana agama inilah yang termoden terkedepan serta sering seiring dengan kehendak manusia itu sendiri.

  

Rabu, 18 Julai 2012

Ramadhan Countdown 2

Hari ini 18 Julai 2012 atau hari Rabu.
Rabu, Khamis, Jumaat
Jumaat malam maka hadirlah 1 Ramadhan 1433
Selepas solat fardhu maghrib kita akan menunaikan solat teraweh,
Secara berjemaah,
Terbit fajar keesokannya nafsu wajib ditahan,
Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa,
Sehingga azan maghrib berkumandang,
Wajib diulang-ulang setiap hari sehingga azan maghrib 1 Syawal 1433 berkumandang,

Tak sabar menunggu bulan puasa,
Aku dapat mengurangkan sedutan asap rokok,
Mengimbangi semula pemakanan,
Selain melatih diri supaya mampu mengawal nafsu serta meneguhkan keimanan,
Kalau sesetengah orang pergi gymnisium untuk berlatih menguatkan otot lalu memperoleh potongan badan yang cantik,
Sebulan puasa ini kita berlatih pula menguatkan iman dan kesabaran serta ketaatan kepada Allah s.w.t supaya mendapat keperibadian dan pahala yang cantik.

Isnin, 16 Julai 2012

Politik

Menjangkau umur 21 tahun mei yang lalu, aku dapat merasakan bahawa masa semakin dewasa lalu situasi, sosial, pemikiran dan pengaruh sekeliling aku juga berubah. Usia sebegini sudah dianggap matang oleh masyarakat dan aku mengakuinya kerana lewat ini aku lebih gemar bercerita tentang politik bersama terutamanya golongan tua seperti ayah dan pakcik-pakcik tetapi dengan cara beradab atau tidak menunjuk pandai selain enggan mematahkan apa yang selisih jika perkara ini diperbualkan bersama mereka melainkan jika ia betul-betul harus disangkal.

Aku sangat menggemarinya kerana aku belajar untuk berfikir jauh serta dapat membezakan haq dan batil. Suatu perkara yang istimewa apabila aku lebih banyak mendalami agama seterusnya mengkaji idealogi masyarakat bagi menguatkan prinsip ke atas sesuatu tindakan atau peristiwa yang terjadi. Oleh kerana itu, aku sangat tidak membenarkan pendapat sesetengah orang yang mengatakan politik itu suatu yang sia-sia. Ini kerana mereka hanya memahami bahawa politik itu ialah parti semata-mata atau perselisihan pendapat dan perebutan kuasa oleh parti-parti sehingga mereka itu mengkuarintinkan diri mereka sebagai pihak berkecuali bermaksud tidak mengambil tahu tentang politik. Sebenarnya, mereka tidak tahu akan apa yang mereka katakan kerana kadangkala tetap juga hadir mengkritik dan menyokong tindakan sesebuah parti politik.

Politik ialah sesuatu bersifat strategi, taktik atau perlakuan seperti mengurus dan mentadbir, iaitu seperti mengurus diri, mentadbir keluarga, merancang kewangan dan sebagainya. Kehidupan tidak mampu dipisahkan dengan agama terutamanya Islam kerana Allah sudah mengaturkan segala yang terbaik dan tersuai untuk hambanya justeru, politik juga tidak mampu terpisah dengan Islam kerana jika terpisah antara politik dan Islam maka ia dinamakan sekularisme seperti yang diamalkan oleh negara-negara barat dan sekular. Jika pemikiran sekular diamalkan maka masyarakatnya walau kaya dengan material tetapi moraliti mereka kurang malah terbelakang.


Poli bermaksud banyak manakala tik ialah singkatan kepada taktik lalu membawa maksud banyak taktik (kamus dewan) maksudnya kepelbagaian strategi dan aku gemar memahami strategi-strategi tersebut bagi mensuaikan dengan kehendak agama serta keperluan jasmani dan rohani. Mengambil tahu tentang politik negara melatih aku untuk berfikir jauh serta mengatur strategi dengan mengambil ikhtibar daripada sesebuah strategi oleh seseorang politikus yang aku persetujui. Lagipun tak salah, kerana ini sebuah negara demokrasi maka kita punya suara dan tindakan yang diperlukan untuk membentuk negara ini.

Cuma, tinggalkan politik assobiyah yang kolot itu, muliakan Islam. Maksudnya menunjukkan kemuliaan Islam kepada bukan Islam. Dengan cara inilah Islam akan dimartabatkan oleh orang bukan Islam.










Propaganda Syukur














Masihkah ada di kalangan kita yang masih tidak faham arti syukur? Rasanya semua dah besar kan? Jadi tak perlu rasanya aku jelaskan.

Tumpukan dan fahami kata-kata dalam gambar di atas. Ringkasnya ialah seperti ''Syukur atas apa yang ada''. Sangat mudah, akan tetapi orang-orang zalim yang tegar mempertahankan kerusi nya daripada dirampas oleh pejuang-pejuang kebenaran cuba menyalah artikan dan mempropagandakan istilah syukur tersebut. Semua tuntutan didalihkan dengan ayat ''Bersyukurlah, negara masih aman'' selain mengungkit pemberian mereka kepada rakyat sedangkan mereka sengaja terlupa bahawa kerusi yang mereka duduki itu diberikan oleh rakyat bersama dengan amanat dan kepercayaan. 

Kata-kata ''Syukur atas apa yang ada'' itu sebenarnya berhak buat mereka yang memimpin hanya dengan niat untuk menipu, menyeleweng, menzalimi atau menggelapkan hak rakyat lalu dibazirkan untuk kekenyangan perut mereka sahaja. Dipendekkan cerita, kata-kata pada gambar mengingatkan kita supaya tidak membazirkan wang dan terlalu mengejar kemewahan dunia lalu menzalimi diri sendiri. 

Mengejar kemewahan dunia dan menuntut hak manusia bukan perkara yang sama malah jauh sekali sifatnya. Kemewahan dunia ialah seperti barang kemas, beg duit berjuta ringgit dan tidur semalam di hotel mewah yang dicaj beratus ribuan ringgit untuk 1 malam sedangkan masih ramai rakyat yang sedang kebuluran memerlukan wang bayaran caj hotel tersebut. Manakala menuntut hak manusia ialah seperti pelajaran, aktivitas, sumber pendapatan dan kebebasan. Adakah menuntut hak manusia itu sesuai dinisbahkan dengan arti kata ''Tak bersyukur'' ? Jauh sekali.

Maka, syukur itu perlu dirasai setiap saat bukan hanya bila mendapat bantuan atau pemberian manusia tetapi syukur ke atas pemberian Allah seperti ilmu yang melata di serata bumi dan langit, serta cahaya kebenaran yang terdapat di balik gunung dan juga di dalam gelora ombak besar di lautan. Allah memberikan bantuan akal kepada kita supaya kita boleh berfikir.

Maka, berfikirlah sebaik-baiknya.

Jumaat, 13 Julai 2012

Urusan Aku Dengan Tuhan?

Ramai di kalangan orang muda yang kurang pendidikan agamanya atau dasar katanya 'jahil' sering dimomokkan dengan kesusahan beragama sehingga berfikiran negatif serta memberikan anggapan yang sempit terhadap agama itu sendiri. Bagi mereka, kehidupan yang ditetapkan oleh agama itu mengongkong mereka atau membuatkan mereka tidak bebas untuk bersosial. Ketepikan dahulu perihal tentang golongan yang hanya cuba menipu diri mereka sendiri seperti Ateis atau Free-thinker dan kita tumpukan pada golongan yang masih mengaku beragama tetapi cuba berdalih dengan hukum yang ditetapkan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Seorang lelaki melakukan kesalahan hukum di hadapan seorang temannya lalu ditegur oleh temannya itu dengan cara mengingatkan kepadanya akan tindakan Tuhan ke atas kesalahan tersebut. Jawapan yang biasa didengar daripada orang seperti lelaki ini selalunya ialah 'ini urusan aku dengan tuhan, kau tak perlu sibuk'.
Bagi kita yang ada sikap atau pemikiran seperti ini, apakah maksud 'urusan aku dengan tuhan' yang dimaksudkan oleh kenyataan seperti ini? Adakah urusan seperti 'taubat nasuha' selepas kehidupan kita terus bergelumang dalam kesalahan hukum tersebut? Setelah kekhayalan nikmat kesalahan atau dosa sudah menutup mata hati kita lalu berapakah tahap konfiden seseorang itu terhadap masa untuk taubat itu benar-benar disediakan untuknya? 

Tuhan memang bersedia untuk menerima taubat sesiapa pun walau hambanya itu membunuh dan merogol berjuta-juta orang yang tidak berdosa tetapi jangka masa hayat kita di dunia juga sudah bersedia untuk tamat sedangkan kita tidak tahu bagaimana Tuhan mengaturkan riwayat hambaNya. 

Sebagai insan, kita tidak pernah dapat lari dari dosa dan kesalahan kerana kita hidup di atas dunia yang fana penuh dusta dan celaka. Agama itu datang bagi memberi panduan kepada kita mengenai setiap sudut persoalan dalam hidup ini. Kita juga ditakutkan dengan Allah kerana kekuasaannya supaya kita mahu mendekati dan bergantung kepadaNya. Sedang manusia itu termasuk aku juga sering terpaling dariNya tetapi Allah tetap memberi pertolongan kala aku berduka dan teraniaya. Allah juga sedia mengampunkan setiap dosa hambanya yang ingin kembali kepadaNya dan memberi cahaya kepada sesiapapun yang dikehedakinya.

maka, nikmat tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? 

(sempena menanti Ramadhan penuh mulia) 


Selasa, 10 Julai 2012

Ramadhan Countdown.

-mufti Arab Saudi telah mengalirkan air mata secara langsung di TV setelah beliau menerima soalan ini dari Somalia :

''adakah puasa kami sah jika tidak bersahur dan berbuka puasa?''

Bagaimanakah keadaan kita sewaktu berbuka?

Kadangkala penuh pembaziran...lihatlah di tong sampah banyak lebihan kuih muih terbuang kan?



Jadi fikir betul-betul, baik-baik dan seelok-eloknya, layakkah kita memborong makanan sebanyak-banyaknya kemudian menjadi sekadar perhiasan di meja makan kemudiannya dibuang atau lebih kesat lagi istilah ialah dibazirkan? Somalia mungkin sangat jauh, tapi sebenarnya di sekeliling kita masih ada yang memerlukan makanan yang kita buang itu.

Begini, kita ada sebungkus roti yang di dalamnya mengandungi 10 buku roti. Sebelah kita ada seorang rakan yang terlalu lapar tetapi tiada wang untuk membeli makanan dan kita tahu masalah rakan kita itu. Lalu kita makan 2 buku roti dan kita terus membuang bungkusan roti yang di dalamnya masih ada 8 buku roti lagi. Apalah perasaan rakan kita yang sangat lapar dan tak ada wang itu? Lu pikir lah sendiri.

Yaa, memang klise nasihat-nasihat begini, tetapi perkara yang masih diulangi ini bukankah lebih kolot? Sedang membazir itu sudah sekian lama diketahui tidak baik. Bukankah ia merupakan sesuatu yang wajib kita ubah? Kalau tak berubah maknanya kita lah manusia paling kolot. Lebih kolot dari atuk nenek moyang.

Faham tak?

Isnin, 9 Julai 2012

Mati Kebuluran-Sudan

Nampak gambar sebelah ni? Berlaku di Sudan dan apa terjadi ialah kanak-kanak ini sedang menangis sambil mengheret mayat ibunya yang mati akibat kebuluran dan kehausan sedangkan adik kita ini tidak tahu bahawa ibunya sudah meninggal dunia.

Sedih?
Simpati?
Porraahhhhhh......

Takda makna, jika kita semua terus membazir makanan dan air. So, buka puasa bulan Ramadhan nanti tak perlulah belanja besar di Pasar Ramadhan bagaikan 10 tahun tak makan dan penyudahnya tak habis. Berpada-padalah, bulan penuh ibadat kot, bukan bulan mentedarah.

Bila kenang semula nasib saudara kita yang tak beruntung seperti dalam gambar, macam tak layak sebenarnya nak dapat semua ini. Itulah gunanya kita berpuasa, merasa kesabaran mereka yang lebih hebat ini. So, let's fight!!

Terjaga Dari Lena.

Terkebil-kebil matanya,
Lelaki yang akhirnya terjaga,
Dari tidur yang lena,
Lama,

Terbentang dunianya yang dulu,
Yang sebenarnya dia tahu,
Dulu itu dia tenggelam nafsu,
Dunia itu,
Dulu,

Dunia yang ada di depannya ini,
Sama seperti yang dulu,
Digosok-gosok matanya,
Tapi dunia kali ini berbeza,
Dulu dunia di sebelah kiri putih dan di sebelah kanan hitam,
Dia berada di sebelah kiri,
Dunia itu,
Dulu,

Kini berubah,
Setelah lama terlena,
Selepas berkurun dia terjaga,
Lalu dilihat dunia kiri berwarna putihnya dulu,
Kini hitam kelam,
Dunia sebelah kanan itu putih bersinar cahaya gemilang,

Realitinya,
Dia tahu yang kiri itu memang hitam dulunya,
Diajak nafsu lalu semuanya jadi putih,
Dan tidak nampak lagi putih yang sebenar,

Selepas terjaga,
Kini dia tahu,
Dulu itu,
Dia tertipu
Terpedaya.

Ahad, 8 Julai 2012

Dunia Berlainan dan Satu Misi.

Kita ialah manusia,
Tempat manusia itu ialah di dunia,
Dunia kita ialah di bumi,
Walaupun sebelum itu kita berada di belakang sulbi lelaki,
Kemudian kita berada di dalam perut wanita,
Lalu kita keluar melalui rahim wanita tersebut,
Namun dunia kita tetap di bumi,
Cuma selepas itu Allah tetapkan dunia kita dan kita perlu hidup di dalam dunia itu,

Dunia yang mewah, dunia yang miskin,
Dunia yang aman damai, dunia yang kucar kacir,
Diagihkan kepada semua hambaNya untuk dilalui,

Seperti mengagihkan misi menyerbu musuh kepada 3 orang komando,
Kemudian diberikan peralatan berlainan mengikut kesesuaian misi tersebut,
Tahap kecanggihan peralatan juga berlainan,
Seorang dapat 'mesingan', seorang lagi 'sniper' dan seorang lagi hanya parang,
Pengguna 'mesingan' untuk tembakan rambang,
Si sniper sebagai penembak jarak jauh dan hendap,
Parang pasti diberikan kepada orang yang berani terus berhadapan dengan musuh,
Semua punya peralatan mengikut kelebihan masing-masing,

Diberikan mesingan kerana bakal menewaskan musuh yang lebih ramai,
Diberikan sniper kerana ketepatannya menembak musuh dari jarak jauh,
Diberikan parang kerana sebenarnya dia tidak perlukannya kerana dia punya seni mempertahankan diri yang hebat,


Tapi hakikatnya mereka semua perlu berkerja sama berganding bahu,
Barulah misi itu berjaya,
Maka si pengguna mesingan dan sniper tak boleh mempersendakan si parang,
Begitu juga si parang tidak boleh merasa iri hati kepada mesingan dan sniper,
Kerana apabila tiada kesepakatan misi pasti akan gagal,

Begitulah kias terhadap dunia manusia yang berlainan,
Kita semua manusia yang perlu bersatu,
Bukan mempersenda sesama sendiri,
Kezaliman yang harus kita tentang,
Itulah kebenaran,
Bukan buang masa untuk perkauman yang kolot.




  

Jumaat, 6 Julai 2012

Stop.

Stop!!


Memang agak hipokrit,
Tapi aku akan berhenti berfikir tentang wanita,
Maksudnya tentang persoalan berkenaan mencari pasangan hidup,
Tapi tetap hipokrit dan mustahil,
Sebab aku lelaki normal,
Punya nafsu,
Tapi,
Sebab itulah aku harus berhenti,
Kerana bila berfikir tentang wanita,
Mengingat aku kepada yang terlarang,
Cukup !

Aku perlu berlatih menahan diri daripada tertarik,
Tertawan oleh kerana nafsu semata-mata,
Biarlah ku tergoda kerana keperibadian,
Pegangan agamanya,
Lalu aku terus melamarnya,

Maka,
Aku perlu berdoa supaya segeralah pulih tangan kanan ini,
Habiskan waktu yang masih segar ini untukNya,
Supaya Allah bisa memperkenankan aku kepada sesuatu yang lebih baik,
Sebagai ganti kepada masa-masa aku dilatih untuk bersabar.

Selasa, 3 Julai 2012

Dasar Taik.

Di sebuah pasar malam,
Di waktu malam,
Hampir malam,
Tak berapa nak malam,
Di suatu sudut kelam,
Ada cerita seram dan suram,
Buat semua jadi geram,
Semua pasti akan geram,

Seorang nenek cuba menambah belanja nya,
Raut wajahnya,
Pakaian compang campingnya,
Tampak kesusahan dalam hidupnya,

Mungkin kerana melihat pasar malam,
Datang idea untuk berniaga,
Tapi tiada modal,
Diakalinya untuk menjual ulam-ulaman,
Dipetiknya di tepi-tepi sungai,longkang dan jalan,
Dapatlah akan nenek itu barang yang akan dijual,
Jering, petai, pucuk paku, rimbang,

Hari ini dibentangkan kain di atas tanah,
Sebagai alas kerana mungkin tidak kuat untuk mengangkat meja dari rumahnya,
Disusun piring-piring kecil lalu diisi dengan ulam-ulaman tadi,
Bersila dan termenunglah nenek tersebut menanti pelanggan,

Tapi bukan pelanggan yang datang,
Sesudah dinyalakan lilin sedangkan peniaga lain menghidupkan enjin,
Menjadi kuasa untuk menghidupkan mentol,
Maka terang benderanglah,
Tapi nenek itu hanya mampu guna lilin,
Malap,
Terus suram apabila datang si tukang saman,
Tugas penyaman bukan untuk penjual daging atau si tukang sapu sampah,
Tapi digalas oleh si tukang saman,
Dilantik oleh Majlis Daerah,
Nenek disaman sebab tak punya lesen niaga,
RM 300 dikenakan,
Kalau orang tak ada perut ni angkut barang-barang nenek tu,
Tak akan sampai RM 100 pun jumlahnya,

Haih,
Tak boleh bagi notis warning dulu kah?
Bagi nenek tu makan untuk hari ini,
Rakyat didahulukan?
Atau kesempatan diutamakan?
Ingatkan dapatlah nenek tu langkah kanan,
Rupanya terpijak taik,
Siapa taik?
Taik itu lah taik.
Dasar taik,
Ganggu hidung orang.
Busuk.


Isnin, 2 Julai 2012

Respect Itu Lebih Baik.

La Roja!
Apa maksud pun aku tak tahu,
Yang pastinya Spain pasukan rojak pemain-pemain bola sepak terbaik dunia,
Pagi tadi mereka jadi juara selepas 2 kejohanan berturut-turut menjulang piala,
Piala Eropah 2008, Piala Dunia 2010 dan kini Piala Eropah 2012,
Banyak kisah yang aku suka,
Terutamanya tentang kebangkitan dan pembuktian,

Antaranya, kisah Ronaldo yang dinganjingkan nama Messi oleh penyokong,
Model syampu Clear itu menghadiahkan 3 gol untuk pasukannya sehingga mara ke semi-final,
Menutup mulut pembencinya,
Walau masih tak maksimal tapi beliau berjaya buktikan dirinya masih pemain terbaik dunia seperti Messi.

Mario Ballotelli yang langkah kakinya dibayangi tujahan perkauman,
Satu-satunya pemain kulit hitam dalam tim Itali,
Berketurunan Ghana,
Diumpamakan dengan monyet dan sebagainya yang hina,
Tapi penyerang itu menumbangkan keutuhan Tembok Berlin yang dibawa tim Jerman,
Lalu, beliaulah satu-satunya pemain berkulit hitam yang beraksi di final.

Hampir hilang minat dengan bola sepak,
Dikecam kerana jumlah jaringan dan persembahan yang longlai bersama kelabnya,
Habis masanya dibangku simpanan,
Disaat semua mulai sudah menyangka dia tidak mampu menjaringkan gol,
Bersama Spain dan Euro 2012,
Torres dinobatkan sebagai penjaring terbanyak atau digelar kasut emas,
Selain menjulang 3 piala tahun ini.

Siapa pun boleh buktikan apa saja,
Apabila ditekan dan mula dipinggirkan,
Mereka itu mampu kembali meludah semula ke dalam kerongkong peludahnya,
Maka,
Respect,
Itu lebih baik.