Selasa, 18 Disember 2012

Hachooooooo!!!!!

HAAAACCCHHOOOOOOOO!!!!!!!

Itu ialah bunyi bersin. Sambil menaip catatan ini pun bertalu-talu bunyi heavy tersebut aku semburkan. Bak kata Dr Madey..''dah lama dah''. Dah lama dah tak demam macam ni bahkan aku bukan hanya selsema tapi batuk dan sakit tekak pun ikut serta. HAAAAAACCCHHOOOOOO!!!!!!
Bersin lagi..mati akal. mati idea..semoga tidak mati hati dan nyawa ku.
Allahuakbar.

Tu saja yang aku mampu ungkapkan.

Rabu, 12 Disember 2012

Apabila Tiba Suatu Masa.

Hari ini kita sihat. Begitu juga dengan semalam, kelmarin, minggu lepas, bulan lepas, tahun lepas dan 1000 hari sebelumnya. Gagah perkasa kita berlari melayang tinggi menghirup udara semesta dunia kurniaan ilahi. Ketawa riang masih berperasaan menikmati warna warni dunia lukisan Sang Maha Pencipta. Jika kita sedar, pada masa-masa itu kita yang sedang mewah dengan nikmat sempurna tidak pernah tahu atau terlupa untuk berterima kasih. Terkadang ada yang tidak tahu kepada siapa harus berterima kasih malah, ada juga yang sombong bongkak yang sesekali tidak mahu berterima kasih meskipun dia tahu.

Tetapi Tuhan Maha Penyayang,

Apabila tiba suatu masa, waktu itu kita sakit, tenat, kecelakaan dan kebahagiaan itu hilang. Jika ia masih ditimpakan di dunia maka ia hanyalah sementara. Sementara, jika kita mampu mengingat atau kata dasarnya syukur. Kerana jika kita mampu melakukan yang sedemikian maka, saat itu kita akan tahu bahawa Tuhan selalu ada untuk kita bergantung. Jika tidak mampu, maka derita itu akan terus kekal selagi tidak kita kembali kepada Yang Maha Perkasa. Maka, layakkah kita untuk merungut sedang ia hanya sementara?

*Apalah sangat sakit 1 hari berbanding 1000 hari kita sihat.-Abah.

Sabtu, 24 November 2012

Jangan Berhenti.

Topik yang sering bermain dalam benak fikiran ku minggu ini ialah berusaha dan tidak berhenti berharap. Yang aku pasti topik tersebut menjadi buah fikiran aku ketika menonton konsert 2 benua 5 negara sebuah band popular daripada Indonesia iaitu Noah yang sebelum ini dikenali sebagai PeterPan melalui laman YouTube. Noah atau PeterPan itu terpaksa berjalan pincang dalam 2 tahun sebelum ini kerana vokalisnya Ariel selaku anggota paling dominan dalam kugiran tersebut dikenakan hukuman penjara selama 2 tahun akibat kontroversi video porno nya. Tamat tempoh hukuman buat Ariel, mereka mereformasi kembali kugiran kebanggaan Indonesia tersebut serta menukar nama PeterPan kepada Noah sejurus melahirkan album baru ''born to make history'' dengan diraikan bersama rekod dunia dengan mengadakan konsert di Melbourne, Hong Kong, Kuala Lumpur, Singapura dan akhir sekali ialah Jakarta dalam hanya 1 hari.

Aku tidak memandang kesilapan Ariel yang mungkin agak keji oleh segelintir mereka yang sempit otak untuk menghalang aku untuk menghargai apa yang beliau adakan dalam sejarah dunia kerana ramai pelaku sejarah yang banyak menyusahkan serta menindas masyarakat masih boleh diterima dan dihargai serta dijulang tinggi menggunung. Maka, Ariel itu tidaklah menyusahkan sesiapa dengan kesilapannya malah beliau itu jujur mengaku kesilapan tersebut walau sedia tahu akan kepincangan yang bakal terjadi oleh sumber rezekinya iaitu Peter Pan.

Semasa konsert penutup atau akhir jelajah Noah di Jakarta, Ariel memperkenalkan David iaitu anggota baru yang merupakan keybordist buat Noah. Ariel berpidato,

     ''tentang David ini, saya bukan sekali ingin merendahkan beliau, sebelum ini David hanya bermain
      di kelab, bistro serta event-event kecil dan saya mengatakan bahawa hanya membazir jika bakat
      yang beliau ada itu dibiarkan di tempat-tempat itu. Apa yang ingin saya katakan di sini ialah
      kepada semua musisi di luar sana, jangan berhenti untuk bermimpi, jangan berhenti untuk 
      berharap, jangan berhenti untuk berusaha, selagi nafas masih ada teruskan berusaha.''

Maksudnya, tidak mungkin kita mampu tiba ke sesuatu destinasi tanpa melalui perjalanan dan kemungkinan kita tidak akan tiba ke destinasi pada hari ini tetapi selagi ada esok dan kita masih punya keinginan, kita pasti bisa sampai.
 


Khamis, 15 November 2012

Perbentang Jasa

Telah kerendahkan dahiku separas bahu mu,
Mendiam di masa engkau bersuara,
Akur segala laksana mu,
Memperbodoh diri sebagai persembahan buat engkau ketawa,

Tapi kini tidak lagi,
Pabila ada yang berbalik tumit kau kata mereka rosak,
Kau kata mereka itu sampah bagi diri mu,
Engkaulah manusia tersangka suci,
Walau kau kata engkau tidak begitu,

Kuakui,
Pernah kau berjasa kepada ku,
Kepada ramai orang pernah kau buang waktu,
Semata mengecap ganjaran pahala,
Tapi kini kau bentangkan jasa mu,
Semata mengecap keutuhan takhta.

Ternyata kau berubah,
Atau memang kau begitu,
Oleh itu,
Kini aku tinggalkan mu,
Dengan harapan baru,
Serta harapan dengan diri ku sendiri,
Terima kaseh kerana menjadi pengajaran buat ku.

Rabu, 14 November 2012

Hijrah Bukan Lari.

Sudah menjelma 29 Zulhijjah iaitu hari terakhir 1433 tahun hijrah dalam kalendar rasmi Islam yang telah diasaskan oleh Amirul Mukminin, Khalifah Umar Al Khattab. Syukur kita kepada Allah Subhana Wa Taala atas sumbangan besar khalifah Islam kedua tersebut serta kesejahteraan buat beliau dan sahabat lainnya yang tidak berhenti berjuang memartabatkan agama Allah serta rasulNya yakni Islam. Wasiat dari seorang kekasih Allah yang tak akan terlupakan bagi mereka yang bersyukur iaitu Al Quran dan Sunnah yang menjadi pedoman agung buat dunia. Walhamdullillahirabbil a'lamin.

Hari ini, menjelang sudah rembulan 1 Muharram 1434 hijrah. Dan umat muslimin akan mula mengingati peristiwa hijrah umat Islam dari Mekah ke Madinah pada 1400 tahun dahulu. Dan pasti ada pula penerangan dan pencerahan berkenaan pengertian hijrah di majlis-majlis sambutan ma'al hijrah di masjid-masjid berdekatan.

Tapi kita kena ingat bahawasanya ma'al hijrah itu bukan hanya tentang tahun baru atau penukaran kalendar walaupun tiada kalendar Hijrah di negara ini melainkan sedikit kerana ditenggelami oleh nombor-nombor dengan fon bersaiz besar pada kalendar masihi. Mungkin ia bagi memudahkan masyarakat negara ini membuat count-down tahun baru masihi. Nombor-nombor kecil tarikh Hijrah itu hanya mendapat perhatian pada bulan Ramadhan sahaja kebanyakannya kerana masyarakat yang berpuasa pada bulan tersebut sibuk membuat count-down raya aidilfitri. Tapi hijrah itu bukan sekadar kalendar. Akan tetapi untuk diri kita sendiri yang perlu mengerti hikmah peristiwa tersebut serta pengajarannya buat kita sendiri yang sememangnya perlu berpindah untuk sebuah kebaikan dan kejayaan di akhirnya.

Berpindah itu bukan hanya sekadar fizikal tetapi rohani juga perlu berpindah. Nabi Muhammad SAW mendapat tentangan dahsyat oleh masyarakat kampung halaman negeri kesayangannya iaitu Makkah lalu terpaksa meninggalkan kota suci tersebut atas petunjuk Allah SWT. Namun akhirnya, baginda menjadi pemimpin di perantauan dan akhirnya berjaya mencerahkan Makkah dengan Islam serta memadamkan jahilliyah di kampung halamannya itu.

Zaman sebelum baginda, Nabi Yusuf juga berjaya dengan melakukan sedemikian sehingga menjadi raja di Mesir walaupun sebelum itu baginda dianiaya oleh saudaranya sendiri, bersusah payah berdikari kerana meninggalkan keluarga, difitnah oleh isteri tuannya, disumbat ke dalam penjara tetapi akhirnya baginda berjaya menjadikan mimpi baginda semasa kecil itu menjadi realiti sambil memberi kesedaran kepada saudara-saudaranya.

Hijrah itu bukan sama maksudnya dengan istilah melarikan diri daripada masalah tetapi hijrah itu suatu bukti bagi orang-orang yang bijaksana bagi merancang kehidupan untuk sebuah kejayaan. Kerana orang yang bijak tidak memilih kemudaratan buat dirinya tetapi memilih sesuatu yang lebih baik buat dirinya. Contohnya, rakyat Yathrib itu menerima dakwah Islamiyah dengan keyakinan yang tinggi sehingga mereka menyambut meriah akan ketibaan Rasullullah SAW berbanding majoriti penduduk jahilliyah Makkah yang membaling batu ke atas Nabi Muhammad SAW sewaktu berkhutbah di Bukit Safa. Maka, manakah yang lebih baik?
Berhijrah ke Yathrib atau baginda terus teraniaya di kampung halamannya sendiri?

Aku juga sedang berusaha untuk berhijrah. Sama-samalah kita berdoa untuk kejayaan kita sendiri.




Jumaat, 9 November 2012

Apakah?????

Dia kata dia punya bangsa sendiri,
Berdasarkan bahasa rutin yang aku gunakan,
Warna kulit yang seakan-akan,
Aku juga tergolong dalam bangsa nya dia,
Dia cuba mengajak aku bersama menjulang bangsa,
Aku percaya akan kepentingannya,
Supaya bangsa ku tidak tersepit jatuh,
Tertinggal jauh,

Tapi aku tertanya kepada diriku sendiri,
Bangsa kita akan tersepit, terjatuh dan tertinggal jauh?
Oleh siapa?
Adakah bangsa kita sedang berlumba dengan sesuatu?
Atau dia sedang berbicara tentang kontinjen negara di sukan olimpik?
Yang disertai Datuk Lee Chong Wei, Roslinda Samsu, Pandalela Renong, Josiah ng dan Azizul Hasni Awang?
Atau mungkin tentang perlawanan akhir Piala Suzuki 2010?
Yang dianggotai oleh Safee Salee, S.Chanturu, Shahrul Idlan, S.Kunalan, Safiq Rahim dan Gurusamy sambil dilatih oleh K.Rajagobal dan Ong Kim Swee.

Apa yang berlumba dengan bangsa ku?
Siapa yang menyepit bangsa ku?

Dah dah..
Lama-lama boleh jadi patriotik sangat pulak,
Angin tak ada ribut tak ada,
Heboh nak perang.


Ahad, 4 November 2012

Lain Dari Yang Lain.

Aku tahu dan mungkin setahu-tahunya tetapi masih tidak maha tahu seperti yang berkuasa di atas itu. Mata mereka yang bukan aku itu pasti ada tafsiran berdasarkan konteks-konteks tersendiri tentang aku. Memang mungkin ada yang mentafsirkan aku berdasarkan prinsip, perwatakan, sifat dan sikap. Sememangnya, lebih mudah tafsiran tersebut berdasarkan sikap kerana situasi lah yang menguji sikap kita maka, lebih mudah kiranya jika kerja mentafsir itu dilihat melalui sikap.

Dikaji daripada asal dahulukala sewaktu aku mula mengenal dan dikenali oleh dunia, hingga kini dan mungkin selamanya aku ialah seorang yang pendiam, berdiam tapi tidak akan terdiam. Terdiam oleh tentangan yang tidak munasabah dan kurang rasional. Tidak pula aku ini saja lebih rasional malah, apabila dipuji aku segera tunduk kerana tidak mahu diri ini tinggi lalu meninggalkan jasa yang menjulang aku tadi. Tidak pula aku terlalu memuji sembarangan kerana takut dia akan mendabik dada kesombongan maka aku agak memilih untuk memuji.

Tetapi, aku bukan maksum, aku bukan Tuhan. Aku masih manusia biasa, cuma kerajaan menggolongkan aku sebagai Orang Kelainan Upaya atau dulunya Orang Kurang Upaya atau bahasa pasar nya ''Cacat''. Tidak mengapa, aku redha jika ada yang mentafsir aku sebagai Si Cacat atau Si Kudung kerana aku masih ''lain dari yang lain''.


Rabu, 24 Oktober 2012

Baja

Susah sebenarnya nak buat suatu perubahan baik samada untuk diri sendiri atau masyarakat. Kerana manusia ni selalunya sukar untuk menerima sesuatu yang baru atau tidak pernah terlihat sebelum ini. Maksudnya lebih kepada pemikiran baru atau pendapat walau pendiriannya tetap sama cuma cara-cara atau kaedah yang harus diubah seorang individu yang punya idea lebih bernas. Atau mengubah persepsi masyarakat kepada sesuatu perkara yang mungkin selama ini dinilai daripada luaran atau dipandang sebagai melawan norma.

Seenarnya mereka itu punya masalah dengan pendapatan materealistik dan masyarakat sebenarnya dihasut oleh aparat tertentu supaya tidak pergi meninggalkan keutuhan kepentingan materealistik tersebut. Maka individu yang cuba mengubah kepada kebaikan itu mula akan difitnah, dihina dan dibenci oleh masyarakat lalu jadilah dia dan pendapatnya sebagai terasing daripada budaya tipikal masyarakat.

Jika benar yang kita lakukan itu baik maka teruskan saja. Fitnah sebagainya itu jadikan saja seperti baja. Baja itu baunya memang tidak enak tetapi makin tidak enak baunya semakin baik kualiti dan kesuburan tumbuhan itu. Oleh itu, semakin kuat kita dibusuki semakin kuatkan lah pendirian tersebut dan semakin cepatlah kita menemu kejayaan. InsyaAllah. aamiin.

Isnin, 15 Oktober 2012

Label.

Dalam meneruskan hidup ini, pengenalan diri adalah suatu keperluan yang sangat penting sebenarnya dalam masyarakat supaya hikayat kita dikenali. Tanpa pengenalan diri maka tiadalah hikayat yang mungkin terkandung jerih payah, sumbangan, peranan dan jasa kita semasa hidup bersama manusia yang perlu mengenali manusia lainnya. Pengenalan diri ialah terkandung nama, umur, tempat tinggal, tarikh lahir, pekerjaan, latar belakang diri dan keluarga dan sebagainya.

Untuk dikenali juga tidaklah mudah kerana bagaimana kita dikenali. Selalunya dari sikap kita, sifat luaran dan dalaman, bentuk fizikal serta pemikiran, kemudian kita akan dikotakkan mengikut kehendak masyarakat atau mengikut jenis dan size kita seterusnya dilabelkan. Dengan label itulah orang akan menilai kualiti kita. Apabila  label ditanggalkan maka kita bukan siapa-siapa lagi.

Bersederhanalah menghayun langkah. Jangan terlalu laju dan tidak pula terlalu perlahan.

Khamis, 11 Oktober 2012

Channeling Mahatma & ALotLikeTurd EP Launching.

Sabtu 6.10.2012
Seventh Heaven Studio, Tampin
Negeri Sembilan.

Layak untuk aku tera-kan istilah 'Rugi' di sini bagi teman-teman yang mengenali gerangan ALotLikeTurd dan Channeling Mahatma tetapi tidak punya kesempatan menyaksikan persembahan mereka Sabtu lalu  ketika waktu itu 2 band tersebut melancarkan EP pertama mereka bersama-sama di atas sebuah stage impian banyak band di dalam negara ini (menurut purata statistik). Dianjurkan oleh sebuah komuniti D.I.Y asal Seremban, Circle Community dengan kerjasama komuniti tempatan(Tampin), Minority Trace Community yang sedang dirangka semula serta pihak Seventh Heaven Studio sendiri yang mula beroperasi semula selepas berbulan berkunci kerana Abang Madi pemilik studio punya tugas lain yang perlu diuruskan di Melaka. Bersempena Channeling Mahatma dan ALotLikeTurd EP Launching maka studio di buka semula dan akan dikelolakan oleh Syuk sementara Bang Madi dengan urusannya di Melaka.



Membuka acara ialah band tempatan yakni band aku sendiri iaitu RedBullet. Kami sudah berapa kali mengisi  slot opening dan sudah biasa dengan crowd yang tidak ramai, belum ramai atau belum panas (lazimnya gig kecil seperti ini). Namun, berbeza kali ini apabila aku lihat crowd sudah mula memenuhi ruangan gig hall serta aktiviti mosh, circle pit dan cowd surfing sudah pun bermula hangat dan chaos. Aku juga berjaya meluncur di atas crowd walaupun terpaksa menanggung badan aku seberat 75kg semasa band kedua dari Seremban 2 iaitu Annemary beraksi. Keadaan lebih chaos semasa band tech/grind tempatan bernama Throw-ma itu mengira-ngira di atas stage. Crowd menerima hakikat bahawa usia semuda line-up band ini yang terpaksa menampung lagu yang sukar riff dan bit drum-nya membawa kepada suatu tragedi yang digelar sebagai 'Kantoi'. Tapi eloknya persembahan serta mood yang ingin disampaikan membuat semuanya tidak memperdulikan tragedi itu malah ia bertukar menjadi suatu yang hebat dan berbaloi bagi mereka yang hadir hari itu.

Seterusnya ialah Eroc For Dinamic, The Great LsDone dan menjamu selera sebentar. Acara di sambung oleh Whales.

2 slot terakhir sudah pastinya diisi oleh 2 band yang diraikan tersebut dengan didahului oleh ALotLikeTurd yang terbukti sangat menghiburka serta mengingatkan aku kepada HeavyHeavyLowLow dan seumpanya. Macam-macam tarian yang menggoyangi tubuh ku di tepi stage tempat mereka beraksi. Crowd sudah semestinya chaos dan meriah hingga suhu studio ini seakan-akan ketuhar atau rawatan sauna di spa-spa seluruh negara kerana pendingin udara yang bermasalah.

Channeling Mahatma atau dulunya bernama Gelore Nafsu itu menutup acara dengan lebih hebat dan mantap. Kelihatan Huzai vokalis lama mereka turut hadir menumpang bangga dengan pencapaian band yang ditubuhkan bersama-sama di UNIKL AlorGajah suatu masa dahulu. Oleh itu, Huzai diberikan penghormatan oleh Kasha vokalis baru mereka untuk menyanyikan lagu terakhir yang merupakan sebuah lagu cover daripada Daughters berjudul Nurse, could you prep the patient.

Maka selesai acara hebat tersebut.



Khamis, 4 Oktober 2012

Tampung Hari Mendatang.

Sebenarnya, aku bangga apabila ada di kalangan teman-teman baik aku ini begitu berusaha gigih berkerja mencari wang samada untuk kegunaan peribadi atau menanggung keluarga. Sehingga ada yang kehilangan separuh masa hariannya atau bahasa pasarnya 'takder life' tetapi mereka boleh melupakan semua itu dan jitu bergerak ke hadapan meski langkah mereka diikat besi keluli bertantan beratnya tetapi tetap tak putus asa melangkah. Aku berikan pujian menggunung ke angkasa raya buat mereka semua dan juga buat anda yang terhebat. Aku panjat doa sejahtera buat sesiapa yang bercirikan kemuliaan tersebut.

Sesuai lah perkiraannya dalam usia semuda ini kita sudah mula memikirkan dan melakukan sesuatu untuk masa hadapan. Gunakan tenaga muda remaja itu bagi menampung hari mendatang terutamanya apabila urat-urat dawai itu mula reput dan kendur. Bayangkan apabila kita sudah berusia sekitar 30-40 an tanpa ada apa-apa yang mampu menampung hidup malah usia itu pastinya kita sudah pun berkeluarga, maka bagaimanakah kita waktu itu? 

*imagine.

Selasa, 2 Oktober 2012

Menyesuaikan Diri.

Dalam umur yang semakin dewasa, orbit yang tak akan berhenti paksi-paksi berputar di atas nya, pergaulan yang semakin luas, pelbagai bahasa dan istilah baru mula dipelajari mengikut adab serta budaya sesebuah kawanan baru yang lain iklim nya, pendirian peribadi yang berlainan serta angin-angin baru bertiup samada kencang, sepoi-sepoi bahasa, panas atau dingin. Maka, tidak mudah untuk aku pertahankan ke-ego-an ini apabila sukar untuk menerima kekalahan kepada pencapaian mereka, kejamnya lidah mereka, zalimnya tapak kaki yang menginjak-injak sedang akulah yang sedang diinjak. Aku seorang mudah terasa tetapi lebih suka untuk memendam kerana tidak pula aku terasa ingin memakan daging saudara ku itu melainkan luahan ke atas seorang teman yang setia kerana sayang ku kepada mereka. Maka aku berfikir akan bagaimana untuk membiasakan diri dengan penyakit baru ini, aku cuba kembalikan perbuatan mereka itu kembali kepada mereka, nampaknya mereka juga tertawa tanda mereka sedang terhibur lalu aku sedar mereka hanya sahabat yang hanya ingin ketawa dan berhibur. Ternyata aku juga terhibur.

Begini, jika kita tinggal atau dilahirkan di sebuah benua yang iklimnya dingin maka pakaian harian kita pastinya tebal bagi mengurangkan kedinginan, jika kita ke negara yang panas atau yang beriklim khatulistiwa takkan mungkin kita perlu juga mengenakan pakaian yang tebal itu meskipun pakaian tersebut bertatahkan berlian. Perlulah bagi kita untuk menyesuaikan diri dengan sebuah suasana baru tetapi tetap berpaksikan dengan cara kita sendiri dan tidak perlu untuk menjadi orang lain melainkan anda ialah Transformer seperti Optimus Prime. Tetapi Transformer juga bertukar menjadi kenderaan atau apa-apa alat ciptaan manusia bagi menyesuaikan dengan keadaan sambil tidak meninggalkan pendirian mereka.

*semoga hidup lebih bererti.

Isnin, 24 September 2012

17 Tahun Berlalu.

Hari ini,
Genap 17 tahun berlalu,
Dari malam di mana aku dan ayah mu,
Menanti kelahiran mu,
Kau boleh bayangkan bertapa ayahmu berdoa waktu itu,
Waktu itu aku masih kurang ngerti bertapa resahnya hati mereka yang mengerti,
Aku hanya tahu makna gembira bakal melihat kehadiranmu,
Sedang mereka yang mngerti itu keresahan,
Aku hanya bermain kucing di hadapan wad bersalin,
Besoknya aku melihatmu terbaring di sebelah ibuku,
Kecil mata mu tak mampu kau buka,
Semua gembira termasuk aku,
Nama yang baik diberi,
Berharap seri dunia ini bertambah lagi,

17 tahun berlalu,
Aku tak sedari,
Bila masanya kau membesar ?
Semoga tahun mendatang mu lebih bahagia,
Hari ini aku sudah ngerti,
Bertapa besarnya harapan mu membalas budi kehadiranmu,
Semoga kau berjaya dunia akhirat,
Allah selamatkan kamu,
Allah selamatkan Noor Hafiza.

#Selamat hari jadi buat Iza.
sukses.

Ahad, 23 September 2012

Kewibawaan Gila

Manusia,
Terkadang ada di kalangan ini,
Kuat mempertahankan kewibawaannya,
Meninggikannya,
Sibuk meneguh-neguhkan kewibawaan itu,
Hingga tiada yang dibenarkan berlainan dari hendaknya,
Terkadang ada yang keras menjaga kewibawaan,
Sehingga ada yang terbenam,
Lebih jengkel apabila ada yang dihapuskan,
Lalai nya dia akan kewibawaan seperti itu,

Sebenarnya,
Dia atau ada yang semacamnya,
Perlu bertanya dengan diri sendiri,
Untuk apa kewibawaan itu?

Selasa, 18 September 2012

Untung Bersama

Tak tahulah,
Kadang aku terfikir,
Adakah aku bergaul dengan orang-orang yang bodoh?
Atau mungkin otak mereka membesar dengan pengaruh drama?
Sebenarnya aku ketawa sendiri dalam hati,
Apabila mereka cuba berlagak optimis,
Tapi sebenarnya mereka sangat pesimis,
Aku pula tidak sekali mahu berlagak matang,
Kerana mereka ini tidak pernah akan faham,
Dan aku juga tidak pernah mengerti apa itu matang?
Matang itu apa?
Adakah matang itu ialah ketika kita rasa lebih bijak dari orang lain?
Aku masih tidak faham jika kematangan itu dinilai oleh diri sendiri,
Tidakkah ia seperti sama dengan memuji diri sendiri?
Wohhh, agak memalukan,
Bagi aku,
Kematangan itu dinilai oleh orang lain,
Melalui dari apa yang mereka nampak dari kita,
Seperti percakapan, pemikiran, pemahaman serta prinsip,
Atau mungkin juga umur,

Entahlah,
Kalau aku,
Lebih baik berfikir sebelum berkata-kata,
Jangan ada kesombongan,
Hasad dengki,
Lebih baik jika kita berkongsi dan buat semua orang tahu,
Seperti yang kita tahu,
Untung bersama.

Selasa, 11 September 2012

Manusia Percundang.

Masa lalu,
Kau bergantung dengan masa lalu,
Semua bergantung dengan masa lalu,
Namun,
Kau bersuara dan engkau saja yang bersuara,
Kau tutup masa lalu yang lainnya,
Supaya engkau saja yang wira,
Yang mengikut telunjuk dan caramu saja pahlawan,
Bertentangan ialah pelawan,
Sanggup kau hitamkan masa lalu mereka,
Supaya hanya engkau yang merdeka,
Kau kata semua keuntungan masih perawan,
Sembunyi-sembunyi kau cabuli,
Ada yang tahu, 
Kau jadikan pendosa,
Walau jelas nyata langkahnya menuju syurga,
Mewah pula si tukang simpan,
Simpan semua berhalamu,
Sedang engkau tahu,
Engkaulah saja, 
Manusia pecundang.

Sabtu, 8 September 2012

Rumit.

Melayari,
Dataran ini,
Berbunga-bunga,
Berduri-duri,
Meski,
Bisa ku terlihat,
Rumit,
Duri,
Terasa pedihnya,
Bunga,
Harumnya menarik jiwa,
Indahnya rupa,
Namun,
Salah satunya beracun,
Jika ku tergoda,
Tiada pedih, sakit, atau perih,
Kebas,
Sedikit-sedikit memamah jasad,
Lalu aku tumbang,
Pitam,
Pengsan,
Tak sedarkan diri,
Terus tak sedarkan diri lagi,
Jasad membusuk,
Maka aku kembali,
Bertemu Dia,
Dalam keadaan ku hina,

Khamis, 6 September 2012

Dia sahaja suci, selainnya tahi.

Sebenarnya, terbuntu juga aku akhir ini dalam memikirkan idea tentang perkara-perkara yang sesuai diisi di dalam blog ini sehingga kadang-kadang ada juga bermimpi untuk meninggalkan atau membubarkan blog ini tetapi setiap kali aku paksa mengetik anak panah tetikus pada kotak ''catatan baru'' ada saja idea yang datang atau sebenarnya tidak rela membiarkan halaman blog ini terbiar berhabuk maka aku berjanji akan terus mengisi ruang blog ini walau berapa tahap pentingnya catatan tersebut, dari sekadar diari hingga ke artikel panjang lebar selagi hayat masih dikandung badan.

Malam buta ini, aku ingin sekali menerangkan dan memperjelaskan berkenaan 'humble' atau merendah diri. Ya, jelas sekali bahawa aku bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi untuk menaip berkenaan topik seperti ini. Tapi jelas sekali bahawa itulah punca aku kurang berkeyakinan bagi membina kritikan sosial seperti ini setelah dulunya ramai yang terharu dengan hasil tangan kudung ini. Punca yang aku maksudkan ialah merendah diri.

Aku masih tidak pasti bahawa humble itu adakah sama artinya dengan merendah diri tetapi biarlah aku samakan saja 2 bahasa berlainan tersebut. Setiap apa yang kita lakukan di dunia ini sebenarnya terdapat had nya walau bebuat baik sekalipun mahupun dalam ibadat. Contohnya seperti peribahasa ''berbuat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali'', jelas mengajar masyarakat bahawa buat baik seperti menolong orang juga punya had kerana berkemungkinan besar orang yang ditolong itu mula biasa meminta-minta atau ditakuti merugikan diri sendiri. Begitu juga dengan ibadat, tidak dilarang untuk rajin beribadat malah amatlah mulia di sisi Allah tetapi hidup ini tetap ada hak dan tanggung-jawab sehingga Rasullullah s.a.w berpesan ''beribadat lah untuk akhirat seperti kita akan mati esok serta berusahalah di dunia seperti hidup 1000 tahun lagi'', begitulah perlunya juga kita bertanggung jawab dengan hidup ini seperti kita bakal menampung hidup 1000 tahun lagi walaupun pada masa sama kita perlu beribadat untuk akhirat seperti bakal mati esok harinya.

Rasa rendah diri itu memang sesuatu yang dituntut oleh agama, bangsa dan masyarakat terutamanya bagi seorang pemimpin atau individu yang ingin menabur jasa. Seperti kata Rasullullah s.a.w bahawa lebih mulia jika kebaikan yang dilakukan itu tidak dihebah-hebahkan sehingga tangan kiri tidak tahu atas apa yang dilakukan oleh tangan kanan sebegitulah yang aku fahami atau ringkasnya rendah diri itu boleh membawa kepada keikhlasan dan rendah diri lenyap apabila sikap menunjuk-nunjuk muncul dalam diri seseorang. Kesannya kepada ialah terhadap pergaulan sekeliling atau pandangan orang lain yang pastinya gemar menjurikan perangai orang daripada bahasa dan kelakuan. Apatah lagi, jika sesuatu kebaikan atau jasa itu diungkit-ungkit terutamanya saat terdesak mendapatkan pengaruh apabila dikritik.

Walaubagaimanapun, rasa rendah diri itu sebenarnya hanya perlu apabila kita harus menghormati kepandaian atau pendapat orang lain meskipun berlainan tetapi tidaklah pula kita dilarang untuk menyangkal kerana kita juga punya pendirian dan pemahaman tersendiri. Maka, rendah diri itu juga ada had nya supaya tidak mengganggu keyakinan untuk hidup dan begitu juga kadangkala kita perlu menunjukkan bakat kita kepada masyarakat supaya menarik kepercayaan masyarakat. Cuma jangan sehingga mengkhianati orang yang ternyata lebih layak atau lebih banyak dipercayai kerana biarlah kita menghormatinya walau perlu juga ada sikap bersaing itu.

Harap semua boleh memahami tentang penjelasan tanpa tauliah ini. Hahahaha.

Bukan apa, aku berasa simpati terhadap mereka yang hebat berbakat besar tetapi gagal untuk mendapatkan penghormatan kerana tidak mahu merendah diri. Tak sudah-sudah nak berlagak angkuh sombong. Dia sahaja yang suci manakala yang lain itu tahi.

Sekian.

Selasa, 28 Ogos 2012

Travelog Raya Ku 2012

Ketika di setiap tahun yang berulang,
Aku mendengar Aidilfitri mereka kurang terasa,
Meski mereka masih hadir di hari itu,
Tidak semalang saudara di tanah bergolak,
Maka aku bersyukur,
Erti Aidilfitri itu terfahamkan pada ku,
Serta tangan semakin segan menadah,
Tidak jemunya nikmat mencurah,
Kebahagiaan tak sudah,
Walau selalu aku tersalah.

Syawal ini,
Terpilih akhirnya aku,
Menunai Solat Sunat,
Digemakan takbir mendayu sayu,
Sudah itu,
Aku tidur lena di rumah sehingga hujung Luhur,
Akibat keletihan malam raya ku berniaga,
Memujuk kesempatan rezeki seadanya,
Malamnya berhibur bersama teman,
Hingga lewat pagi,
Maka berakhir mudah kisah di 1 Syawal.

Tidur lewat,
Maka bangkit ku juga di hujung Luhur,
Malam juga lah,
Dijemput beraya oleh teman di Kota,
Senang hati beliau kami datang beraya,
Disambut juadah enak tak terperi,
Kemudian bergegas ku memacu kereta pulang,
Selepas abah memanggil pulang,
Tetamu utara dan selatan bakal tiba,
Tidak sabar kami menunggu,
Abang kakak anak-anak semua berkumpul,
Berhari raya bersama,
Yanto saudara yang baru terjumpa turut bersatu,
Syukur beliau tidak terperi bila pertama kali beraya bersama keluarga ini,
Panjang dan sulit ceritanya,
Tetapi ini rahmat agung kurniaan Ilahi.
Bersama Yanto menonton bola di kedai mamak,
Hingga lah ke pinggir subuh,
Maka lewat lagi aku tidur.

Juga di hujung luhur ku terjaga,
Kerana suara abang Eri mengetuk lena ku,
Mengajak kami semua berjalan raya,
Memenuhi tradisi ziarah menziarahi di hari raya,
Pertamanya ke rumah abang Yandi,
Kemudian kami semua turut juga keluarga abang Yandi,
Menuju ke Seremban ke rumah kak Mimi dan abang Rafi yang baru punya cahaya mata baru,
Selepas itu,
Baby Kenari, Van Bang Rizal, Iswara Bang Eri dan Alza Bang Yandi memacu ke Pasoh,
Ke rumah Kak Niki yang juga baru punya cahaya mata sulung,
Hampir sejengkal tiba di Pasoh,
Rupanya Kak Niki tiada di rumah kerana berkampung di Rembau,
Terpaksa rela semua kami berpatah balik pulang ke Tampin,
Inilah pertama kali raya ku seindah ini,
Beraya bersama kakak dan abang,
Panjang dan sulit juga ceritanya,
Tetapi ini rahmat agung kurniaan Ilahi,
Tiba di rumah aku terus terlena kerana esoknya,
Aku bakal menyertai alumni tingkatan 5 sciences SMK Taman Indah 2008,
Maka tidur ku untuk esok.

Kali ini aku terbangun lebih awal,
Waktu dhuha,
Aku segera bersiap mengenakan baju melayu berseluar jeans hitam,
Meminta izin kepada semua untuk keluar beraya bersama kawan-kawan lama,
Aku sudah lewat sebenarnya,
Mereka sudah bergerak ke rumah kedua dalam jadual digubal Rhahimi,
Rhahimi boleh aku nilaikan sebagai ikon kepada ramai orang,
Hari ini beliau merupakan leader bagi alumni ini,
Ternyata 14 rakan-rakan lain menghormati kreadibiliti beliau,
Sebenarnya setiap tahun mereka adakan aktiviti seperti ini,
Cuma aku yang sudah lama tak bersua,
Maklumlah,
Umumnya rakan seumur aku di Tampin ini,
Hampir seluruhnya menyambung pengajian di IPT,
Tinggallah aku saja di Tampin,
Malahan aku hanya sekelas dengan mereka hingga tingkatan 4 saja,
Lalu berpindah ke Sm Teknik Port Dickson,
Dahulu aku pernah juga menyertai mereka beraya bersama mereka,
Aku masih ingat waktu itu kami hanya naik bas bersama beraya hingga ke Keru,
Tak berapa rumah yang kami dapat ziarah waktu itu,
Hari ini 7 rumah dirancang oleh Rhahimi,
Semua dikehendaki mengenakan baju melayu full dan baju kurung,
Walaupun aku sudah terlewat menyertai mereka,
Namun aku berjaya mendapatkan mereka ketika terlihat kereta-kereta mereka beratur berkonvoi menuju ke Desa Permai lalu aku terus mengekori mereka,
Terkejut juga mereka mendapati kehadiran aku tiba-tiba,
Terutamanya Rhahimi,
Mungkin kerana terlalu lama tak bersua ada sedikit rasa segan bagi aku,
Tapi akhirnya aku makin selesa,
Rumah pertama yang aku sertai ialah guru sejarah serta GPK HEM,
Ustaz Isa yang memuji jambang aku,
Aku kelewatan 2 buah rumah,
Rumah Rhahimi dan Cikgu Ramlah yang merupakan seorang guru kimia mereka,
Selepas itu ke rumah Norli yang turut menyertai aktiviti alumni ini,
Terkenal dengan buah naga,
Maka kami di sambut dengan juadah buah naga seperti jus buah naga,
Terima kasih Norli kerana aku memang aku sudah lama mengidam buahan unik tersebut,
Kemudian kami ke rumah Farah yang terletak di Repah,
Ada cerita yang buat aku terharu di rumah Farah,
Rhahimi menyuap makanan ke aku lalu Taufiq mengusik,
Taufiq : Waa sweet nya suap-suap.
Rhahimi : Elehh dulu masa sekolah rendah kitorang pernah makan sepinggan dari darjah 3 sampai darjah 5.
MasyaAllah beliau masih ingat,
Benar sekali memori itu,
Kami memang sudah seperti bersaudara,
Tapi benarlah bahawa Allah itu tidak mengampakan,
Aku sentiasa didakapi jiwa-jiwa indah sempurna,
Kemudian kami menunaikan solat zohor berjamaah di masjid berdekatan,
Di imam kan oleh Rhahimi,
Sambung perjalanan ke rumah Zulaikha di Taman Indah,
Oh lupa,
Kogulan dan Wang Siow Sing juga turut serta dan mengundur diri setelah selesai beraya di rumah Zulaikha,
Destinasi seterusnya agak jauh,
Iaitu rumah Cikg Faridah di Kendong,
Di sini Afif meminta diri,
Aku ditemani Taufiq menghantar Afif ke rumahnya sedang lainnya meneruskan perjalanan ke Gadong rumah Cikgu Rohaya,
Selepas menghantar Afif di pulang,
Ada cerita mengejutkan semasa dalam perjalanan ke Gadong,
Inallillahi wa innalillahi roji'un,
Al fatihah untuk arwah Nazrin Shah,
Aku baru tahu akan kepulangannya ke rahmatullah,
Selepas di khabarkan oleh Taufiq,
Selepas rumah Cikgu Rohaya,
Selepas solat asar berjemaah,
Kami berangkat pula ke Pedas yang terletak di Rembau,
Rumah guru kelas 5 science 2008 Cikgu Azira,
Di pinggiran senja,
Syakir yang telah bertunang serta semua teman wanita meminta diri,
Samada keletihan atau ada urusan menjadi alasan,
Tinggal aku, Rhahimi, Taufiq, Hidayat dan Rashidi melengkapkan jadual,
Ada janji 2 buah rumah lagi selepas maghrib,
Rumah Cikgu Abu Bakar yang sudah bersara dan rumah Ustaz Safri,
Tersangat keletihan,
Aku terlelap di masjid Kuala Ina selepas solat maghrib semasa menunggu Rashidi dan Hidayat yang pulang sebentar ke rumah masing-masing,
Aku meninggalkan Baby Kenari di perkarangan masjid dan menaiki kereta Rashidi untuk ke rumah Cikgu Abu Bakar,
Mujur aku sudah kurangkan kapasiti perut ini,
Banyaknya makanan yang kami perlu habiskan di rumah Cikgu Abu Bakar,
Sebelum itu Cikgu Abu Bakar mengajak kami  ke masjid Kg. Tanjung Rimau menunaikan solat isyak berjemaah,
Sebelum bersara beliau merupakan guru kemahiran hidup dan lukisan kejuruteraan,
Sempat beliau menunjukkan projek ayam belanda beliau,
Terpegun melihat ketuhar-ketuhar yang di buat sendiri oleh beliau,
Hanya dengan papan-papan meja dan kerusi sekolah,
Digunakan untuk mengeram telur,
Dibawa kami ke reban ayam belandanya yang agak luas terletak di belakang rumah beliau,
Selesai berkongsi pengalamannya selepas pencen,
Akhirnya kami bakal menuju ke rumah terakhir seperti dijadualkan,
Rumah Ustaz Safri,
Beliau pernah menjadi jurulatih bolasepak bawah 15 tahun Smk Taman Indah,
Semasa itu aku berada dalam pasukan yang menjadi naib juara peringkat daerah tahun 2006,
Aku juga terpilih mewakili daerah Tampin ke peringkat negeri,
Hebat juga lah aku main bola dulu,
Ahaksssssss,
Oleh kerana itu, Ustaz Safri masih mengingati aku,
Atau mungkin kerana beliau pernah mengajar aku subjek pendidikan Islam semasa tingkatan 1,
Ustaz Safri juga memuji jambang ku,
Aww,
Dan Ustaz Safri juga baru mengetahui kepergian tangan kiri aku semasa timbul kehairanan ketika Taufiq menyuap makanan ke aku,
Beliau agak kesal juga kerana tidak perasan semasa bersalam dengan aku,
Mungkin kerana telalu tertumpu ke arah jambangku,
Apa-apa pun kami lah 5 last man standing,
Aku, Rhahimi, Rashidi, Taufiq, Hidayat,
Kami berjaya menamatkan aktiviti alumni selepas meminta diri pada pukul 11.30 malam,
Sampai di rumah aku terus terlena membawa realiti ke dalam mimpi,
Hari yang indah,
Tetapi ini rahmat agung kurniaan Ilahi,
Semoga tahun depan ada lagi seperti ini.

Minggu ini,
Semua sudah kembali berkerja,
Kembali pulang ke IPT masing-masing,
Aku akhiri travelog ini,
Semoga khabar gembira buat semua.

Sabtu, 25 Ogos 2012

Seperti Mahu Mu

Di atas lapangan,
Rumpunan hijau luas pandangan,
Guruh meluahkan jeritan,
Menikam awan tebal cerah,
Kerana tegarnya awan,
Beban ditampung tanpa sesal,
Pandangan kekal meluas,

Tirai malam sejengkal terbuka,
Pergilah matahari,
Biarkan awan tidur,
Hingga bintang pun cemburu,
Bulan temani awan melena,

Bibir ini hanya mampu terdiam,
Mata ini kaku memandang,
Rasa hiba ku,
Terharu aku,
Melihat indahnya purimu,
Berhias bersemi kasih tulus mu,
Leher ku beku,

Hanya mampu,
Ku telusuri rumpunan itu,
Yang tidak kupasti,
Duri ranjau entah di mana,
Tapi perlu kulepas,
Biar nanti kutangkas,
Sehebat dirimu,
Seperti harapan mu,
Seperti mahu mu,






Kad Raya Aidilfitri 2012 - Turunkan Berat Badan.

Stok juadah raya dah habis kan? 
Balang-balang kueh raya pun dah kosong rasanya. 
Aku berjaya turun 2 kilo pada pertengahan Ramadhan daripada 77 kg sebelum itu,
Tetapi di pagi 1 Syawal,
Berat badan aku naik kepada 80 kg,
Ini sudah melampau,
Tinggi aku hanya 136 cm,
Makanya,
BMI aku sudah tidak stabil,

Berat badan aku mula naik sejak kemalangan dahulu,
Serta 5 pembedahan menjadi akibat,
Berpunca daripada darah yang disedut oleh jarum suntikan daripada badan aku,
Sejak itu selera aku bertambah,
Sebelum kemalangan,
Berat aku hanya 60 kg,

Oleh itu,
Aku perlu berkerja keras,
Turunkan berat badan kembali menjadi ideal,
Semoga Allah memberkati.

Khamis, 23 Ogos 2012

Kad Raya Aidilfitri 2012-Nikmat

Ku tekap tapak tangan ke muka,
Ku tekan kuat kelopak mata yang terpejam,
Di dalam kelopak mata ini terkandung air,
Jika ku lepaskan maka tercurah lah air itu,
Tangis yang sukar ku gambarkan dengan kata-kata,
Kerana mereka tidak pernah akan faham,
Bertapa besarnya nikmat ku kecapi hari ini,
Mereka kata kehidupan tidak lagi sama,
Selepas tangan aku tiada,
Demi Tuhan,
Mereka salah dalam mengerti hidup ini,
Kerana lupa akan apa yang terada bagi mereka,
Terlupa bahawa Tuhan telah mengatur segala,
Aku hanya hilang satu tangan,
Tapi Tuhan berikan aku berjuta-juta tangan,
Dia dakapkan pada ku berjuta-juta hati yang indah,
Di hadiahkan pada ku sebuah kehidupan lebih berharga,
Kehidupan memang menghampakan,
Tapi Tuhan tidak pernah menghampakan,
Kerana hamba perlu belajar bersabar mengikut arahan,
Ia mudah,
Tapi sukar untuk meletakkan dunia itu hina,
Di dalam tapak tangan kita,

Hari ini hari raya,
Aidilfitri,
Jangan pernah lupa akan ukhwah,
Walau setiap hari kita semua bersaudara,
Tapi hari ini,
Mereka benarkan kita naik ke rumah,
Bersalam yang terkandung ucapan,
Ucapan gembira pemberian yang Maha Esa.

Ahad, 19 Ogos 2012

Kad Raya Aidilfitri 2012 - Pagi Lebaran

Langit cerah berkaca,
Pagi yang syahdu diseri kabus,
Mentari bangkit dari tidur lena,
Sinar indahnya bertebaran,,
Menerangi hati yang gembira,
Nafas baru di hari baru,
Hari penuh mulia,
Kemenangan,
Kuhela nafas se dalam-dalamnya,
Hingga mata ku terpejam,
Tangan ku mendepa,
Mendongak ke langit baru,
Kicauan burung melagu,
Suara takbir mendayu-dayu,
Meluah rasa syukur,
Walau batin masih rindu,
Bersujud bersama,
Moga kekal rindu yang terpilu..





Sabtu, 18 Ogos 2012

Ramadhan 2012 The End

Wow!!
Tiba-tiba sudah hari akhir,
Macam tak percaya, macam mimpi,
Hari ini hari akhir?
Betul ke ni?
Sah memang sah,
Hari ini hari terakhir Ramadhan.

Sebulan berhias terik mentari,
Akhirnya, senja menjelma,
Tanda perang untuk tahun ini tamat,
Lalu esok kita berpesta raikan kemenangan,
Bagi mereka yang menang,
Untuk mereka yang berjaya,
Alhamdullillah,
Doa kita bersama-sama,
Memohon berkat Sang Pencipta,

Dingin ditamatkan,
Bibir-bibir yang tak bertegur sapa mula bersuara,
Di hari kita bersaudara berjabat,
Memohon maaf zahir dan batin,
Moga kukuh hingga akhir waktu,

Semua mula berhias,
Menghias,
Semua kita cuba gambarkan keseronokan,
Walau ada yang tak senasib,
Kita beringat-beringatlah....

Selamat Hari Raya

Isnin, 13 Ogos 2012

Ramadhan 2012 Day 24 - Persoalan

Ada seorang teman rapat, tiba-tiba mengemukakan kepada aku tentang sebuah persoalan daripada banyak persoalan yang tercatit dalam benak fikirannya seperti kebiasaan manusia lainnya yang selalu ada saja persoalan. Persoalannya ialah, kenapa ada orang yang kuat beribadah seperti solat, zikir, baca Al Quran tapi masih lagi buat jahat?

Wow. Ya Allah, kenapa aku yang tiba-tiba diajukan soalan seperti ini? Subhanallah.

Aku tanya semula, adakah orang semacam itu? Barulah dia terpinga-pinga dan aku terus menyambung,

Kalau benar ada, mungkin sekali ia adalah kesilapan, kerana Allah akan tetap terus menguji hambaNya dan jika hambaNya itu tersilap dan dia masih ingat akan Allah tempat dia bergantung maka dia akan segera bertaubat tetapi jika dia teruskan kesilapan itu bermakna memanglah manusia itu pelupa. Sebenarnya, dia terlupa saat-saat dia bermohon serta meminta tolong kepada penciptanya selepas dia diuji barangkali dengan  dunia maka menjadilah dia itu hina kembali. Na'uzdubillahi min zaliq.

Seperti seorang yang suka berkaki ayam apabila keluar rumah, kemudian terpijak duri lalu tak tertahan lah sakit nya dan kemudiannya dia menyesal dan bertekad untuk memakai selipar. Setelah itu, amanlah dia kerana tidak terpijak duri lagi lalu semakin lama dia berasa selamat akhirnya dia kembali keluar rumah berkaki ayam dan terbuanglah semula selipar itu. Begitulah perumpamaannya. Allahu a'lam.

Alhamdullillah. Mujurlah beliau akhirnya faham, cuma aku katakan pada teman aku itu,

'belajar, baru terasa hidup, jangan jadi bodoh'

Khamis, 9 Ogos 2012

Ramadhan 2012 Last 10 Days - Demam.

Setakat ni, Alhamdullillah masih belum putus aku berpuasa, cuma hari ini aku dijangkiti selsema akibat demam yang tiba-tiba melanda, makan sahur dan iftar tak selera, langkah jadi lemah, kepala juga pening-pening, menuntut aku untuk tidur sahaja sepanjang hari ini. Mungkin disebabkan cuaca yang tiba-tiba panas di siang nya dan malam yang sejuk di tiup angin bersalut embun. Aku yang terpaksa tidur di khemah ekspo akhirnya, terkena bahana nya. Namun, puasa wajib diteruskan, perjuangan penuh mulia dan penawar supaya terubat sakit nya hati yang lama tercemar. Dengan kuasa Allah, aku akan tetap kuat berpuasa dan syukurlah kerana ia dikuatkan oleh sebuah perintah teragung Allah, iaitu solat.

Memanglah benar, solat itu tiang agama, tanpa solat maka tiadalah kecekalan bagi aku menghidup-hidupkan kehidupan ku. Bagai kereta yang wajib berenjin untuk digerakkan atau kenderaan yang perlukan pemandu, begitulah solat bagi aku jika dianalogikan. Aku berharap Allah tidak akan mengambil kembali nikmat ini daripada aku yang bertangan satu, kerana hidup aku mendung tanpa nya hingga terhalang hubungan ku dengan langit dan rajanya. Maka, aku bersyukur dengan kesakitan ini, kerana Tuhan ku masih memandangku.


Isnin, 6 Ogos 2012

Ramadhan 2012 Day 17 - Nuzul Quran.

Ketika menaip catatan ini, merupakan malam ke 17 ramadhan al mubarak. Malam ini juga mempunyai rakaman bersejarah dalam lipatan sirah berkenaan cahaya agung sekaligus menjadi rahmat buat sekalian alam. 17 Ramadhan 3 tahun sebelum masihi merupakan tarikh yang dipersetujui ulama yang ramai sebagai hari turun Al Quran serta kenabian Nabi Muhammad s.a.w ketika usia baginda menjangkau 40 tahun pada tahun 610 masihi. Di negara ini, hari memperingati peristiwa Nuzul Quran diputuskan pada setiap 17 Ramadhan maka sekitar malam ini lah kejadiannnya.

Iqra' bismirabbikallazi halaq. bacalah dengan nama Tuhan mu yang maha mencipta. Ayat pertama dari surah Al Alaq. Bermula saat itu lah akhirnya kita pada hari ini mempunyai agama selengkap dan sesempurna ini, sesudah titik peluh dan jerih payah Rasullullah s.a.w menghapuskan tradisi jahilliyah yang dibencinya, kemudian sisa hidupnya terus dikorbankan dengan menegakkan syiar Islam agama Allah s.w.t untuk umatnya  kelak. Rasullullah s.a.w dan para sahabat serta Asy Syahid ketika dulu itu masih diingati hingga kini maka, semoga sejarah agung ini terus diingati, diperingatkan, diajarkan serta menjadi pedoman kehidupan kita dan oleh itu tidak lagi jauh hidup ini dari Al Quran lalu menjadi sesempurna agama ini.

Insya Allah.

Sabtu, 4 Ogos 2012

Ramadhan 2012 Day 15 - Catatan Tertunda/Buka Balut.

Dah puasa ke berapa dah hari ini? Pejam celik, celik pejam dah puasa ke 15 maknanya, sudah 2 minggu kita berpuasa. Haih, kesibukan dunia, banyak perkara yang aku tak dapat nak 'update' pada halaman ini. Tapi ada juga sedikit perkara yang ingin aku kongsikan jua, berkenaan tangan kanan yang berbalut bersimen selama 6 minggu, kelmarin, doktor sudah membenarkan supaya balutan ini dibuka. Kemudiannya, aku segera dilatih untuk menggunakan otot yang telah diperbaiki ini.

Seperti jatuh ke dalam tekak tangisan itu, semasa ku sembunyikan sedu dalam senyuman, tak sangka otot tersebut sudah punya sedikit kekuatan sehingga aku mampu mengangkat tangan di bawah siku hampir 45 darjah. Alhamdullillah. Yup, orang lain takkan faham sebab kadang-kadang mereka lupa bahawa sebelum ini ia tidak boleh diangkat langsung dan bila mereka melihat ia sudah boleh diangkat walaupun sedikit tapi tiada siapa yang terkejut melainkan yang terdekat dengan ku seperti keluarga.

Tak apa lah, yang penting, syukur ku hanya pada Allah azza wa jalla.

Selasa, 31 Julai 2012

Ramadhan 2012 Day 11 - Gurau Kasar.

Sememangnya, masyarakat di mana-mana pun di seluruh pulusuk dunia ini mempunyai suatu tabiat dalam bidang pergaulan yang digelar 'bergurau' atau kata dasarnya 'gurau'. Gurau mudah kita dapati di dalam sejenis perbualan yang dikategori sebagai 'bual kosong' dan terdapat juga bagi seseorang yang suka mengusik dan juga bagi seorang yang lucu. Tujuannya, supaya suatu gelak tawa dapat dicipta. Begitulah makna 'gurau' yang aku fahami.

Seringkali, terusik pada gegendang telinga aku tentang suatu gurauan yang aku tak boleh terima iaitu kata-kata seperti, ''ohh..kau Islam rupanya.''.

Ya, niat memang hanya bergurau tetapi hati-hati kerana ia seperti kau mengkafirkan seseorang yang kau tahu dia masih muslim. 2 kalimah shahadah sudah menjadikan seseorang itu Islam, solat bagi mengukuhkan atau mendirikan tiang agama untuk dirinya sesudah dia percaya dengan Islam. Begitu juga dengan ibadat yang lain.

Berhentilah bergurau sedemikian rupa kerana mengkafir-kafirkan ini kerja orang munafik dan hipokrit. Memang terdapat ulamak yang menjatuh hukum mengkafirkan atau menyesatkan tetapi mereka punya hujah serta alasan di hadapan Allah azza wa jalla. Gurau itu ialah bual kosong manakala bual kosong itu sesuatu yang sia-sia dan perbuatan sia-sia itu dibenci Allah s.w.t maka, adakah gurau layak dijadikan alasan di hadapan Allah kelak?

Oleh itu, hanya Allah saja yang Maha Bijaksana serta Maha Adil dalam segala urusanNya.

Ramadhan 2012 Day 11 - Catatan Tertunda.

Subhanallah walhamdullillah.

Seminggu sudah kita tempuhi Ramadhan tahun ini. Walaupun baru seminggu, tapi, rasanya sudah banyak cerita berkenan cabaran dan dugaan yang telah ditempuh seminggu ini. Lepas taraweeh, lepak kedai minum dengan kawan-kawan, sudah tentu ada di kalangan kita yang akan berkongsi pengalaman puasa nya setiap hari. Seperti terpaksa berkerja berat, terliur melihat non-muslim minum di bawah panas terik, gangguan zina mata yang menggoda nafsu dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, tahniah kepada mereka yang masih bisa bertahan dan semoga berjaya dalam pertempuran dahsyat ini.

Aku ingin memohon maaf kerana tidak dapat menaip catatan-catatan mengikut sehari-hari disebabkan kesempitan masa memandangkan terpaksa menguruskan perniagaan ku di bazar ramadhan yang sudah mulai beroperasi minggu ini di Tampin.

Semoga Allah murahkan rezeki kita semua.

Khamis, 26 Julai 2012

Ramadhan Day 5 - Catatan Tertunda

Hari ke-5 Ramadhan, tetap juga sama saja seperti hari-hari sebelumnya. Maklumlah, aku masih belum recover daripada pembedahan kelmarin. Kalau dikira-kira masa, sudah 5 minggu berlalu daripada tarikh pembedahan tersebut sedang aku disaran doktor pakar supaya memakai balutan ini selama 6 minggu barulah boleh dilepaskan balutan bersalut simen bercampur fiber glass yang keras serta agak berat ini. Maka, hanya tinggal lagi 1 minggu menjelang 2 Ogos di mana tarikh ini aku mempunyai temujanji pakar dan ketika itulah tangan ini bakal merdeka! 

Menonton filem Ketika Cinta Bertasbih, 4 jam (2jam pertama KCB 1, 2jam kedua KCB 2) juga durasi nya namun, sangatlah terkesan dan terinspirasinya aku dengan filem yang diadaptasi dari novel Ketika Cinta Bertasbih karangan Habiburrahmah El Shirazy.
Tentang Khairul Azzam yang menuntut pelajaran di Universiti Al Azhar, Mesir sambil berkerja keras menjual tempe dan bakso bagi menampung pembelanjaan keluarganya di kampung halaman. Perjuangan watak Mas Azzam dalam menuntut pelajaran sambil menghidupi keluarganya serta usahanya dalam menemukan jodohnya sambil tetap berpedoman dan berprinsip kepada agama boleh menuntun kita serta menjadi inspirasi yang sangat bermanfaat. Selain kisah watak utamanya, watak-watak lain juga mempunyai peranan tersendiri dalam menuntun dan memotivasi penontonnya. 

Itu sajalah catatan untuk hari ke 5 aku berpuasa.

Selasa, 24 Julai 2012

Ramadhan 2012 Day 4 - Guris

''Puasa konon, tah ikhlas tah tak tu?''

Bagi kawan-kawan yang ada habit macam ni, tanya kepada diri sendiri serta nawaitu kita terlebih dahulu, mengapakah kita berpuasa? Masih mahukah kita menimbul-nimbulkan permusuhan serta syak wasangka dalam keadaan kita benar-benar yakin yang kita ini sedang berpuasa? Oleh itu, ikhlas kah puasa dengan kata-kata yang dilontarkan itu?

Puasa di bulan Ramadhan ini wajib, rela atau terpaksa ia tetap wajib kita kerjakan. Tanpa konpromi, baik miskin, kaya, soleh, jahil atau sesiapa pun asalkan masih mahu beragama Islam, wajib mengerjakannya. Cuma, orang yang tidak waras sahaja yang tidak perlu puasa.

Oleh yang demikian, perkara wajib seperti ini tidak sepatutnya dipersoalkan kerana ikhlas amal ibadah itu hanya Allah yang layak menimbang. Lebih elok rasanya kita dekati individu yang disangsikan itu, lalu sedikit demi sedikit kita bimbing supaya dia merasakan kelazatan ibadah.

Daripada kita guris lebih baik kita tampal, lukis serta warnakan.

Isnin, 23 Julai 2012

Ramadhan 2012 Day 3 - Ya Rabbi

Ya Rabbi,
Aku bermohon kepada Mu,
Teguhkan lah iman ku,
Kuatkan asa ku,
Jangan Kau biarkan aku berpaling
serta melupakan Mu namun 
Engkau biarkanlah rindu ini hanya untuk Mu,

Ya Rabbi,
Aku tidak tahu berapa panjang lagi usia ku,
Dikala mana hayat ku akan terhenti,
Sungguh hanya Engkau yang tahu,
Jangan tinggalkan ku sendiri
di dalam kesamaran ini
mencari cahaya kesinaran kasih Mu,

Ya Rabbi,
Aku tahu keberadaan kasih Mu itu
Aku sedar hidayah Mu itu sudah terbentang untuk ku
Maka aku tahu dan sedar akan kelalaianku ini
Leraikanlah kemendungan langit ku ini,
Debu hitam yang menyamari penglihatan ku,
Agar aku tidak tersalah arah lagi,
Hingga tidak lagi ku tersasar dari jalan Mu,

Ya Rabbi,
Aku yakin Engkau mengetahui lebih dari aku,
Akan apa yang terbaik untuk ku,
Penawar buat titik hitam yang meliputi hatiku,
Dekatkanlah penawar itu kepada aku ya Tuhan,
atau Engkau ubati saja lah ia,
Kemudian terang mata ku melihat keperkasaan Mu,
Sehingga akhir nanti,
Aku lebih bahagia lagi berbanding hari ini,
Bersama dengan Mu.

Aameen.


Ahad, 22 Julai 2012

Ramadhan 2012 Day 2 - Surat Kecil Untuk Tuhan


Terberos lagi hari ini yang merupakan hari kedua Ramadhan 1433h. Mana tak nya, malam tadi melepak di kedai mamak hingga pukul 3 pagi bersama teman-teman sejurus tiba di rumah aku serta merta menghidupkan laptop untuk online. Dipendekkan cerita lepas Subuh baru tidur. Kira-kira pukul 3 petang aku terjaga hari ini.

Masuk hari kedua ni, cabaran untuk aku sama juga seperti semalam, hanya termenung di depan laptop, adik aku kata laptop ni dah melekat kat muka aku, hahaha. Tapi hari ini aku layan cerita sedih, movie Indonesia yang diadaptasi dari novel best-seller serta berdasarkan kisah benar kehidupan Gita Sesa Wanda yang merupakan pesakit kanser Rhabdomyosarkoma yang pertama di Indonesia.

Surat Kecil Untuk Tuhan. Judulnya sudah memberikan aku rasa tragis nya drama yang berunsur biografi ini. Gita Sesa Wanda Cantika atau nama timangannya Keke, selalu memikirkan adakah dirinya akan dikenang oleh keluarga dan teman-teman selepas dia mengenang jasa-jasa tokoh dunia yang dikenalinya dari minat beliau kepada pelajaran sejarah serta mengakui Muhammad s.a.w ialah rahmat bagi sekalian alam. Ya, Keke juga ingin dikenang dalam lipatan sejarah.

Dan sekarang, Keke memang sedang dikenang dalam catatan ini, dinovelkan, difilemkan sudah cukup untuk mengenang kisah hidupnya yang tegar. Begitu juga akan kecekalan ayahnya yang berhempas pulas mencari ikhtiar untuk menyembuhkan anak perempuan satu-satunya itu. Keke juga pelajar pintar dan disayangi guru dan semua teman-temannya manakala orang tuanya pula sudah berpisah dan gadis tabah ini tinggal dengan ayahnya bersama 2 orang abang nya. Walaupun, ibu bapanya bercerai tetapi mereka tetap menyayangi Keke dan beliau sangat beruntung kerana hidup di dalam keluarga yang berada.

Jujur, aku terkesan dengan drama ini. Pada mula, semua nampak okay sehingga gadis cantik ini menghidap kanser sehingga muka nya bengkak sebelah kiri. Beliau terpaksa menjalani serangkaian kemoterapi dan radiasi yang menyeksakan sehingga rambut nya gugur dan muntah-muntah tetapi bengkak di pipi nya semakin susut lalu doktor pakar menyatakan ketekunan ibu bapa Keke berjaya membuahkan hasil dan Keke menjalani aktiviti nya seperti biasa.

Tak disangka, setahun kemudian, kanser tersebut merebak semula malah teruk dan mematikan. Banyak scene yang buat aku merasa sangat terharu tadi, nak nangis, tapi adik aku ada kat sebelah aku ni nonton sekali. Spoil. haha Tapi aku tetap feeling.

Kalau berani tontonlah, kat Youtube.



Gita Sesa Wanda Cantika bersama teman baiknya.
(kisah nyata) 












Tuhan,
Andai aku bisa kembali,
Aku tidak ingin ada lagi,
Hal yang sama terjadi padaku,
Terjadi pada sesiapa pun

Tuhan,
Berikanlah aku kekuatan,
Untuk menjadi dewasa,
Agar aku bisa memberikan arti hidupku,
kepada sesiapa pun yang mengenalku,

Tuhan,
Surat kecilku ini,
Adalah surat terakhir dalam hidupku,
andai aku bisa kembali ke dunia yang Kau berikan padaku.

-surat kecil untuk Tuhan.

Sabtu, 21 Julai 2012

Ramadhan 2012 Day 1 - Malas

Hari pertama puasa di bulan Ramadhan, selepas makan sahur tadi pagi aku terus menyedut 2 batang rokok sementara menunggu azan subuh. Selepas subuh,  aku sambung tidur dan terjaga kira-kira pukul 2 petang dan kelihatan ayah aku masih tidur. Tetapi tidak lama selepas itu, ayah aku pun terjaga dan beliau terus ke bilik air untuk serta menunaikan solat fardhu Zuhur sejurus selepas itu. Memang agak lewat aku bangun hari ini, hukum kata makruh tapi dah terberos nak buat macam mana kan.

3 jam menjelang waktu berbuka, kesan menahan nafsu hampir tiba di kemuncak, malah terbau-bau pula masakan jiran sebelah rumah aku ni yang berbangsa cina. Tapi aku tetap wajib bertahan sebab akal aku masih waras untuk tumbang kerana bau-bauan itu. Namun, setakat ini aku masih bisa bertahan walau perut sudah meminta-minta.

Untuk waktu ini, kekuatan kita bukan lagi kepada makanan dan minuman tetapi apa yang menjadi kekuatan sedang berpuasa ialah kepercayaan kepada Allah. Tak perlu nak tunjuk kepada masyarakat yang kita sudah lemah dan longlai disebabkan berpuasa. Aku teringat semasa menyertai sebuah seminar motivasi yang diadakan dalam bulan Ramadhan semasa tahun SPM dahulu. Pelajar semuanya sudah mula menunjukkan tanda-tanda penat manakala motivator yang berbangsa India meminta kami untuk membuat sesuatu aktiviti yang telah diaturkan tetapi kami sudah mulai penat lalu salah seorang pelajar melayu melaungkan ''Puasa!!''.

Serta-merta motivator menjawab, ''saya tahu kamu semua berpuasa, tetapi kamu tak perlu menunjuk-nunjuk kemalasan itu kepada saya kerana itu bukan puasa tapi malas''.

Jangan sesekali kata tak larat kerana berpuasa, malu lah kepada sahabat yang berperang di Badar 1400 tahun dahulu di tengah-tengah kepanasan dan kehangatan padang pasir lalu berdepan dengan tentera musyrikin yang lebih ramai. Kerana percaya mereka kepada Allah, mudah saja musuh dikalahkan sehingga terbunuhnya Abu Jahal. Peperangan tersebut berlaku dalam bulan Ramadhan dan tentera Islam berpuasa semuanya.

Jadi, jangan jadi malas di bulan yang penuh mulia ini kerana Allah suka hambanya yang rajin dan sabar.

Senang cerita, jangan salahkan puasa.

Ramadhan 2012 Day 1 -Pembuka

Seperti Ramadhan tahun lalu, aku akan menulis catatan bersempena bulan penuh kemuliaan di siang dan malamnya ini. Sekarang sudah hampir pukul 3 pagi dan beberapa jam lagi kita akan mula berpuasa sedang sebelum fajar menjelma kita perlu bersahur seperti yang dituntut oleh Rasullullah s.a.w. agar kita bersahur walau sebiji kurma sekalipun dan seelok-eloknya di akhir malam iaitu semasa waktu yang hampir dengan terbitnya fajar.

Baiklah, sepanjang puasa ini aku akan mencatat lagi tentang pemikiran masyarakat di sekeliling aku sepanjang bulan Ramadhan AlMubarak ini. Ya, seperti biasalahkan.

Semoga kita bersama-sama memperbaiki antara satu sama lain.

Selamat Berpuasa. Jangan lupa niat.

Jumaat, 20 Julai 2012

Ramadhan Countdown - Selamat Berpuasa!

Itu dia 1 Ramadhan sudah tiba menandakan setiap umat Islam yang sudah akil baligh dan waras wajib berpuasa. Sebentar lagi, kita akan menuaikan solat fardhu Maghrib dan kemudiannya kita bersama berjemaah mengerjakan solat sunat Taraweh. Semoga Ramadhan tahun ini lebih bermakna dan penuh dengan ibadah.

Kita bakal berpuasa selama sebulan bermula esok hari kala terbit fajar dan berbuka puasa ketika matahari terbenam.

Selamat berpuasa!

Khamis, 19 Julai 2012

Ramadhan Countdown-3 (Langit dan Bumi)

Hari ini Khamis 29 Syaaban 1433h, Maghrib nanti maka ada lagi 1 hari sebelum datangnya Ramadhan. Ketika menaip catatan ini, cuaca agak dingin kerana hujan renyai-renyai sedikit turun walhal langit masih kelihatan cerah. Tiba-tiba abah menjelaskan cuaca begini memang sering berlaku menjelang pertukaran bulan Islam apabila bulan mula berselisih dengan matahari. Kata beliau lagi, kalau nak tengok anak bulan sekarang ini memang tak nampak kerana langit ketika ini kelihatan mendung berpunca daripada fenomena tersebut. Lebih kurang begitulah keterangan abah yang sebenarnya setiap tahun menjelang Ramadhan abah akan bercerita tentang ilmu falak sehingga menjadi rutin kepada adik aku melihat bulan penuh setiap 15 haribulan dalam kalendar hijrah. Abah memang meminati ilmu falak dan kini nampak seperti minatnya itu mula mempengaruhi adik aku yang mula menunjukkan minat terhadap bidang ini.

Kemudian, aku terfikir akan ciptaan Allah di langit seperti bulan, matahari dan semua bintang-bintang sebenarnya mempengaruhi ekosistem dan bencana yang berlaku di bumi. Allah menciptakan segala yang di langit dan di bumi itu bergantung antara satu sama lain menjadikan apa yang berlaku di sekeliling kita sangat logik dan saintifik. Jika berlaku gerhana matahari atau bulan pasti akan diadakan solat sunat gerhana bagi memohon dijauhkan dari bencana, begitu juga agama lain ada cara mereka tersendiri selain menganggap sesuatu yang sial akan tiba. Seperti fenomena pasang surut yang dipengaruhi bulan begitu jugalah bintang-bintang lain turut mempengaruhi apa yang berlaku di bumi maka cukup bagi kita dengan meyakini bahawa Allah itu maha pencipta serta percaya kepada qada dan qadar maka dengan ini kita bisa memahami tentang apa yang dikatakan sebagai hikmah. Oleh itu, Allah menyuruh kita untuk belajar akan segala yang ada di langit dan di bumi supaya kita tahu akan kebenaran dan mengakui Allah itu maha bijaksana.

Bagaimana kita boleh menyangkal semua ini dicipta oleh Allah sedang Dia sendiri menuntut hambaNya supaya belajar serta membongkar misteri-misteri kejadian dan itu tandanya Allah tidak sesekali ingin membutakan mata kita melainkan kita sendiri yang membutakan mata kita sendiri dengan tidak mahu belajar.    Sebahagian dari kita sering mempersendakan kepercayaan agama lain yang dianggap tahyul tetapi kita tidak pernah berfikir kenapa agama ini benar dan kenapa kepercayaan itu perlu ditertawakan sedang Allah itu meliputi keseluruhan langit, tanah, angin, cahaya, tumbuh-tumbuhan dan manusia jadi memang apa yang kepercayaan tersebut rasakan sebenarnya Allah tetapi mereka tidak mendapat kebenaran dan akidah seperti kita. Oleh itu, bersyukurlah dengan rahmat yang Allah berikan kepada kita ini iaitu sebuah agama yang benar. Begitu juga dengan golongan atheis yang menolak kewujudan Tuhan dalam kejadian alam, mereka juga buntu apabila tiada penglibatan Tuhan dalam setiap kejadian maka kita perlu bersyukur kerana kita sudah tahu lama akan jawapan kepada setiap kejadian itu.


Iaitu ''La illa ha illallah'' -tiada tuhan selain Allah-



Agama Moden

Di zaman moden ini, sebahagian daripada kalangan kita menganggap agama ini (Islam) sama sekali tidak membenarkan penganutnya bercampur dengan perkumpulan-perkumpulan, golongan-golongan atau perkara-perkara yang bersifat sekular, sosial atau sesuatu itu yang berasal dari orang kafir. Seperti contoh tentang facebook yang diasaskan oleh seorang Yahudi. Namun, kali ini aku tidak mahu bercerita tentang facebook tetapi tentang lainnya.

Kita punya agama dan tetaplah kita dengan agama serta prinsipnya tetapi bukan fanatik. Aku maksudkan fanatik apabila hadir sikap fasis dan rasis agama menjadikan Islam tercalar di mata non-muslim. Begitu juga bagi mereka yang bergabung atau mengikuti perkumpulan atau organisasi sosial serta mengikuti idealisme yang dicipta non-muslim maka jangan sesekali meletakkan agama ini dibelakang kerana kata pengasas Muhammadiyah iaitu Kyai Haji Ahmad Dahlan ''kita bisa punya prinsip tapi jangan fanatik kerana fanatik itu sifat orang bodoh''.

Tak kiralah kita mahu jadi rokers, punkers, berfashion, politikus, berdemonstrasi dan sebagainya walau asalnya dari non-muslim atau yahudi sekalipun tetapi berpegang pada prinsip yang Allah swt ajarkan kepada Rasul Allah untuk disampaikan kepada musyrikin quraish yang cuba memujuk Nabi saw menghentikan dakwah dengan menawarkan hadiah lumayan namun Rasul Allah menjawab "Bagiku agama ku dan bagimu agama mu''.(surah Al Kafirun).

Jangan merendahkan agama ini kerana Islam berada di atas segalanya yang terbaik cuma pemikiran sempit manusia sering meletakkan agama itu menjadi terbelakang. Segala etika atau idealisme yang baik dan adil sudah terdapat di dalam Al Quran dan Sunnah maka dulukanlah agama dan jangan sesekali bersangka buruk terhadap mereka yang berprinsip seperti idealisme barat dan etika yang baik dan bersifat adil kerana ia berasal daripada Al Quran.

Harap bisa memahami perkongsian ini lalu bersamalah kita belajar kerana banyak perkara yang kita masih perlu belajar dan percayalah Islam tidak ketinggalan dengan zaman yang berubah-rubah kerana agama inilah yang termoden terkedepan serta sering seiring dengan kehendak manusia itu sendiri.

  

Rabu, 18 Julai 2012

Ramadhan Countdown 2

Hari ini 18 Julai 2012 atau hari Rabu.
Rabu, Khamis, Jumaat
Jumaat malam maka hadirlah 1 Ramadhan 1433
Selepas solat fardhu maghrib kita akan menunaikan solat teraweh,
Secara berjemaah,
Terbit fajar keesokannya nafsu wajib ditahan,
Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa,
Sehingga azan maghrib berkumandang,
Wajib diulang-ulang setiap hari sehingga azan maghrib 1 Syawal 1433 berkumandang,

Tak sabar menunggu bulan puasa,
Aku dapat mengurangkan sedutan asap rokok,
Mengimbangi semula pemakanan,
Selain melatih diri supaya mampu mengawal nafsu serta meneguhkan keimanan,
Kalau sesetengah orang pergi gymnisium untuk berlatih menguatkan otot lalu memperoleh potongan badan yang cantik,
Sebulan puasa ini kita berlatih pula menguatkan iman dan kesabaran serta ketaatan kepada Allah s.w.t supaya mendapat keperibadian dan pahala yang cantik.

Isnin, 16 Julai 2012

Politik

Menjangkau umur 21 tahun mei yang lalu, aku dapat merasakan bahawa masa semakin dewasa lalu situasi, sosial, pemikiran dan pengaruh sekeliling aku juga berubah. Usia sebegini sudah dianggap matang oleh masyarakat dan aku mengakuinya kerana lewat ini aku lebih gemar bercerita tentang politik bersama terutamanya golongan tua seperti ayah dan pakcik-pakcik tetapi dengan cara beradab atau tidak menunjuk pandai selain enggan mematahkan apa yang selisih jika perkara ini diperbualkan bersama mereka melainkan jika ia betul-betul harus disangkal.

Aku sangat menggemarinya kerana aku belajar untuk berfikir jauh serta dapat membezakan haq dan batil. Suatu perkara yang istimewa apabila aku lebih banyak mendalami agama seterusnya mengkaji idealogi masyarakat bagi menguatkan prinsip ke atas sesuatu tindakan atau peristiwa yang terjadi. Oleh kerana itu, aku sangat tidak membenarkan pendapat sesetengah orang yang mengatakan politik itu suatu yang sia-sia. Ini kerana mereka hanya memahami bahawa politik itu ialah parti semata-mata atau perselisihan pendapat dan perebutan kuasa oleh parti-parti sehingga mereka itu mengkuarintinkan diri mereka sebagai pihak berkecuali bermaksud tidak mengambil tahu tentang politik. Sebenarnya, mereka tidak tahu akan apa yang mereka katakan kerana kadangkala tetap juga hadir mengkritik dan menyokong tindakan sesebuah parti politik.

Politik ialah sesuatu bersifat strategi, taktik atau perlakuan seperti mengurus dan mentadbir, iaitu seperti mengurus diri, mentadbir keluarga, merancang kewangan dan sebagainya. Kehidupan tidak mampu dipisahkan dengan agama terutamanya Islam kerana Allah sudah mengaturkan segala yang terbaik dan tersuai untuk hambanya justeru, politik juga tidak mampu terpisah dengan Islam kerana jika terpisah antara politik dan Islam maka ia dinamakan sekularisme seperti yang diamalkan oleh negara-negara barat dan sekular. Jika pemikiran sekular diamalkan maka masyarakatnya walau kaya dengan material tetapi moraliti mereka kurang malah terbelakang.


Poli bermaksud banyak manakala tik ialah singkatan kepada taktik lalu membawa maksud banyak taktik (kamus dewan) maksudnya kepelbagaian strategi dan aku gemar memahami strategi-strategi tersebut bagi mensuaikan dengan kehendak agama serta keperluan jasmani dan rohani. Mengambil tahu tentang politik negara melatih aku untuk berfikir jauh serta mengatur strategi dengan mengambil ikhtibar daripada sesebuah strategi oleh seseorang politikus yang aku persetujui. Lagipun tak salah, kerana ini sebuah negara demokrasi maka kita punya suara dan tindakan yang diperlukan untuk membentuk negara ini.

Cuma, tinggalkan politik assobiyah yang kolot itu, muliakan Islam. Maksudnya menunjukkan kemuliaan Islam kepada bukan Islam. Dengan cara inilah Islam akan dimartabatkan oleh orang bukan Islam.










Propaganda Syukur














Masihkah ada di kalangan kita yang masih tidak faham arti syukur? Rasanya semua dah besar kan? Jadi tak perlu rasanya aku jelaskan.

Tumpukan dan fahami kata-kata dalam gambar di atas. Ringkasnya ialah seperti ''Syukur atas apa yang ada''. Sangat mudah, akan tetapi orang-orang zalim yang tegar mempertahankan kerusi nya daripada dirampas oleh pejuang-pejuang kebenaran cuba menyalah artikan dan mempropagandakan istilah syukur tersebut. Semua tuntutan didalihkan dengan ayat ''Bersyukurlah, negara masih aman'' selain mengungkit pemberian mereka kepada rakyat sedangkan mereka sengaja terlupa bahawa kerusi yang mereka duduki itu diberikan oleh rakyat bersama dengan amanat dan kepercayaan. 

Kata-kata ''Syukur atas apa yang ada'' itu sebenarnya berhak buat mereka yang memimpin hanya dengan niat untuk menipu, menyeleweng, menzalimi atau menggelapkan hak rakyat lalu dibazirkan untuk kekenyangan perut mereka sahaja. Dipendekkan cerita, kata-kata pada gambar mengingatkan kita supaya tidak membazirkan wang dan terlalu mengejar kemewahan dunia lalu menzalimi diri sendiri. 

Mengejar kemewahan dunia dan menuntut hak manusia bukan perkara yang sama malah jauh sekali sifatnya. Kemewahan dunia ialah seperti barang kemas, beg duit berjuta ringgit dan tidur semalam di hotel mewah yang dicaj beratus ribuan ringgit untuk 1 malam sedangkan masih ramai rakyat yang sedang kebuluran memerlukan wang bayaran caj hotel tersebut. Manakala menuntut hak manusia ialah seperti pelajaran, aktivitas, sumber pendapatan dan kebebasan. Adakah menuntut hak manusia itu sesuai dinisbahkan dengan arti kata ''Tak bersyukur'' ? Jauh sekali.

Maka, syukur itu perlu dirasai setiap saat bukan hanya bila mendapat bantuan atau pemberian manusia tetapi syukur ke atas pemberian Allah seperti ilmu yang melata di serata bumi dan langit, serta cahaya kebenaran yang terdapat di balik gunung dan juga di dalam gelora ombak besar di lautan. Allah memberikan bantuan akal kepada kita supaya kita boleh berfikir.

Maka, berfikirlah sebaik-baiknya.

Jumaat, 13 Julai 2012

Urusan Aku Dengan Tuhan?

Ramai di kalangan orang muda yang kurang pendidikan agamanya atau dasar katanya 'jahil' sering dimomokkan dengan kesusahan beragama sehingga berfikiran negatif serta memberikan anggapan yang sempit terhadap agama itu sendiri. Bagi mereka, kehidupan yang ditetapkan oleh agama itu mengongkong mereka atau membuatkan mereka tidak bebas untuk bersosial. Ketepikan dahulu perihal tentang golongan yang hanya cuba menipu diri mereka sendiri seperti Ateis atau Free-thinker dan kita tumpukan pada golongan yang masih mengaku beragama tetapi cuba berdalih dengan hukum yang ditetapkan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Seorang lelaki melakukan kesalahan hukum di hadapan seorang temannya lalu ditegur oleh temannya itu dengan cara mengingatkan kepadanya akan tindakan Tuhan ke atas kesalahan tersebut. Jawapan yang biasa didengar daripada orang seperti lelaki ini selalunya ialah 'ini urusan aku dengan tuhan, kau tak perlu sibuk'.
Bagi kita yang ada sikap atau pemikiran seperti ini, apakah maksud 'urusan aku dengan tuhan' yang dimaksudkan oleh kenyataan seperti ini? Adakah urusan seperti 'taubat nasuha' selepas kehidupan kita terus bergelumang dalam kesalahan hukum tersebut? Setelah kekhayalan nikmat kesalahan atau dosa sudah menutup mata hati kita lalu berapakah tahap konfiden seseorang itu terhadap masa untuk taubat itu benar-benar disediakan untuknya? 

Tuhan memang bersedia untuk menerima taubat sesiapa pun walau hambanya itu membunuh dan merogol berjuta-juta orang yang tidak berdosa tetapi jangka masa hayat kita di dunia juga sudah bersedia untuk tamat sedangkan kita tidak tahu bagaimana Tuhan mengaturkan riwayat hambaNya. 

Sebagai insan, kita tidak pernah dapat lari dari dosa dan kesalahan kerana kita hidup di atas dunia yang fana penuh dusta dan celaka. Agama itu datang bagi memberi panduan kepada kita mengenai setiap sudut persoalan dalam hidup ini. Kita juga ditakutkan dengan Allah kerana kekuasaannya supaya kita mahu mendekati dan bergantung kepadaNya. Sedang manusia itu termasuk aku juga sering terpaling dariNya tetapi Allah tetap memberi pertolongan kala aku berduka dan teraniaya. Allah juga sedia mengampunkan setiap dosa hambanya yang ingin kembali kepadaNya dan memberi cahaya kepada sesiapapun yang dikehedakinya.

maka, nikmat tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? 

(sempena menanti Ramadhan penuh mulia) 


Selasa, 10 Julai 2012

Ramadhan Countdown.

-mufti Arab Saudi telah mengalirkan air mata secara langsung di TV setelah beliau menerima soalan ini dari Somalia :

''adakah puasa kami sah jika tidak bersahur dan berbuka puasa?''

Bagaimanakah keadaan kita sewaktu berbuka?

Kadangkala penuh pembaziran...lihatlah di tong sampah banyak lebihan kuih muih terbuang kan?



Jadi fikir betul-betul, baik-baik dan seelok-eloknya, layakkah kita memborong makanan sebanyak-banyaknya kemudian menjadi sekadar perhiasan di meja makan kemudiannya dibuang atau lebih kesat lagi istilah ialah dibazirkan? Somalia mungkin sangat jauh, tapi sebenarnya di sekeliling kita masih ada yang memerlukan makanan yang kita buang itu.

Begini, kita ada sebungkus roti yang di dalamnya mengandungi 10 buku roti. Sebelah kita ada seorang rakan yang terlalu lapar tetapi tiada wang untuk membeli makanan dan kita tahu masalah rakan kita itu. Lalu kita makan 2 buku roti dan kita terus membuang bungkusan roti yang di dalamnya masih ada 8 buku roti lagi. Apalah perasaan rakan kita yang sangat lapar dan tak ada wang itu? Lu pikir lah sendiri.

Yaa, memang klise nasihat-nasihat begini, tetapi perkara yang masih diulangi ini bukankah lebih kolot? Sedang membazir itu sudah sekian lama diketahui tidak baik. Bukankah ia merupakan sesuatu yang wajib kita ubah? Kalau tak berubah maknanya kita lah manusia paling kolot. Lebih kolot dari atuk nenek moyang.

Faham tak?

Isnin, 9 Julai 2012

Mati Kebuluran-Sudan

Nampak gambar sebelah ni? Berlaku di Sudan dan apa terjadi ialah kanak-kanak ini sedang menangis sambil mengheret mayat ibunya yang mati akibat kebuluran dan kehausan sedangkan adik kita ini tidak tahu bahawa ibunya sudah meninggal dunia.

Sedih?
Simpati?
Porraahhhhhh......

Takda makna, jika kita semua terus membazir makanan dan air. So, buka puasa bulan Ramadhan nanti tak perlulah belanja besar di Pasar Ramadhan bagaikan 10 tahun tak makan dan penyudahnya tak habis. Berpada-padalah, bulan penuh ibadat kot, bukan bulan mentedarah.

Bila kenang semula nasib saudara kita yang tak beruntung seperti dalam gambar, macam tak layak sebenarnya nak dapat semua ini. Itulah gunanya kita berpuasa, merasa kesabaran mereka yang lebih hebat ini. So, let's fight!!

Terjaga Dari Lena.

Terkebil-kebil matanya,
Lelaki yang akhirnya terjaga,
Dari tidur yang lena,
Lama,

Terbentang dunianya yang dulu,
Yang sebenarnya dia tahu,
Dulu itu dia tenggelam nafsu,
Dunia itu,
Dulu,

Dunia yang ada di depannya ini,
Sama seperti yang dulu,
Digosok-gosok matanya,
Tapi dunia kali ini berbeza,
Dulu dunia di sebelah kiri putih dan di sebelah kanan hitam,
Dia berada di sebelah kiri,
Dunia itu,
Dulu,

Kini berubah,
Setelah lama terlena,
Selepas berkurun dia terjaga,
Lalu dilihat dunia kiri berwarna putihnya dulu,
Kini hitam kelam,
Dunia sebelah kanan itu putih bersinar cahaya gemilang,

Realitinya,
Dia tahu yang kiri itu memang hitam dulunya,
Diajak nafsu lalu semuanya jadi putih,
Dan tidak nampak lagi putih yang sebenar,

Selepas terjaga,
Kini dia tahu,
Dulu itu,
Dia tertipu
Terpedaya.

Ahad, 8 Julai 2012

Dunia Berlainan dan Satu Misi.

Kita ialah manusia,
Tempat manusia itu ialah di dunia,
Dunia kita ialah di bumi,
Walaupun sebelum itu kita berada di belakang sulbi lelaki,
Kemudian kita berada di dalam perut wanita,
Lalu kita keluar melalui rahim wanita tersebut,
Namun dunia kita tetap di bumi,
Cuma selepas itu Allah tetapkan dunia kita dan kita perlu hidup di dalam dunia itu,

Dunia yang mewah, dunia yang miskin,
Dunia yang aman damai, dunia yang kucar kacir,
Diagihkan kepada semua hambaNya untuk dilalui,

Seperti mengagihkan misi menyerbu musuh kepada 3 orang komando,
Kemudian diberikan peralatan berlainan mengikut kesesuaian misi tersebut,
Tahap kecanggihan peralatan juga berlainan,
Seorang dapat 'mesingan', seorang lagi 'sniper' dan seorang lagi hanya parang,
Pengguna 'mesingan' untuk tembakan rambang,
Si sniper sebagai penembak jarak jauh dan hendap,
Parang pasti diberikan kepada orang yang berani terus berhadapan dengan musuh,
Semua punya peralatan mengikut kelebihan masing-masing,

Diberikan mesingan kerana bakal menewaskan musuh yang lebih ramai,
Diberikan sniper kerana ketepatannya menembak musuh dari jarak jauh,
Diberikan parang kerana sebenarnya dia tidak perlukannya kerana dia punya seni mempertahankan diri yang hebat,


Tapi hakikatnya mereka semua perlu berkerja sama berganding bahu,
Barulah misi itu berjaya,
Maka si pengguna mesingan dan sniper tak boleh mempersendakan si parang,
Begitu juga si parang tidak boleh merasa iri hati kepada mesingan dan sniper,
Kerana apabila tiada kesepakatan misi pasti akan gagal,

Begitulah kias terhadap dunia manusia yang berlainan,
Kita semua manusia yang perlu bersatu,
Bukan mempersenda sesama sendiri,
Kezaliman yang harus kita tentang,
Itulah kebenaran,
Bukan buang masa untuk perkauman yang kolot.




  

Jumaat, 6 Julai 2012

Stop.

Stop!!


Memang agak hipokrit,
Tapi aku akan berhenti berfikir tentang wanita,
Maksudnya tentang persoalan berkenaan mencari pasangan hidup,
Tapi tetap hipokrit dan mustahil,
Sebab aku lelaki normal,
Punya nafsu,
Tapi,
Sebab itulah aku harus berhenti,
Kerana bila berfikir tentang wanita,
Mengingat aku kepada yang terlarang,
Cukup !

Aku perlu berlatih menahan diri daripada tertarik,
Tertawan oleh kerana nafsu semata-mata,
Biarlah ku tergoda kerana keperibadian,
Pegangan agamanya,
Lalu aku terus melamarnya,

Maka,
Aku perlu berdoa supaya segeralah pulih tangan kanan ini,
Habiskan waktu yang masih segar ini untukNya,
Supaya Allah bisa memperkenankan aku kepada sesuatu yang lebih baik,
Sebagai ganti kepada masa-masa aku dilatih untuk bersabar.

Selasa, 3 Julai 2012

Dasar Taik.

Di sebuah pasar malam,
Di waktu malam,
Hampir malam,
Tak berapa nak malam,
Di suatu sudut kelam,
Ada cerita seram dan suram,
Buat semua jadi geram,
Semua pasti akan geram,

Seorang nenek cuba menambah belanja nya,
Raut wajahnya,
Pakaian compang campingnya,
Tampak kesusahan dalam hidupnya,

Mungkin kerana melihat pasar malam,
Datang idea untuk berniaga,
Tapi tiada modal,
Diakalinya untuk menjual ulam-ulaman,
Dipetiknya di tepi-tepi sungai,longkang dan jalan,
Dapatlah akan nenek itu barang yang akan dijual,
Jering, petai, pucuk paku, rimbang,

Hari ini dibentangkan kain di atas tanah,
Sebagai alas kerana mungkin tidak kuat untuk mengangkat meja dari rumahnya,
Disusun piring-piring kecil lalu diisi dengan ulam-ulaman tadi,
Bersila dan termenunglah nenek tersebut menanti pelanggan,

Tapi bukan pelanggan yang datang,
Sesudah dinyalakan lilin sedangkan peniaga lain menghidupkan enjin,
Menjadi kuasa untuk menghidupkan mentol,
Maka terang benderanglah,
Tapi nenek itu hanya mampu guna lilin,
Malap,
Terus suram apabila datang si tukang saman,
Tugas penyaman bukan untuk penjual daging atau si tukang sapu sampah,
Tapi digalas oleh si tukang saman,
Dilantik oleh Majlis Daerah,
Nenek disaman sebab tak punya lesen niaga,
RM 300 dikenakan,
Kalau orang tak ada perut ni angkut barang-barang nenek tu,
Tak akan sampai RM 100 pun jumlahnya,

Haih,
Tak boleh bagi notis warning dulu kah?
Bagi nenek tu makan untuk hari ini,
Rakyat didahulukan?
Atau kesempatan diutamakan?
Ingatkan dapatlah nenek tu langkah kanan,
Rupanya terpijak taik,
Siapa taik?
Taik itu lah taik.
Dasar taik,
Ganggu hidung orang.
Busuk.


Isnin, 2 Julai 2012

Respect Itu Lebih Baik.

La Roja!
Apa maksud pun aku tak tahu,
Yang pastinya Spain pasukan rojak pemain-pemain bola sepak terbaik dunia,
Pagi tadi mereka jadi juara selepas 2 kejohanan berturut-turut menjulang piala,
Piala Eropah 2008, Piala Dunia 2010 dan kini Piala Eropah 2012,
Banyak kisah yang aku suka,
Terutamanya tentang kebangkitan dan pembuktian,

Antaranya, kisah Ronaldo yang dinganjingkan nama Messi oleh penyokong,
Model syampu Clear itu menghadiahkan 3 gol untuk pasukannya sehingga mara ke semi-final,
Menutup mulut pembencinya,
Walau masih tak maksimal tapi beliau berjaya buktikan dirinya masih pemain terbaik dunia seperti Messi.

Mario Ballotelli yang langkah kakinya dibayangi tujahan perkauman,
Satu-satunya pemain kulit hitam dalam tim Itali,
Berketurunan Ghana,
Diumpamakan dengan monyet dan sebagainya yang hina,
Tapi penyerang itu menumbangkan keutuhan Tembok Berlin yang dibawa tim Jerman,
Lalu, beliaulah satu-satunya pemain berkulit hitam yang beraksi di final.

Hampir hilang minat dengan bola sepak,
Dikecam kerana jumlah jaringan dan persembahan yang longlai bersama kelabnya,
Habis masanya dibangku simpanan,
Disaat semua mulai sudah menyangka dia tidak mampu menjaringkan gol,
Bersama Spain dan Euro 2012,
Torres dinobatkan sebagai penjaring terbanyak atau digelar kasut emas,
Selain menjulang 3 piala tahun ini.

Siapa pun boleh buktikan apa saja,
Apabila ditekan dan mula dipinggirkan,
Mereka itu mampu kembali meludah semula ke dalam kerongkong peludahnya,
Maka,
Respect,
Itu lebih baik.





Rabu, 27 Jun 2012

Sinar Harapan di Langit Bt Pahat

Suatu malam Bbq, di Batu Pahat,
Aku masih terlalu ingat kerana nostalgia itu berlaku hanya beberapa bulan lalu,
Bersama meraikan budaya tersuai buat kami anak-anak muda remaja,
Lokasinya ialah skatepark,
Diadakan oleh rakan-rakan dan sekutu-sekutu di sana,
Tanda kental nya niat mereka dalam bersahabat,
Ada yang mengerjakan urusan bbq,
Ada yang ber-basking,
Ada yang berpapan luncur,

Ada juga yang baring di lantai menonton langit bersama-sama,
Aku ada bersama kelompok yang ini,
Mereka sedang di bawah pengaruh alkohol dan daun-daun,
Sementara aku tidak,
Aku diam mendengar mereka bercerabih,
Aku merakam salah satu perbualan mereka,

''waaa, langit gelap tiada sinar bintang, tiadakah harapan untuk ku?
 Ah, tidak, di sana masih ada satu bintang, masih ada sinar untuk ku.''


Hahaha,
Terpesona ku ketawa,
Semua orang punya harapan punya mimpi,
Kita kena melenjan memandu usaha mendapatkannya,
Jika kita betul-betul impikan,
Jangan lengahkan ia,
Harapan selalu ada jika kita mahu,
Cuma tembok yang menghadang harus lepasi,
Sehingga akhirnya kita nampak sinarnya.

Wad Bangsa Bersatu

Hospital dan hospital lagi,
Wad dan wad lagi,
Al maklumlah kawan,
Seminggu termenung di dalam tu dengan pergerakan yang sedikit terhad,
Ditempatkan pula dalam wad yang memuatkan hanya 6 pesakit,
Pelbagai bangsa jika didengar bahasa pertuturan mereka yang mengikut loghat masing-masing,
Katil depan aku Jawa, sebelah kiri aku dan sebelah kanan Jawa itu Nepal,
Katil sebelah Nepal sebelah aku ni ada Melayu dan India,
Katil mereka agak jauh sedikit dari katil kami berempat kerana dipisahkan oleh pintu masuk,

Bagaikan bunyi harmonika yang meriah,
Apabila kami semua cuba berbual sama dalam bahasa melayu,
Tapi not sebutan dan bunyinya nya ditentukan oleh kepelatan lidah mereka,
Cuma Nepal berdua itu hanya mampu menyebut ''kawan'' dan selebihnya berbahasa inggeris,
Maka, aku berada di dalam wad bangsa-bangsa yang bersatu.

Lelaki Itu

Masih lagi cerita tentang pembedahan,
Ini operasi yang ke-5 dan yang terumit,
Kalau pernah tertonton cerita realiti berjudul 'Extreme Make-over'',
Itulah yang sedang dikerjakan oleh penerus-penerus kepakaran Ibnu Sina ini,
Diperbaiki semula tangan ini supaya boleh berfungsi semula,
Melibatkan penukaran komponen otot menjadikan ia lebih rumit,
Berbanding sebelum ini yang sekadar masuk dan cabut besi,

Malam sebelum pembedahan,
Lelaki itu meminta untuk pulang kerana cahaya mata bongsunya yang keseorangan di rumah,
Sangsi hatinya dan digagahinya jua untuk pulang meninggalkan aku,
Beratus kilometer dia bakal jauh dari aku sedang aku perlukan permandangan,
Permandangan yang ditegas kan sosok tubuhnya,
Aku tak mampu menghalang kerana sangsi ku kepada adik ku yang keseorangan itu,
Takut berlaku perkara tidak diingini memandangkan dia seorang wanita yang masih muda,
Tapi aku perlukan dia sedang besok,
Saat katilku bakal ditolak ke bilik bedah,
Lelaki itu tiada,

Sebelum diucapkan selamat tinggal,
Tangan tuanya yang kasar,
Kasar dikerjakan cabaran dan ujian hidup untuknya,
Mengusap kepala ku,
Katanya,

Sebelum operate pagi besok, mungkin abah tak sempat tiba,
Sebab Pie kes yang pertama,
Jadi doa pada Allah, bila dah bagi ubat tidur hidup ni dah tak ada,
Tapi nyawa Pie masih ada maka tawakal dan serahkan segalanya kepada Allah,
Abah atau Amak tak boleh tolong Pie, kalau sakit nanti jangan sebut Abah atau Amak,
Tapi sebut Allah, Allah saja yang kita perlukan,
Bukan Abah, Amak dan Doktor.


Lalu diajarkan aku seperti sebelum 4 pembedahan sebelum ini,
Iaitu doa tawakal,
Lelaki itu kuat usaha dan berikhtiar,
Dari kecil hingga lebih setengah abad usianya tak pernah meerasa kesenangan,
Tapi dia tetap idola,
Kerana lelaki itu sering mengajar ku,
Menyerahkan segalanya kepada Allah,
Serta berdoa.

Selasa, 26 Jun 2012

Klimak 3 Tahun

Hari ini,
Telah terkotakan hari bersejarah,
6 minggu aku bakal diikat oleh anduh khas untuk luka pembedahan ini,
Maka aku tak boleh berlasak lagi,
Kembali kepada rutin 3 tahun dahulu serta 4 operasi ku sebelum ini,
Makan tidur dan ulang-ulang sehingga aku boleh berlasak kembali,
Pembedahan yang terpanjang masanya selama yang aku pernah,
Demi sebuah harapan atas apa yang tinggal untuk ku,
3 tahun seperti tiada,
Habis dek ikhtiar untuk apa yang masih ada,
Kata orang, ''yang pergi biarkan pergi, yang masih hadir ini wajib diteruskan''.

Akhirnya, 20 Jun 2012 
12 jam menjadi klimak kepada plot 3 tahun atas apa yang tinggal buat ku ini,
Ringkasnya, otot dan urat di bahagian ketiak diambil,
Disambungkan pada otot dan urat lengan tangan kanan yang putus,
Bila kusedar dari pengsan dan kesan-kesan dadah yang lain,
Sakitnya tak tertanggung,
Tapi Allah itu Maha Penenang,
''la hawla wa la quata illa billah''

Kini, tinggal buat ku sebuah penantian,
Selama 6 minggu,
Barulah boleh kita lihat hasilnya.