Memaparkan catatan dengan label manusia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label manusia. Papar semua catatan

Selasa, 12 Mac 2013

Spekulasi Akibat......,

Tentang pencerobohan di Lahad Datu. Aku sebenarnya tak berani untuk mengulas banyak berkenaan khabar dukacita tersebut kerana segala maklumat yang aku tahu hanya berdasarkan khabar-2 berita, akhbar serta cerita-2 masyarakat. 

Setakat ini, apa yang aku tahu ada perwira kita yang terkorban. 

Al Fatihah buat Al-Mahrum dan takziah buat keluarga mereka yang terkorban itu.

Musykil atas apa yang terjadi sebenarnya. Masa kan tidak? Kerajaan tidak memberi sebarang penjelasan yang jelas lagi tentang kejadian ini kepada rakyat. Sebaliknya mencari alasan dan sebagainya. Tiba-2 sudah ada yang terkorban. Maka, di sana itu tidak aman lagi, dan penduduk terancam.

Jika mereka fikir rakyat tidak berhak tahu, tidak kah mereka ingat bahwa polis yang terkorban itu juga adalah rakyat? Adakah mereka yang terkorban itu tahu atas apa yang mereka perjuangkan?

Ada yang marah dengan seorang YB di pihak opposition yang menyatakan kejadian ini adalah sandiwara, so what?? 

Siapa pun akan buat pelbagai spekulasi bila engkau menjerit tiba-tiba, dan bila ditanya kenapa, kau menjawab, ''aku akan siasat siapa yang buat aku menjerit''.....ahhaaaiiii...
Memang aku fikir kau tu sengaja nak cari publisiti, atau kata dasarnya sandiwara lah kan walaupun ada yang mati terkejut dengar kau menjerit. *tamsilan kecil




Ahad, 24 Februari 2013

Omong Kosong.

Dahulukala,
Ditiarap di dasar lautan dalam,
Tangan dan kaki didepa,
Setiap pergelangan digari,
Mata ditutupi kain hitam pekat,
Lidah juga diikat,
Hanya mampu menjerit tanpa suara,

Terkini pula,
Tapak kaki ku di muka nya,
Tumitku menghentak matanya,
Terpekik kuat deklamasi keperitan balasan untuknya,
Terinspirasi berdasarkan perbuatannya dahulukala,

Siapa pun tak akan terdiam kali ini,
Kerana pemikiran dan perlaksanaan sudah mendahului omong kosong.

Khamis, 21 Februari 2013

Halimunan.

Apabila kita bisu, kaku di hujung sudut sosial, kita bakal menjadi seperti halimunan yang tidak kelihatan di mata kasar manusia. Di zaman persekolahan dahulu, sewaktu aku duduk di hostel, golongan yang seperti ini kami panggil ''alien'' atau ''makhluk asing'' apabila seseorang itu selalu menyendiri dan tidak bercampur dengan masyarakat dan warga.

Cuma golongan ini sebenarnya bukan sombong atau berlagak, kerana mereka tidak pula alah dengan teguran dan sapaan kita. Menariknya golongan ini ialah, mereka sukar untuk dijangka kelebihan dan kekurangan serta kegunaan mereka, kerana mereka ini terkadang kita tersalah usik, ada juga yang menjadi berang tahap overdose, ada juga yang lawak jenakanya sedikit tapi mampu membuat kita tertawa di luar jangkaan.

Mereka sukar dijangka, kerana kita hanya mahu mengenali orang yang lebih tampak, maka kita selalu terlepas pandang dengan golongan halimunan ini. Lagipun, mereka itu sangat pendiam dan hanya berbual dengan individu yang sudah rapat atau sudah selesa diajak berbual. Kerana keyakinan diri yang mungkin lemah atau selalu berfikiran negatif maka golongan ini mempunyai sifat begini.

Oleh itu, jika terjumpa golongan seperti ini, imarahkan dunia mereka. Kerana mereka akan menjadi sahabat yang terbaik buat kita jikalau kena dengan cara.

-pengalaman sewaktu di hostel-

Rabu, 6 Februari 2013

Akulah Perantau.

Ada masa-masa aku memikirkan sebuah kemampuan yang hilang,
Kemampuan yang pernah menjadi tunggak keperkasaan ku,
Menjadikan aku seperti helang yang bersarang di awan,
Seperti pepohon tinggi di puncak dunia,
Atau lautan gelora yang tak pernah surut,

Semua itu sudah bersemadi di dalam memori,
Hanya hidup dalam kenangan atau lagenda,
Orang di perantauan yang mengingati tanah asalnya yang hancur lebur,
Di telan bumi dan tak akan timbul-timbul,
Maka tiada guna untuk dia mengimbau pulang,

Akulah perantau itu,
Tapi di dunia yang tak sekali-kali  menjadi asing bagi ku,
Kerana kemampuan yang ralat ini masih diperlukan dunia,
Segalanya tersuai berbanding memori itu,

Kerana itu,
Helang masih bersarang di awangan,
Pepohon masih berdiri teguh di puncak dunia,
Lautan tetap dalam dan bergelora,

Kerana dunia ini yang tak membiarkan aku terasing,
Kerana rantai dan besi jeriji tidak terpatri di keliling ku,
Kerana ada pusara untuk duka dan derita ku,
Kerana tiada guna untuk aku merasa pilu,
Walau memori ku buat warga menangis tersedu-sedu.




Rabu, 24 Oktober 2012

Baja

Susah sebenarnya nak buat suatu perubahan baik samada untuk diri sendiri atau masyarakat. Kerana manusia ni selalunya sukar untuk menerima sesuatu yang baru atau tidak pernah terlihat sebelum ini. Maksudnya lebih kepada pemikiran baru atau pendapat walau pendiriannya tetap sama cuma cara-cara atau kaedah yang harus diubah seorang individu yang punya idea lebih bernas. Atau mengubah persepsi masyarakat kepada sesuatu perkara yang mungkin selama ini dinilai daripada luaran atau dipandang sebagai melawan norma.

Seenarnya mereka itu punya masalah dengan pendapatan materealistik dan masyarakat sebenarnya dihasut oleh aparat tertentu supaya tidak pergi meninggalkan keutuhan kepentingan materealistik tersebut. Maka individu yang cuba mengubah kepada kebaikan itu mula akan difitnah, dihina dan dibenci oleh masyarakat lalu jadilah dia dan pendapatnya sebagai terasing daripada budaya tipikal masyarakat.

Jika benar yang kita lakukan itu baik maka teruskan saja. Fitnah sebagainya itu jadikan saja seperti baja. Baja itu baunya memang tidak enak tetapi makin tidak enak baunya semakin baik kualiti dan kesuburan tumbuhan itu. Oleh itu, semakin kuat kita dibusuki semakin kuatkan lah pendirian tersebut dan semakin cepatlah kita menemu kejayaan. InsyaAllah. aamiin.

Selasa, 2 Oktober 2012

Menyesuaikan Diri.

Dalam umur yang semakin dewasa, orbit yang tak akan berhenti paksi-paksi berputar di atas nya, pergaulan yang semakin luas, pelbagai bahasa dan istilah baru mula dipelajari mengikut adab serta budaya sesebuah kawanan baru yang lain iklim nya, pendirian peribadi yang berlainan serta angin-angin baru bertiup samada kencang, sepoi-sepoi bahasa, panas atau dingin. Maka, tidak mudah untuk aku pertahankan ke-ego-an ini apabila sukar untuk menerima kekalahan kepada pencapaian mereka, kejamnya lidah mereka, zalimnya tapak kaki yang menginjak-injak sedang akulah yang sedang diinjak. Aku seorang mudah terasa tetapi lebih suka untuk memendam kerana tidak pula aku terasa ingin memakan daging saudara ku itu melainkan luahan ke atas seorang teman yang setia kerana sayang ku kepada mereka. Maka aku berfikir akan bagaimana untuk membiasakan diri dengan penyakit baru ini, aku cuba kembalikan perbuatan mereka itu kembali kepada mereka, nampaknya mereka juga tertawa tanda mereka sedang terhibur lalu aku sedar mereka hanya sahabat yang hanya ingin ketawa dan berhibur. Ternyata aku juga terhibur.

Begini, jika kita tinggal atau dilahirkan di sebuah benua yang iklimnya dingin maka pakaian harian kita pastinya tebal bagi mengurangkan kedinginan, jika kita ke negara yang panas atau yang beriklim khatulistiwa takkan mungkin kita perlu juga mengenakan pakaian yang tebal itu meskipun pakaian tersebut bertatahkan berlian. Perlulah bagi kita untuk menyesuaikan diri dengan sebuah suasana baru tetapi tetap berpaksikan dengan cara kita sendiri dan tidak perlu untuk menjadi orang lain melainkan anda ialah Transformer seperti Optimus Prime. Tetapi Transformer juga bertukar menjadi kenderaan atau apa-apa alat ciptaan manusia bagi menyesuaikan dengan keadaan sambil tidak meninggalkan pendirian mereka.

*semoga hidup lebih bererti.

Ahad, 23 September 2012

Kewibawaan Gila

Manusia,
Terkadang ada di kalangan ini,
Kuat mempertahankan kewibawaannya,
Meninggikannya,
Sibuk meneguh-neguhkan kewibawaan itu,
Hingga tiada yang dibenarkan berlainan dari hendaknya,
Terkadang ada yang keras menjaga kewibawaan,
Sehingga ada yang terbenam,
Lebih jengkel apabila ada yang dihapuskan,
Lalai nya dia akan kewibawaan seperti itu,

Sebenarnya,
Dia atau ada yang semacamnya,
Perlu bertanya dengan diri sendiri,
Untuk apa kewibawaan itu?

Selasa, 18 September 2012

Untung Bersama

Tak tahulah,
Kadang aku terfikir,
Adakah aku bergaul dengan orang-orang yang bodoh?
Atau mungkin otak mereka membesar dengan pengaruh drama?
Sebenarnya aku ketawa sendiri dalam hati,
Apabila mereka cuba berlagak optimis,
Tapi sebenarnya mereka sangat pesimis,
Aku pula tidak sekali mahu berlagak matang,
Kerana mereka ini tidak pernah akan faham,
Dan aku juga tidak pernah mengerti apa itu matang?
Matang itu apa?
Adakah matang itu ialah ketika kita rasa lebih bijak dari orang lain?
Aku masih tidak faham jika kematangan itu dinilai oleh diri sendiri,
Tidakkah ia seperti sama dengan memuji diri sendiri?
Wohhh, agak memalukan,
Bagi aku,
Kematangan itu dinilai oleh orang lain,
Melalui dari apa yang mereka nampak dari kita,
Seperti percakapan, pemikiran, pemahaman serta prinsip,
Atau mungkin juga umur,

Entahlah,
Kalau aku,
Lebih baik berfikir sebelum berkata-kata,
Jangan ada kesombongan,
Hasad dengki,
Lebih baik jika kita berkongsi dan buat semua orang tahu,
Seperti yang kita tahu,
Untung bersama.

Khamis, 6 September 2012

Dia sahaja suci, selainnya tahi.

Sebenarnya, terbuntu juga aku akhir ini dalam memikirkan idea tentang perkara-perkara yang sesuai diisi di dalam blog ini sehingga kadang-kadang ada juga bermimpi untuk meninggalkan atau membubarkan blog ini tetapi setiap kali aku paksa mengetik anak panah tetikus pada kotak ''catatan baru'' ada saja idea yang datang atau sebenarnya tidak rela membiarkan halaman blog ini terbiar berhabuk maka aku berjanji akan terus mengisi ruang blog ini walau berapa tahap pentingnya catatan tersebut, dari sekadar diari hingga ke artikel panjang lebar selagi hayat masih dikandung badan.

Malam buta ini, aku ingin sekali menerangkan dan memperjelaskan berkenaan 'humble' atau merendah diri. Ya, jelas sekali bahawa aku bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi untuk menaip berkenaan topik seperti ini. Tapi jelas sekali bahawa itulah punca aku kurang berkeyakinan bagi membina kritikan sosial seperti ini setelah dulunya ramai yang terharu dengan hasil tangan kudung ini. Punca yang aku maksudkan ialah merendah diri.

Aku masih tidak pasti bahawa humble itu adakah sama artinya dengan merendah diri tetapi biarlah aku samakan saja 2 bahasa berlainan tersebut. Setiap apa yang kita lakukan di dunia ini sebenarnya terdapat had nya walau bebuat baik sekalipun mahupun dalam ibadat. Contohnya seperti peribahasa ''berbuat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali'', jelas mengajar masyarakat bahawa buat baik seperti menolong orang juga punya had kerana berkemungkinan besar orang yang ditolong itu mula biasa meminta-minta atau ditakuti merugikan diri sendiri. Begitu juga dengan ibadat, tidak dilarang untuk rajin beribadat malah amatlah mulia di sisi Allah tetapi hidup ini tetap ada hak dan tanggung-jawab sehingga Rasullullah s.a.w berpesan ''beribadat lah untuk akhirat seperti kita akan mati esok serta berusahalah di dunia seperti hidup 1000 tahun lagi'', begitulah perlunya juga kita bertanggung jawab dengan hidup ini seperti kita bakal menampung hidup 1000 tahun lagi walaupun pada masa sama kita perlu beribadat untuk akhirat seperti bakal mati esok harinya.

Rasa rendah diri itu memang sesuatu yang dituntut oleh agama, bangsa dan masyarakat terutamanya bagi seorang pemimpin atau individu yang ingin menabur jasa. Seperti kata Rasullullah s.a.w bahawa lebih mulia jika kebaikan yang dilakukan itu tidak dihebah-hebahkan sehingga tangan kiri tidak tahu atas apa yang dilakukan oleh tangan kanan sebegitulah yang aku fahami atau ringkasnya rendah diri itu boleh membawa kepada keikhlasan dan rendah diri lenyap apabila sikap menunjuk-nunjuk muncul dalam diri seseorang. Kesannya kepada ialah terhadap pergaulan sekeliling atau pandangan orang lain yang pastinya gemar menjurikan perangai orang daripada bahasa dan kelakuan. Apatah lagi, jika sesuatu kebaikan atau jasa itu diungkit-ungkit terutamanya saat terdesak mendapatkan pengaruh apabila dikritik.

Walaubagaimanapun, rasa rendah diri itu sebenarnya hanya perlu apabila kita harus menghormati kepandaian atau pendapat orang lain meskipun berlainan tetapi tidaklah pula kita dilarang untuk menyangkal kerana kita juga punya pendirian dan pemahaman tersendiri. Maka, rendah diri itu juga ada had nya supaya tidak mengganggu keyakinan untuk hidup dan begitu juga kadangkala kita perlu menunjukkan bakat kita kepada masyarakat supaya menarik kepercayaan masyarakat. Cuma jangan sehingga mengkhianati orang yang ternyata lebih layak atau lebih banyak dipercayai kerana biarlah kita menghormatinya walau perlu juga ada sikap bersaing itu.

Harap semua boleh memahami tentang penjelasan tanpa tauliah ini. Hahahaha.

Bukan apa, aku berasa simpati terhadap mereka yang hebat berbakat besar tetapi gagal untuk mendapatkan penghormatan kerana tidak mahu merendah diri. Tak sudah-sudah nak berlagak angkuh sombong. Dia sahaja yang suci manakala yang lain itu tahi.

Sekian.

Sabtu, 25 Ogos 2012

Seperti Mahu Mu

Di atas lapangan,
Rumpunan hijau luas pandangan,
Guruh meluahkan jeritan,
Menikam awan tebal cerah,
Kerana tegarnya awan,
Beban ditampung tanpa sesal,
Pandangan kekal meluas,

Tirai malam sejengkal terbuka,
Pergilah matahari,
Biarkan awan tidur,
Hingga bintang pun cemburu,
Bulan temani awan melena,

Bibir ini hanya mampu terdiam,
Mata ini kaku memandang,
Rasa hiba ku,
Terharu aku,
Melihat indahnya purimu,
Berhias bersemi kasih tulus mu,
Leher ku beku,

Hanya mampu,
Ku telusuri rumpunan itu,
Yang tidak kupasti,
Duri ranjau entah di mana,
Tapi perlu kulepas,
Biar nanti kutangkas,
Sehebat dirimu,
Seperti harapan mu,
Seperti mahu mu,






Selasa, 31 Julai 2012

Ramadhan 2012 Day 11 - Gurau Kasar.

Sememangnya, masyarakat di mana-mana pun di seluruh pulusuk dunia ini mempunyai suatu tabiat dalam bidang pergaulan yang digelar 'bergurau' atau kata dasarnya 'gurau'. Gurau mudah kita dapati di dalam sejenis perbualan yang dikategori sebagai 'bual kosong' dan terdapat juga bagi seseorang yang suka mengusik dan juga bagi seorang yang lucu. Tujuannya, supaya suatu gelak tawa dapat dicipta. Begitulah makna 'gurau' yang aku fahami.

Seringkali, terusik pada gegendang telinga aku tentang suatu gurauan yang aku tak boleh terima iaitu kata-kata seperti, ''ohh..kau Islam rupanya.''.

Ya, niat memang hanya bergurau tetapi hati-hati kerana ia seperti kau mengkafirkan seseorang yang kau tahu dia masih muslim. 2 kalimah shahadah sudah menjadikan seseorang itu Islam, solat bagi mengukuhkan atau mendirikan tiang agama untuk dirinya sesudah dia percaya dengan Islam. Begitu juga dengan ibadat yang lain.

Berhentilah bergurau sedemikian rupa kerana mengkafir-kafirkan ini kerja orang munafik dan hipokrit. Memang terdapat ulamak yang menjatuh hukum mengkafirkan atau menyesatkan tetapi mereka punya hujah serta alasan di hadapan Allah azza wa jalla. Gurau itu ialah bual kosong manakala bual kosong itu sesuatu yang sia-sia dan perbuatan sia-sia itu dibenci Allah s.w.t maka, adakah gurau layak dijadikan alasan di hadapan Allah kelak?

Oleh itu, hanya Allah saja yang Maha Bijaksana serta Maha Adil dalam segala urusanNya.

Khamis, 19 Julai 2012

Ramadhan Countdown-3 (Langit dan Bumi)

Hari ini Khamis 29 Syaaban 1433h, Maghrib nanti maka ada lagi 1 hari sebelum datangnya Ramadhan. Ketika menaip catatan ini, cuaca agak dingin kerana hujan renyai-renyai sedikit turun walhal langit masih kelihatan cerah. Tiba-tiba abah menjelaskan cuaca begini memang sering berlaku menjelang pertukaran bulan Islam apabila bulan mula berselisih dengan matahari. Kata beliau lagi, kalau nak tengok anak bulan sekarang ini memang tak nampak kerana langit ketika ini kelihatan mendung berpunca daripada fenomena tersebut. Lebih kurang begitulah keterangan abah yang sebenarnya setiap tahun menjelang Ramadhan abah akan bercerita tentang ilmu falak sehingga menjadi rutin kepada adik aku melihat bulan penuh setiap 15 haribulan dalam kalendar hijrah. Abah memang meminati ilmu falak dan kini nampak seperti minatnya itu mula mempengaruhi adik aku yang mula menunjukkan minat terhadap bidang ini.

Kemudian, aku terfikir akan ciptaan Allah di langit seperti bulan, matahari dan semua bintang-bintang sebenarnya mempengaruhi ekosistem dan bencana yang berlaku di bumi. Allah menciptakan segala yang di langit dan di bumi itu bergantung antara satu sama lain menjadikan apa yang berlaku di sekeliling kita sangat logik dan saintifik. Jika berlaku gerhana matahari atau bulan pasti akan diadakan solat sunat gerhana bagi memohon dijauhkan dari bencana, begitu juga agama lain ada cara mereka tersendiri selain menganggap sesuatu yang sial akan tiba. Seperti fenomena pasang surut yang dipengaruhi bulan begitu jugalah bintang-bintang lain turut mempengaruhi apa yang berlaku di bumi maka cukup bagi kita dengan meyakini bahawa Allah itu maha pencipta serta percaya kepada qada dan qadar maka dengan ini kita bisa memahami tentang apa yang dikatakan sebagai hikmah. Oleh itu, Allah menyuruh kita untuk belajar akan segala yang ada di langit dan di bumi supaya kita tahu akan kebenaran dan mengakui Allah itu maha bijaksana.

Bagaimana kita boleh menyangkal semua ini dicipta oleh Allah sedang Dia sendiri menuntut hambaNya supaya belajar serta membongkar misteri-misteri kejadian dan itu tandanya Allah tidak sesekali ingin membutakan mata kita melainkan kita sendiri yang membutakan mata kita sendiri dengan tidak mahu belajar.    Sebahagian dari kita sering mempersendakan kepercayaan agama lain yang dianggap tahyul tetapi kita tidak pernah berfikir kenapa agama ini benar dan kenapa kepercayaan itu perlu ditertawakan sedang Allah itu meliputi keseluruhan langit, tanah, angin, cahaya, tumbuh-tumbuhan dan manusia jadi memang apa yang kepercayaan tersebut rasakan sebenarnya Allah tetapi mereka tidak mendapat kebenaran dan akidah seperti kita. Oleh itu, bersyukurlah dengan rahmat yang Allah berikan kepada kita ini iaitu sebuah agama yang benar. Begitu juga dengan golongan atheis yang menolak kewujudan Tuhan dalam kejadian alam, mereka juga buntu apabila tiada penglibatan Tuhan dalam setiap kejadian maka kita perlu bersyukur kerana kita sudah tahu lama akan jawapan kepada setiap kejadian itu.


Iaitu ''La illa ha illallah'' -tiada tuhan selain Allah-



Isnin, 16 Julai 2012

Propaganda Syukur














Masihkah ada di kalangan kita yang masih tidak faham arti syukur? Rasanya semua dah besar kan? Jadi tak perlu rasanya aku jelaskan.

Tumpukan dan fahami kata-kata dalam gambar di atas. Ringkasnya ialah seperti ''Syukur atas apa yang ada''. Sangat mudah, akan tetapi orang-orang zalim yang tegar mempertahankan kerusi nya daripada dirampas oleh pejuang-pejuang kebenaran cuba menyalah artikan dan mempropagandakan istilah syukur tersebut. Semua tuntutan didalihkan dengan ayat ''Bersyukurlah, negara masih aman'' selain mengungkit pemberian mereka kepada rakyat sedangkan mereka sengaja terlupa bahawa kerusi yang mereka duduki itu diberikan oleh rakyat bersama dengan amanat dan kepercayaan. 

Kata-kata ''Syukur atas apa yang ada'' itu sebenarnya berhak buat mereka yang memimpin hanya dengan niat untuk menipu, menyeleweng, menzalimi atau menggelapkan hak rakyat lalu dibazirkan untuk kekenyangan perut mereka sahaja. Dipendekkan cerita, kata-kata pada gambar mengingatkan kita supaya tidak membazirkan wang dan terlalu mengejar kemewahan dunia lalu menzalimi diri sendiri. 

Mengejar kemewahan dunia dan menuntut hak manusia bukan perkara yang sama malah jauh sekali sifatnya. Kemewahan dunia ialah seperti barang kemas, beg duit berjuta ringgit dan tidur semalam di hotel mewah yang dicaj beratus ribuan ringgit untuk 1 malam sedangkan masih ramai rakyat yang sedang kebuluran memerlukan wang bayaran caj hotel tersebut. Manakala menuntut hak manusia ialah seperti pelajaran, aktivitas, sumber pendapatan dan kebebasan. Adakah menuntut hak manusia itu sesuai dinisbahkan dengan arti kata ''Tak bersyukur'' ? Jauh sekali.

Maka, syukur itu perlu dirasai setiap saat bukan hanya bila mendapat bantuan atau pemberian manusia tetapi syukur ke atas pemberian Allah seperti ilmu yang melata di serata bumi dan langit, serta cahaya kebenaran yang terdapat di balik gunung dan juga di dalam gelora ombak besar di lautan. Allah memberikan bantuan akal kepada kita supaya kita boleh berfikir.

Maka, berfikirlah sebaik-baiknya.

Jumaat, 13 Julai 2012

Urusan Aku Dengan Tuhan?

Ramai di kalangan orang muda yang kurang pendidikan agamanya atau dasar katanya 'jahil' sering dimomokkan dengan kesusahan beragama sehingga berfikiran negatif serta memberikan anggapan yang sempit terhadap agama itu sendiri. Bagi mereka, kehidupan yang ditetapkan oleh agama itu mengongkong mereka atau membuatkan mereka tidak bebas untuk bersosial. Ketepikan dahulu perihal tentang golongan yang hanya cuba menipu diri mereka sendiri seperti Ateis atau Free-thinker dan kita tumpukan pada golongan yang masih mengaku beragama tetapi cuba berdalih dengan hukum yang ditetapkan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Seorang lelaki melakukan kesalahan hukum di hadapan seorang temannya lalu ditegur oleh temannya itu dengan cara mengingatkan kepadanya akan tindakan Tuhan ke atas kesalahan tersebut. Jawapan yang biasa didengar daripada orang seperti lelaki ini selalunya ialah 'ini urusan aku dengan tuhan, kau tak perlu sibuk'.
Bagi kita yang ada sikap atau pemikiran seperti ini, apakah maksud 'urusan aku dengan tuhan' yang dimaksudkan oleh kenyataan seperti ini? Adakah urusan seperti 'taubat nasuha' selepas kehidupan kita terus bergelumang dalam kesalahan hukum tersebut? Setelah kekhayalan nikmat kesalahan atau dosa sudah menutup mata hati kita lalu berapakah tahap konfiden seseorang itu terhadap masa untuk taubat itu benar-benar disediakan untuknya? 

Tuhan memang bersedia untuk menerima taubat sesiapa pun walau hambanya itu membunuh dan merogol berjuta-juta orang yang tidak berdosa tetapi jangka masa hayat kita di dunia juga sudah bersedia untuk tamat sedangkan kita tidak tahu bagaimana Tuhan mengaturkan riwayat hambaNya. 

Sebagai insan, kita tidak pernah dapat lari dari dosa dan kesalahan kerana kita hidup di atas dunia yang fana penuh dusta dan celaka. Agama itu datang bagi memberi panduan kepada kita mengenai setiap sudut persoalan dalam hidup ini. Kita juga ditakutkan dengan Allah kerana kekuasaannya supaya kita mahu mendekati dan bergantung kepadaNya. Sedang manusia itu termasuk aku juga sering terpaling dariNya tetapi Allah tetap memberi pertolongan kala aku berduka dan teraniaya. Allah juga sedia mengampunkan setiap dosa hambanya yang ingin kembali kepadaNya dan memberi cahaya kepada sesiapapun yang dikehedakinya.

maka, nikmat tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? 

(sempena menanti Ramadhan penuh mulia) 


Ahad, 8 Julai 2012

Dunia Berlainan dan Satu Misi.

Kita ialah manusia,
Tempat manusia itu ialah di dunia,
Dunia kita ialah di bumi,
Walaupun sebelum itu kita berada di belakang sulbi lelaki,
Kemudian kita berada di dalam perut wanita,
Lalu kita keluar melalui rahim wanita tersebut,
Namun dunia kita tetap di bumi,
Cuma selepas itu Allah tetapkan dunia kita dan kita perlu hidup di dalam dunia itu,

Dunia yang mewah, dunia yang miskin,
Dunia yang aman damai, dunia yang kucar kacir,
Diagihkan kepada semua hambaNya untuk dilalui,

Seperti mengagihkan misi menyerbu musuh kepada 3 orang komando,
Kemudian diberikan peralatan berlainan mengikut kesesuaian misi tersebut,
Tahap kecanggihan peralatan juga berlainan,
Seorang dapat 'mesingan', seorang lagi 'sniper' dan seorang lagi hanya parang,
Pengguna 'mesingan' untuk tembakan rambang,
Si sniper sebagai penembak jarak jauh dan hendap,
Parang pasti diberikan kepada orang yang berani terus berhadapan dengan musuh,
Semua punya peralatan mengikut kelebihan masing-masing,

Diberikan mesingan kerana bakal menewaskan musuh yang lebih ramai,
Diberikan sniper kerana ketepatannya menembak musuh dari jarak jauh,
Diberikan parang kerana sebenarnya dia tidak perlukannya kerana dia punya seni mempertahankan diri yang hebat,


Tapi hakikatnya mereka semua perlu berkerja sama berganding bahu,
Barulah misi itu berjaya,
Maka si pengguna mesingan dan sniper tak boleh mempersendakan si parang,
Begitu juga si parang tidak boleh merasa iri hati kepada mesingan dan sniper,
Kerana apabila tiada kesepakatan misi pasti akan gagal,

Begitulah kias terhadap dunia manusia yang berlainan,
Kita semua manusia yang perlu bersatu,
Bukan mempersenda sesama sendiri,
Kezaliman yang harus kita tentang,
Itulah kebenaran,
Bukan buang masa untuk perkauman yang kolot.




  

Selasa, 12 Jun 2012

Peniru

Tiba-tiba saja aku terfikir untuk menulis tentang topik yang pernah menjadi sebuah perbincangan kami sekeluarga suatu ketika dahulu membabitkan terutamanya aku,abah dan adik perempuan ku bernama Iza. Aku ceritakan terlebih dahulu tentang kejadian tersebut yang pernah menjadi masalah besar buat kami.

Semuanya bermula apabila Iza merungut kepada aku dan abah tentang kawan-kawannya di asrama yang sering meniru hasil kerja nya dan budaya tersebut sedikit sebanyak mempengaruhi beliau tetapi tak diendahkannya kerana budaya tersebut akan membuatkan beliau untuk malas belajar. Perbuatan meniru tersebut jika rakan-rakannya itu meniru untuk belajar tidak mengapa kerana itulah namanya 'study group' tetapi mereka meniru hanya kerana ingin selamat dari didenda guru. Oleh itu, Iza cuba memujuk abah agar dia dibenarkan duduk di luar asrama iaitu di rumah baru kami di Tampin selepas kami agak lama menetap di Yong Peng, Johor dan Iza tidak mahu menukar sekolahnya memandangkan jurusan yang ditelaahnya tidak disediakan sekolah-sekolah di sana.

Maka abah memberikan nasihat dan pandangannya bagi membuka fikiran Iza supaya berfikir positif dan menjadi lebih aggresif. Kata abah,

 ''eloklah tu orang tiru kita, itu tandanya orang tu mengakui kehebatan dan kepandaian kita sebab kalau dia rasa kita tak cerdik tentu lah dia tak tiru kita, tak apalah kita bagi dia meniru dan doa kan semoga dia terbuka hati untuk belajar atau meminta diajar suatu hari nanti, Nabi Muhammad s.a.w menyuruh umatnya supaya meniru Rasullullah s.a.w iaini sunnahnya malah itu merupakan salah satu wasiat baginda selain Al Quran.''

Maksudnya di sini, manusia itu atau setiap makhluk ciptaan Allah itu memang sudah diprogram untuk selalu belajar dan mulanya pembelajaran itu ialah dengan kaedah 'meniru' dan golongan yang baru dalam suatu bidang atau scene ini sering digelar sebagai 'poser' atau sekadar pengikut yang tiada atau kurang pengetahuan. Golongan ini selalunya hanya mengikut-ngikut suatu yang digemarinya atau dirasakan baik untuk diri mereka seperti gaya, vokal, fesyen, kegiatan dan sebagainya lalu, oleh kerana mereka asalnya tidak tahu apa-apa maka untuk menjadikan sesuatu itu mereka secara natural akan meniru seseorang yang dijadikan idola seperti tokoh ilmu atau agama, artis, model dan sebagainya. Maka, kerana itulah jika kita ditiru maka haruslah kita berbangga dengannya.

Namun, banyak di kalangan orang ini yang hasil kerja ialah melalui perbuatan meniru tetapi menghebahkan bahawa itu datang dari dalam dirinya, artinya orang ini mengatakan bahawa itu hasil kerjanya sendiri serta melupakan atau mengenepikan orang yang memberi tiru kepadanya malah dia tetap terus meniru tanpa mengambil apa-apa faedah daripada apa yang ditirunya tapi mengambil kesempatan daripada susah payah orang lain. Mereka ini yang mempunyai masalah ''poser dan terus poser''. Mereka inilah golongan yang hebat pada sekadar zahir dan lidahnya saja tetapi akalnya tak akan berkembang melainkan idea untuk meniru padahal tahapnya sama seperti orang yang tak tahu apa-apa. Sikap seperti ini boleh melahirkan golongan hipokrit kerana mereka akan mula bermegah-megah dengan ciplakan mereka sedangkan tiada ilmu di dalam diri mereka melainkan meniru bukan belajar.

Maka, kita ikhtiar atau berdoa supaya golongan ini mendapat petunjuk dan kesedaran suatu hari nanti supaya kita semua mampu bersama-sama melangkah sempurna ke hadapan dan lebih jauh juga lebih tinggi.

Bak kata Fared Ayam,

    ''poser ni tak salah, yang masalahnya poser yang terus poser sampai ke tua''



  

Isnin, 11 Jun 2012

Kalau

Kalau, kalau dan kalau..

Manusia suka menggunakan perkatan KALAU dan JIKA, sebelum dan selepas sesuatu peristiwa berlaku..

Kata si kaya, kalaulah aku lagi berjaya..
Kata si sederhana, kalaulah aku lebih dari si kaya
Kata si miskin, kalaulah aku lebih dari si sederhana..

Kata si kaya, kalaulah aku usaha lebih lagi dari sekarang..
Kata si sederhana, kalaulah aku cuba lebih dari si kaya..
Kata si miskin, kalaulah aku lebih upaya dari si sederhana..

Tapi, Kalau hanya melafazkan dengan kata-kata, tanpa di zahirkan dengan perbuatan, ianya hanya akan tinggal kalau dan jika, tidak lebih dari itu..

Ada yang menggunakan kalau untuk berjaya..
Ada yang menggunakan kalau untuk terlepas dari bencana..
Ada yang menggunakan kalau untuk hidup selesa..
Ada yang menggunakan kalau untuk kesenangan dunia..
Ada yang menggunakan kalau untuk kaya..

Tapi..

Apa guna berjaya kalau akhirat entah ke mana..
Apa guna terlepas dari bencana kalau menuju ke arah api neraka..
Apa guna hidup selesa kalau tidak beribadat pada yang Esa..
Apa guna kesenangan dunia jika urusan akhirat tidak tejaga..
Apa guna jadi kaya kalau sukar menghulur pada yang papa..

✿ Mari berubah jadi baik..
~lala.. biar pedas sampai kebas, mati itu pasti jadi hidup biar bererti
~Alang-alang hidup, hiduplah sebagai da'ie. Alang-alang mati, matilah sebagai syuhada.



copy-paste daripada facebook EraPasca

Jumaat, 1 Jun 2012

Harta dan Darah Daging

Adapun, bagi pandangan aku sistem politik di negara ini terlalu buruk berbanding negara lain tetapi kerana itulah aku juga melihat rakyat terutamanya golongan muda seperti aku mula belajar dan sedar akan pendirian yang selama ini tertutup dan hingga kini semakin tersekat dan disekat. Demokrasi yang cuma bayang-bayang dalam air kini seperti lenyap tetapi semangat tidak pernah luntur dan suara tidak juga tenggelam malah lebih tinggi gelombang itu berkumandang. Kerana revolusi itu tidak pernah diberikan lesen dan tidak akan pernah diberikan kebebasan untuk menentang.

Mereka itu semua anjing.

Jangan marah aku akan gelaran tersebut kerana memang itu yang Allah umpamakan bagi mereka yang mengejar harta dunia, kuasa dan pangkat sehingga sanggup menipu, menfitnah, menganiaya serta melakukan kerosakan ke atas orang lain kerana mengikut hawa nafsunya. Oleh itu, orang tersebut akan melakukan apa sahaja yang dipinta hawa nafsunya seperti anjing yang hanya mahukan tulang maka semata-mata kerana tulang ia tidak kisah dan menurut sahaja apa yang diarahkan atau diperlakukan ke atasnya. (semak surah Al-A'raf 175-176)

Kenapa aku marah sangat ni?

Hari ni, heboh di permukaan akhbar pengampu tentang Umi Hafilda yang selalu 'duk' fitnah orang terutamanya Anwar Ibrahim(ketua pembangkang) kali ni wanita tersebut menuduh adiknya sendiri iaitu Azmin Ali terbabit dalam skandal rasuah kerana jumlah harta timbalan presiden PKR itu(lebih kurang begitulah).

Sebab itu lah aku gelar sistem politik di negara sangat buruk dan keburukan itu dicipta oleh mereka yang sekian lama memerintah. 

Aku kalau ada adik kandung kaya seperti Azmin, sikit pun aku tak nak masuk campur apatah lagi nak menjatuhkannya. Cukuplah aku tumpang bangga asalkan masih ada dasar agama dalam dirinya supaya dia tahu halal dan haram. Memang ada hadis seperti sabda Rasullullah saw, ''jika Fatimah(anak baginda) itu mencuri nescaya akan ku kudungkan tanggannya''. Namun, hukuman itu jatuh jika 'didapati' bukan 'diagak'. Kes tersebut baru mulai disiasat oleh SPRM. Makna nya ia ialah tuduhan dan tiada ciri-ciri terjadi subahat jika Umi tak minta SPRM siasat adik kandungnya sendiri.

Apalah bezanya jika Umi ni ceritakan tentang Shahrizat Jalil yang tiba-tiba terlepas tuduhan, hutang Tajuddin Ramli, Najib dan Scorpene atau Rosmah dan puaka? 

***dengar cerita hari ni ada akta baru mengenai tulisan-tulisan seperti ini di facebook,twitter,blog dan sebagainya yang lebih bermaksud sekatan. -pergilah meninggal. 


Sabtu, 21 April 2012

Judge

Aku tak tahu dan tak ingat kalau-kalau aku pernah menulis tentang perkara ni atau tak? Maklum lah, broadband sangat slow lalu membuatkan aku menjadi malas untuk check entry-entry lama.

Perkara atau topik kali ini ialah berkenaan 'judge' atau makna tradisinya ialah perbuatan menilai atau menghukum sesuatu makhluk,benda,perbuatan,sikap dan sebagainya. Nanana. Memang topik yang agak klise tapi ramai yang kurang faham akan fungsi atau sifat perbuatan ini. Judge boleh saja menjadi suatu yang sangat terpuji atau sesuatu yang sangat disampahkan. Bila apa yang dijudge itu tepat atau dipersetujui maka ia sangat terpuji dan dipuji tetapi bila ia gagal terjadilah yang sebaliknya malah lebih sampah lagi.

Ramai yang menggunakan pepatah barat ini sebagai dalil - Don't Judge A Book by It Cover.

Maksudnya lebih kepada jangan menghukum sesuatu itu kerana luarannya, mungkin kerana kita tak tahu apa isinya sebab isi yang terdapat manfaat bukan cover nya. Begitulah lebih kurang. Allahhualam.

Bagi aku, judge ialah suatu perkara biasa dan setiap masa kita lakukan sejak kita keluar daripada rahim bonda sehinggalah malaikat keluarkan roh kita daripada tubuh. Contoh, apabila aku menaip huruf-huruf di papan kekunci ini aku juga sedang menilai huruf mana yang sesuai supaya ia menjadi sebuah karangan yang cantik dan bemanfaat. Tadi, semasa baru bangun dari tidur yang nyenyak, aku berfikir samada aku perlu terus ke bilik air untuk mandi atau kumur-kumur sahaja di sinki dan aku memilih untuk mandi dulu. Begitu juga seterusnya, kita akan menilai semua perkara supaya hari-hari kita menjadi baik dan sempurna.

Kerana apa semua ini terjadi? Kita dikurniakan akal oleh Allah s.w.t untuk berfikir maka sebab itulah kita sentiasa ada banyak hala untuk dipilih kerana itu merupakan permainan akal. Gunakan akal untuk membuat keputusan dan pengaruhi akal kita dengan perkara selayaknya bagi Allah. Ingat, Allah dalam firman sentiasa menyampaikan kata-kata yang baik dan lembut kepada hambaNya, tanda kasih sayang Allah tidak terperi besarnya kepada kita sebagai manusia. Diciptakan manusia sebaik-baiknya kemudian dipandunya dan diajarnya kita walaupun manusia sudah punya akal dan anggota yang lengkap untuk hidup sendiri di muka bumi ini. Tapi Allah Maha Mengetahui bahawasanya manusia tetap perlukan penciptanya kerana kita sentiasa akan merasa kesunyian dan kesepian. Lalu, apabila manusia cuba mencari bahan untuk menemaninya maka di situ kita akan berfikir dan memilih yang sepatutnya samaada peneman yang hanya sementara seperti hiburan, mata air dan sebagainya yang terdapat di dunia atau peneman yang abadi dan sentiasa dekat merapati kita serapat urat leher?

Maka, judge lah apa pun tapi jangan kayu kan akal ini kerana gunanya untuk berfikir. Jangan terlampau sombong apabila menghukum kerana Allah sahaja yang tahu menghukum. Jika Allah itu Maha Penyayang kepada semua hambanya kenapa kita susah untuk merasa kasih sayang atau perikemanusiaan kepada sesama hamba lain? Allah pernah memerintah malaikat dan iblis supaya sujud menghormati Adam manusia pertama tetapi kenapa susah untuk kita menghormati dan menghargai sesama kita?

 Don't Judge Like A Fool.

Jumaat, 13 April 2012

Sosial Dunia Maya

Facebook. Sudah menjadi suatu keperluan penting bagi mereka yang telah pun terjebak memiliki akaun laman sosial paling popular dekad ini dan penting nya fb seperti pentingnya memiliki kenderaan, tempat tinggal atau kad pengenalan bagi mereka yang aktif berinternet. Sebuah lagi laman sosial yang juga menjadi fenomena baru dekad ini ialah Twitter. Walau asal nya ia hanyalah sebuah ruangan untuk bersembang, berkenalan atau bersosial di alam maya namun, kini ia bukan lagi alam maya semata-mata tetapi sudah berubah menjadi seakan-akan realiti.

Realiti yang lebih realiti daripada realiti. Bagaimana aku boleh katakan begini kerana aku bayangkan ketika melayari ruangan fb ialah seperti seakan-akan berada di dalam dunia Matrix (film). Jika di dunia sebenar kita hanya mendapat maklumat yang adakalanya kurang tepat atau tidak pasti dan sukar untuk membincang kan setiap maklumat dengan lebih mendalam tanpa butiran sebagai bahan alibi. Tetapi di fb semua butiran dari maklumat internet boleh di 'share' di 'wall' fb atau copy/paste link pada private message dan boleh segera dibincangkan di ruangan tersebut melalui tulisan-tulisan yang lebih terperinci.

Perenggan ke-2 di atas merupakan kegunaan atau tujuan sebenar aku mempunyai fb. (bajet gile)

Seringkali, terdapat rakan-rakan meluahkan rasa di ruangan 'status'. Ramai pemilik akaun yang terlalu jumud menghebahkan dan mempercayai bahawa 'wall' yang terdapat di facebook ialah bersempena atau besamaan dengan Tembok Harapan di Baitul-Muqqadis yang digelar 'Wall' oleh penganut Yahudi. Wall digunakan oleh Yahudi untuk meluahkan rasa, berdo'a dan berharap lalu ia ditulis di atas kertas lalu dimasukkan ke dalam lubang-lubang dinding itu. Ya. Itu cara yahudi, muslim tak boleh ikut. Mereka cuba sesatkan muslim. (kah kah). Bahaya ni.

*Facebook dicipta oleh Mark Zuckerbeg seorang Yahudi.

Tak perlu panik. Bila ada member merungut-rungut kat status tu, janganlah kau update pula status merungut tentang status annoying member kau tu. Sebab cara kau tu lagi mengarut kot sebab tak akan ubah apa-apa pun melainkan kau delete dia daripada friendlist. Tapi untuk jadi manusia yang berguna, yang hidup jasmani dan rohani nya, elok rasa nya kau tegur dan nasihat dia secara berhemah melalui ruangan komen atau IM member tu then, bagi hati dia sedap bukan kau pergi perli/tembak dia, takut tak pasal-pasal member tu darah tinggi.

Bila ada member update do'a tolonglah aminkan jangan 'like' jer. Tak ada maknanya kritik-kritik bodoh seperti ''do'a kat fb tapi tak amalkan buat apa?'' I call that, SAKAI. Sebab itu dia punya pasallah lagi pun kau baca status tu kau do'a lah untuk diri kau sendiri. Kenapa susah nak fikir wahai facebooker yang canggih dan berilmu tinggi?

Aku pun tak lah bagus mana, tapi aku tahu apa makna ''appreciate''.

Terdapat banyak dalil dinyatakan oleh Al-Quran yang membuktikan bahawa ''perkara yang baik itu sentiasa halal''. So, tak bullshit rasanya kalau kita share artikel-artikel dan video ilmu atau info tak kira lah berkenaan agama, politik, semasa dan sebagainya asalkan ia berguna dan bermanfaat untuk member-member dalam friendlist. Ada juga pelayar yang berdebat dan berhujah di laman ini sesama pelayar lain berkenaan sesuatu isu. Masalah nya, mereka tak berjumpa secara empat mata maka terjadi komen-komen maki hamun di dalam ruangan komen dengan berani sekali. Aku tak tahu nak terangkan akibat nya tetapi orang sekarang gemar 'judge' merepek-merepek, jangan sampai kau di'judge' sebagai pengecut.

Aku pun merepek juga di fb tu, tapi tak sangat lah sebab busy stalker awek-awek seksi. Ahhahaha, tak adalah gurau-gurau. Jangan buat macam tu sudah.

okay!!