Jumaat, 13 Julai 2012

Urusan Aku Dengan Tuhan?

Ramai di kalangan orang muda yang kurang pendidikan agamanya atau dasar katanya 'jahil' sering dimomokkan dengan kesusahan beragama sehingga berfikiran negatif serta memberikan anggapan yang sempit terhadap agama itu sendiri. Bagi mereka, kehidupan yang ditetapkan oleh agama itu mengongkong mereka atau membuatkan mereka tidak bebas untuk bersosial. Ketepikan dahulu perihal tentang golongan yang hanya cuba menipu diri mereka sendiri seperti Ateis atau Free-thinker dan kita tumpukan pada golongan yang masih mengaku beragama tetapi cuba berdalih dengan hukum yang ditetapkan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Seorang lelaki melakukan kesalahan hukum di hadapan seorang temannya lalu ditegur oleh temannya itu dengan cara mengingatkan kepadanya akan tindakan Tuhan ke atas kesalahan tersebut. Jawapan yang biasa didengar daripada orang seperti lelaki ini selalunya ialah 'ini urusan aku dengan tuhan, kau tak perlu sibuk'.
Bagi kita yang ada sikap atau pemikiran seperti ini, apakah maksud 'urusan aku dengan tuhan' yang dimaksudkan oleh kenyataan seperti ini? Adakah urusan seperti 'taubat nasuha' selepas kehidupan kita terus bergelumang dalam kesalahan hukum tersebut? Setelah kekhayalan nikmat kesalahan atau dosa sudah menutup mata hati kita lalu berapakah tahap konfiden seseorang itu terhadap masa untuk taubat itu benar-benar disediakan untuknya? 

Tuhan memang bersedia untuk menerima taubat sesiapa pun walau hambanya itu membunuh dan merogol berjuta-juta orang yang tidak berdosa tetapi jangka masa hayat kita di dunia juga sudah bersedia untuk tamat sedangkan kita tidak tahu bagaimana Tuhan mengaturkan riwayat hambaNya. 

Sebagai insan, kita tidak pernah dapat lari dari dosa dan kesalahan kerana kita hidup di atas dunia yang fana penuh dusta dan celaka. Agama itu datang bagi memberi panduan kepada kita mengenai setiap sudut persoalan dalam hidup ini. Kita juga ditakutkan dengan Allah kerana kekuasaannya supaya kita mahu mendekati dan bergantung kepadaNya. Sedang manusia itu termasuk aku juga sering terpaling dariNya tetapi Allah tetap memberi pertolongan kala aku berduka dan teraniaya. Allah juga sedia mengampunkan setiap dosa hambanya yang ingin kembali kepadaNya dan memberi cahaya kepada sesiapapun yang dikehedakinya.

maka, nikmat tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? 

(sempena menanti Ramadhan penuh mulia) 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan