Jumaat, 31 Julai 2015

Petang Ku Di Taman.

Petang ku di taman,
Aku lihat tumpukan awan beserakan,
Bergerak melintasi langit yang biru,
Seiring angin yang bersiul girang,
Melayang sekawan burung terbang  berkicauan merentasi banjaran yang disimbah cahaya mentari,
Cahaya mentari petang yang terpancar dari celah-celah serakan awan,

Petang ku di taman,
Bagaikan malam tanpa bulan, tanpa bintang,
Tak pula berpagi,
Aku cuma punya mimpi,
Tak pula punya harapan.

Rabu, 29 Julai 2015

Di Sini

Di sini,
Atau mungkin di mana-mana,
Tapi yang di sini,
Suara bawah jelas menggegar sanubari,
Membidas alasan palsu mahupun yang didiamkan,
Telah lebih banyak yang berfikir dari yang menjilat,
Cuma yang terkeji punya tangan lebih besar, lebih panjang menutup semua corong bersuara bawah yang berapi-api,
Menggelapkan layar kaca malah dibunuh pula risalah kebenaran,
Mujur telah banyak yang berfikir dari yang menjilat,
Tapi yang dia itu masih angkuh, tak pula tahu malu,
Ini bukan lagi kritikan positif negatif mahupun kebimbangan,
Bukan pula bantahan,
Ini penolakan!
Yang terdekat tercampak sudah,
Yang teratas didustakan,
Yang memperjuangkan harapan dihumban ke penjara,
Lalu,
Yang dibenci terangkat tinggi,
Yang kurang akal diberikan kemudi,
Yang kotor terus mengotori,

Di sini,
Ini yang terjadi.

Selasa, 28 Julai 2015

Meski Aku Berbohong.

Muak,
Atau aku malas?
Atau pun aku bohong?
Yang pasti aku muak,

Buat masa ini ada yang lebih penting,
Perjuangan hidup buat semangat yang masih terpendam,
Untuk harapan yang masih bernyala,
Kerana hidup bukan untuk kita seorang,
Kita hanya perlu bangkit di kejatuhan,
Selebih nya mengangkat orang menuju impiannya,
Menjaga orang yang tidak mampu,
Berkongsi kekuatan dengan yang lemah,
Menyeka air mata orang yang ditimpa musibah,
Semua nya tanpa kita kira,
Tanpa kita harap balasan,
Mahupun keuntungan,
Kerana yang selebihnya itu nanti akan membawa kita menggenggam mimpi-mimpi nyata dengan cahaya harapan dijunjung menerangi seluruh perjalanan kita menuju keberhasilan,

Maka muak lah aku,
Meski aku berbohong,
Meski aku kesepian.

Ahad, 26 Julai 2015

Masih Seperti Dulu

Tadi,
Masih seperti dulu,
Saat helai rambut lembut nya melambai-lambai terbang ditari angin bayu,
Senyuman kecil nya,
Manis yang lebih dari cukup,
Ketika dia rangkul lengan ku, terasa sama hangat nya,
Suara nya,
Semacam irama terindah yang ikut menyusup masuk dalam nafas ku,
Detak jantung ku ikut sama berdendang,
Perkataan nya laksana puisi di antara bintang-bintang,
Bola mata nya menyusun halus warna pelangi menutup keperitan zaman gelap ku yang sayu, mengubat rindu pada kehidupan waktu kecil ku yang indah,

Tadi,
Masih juga seperti dulu,
Lidah yang kelu,
Merendam semua persoalan,
Hanyut ke tengah perasaan terpendam,
Seperti tak mungkin untuk ku labuhkan di pantai jawapan,
Maka tinggal lah mimpi dan angan-angan,
Serta harapan yang tak terlupakan,
Juga persoalan yang tak pernah ku tanyakan, pada nya.

Sabtu, 25 Julai 2015

Siang Itu

Siang itu,
Bagi aku siang itu terang,
Siang itu menghangatkan,
Siang itu harapan yang sedang terlaksana,
Siang itu peluang kebangkitan,
Siang mengajarkan usaha dan semangat,

Tapi orang kata siang itu panas,
Kadang siang itu celaka,
Siang itu meletihkan,
Siang itu mengganggu tidur,
Siang itu bising,
Siang itu perlahan,
Kebanyakan orang takut dan kelihatan membenci siang,

Mereka lebih suka kan malam manakala aku belum bersedia menghadapi senja.

Jumaat, 24 Julai 2015

Masih Tersipu

Hati tersarung luka-luka.
Mati aku ditikam nasib,
Kolam jiwa terendam duka,
Dalam terang tawa nya ghaib,

Bias mentari tak kunjung singgah,
Tercanggah tari dan alunan hampa,
Tiada ku bernyanyi selain suara resah,
Mengenang kan hujan malam menimpa,

Aku masih tersipu,
Ditiup bayang hitam,
Sebuah angan telah berlalu,
Hilang di tengah jurang nya, yang kelam.

Rabu, 22 Julai 2015

Ragu Di Hari Kemenangan.

Kemeriahan nya semakin tidur,
Kata orang yang masih rindu,
Rindu pada masa lalu,
Pada masa ketika kesempitan masih beradu,
Kali ini semakin meragu,
Antara kemeriahan atau kebahagiaan mengelu.

Rabu, 15 Julai 2015

8 Ramadhan (Nabi Palsu)

Nama Tuhan mengisi gegak gempita,
Tempikan amuk para pendekar,
Mengalirkan darah luka lama,
Di ketika kesempitan menyelebungi dunia,
Ternyata perjuangan itu sia-sia,
Mereka kata ini ajaran nabi,
Aku lihat mereka cuba untuk jadi nabi,
Nabi palsu yang memalsukan ajaran nabi,
Mereka menghukum kerana perbedaan,
Sedang hukuman hanya pada kezaliman,
Atau kezaliman sedang membiakkan kezaliman,
Sehingga mengfakirkan daya berfikir,
Aku tak rela menerima semua ini,
Siapa pun yang menjadi punca,
Semuanya sama durjana,
Kata celaka buat mereka,
Keselamatan buat kita.

Ahad, 12 Julai 2015

7. Ramadhan 2015 (Di Ketika Aku Begitu)

Gelak tawa palsu,
Ungkapan semangat tiada untuk ku,
Terpuruk derita di sudut sepi,
Keramaian membentuk kesepian,
Kebas seluruh rasa menyentuh kemeriahan,
Termenung tiadaku menyapa,
Hanya sedikit detik untuk tersenyum,
Sesekali kelopak mata ku tergenang air,
Khayal ku hanya terisi masa silam,
Angan tak sudi lagi dipanggungkan,
Begitu lah pula dia melonjak ku setinggi ini.

Rabu, 8 Julai 2015

6. Ramadhan 2015

Disebab kan menahan makan dan minum atau memasukkan sesuatu ke dalam mana-mana rongga badan dan kepala merupakan perkara yang membatalkan puasa maka aku adalah salah seorang muslim yang selalu berharap dengan berpuasa berat badan akan turun.

Kemudian ada yang berkata kalau berpuasa kerana ingin turun berat itu salah dan pahala puasa tidak berlaku. Kemudian mereka itu juga lah yang berkata bahawa puasa itu adalah untuk melatih diri mengawal nafsu. Justeru aku bertanya, mengawal nafsu bagaimana?

Makan dan minum juga melibatkan nafsu. Berlatih mengawal nafsu kan sama dengan mengawal nafsu makan? Berniat menurunkan berat badan dengan berpuasa itu  adalah seperti berniat supaya dengan berpuasa dalam bulan yang berkah ini maka kesihatan akan bertambah baik. Itukan niat baik kawan.

Maksud aku di sini, wahai orang cerdik pandai, ajarkan niat yang betul untuk itu kalau anda rasa kurang tepat. Jangan menakut-nakutkan orang yang cuba berniat baik untuk dirinya sendiri. Kerana anda ramai orang tak sepintar anda naik muak untuk memahami kelebihan dan faedah untuk menunaikan ibadah berpuasa seperti ini.

Yang penting, walau apa pun niat kita untuk beribadah samaada dengan rela atau sekadar mengikut-ngikut, maka terapkan dalam hati kita bahawa setiap yang ingin dikerjakan dan diusahakan, hasilnya itu adalah dengan izin Allah. Dan Allah maha bijaksana.

Ahad, 5 Julai 2015

5 Ramadhan 2015

Berbicara berkenaan pergaulan. Kita pasti punya salah seorang kenalan yang agak tidak menyamankan ketika diajak bersembang mahupun apabila dia sendiri berbicara. Tidak nyaman maksudnya apabila dia sering bertentangan dengan pendapat atau fahaman yang kita rasa benar tapi bagi nya selalu pula salah sehingga hanya dia saja yang benar. Kita juga merasa dia salah dan ketika kitacuba memperbetulkan itu malah kita pula yang disalah-salah kan.

Orang seperti juga selalu nya merasa bahawa dia yang paling hebat dan kita ini kurang hebat.

Apabila bertemu dengan orang begini aku lebih gemar bersikap mengalah dan tidak akan berkongsi apa-apa cerita atau kisah kegemaran. Bukan takut tapi malas buang masa untuk perkara remeh seperti ini. Melainkan apa yang dibangkitkan itu melibat kan salah faham atau kurang kefahaman dan merungkai sebuah kebenaran. Itu pun aku lebih suka bersikap mengisi kekosongan dan kekurangan atau pelengkap. Aku akan biarkan dia bercerita tentang keyakinan dan kefahaman nya yang kadang boleh jadi sempit maka aku akan bersuara kemudiannya supaya kefahaman nya itu jadi sedikit lapang.

Sebab buruk atau cantik nya kenalan itu terletak pada kita sendiri untuk menerimanya. Kerana yang buruk itu lah selalunya mencantik kan kita dan yang cantik itu sering meletakkan kita dalam keadaan buruk. Sedang kita menjadi diri kita sendiri. Bukan jadi berbeza tapi jadi diri kita sendiri.

Fikir.

4. Ramadhan 2015

Kejatuhan bukanlah awal kepada kesedihan meski ia melahirkan kesedihan. Tapi kejatuhan ialah awal kepada yang namanya kebangkitan kerana bagaimana kita mahu bangkit kalau tidak jatuh?

Kesedihan itu pula terlahir kerana kekecewaan. Kekecewaan dari kerana sesuatu yang kita anggap kesilapan. Sebagai manusia iaitu makhluk yang terpilih diutus oleh Tuhan bagi mengurusi bumi, kita punya kelebihan yang menjadikan manusia itu ialah makhluk yang paling layak menjadi khalifah di muka bumi ini dan kelebihan itu terletak pada kesungguhan manusia memperbetulkan diri nya apabila ia tersilap. Oleh sebab itu sifat sombong, bongkak dan hasad dengki itu sangat dilarang bagi manusia dari kerana sifat sedemikian lah sebahagian orang tidak mahu belajar daripada kesilapan apabila mereka tidak mahu mengakui kelemahan diri sendiri sebaliknya sering pula salah menyalahkan orang lain.

Untuk bangkit, kita perlu tahu punca yang membuatkan kita jatuh dan punca itu selalunya adalah kesilapan. Sedarlah daripada kesilapan dan bertekad untuk tidak lagi mengulanginya dengan memperbetulkan kesilapan itu. Seperti orang terlupa membawa payung maka dibasahi hujan atau kaki melecet kerana memakai kasut tanpa mengenakan sarung kaki. Kita sedar tak bawa payung dan pakai kasut tanpa sarung kaki itu adalah sebagai punca masalah, maka selepas ini payung dan sarung kaki ialah pembetulan terhadap kesilapan tersebut.

Kita sepatutnya sudah belajar dari sejak bayi yang hanya tahu merengek lalu bayi itu cuba membalik kan tubuhnya. Bayi itu belajar bergerak dengan memulakan langkah dengan cara merangkak menuju ke tembok lalu dicubanya memaut tembok itu supaya boleh berdiri sehingga kemudiannya berjalan. Bayi itu kalau jatuh ia akan tetap mahu cuba bangkit kembali dan berjalan sehingga bayi itu menjadi seperti kita sekarang. Tiada bayi atau anak kecil yang terjatuh lalu tidak mahu bangkit kembali meneruskan usahanya untuk berjalan.

Cuma kalau hari ini, ketika kita jatuh apakah kita mahu bangkit kembali? Kerana orang yang keji itu apabila ia jatuh dan tidak mahu pula untuk bangkit sampai kemudiannya ia cuba pula menjatuhkan orang lain. Orang ini tidak ada yang berjaya melainkan sombong belaka.

Maka bangkit lah. Berdirilah kembali.

Sabtu, 4 Julai 2015

3.Ramadhan 2015

Setiap kali tibanya bulan penuh berkah yakni Ramadhan, selain pasar ramadhan, misteri beg plastik hitam mahupun van jenazah, perkara yang menjadi aktiviti utama malah yang paling aktif menumbuh di dalam lapangan pemikiran aku ialah ekspo atau bazar ramadhan. Tempat di mana warga membeli belah sebagai persediaan atau kelengkapan untuk berhari raya. Sebagai peniaga pasar malam aku tidak terlepas supaya turut berada di antara peniaga lain dalam merebut tapak yang disediakan pihak majlis daerah. Perebutan itu muncul atas beberapa faktor seperti tapak yang terhad bagi bilangan peniaga yang semakin meningkat, dalam bulan ini suasana di pasar malam menjadi sangat hambar dan bilangan pengunjung ekspo yang lebih ramai pada hari-hari terakhir ramadhan. Faktor yang sedikit ini adalah alasan besar aku terselit di antara peniaga lainnya.

Zaman ketidak tentuan ekonomi yang melanda kini menjadikan aku tidak dapat tidak harus merebut peluang yang tersedia seperti ini. Alhamdulillah, setelah melalui kejatuhan yang dahsyat beberapa bulan lalu, atas keredhaan ilahi aku akhirnya bangkit dan menemui jalan menuju kesuksesan ku sendiri dalam masa hanya beberapa bulan. Bermodal kan hasil jualan proton iswara dengan harga RM 3000 sebahagian nya aku gunakan untuk membuka langkah awal yang kini aku sudah berada di pendakian. Allah kabulkan doa semua orang yang ada di sampingku yakni orang yang turut tidak mahu duduk diam mengangkat aku ke pendakian dan mudah-mudahan orang ini akan turut bersama dengan ku di puncak nanti. Yang terutama, Abah.

Dipendekkan cerita, aku berjaya dalam perebutan tapak ekspo tersebut. Mungkin bagi peniaga lain nya beranggap pendapatan daripada hasil jualan mereka di bazar ramadhan adalah duit raya tapi aku pula menganggap ini adalah permulaan besar dalam sejarah hidup ku. Ini adalah coretan awal bagi sebuah kelanjutan hidup.