Ahad, 5 Julai 2015

4. Ramadhan 2015

Kejatuhan bukanlah awal kepada kesedihan meski ia melahirkan kesedihan. Tapi kejatuhan ialah awal kepada yang namanya kebangkitan kerana bagaimana kita mahu bangkit kalau tidak jatuh?

Kesedihan itu pula terlahir kerana kekecewaan. Kekecewaan dari kerana sesuatu yang kita anggap kesilapan. Sebagai manusia iaitu makhluk yang terpilih diutus oleh Tuhan bagi mengurusi bumi, kita punya kelebihan yang menjadikan manusia itu ialah makhluk yang paling layak menjadi khalifah di muka bumi ini dan kelebihan itu terletak pada kesungguhan manusia memperbetulkan diri nya apabila ia tersilap. Oleh sebab itu sifat sombong, bongkak dan hasad dengki itu sangat dilarang bagi manusia dari kerana sifat sedemikian lah sebahagian orang tidak mahu belajar daripada kesilapan apabila mereka tidak mahu mengakui kelemahan diri sendiri sebaliknya sering pula salah menyalahkan orang lain.

Untuk bangkit, kita perlu tahu punca yang membuatkan kita jatuh dan punca itu selalunya adalah kesilapan. Sedarlah daripada kesilapan dan bertekad untuk tidak lagi mengulanginya dengan memperbetulkan kesilapan itu. Seperti orang terlupa membawa payung maka dibasahi hujan atau kaki melecet kerana memakai kasut tanpa mengenakan sarung kaki. Kita sedar tak bawa payung dan pakai kasut tanpa sarung kaki itu adalah sebagai punca masalah, maka selepas ini payung dan sarung kaki ialah pembetulan terhadap kesilapan tersebut.

Kita sepatutnya sudah belajar dari sejak bayi yang hanya tahu merengek lalu bayi itu cuba membalik kan tubuhnya. Bayi itu belajar bergerak dengan memulakan langkah dengan cara merangkak menuju ke tembok lalu dicubanya memaut tembok itu supaya boleh berdiri sehingga kemudiannya berjalan. Bayi itu kalau jatuh ia akan tetap mahu cuba bangkit kembali dan berjalan sehingga bayi itu menjadi seperti kita sekarang. Tiada bayi atau anak kecil yang terjatuh lalu tidak mahu bangkit kembali meneruskan usahanya untuk berjalan.

Cuma kalau hari ini, ketika kita jatuh apakah kita mahu bangkit kembali? Kerana orang yang keji itu apabila ia jatuh dan tidak mahu pula untuk bangkit sampai kemudiannya ia cuba pula menjatuhkan orang lain. Orang ini tidak ada yang berjaya melainkan sombong belaka.

Maka bangkit lah. Berdirilah kembali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan