Selasa, 17 Januari 2012

Hikmah Menangguh Bosan

Selasa jan 3.33 petang waktu jam dinding rumah aku yang paling sahih sekali. Rumah aku ni tak ada televisyen tapi selamatlah ada rezeki beli laptop ni dulu maka ada juga lah penangguh bosan untuk aku. Tapi semakin bosan, okay aku blogging tapi tak tahu apa nak diceritakan kat engkau-orang ni. Maka, terbaring terlentang lah aku di lantai ruang tamu merenung siling rumah mencari punca dan asbab supaya bermain-mainlah fikiran yang dah mula suntuk ni. 

Renung, tenung, temenung dan bangun semula.
Tenung pula bilah-bilah kipas berkejar-kejaran.
Tapi tak boleh juga ia menghiburkan hati.
Jangan tanya kenapa tak bukak youtube atau main game?
Sebab aku dah buat perkara tersebut berulang-kali.
Sejak daripada masa Tuhan bagi laptop ni lagi.

Bakar rokok Duo-M lepak di laman rumah menghadap Gunung Tampin. Pukul 3 ni hari masih panas lagi tapi aku tak boleh buat apa-apa dah. Sehinggalah pukul 4 aku masih bersila di lantai halaman rumah merenung kebesaran Ilahi. Memukau jiwa dan aku terpesona. Menonton sekalian awan berarak, langit biru meluas, matahari gagah bercahaya berlatar suarakan kicauan burung berbagai nada. Terlalu banyak yang menghiburkan walau tak sampai 1 jam aku menonton dan menatap kebijaksanaan Ilahi. 

Harap semua ini dapat kekal sehinggalah tiada lagi bias mentari mengusik aku.

                                                                       gambar hiasan.
Gunung Tampin. 

Biarkan Mereka Berlawan

Sorak dan tempik di sana sini.
Sorakan dialun tanpa seni.
Perkosa telinga yang berjeriji besi.
Tunggu dibebas oleh sorakan yang bijak berseni.

Tak perlu risau mereka berlawan.
Kita fikir hasil tanaman.
Dengan harapan kita jual tanaman.
potong separuh ulat yang makan.

Secara paksa kita rela.
Tanpa kita tahu hilang semua.
Kita dapat tak setimpal usaha.
Peti suara membodek hilangkan prasangka.

Tak perlu risau mereka berlawan.
Selagi fikiran tak sejauh banjaran.
Tanah kita gurun.
Hujung banjaran suburnya tanaman.

Berfikir itu tak sia-sia.
Memilih berlian atas kepala?.
Atau mutiara dalam minda?
Kebaikan supaya ikut berlawan.

Tak perlu risau mereka berlawan.
Kita pilih kebenaran.
Dan ikut berlawan.
Menentang rompakan kesempatan.
Lalu kita ikut mereka berlawan.

Jumaat, 13 Januari 2012

Susah Senang Sabar Syukur Kehidupan

Hidup ni macam mana sebenarnya?
Susah ke senang?
Masa susah kita bilang susah tapi orang lain bilang senang.
Masa senang kita bilang senang tapi orang lain bilang susah pula.
Jadi seperti apa hidup ini?
Senang atau susah untuk hidup?
Barangkali hidup ini hanya untuk pening kan kepala.

Aih.
Tak guna lagi tertanya-tanya begini.
Buat apa merasa hati diramas-ramas derita.
Didesak nya hati itu ke tekak.
Ingin dijerit kan moga terlontar keluar muntahan derita itu.
Tapi mustahil terurai nya derita semudah itu.

Aku rasa,
Orang senang perlu menempuh perjalanan kaki beratus kilometer di padang pasir.
Orang susah perlu terkurung di sebuah rumah mewah dan kemewahan dunia.
Baru lah agaknya si hidupan mengaku berakal itu tahu gerangan nya hidup di antara susah dan senang.

Dalam senang jangan menipu supaya tak ditipu Tuhan.
Dalam susah jangan marah supaya tak dimarah Tuhan.

*susah senang sabar syukur

Khamis, 12 Januari 2012

Kekecewaan Terakhir

''Nak diluah mati mak, Nak ditelan mati bapak''
Suatu peribahasa melayu unik yang tak pernah lagi menjangkiti cara aku untuk menyelesaikan sesuatu. Sebelum ini jasad ku seperti air yang mudah mengalir semasa menyelesaikan suatu penjelasan. Biarlah dengan siapa pun. Tapi kali ini aku terpaksa selesaikan masalah itu dengan melanggar kata-kata yang terlanjur iaitu nasihat aku untuk tidak lari daripada masalah. Ya, aku terpaksa lakukan tetapi dengan membentuk cara itu sebagai cara untuk mengurangkan sedikit tekanan bagi peribahasa di atas. Tekanan untuk sebuah penjelasan.

Musim di mana angin monsun Januari bertiup, sebelumnya ialah musim hujan Disember di mana tekanan bermula. Waktu tersebut merupakan ketibaan sebuah kekecewaan terakhir untuk Abah. Aku nekad dan tekad ini lah kekecewaan terakhir untuk Abah dan aku berdoa supaya ia tidak akan berlaku lagi. Apa sebenarnya kekecewaan itu amat lah sukar untuk aku terangkan kerana ceritanya terlalu panjang dan rumit tetapi apa yang penting untuk semua di sini fahami ialah pengajaran dari cara aku untuk menghadapi tekanan peribahasa itu.

Cara ini memang terlalu bahaya dan tambah merumitkan jika ia gagal seperti dirancang. Pertama aku kenal pasti masalah dan tekanan tersebut daripada akar dan pangkal iaitu 'takut untuk memberitahu'. Kemudian aku bertanya 'kenapa takut?'. Jawapannya kerana aku terpaksa melihat kekecewaan dan rasa terkilan abah di hadapan aku sendiri atas perbuatan yang aku sembunyikan dari pengetahuan abah selama hampir setahun, dan perkara itu merupakan harapan besar abah untuk aku tapi ia sudah habis tiada berharga lagi. Itu yang sebenarnya yang aku takuti iaitu melihat abah terkilan dan aku wajib memberitahu awal sebelum beliau memeriksa 'harapan' itu esok maka berjangkit sudah peribahasa itu tapi, tidak dapat tidak beliau wajib tahu awal.

Jika diberitahu, sama juga dan jika tak diberitahu juga sama. Aku tetap akan melihat beliau kecewa. Jadi, aku perlukan seseorang untuk membongkar rahsia ini kepada abah dan perlunya ada seseorang memperjelaskan perkaqra ini kepada abah. Maka aku perlukan 2 orang. Pertama, untuk membuka rahsia. Kedua, untuk memperjelaskan rahsia dan masalah tersebut kerana takut abah tidak memahami sesetengah perkara. Orang pertama mestilah mewakili aku dan orang kedua sebagai penilai dan penganalisa.

Dan aku? Aku perlu lari bersembunyi sementara proses yang aku atur berlaku. Maka, pagi embun menitis di depan pintu aku hidupkan enjin kereta menderu cemas ke masjid mengejar solat Subuh berjemaah meminta Allah melindungi dan semoga Dia melancarkan aliran penyelesaian yang aku atur ini. Aku tak akan tinggalkan abah seorang diri tertanya-tanya akan keberadaan aku. Maka, aku lantik adik aku yang berada di asrama sebagai orang pertama dan saksi kental dengan hujah kuat buat aku yakin melantik 'beliau'. Aku menuju ke asrama adik lalu memperjelaskan perkara itu dan mengajar caranya.

Caranya. 1. Pergi ke sekolah berjumpa 'beliau' yang berada di kantin. 2. Hubungi abah dan minta beliau datang ke sekolah. 3. Ceritakan hal ini secara 'direct' kepada abah dihadapan 'beliau'. 4. Masa seeloknya semasa rehat supaya tak mengganggu jadual kelas adik aku.

Cara yang mudah dan tiada apa-apa 'pressure'.

Lalu aku pergi sementara menunggu semua ini selesai. Mujur aku ada seorang kawan yang berkerja di kantin sekolah tersebut yang aku boleh gunakan sebagai pemerhati. Aku mengarah ke Seremban kerana Hanis juga sahabat aku berkerja di sana. Dia aku gunakan untuk menemani aku lalu dia memohon cuti 1 hari.

Alhamdullillah, semuanya selesai. Tiada mak dan bapak yang mati.

Aku tahu abah tak akan marah kerana beliau faham aku yang bertiang kepada nya. Dalam dirinya seperti ada paterian sumpah mengukir janji berusaha untuk anak-anak yang masih beliau rasa bergantung di bawah nya. Sabar dan keimanan seperti menahan hati nya dari gusar dan resah. Penghargaan nya begitu tinggi kepada agama sehingga aku terkesan. Inilah kekecewaan terakhir untuk abah.

*aku memandu sendirian ulang-alik ke Seremban.

Sabtu, 7 Januari 2012

2012

Tahun 2012. Masa aku buat 'entry' ni, sudah genap 1 minggu usia tahun baru ini. Sungguh sekejap, seperti melangkahi lopak-lopak air di atas perjalanan. Dulu kecoh juga filem 2012 kerana plot filem tersebut yang berkisar kan kehancuran bumi pada tahun 2012. Yang taksub dengan filem tu memang telah pun membisingkan tentang kiamat pada tahun 2012. Hari ini atau sejak seminggu lepas telah pun berinjak-injak angka 2012 pada permukaan helaian-helaian kalendar tapi suara-suara bising itu ternyata tiada lagi.

Tapi tak tahu lah. Mungkin esok,lusa,minggu depan,bulan depan atau tidak berlaku.

Orang kita ni selalu banyak alasan untuk menolak sangkaan yang kiamat itu makin atau sudah hampir. Seperti menunggu kedatangan Dajjal, Imam Mahdi, Nabi Isa dan tanda-tanda sahih lain. Apakah kita tahu rupa Dajjal? Imam Mahdi juga tidak tahu dan menyangkakan bahwa diri beliau ialah Imam Mahdi yang menjadi penyelamat kelak. Allahua'lam.