Sabtu, 31 Disember 2016

Rentetan 2016

Sebab di timeline FB, IG dan Twitter banyak yang dah mula review...rewind..imbas kembali pasal 2016.. so..aku pun nak jugak buat benda yang sama.. tapi macam biasa..sebab aku ni forever alone..so..tulis kat sini je lah..

2016 yang aku lalui adalah seperti kesinambungan kepada tahun 2009. Ingat tak apa yang terjadi masa tahun 2009? Aku ulang lah balik.. tahun tu aku eksiden..hilang tangan..hilang satu-satunya kawan rapat yang tidur sebantal, kawan sama-sama ponteng sekolah, kawan tempat melempias tekanan emosi.. Marwan...kalau diingat balik..banyak juga orang terdekat yang pergi tak disangka-sangka. Tak kira yang di sekitar mahupun yang dekat dengan ingatan macam tokoh terkenal, artis macam-macam lagi.... Michael Jackson dan Loloq pun meninggal dunia pada tahun tu juga....

Gempa bumi Padang yang tragis dan mengharukan...Tak lama sudah tu..mak kawan aku yang selalu datang melawat kat hospital tiap hari masa aku tenat kat ward dulu pun meninggal dunia pada tahun sama. Depan mata aku arwah hembuskan nafas yang terakhir... Merasa jugak menangis teruk depan orang ramai yang juga menangis.

Dah itu cerita lama. Memang tak akan boleh lupa. Tapi, itu kisah lama. Aku dah lama move on...

Tahun 2016... Kebangkitan, Peluang, Kehilangan besar dan Pelepasan.

Dengan ini, aku ambil peluang untuk bercerita tentang apa yang berlaku di tahun 2016 dengan mengimbas sejenak tahun sebelumnya.

Aku mula meniaga sendiri masa tahun 2014. Try buka kedai telco. Tapi itulah, pengalaman cetek meskipun aku berasal daripada keluarga pedagang. Perniagaan tu gagal... Kedai tutup.. barang-barang dalam kedai aku lelong kat pasar malam. Masa ni, aku terpaksa untuk jadi sangat selfish, abaikan sekejap kawan-kawan.. Sampai aku langsung tak keluar rumah woo... Yang bestnya, rasalah kena kejar dengan hutang bagai.. orang telefon aku marah-marah...sms ugut bagai... Hahaha... Aku jatuh terbarai beb masa tu... Habis hilang semangat aku.

Tapi aku tetap cuba untuk baiki balik semua yang dah aku rosakkan.

Waktu tu, aku cuma ada Abah dan Iza.

Walaupun aku tak adalah ceritakan apa masalah aku, tapi Alhamdulillah.. Abah dan Iza faham sementara yang lain sedang mengecam dan mengejek.

Satu hari aku terpaksa kick Arai walaupun aku dah janji nak meniaga sama dengan dia. Aku harap Arai maafkan aku. Semuanya sebab Abah kata....

"Kalau Pie ikut dengan Abah, boleh naik balik niaga Pie ni." Abah adalah orang yang paling meyakinkan aku. Abah buat apa yang dia cakap. Dia tak sekadar bercakap je.. Kalau Abah dah kata, sesuatu tu pasti akan terjadi dalam keadaan yang tak pernah aku jangkakan.

Daripada satu meja 4 kaki panjang.. jual Kabel Usb dan Casing Henfon lelong... entah darimana Abah dapat tahu tempat supplyer.. Abah jual kereta Iswara dia. Dapat duit, Abah suruh aku guna duit tu beli Power Bank. Sementara Abah kekal jual racun semut, tampal periuk.

Aku jual powerbank kat pasar malam. Alhamdulillah...Aku dah merasa duit titik peluh sendiri atas bantuan dan dorongan Abah dan Iza. Tapi... aku tak anggap ini adalah perniagaan aku seorang.... Ini adalah perniagaan Aku..Abah...dan Iza...

Gigih betul kami tiga beranak masa tu. Tak lupa juga pada peniaga lain yang turut membantu dapatkan tapak untuk kita orang.. Abah kata, tak lama lagi Pie mesti akan berkedai semula.

Hari demi hari..tahun demi tahun..masa emas semakin hampir. Banyak masalah pun selesai...

Kesihatan Abah mulai menurun.. Walaupun Abah nampak kuat.. tapi banyak yang dah menurun.. aku tau.. tapi aku diamkan.. aku larang Abah untuk ikut aku pergi pasar malam lagi... Biarlah Abah di rumah siapkan makan minum aku. Dan tunggu cerita aku bila nanti aku sampai di rumah.. Aku tekad..aku tak boleh main-main lagi.. Terima kasih Botak, Aiman dan Aboi yang tolong aku kat pasar. Masa tu lah aku merasa jadi bos.. Haha.. taklah..

Tapi kesihatan Abah semakin menurun. Kerap masuk ward. Aku buat keputusan untuk niaga kat Johor... supaya dekat dengan abang aku yang tinggal kat Yong Peng. Aku bagitahu Abah keputusan ni. Dengan pantas Abah kata dia nak pergi Johor besok nak jumpa Bang Eri, nak tengok peluang dan keadaan kat sana.

Masa tu mata Abah okay lagi... Abah nak pergi sendiri supaya aku terus meniaga di Tampin dan sekitarnya.

Tak sampai sehari Abah kat sana, Abah dah telfon aku bagitahu, kat situ ada downtown, Bang Eri pun niaga situ. "Tapak tetap, hari-hari boleh niaga" kata Abah dalam telefon.

Disember 2015.. berangkatlah aku ke Parit Raja, Bt Pahat, Johor. Luaskan Kuasamu!

Haa.. sekarang baru boleh cerita pesal 2016..

Mula-mula aku tumpang meniaga kat khemah Bang Eri. Pendekkan cerita, pihak penganjur bina sebaris pondok atau garaj...aku tak reti nak cerita macam mana bentuk dia. Macam tempat parking kereta cikgu yang ada bumbung tu. Faham kan?

Haa .. diorang bina benda tu. Aku pun ambil lah 1 tapak berukuran 8x12 kaki. Tapi bila masuk barang rasa macam tak cukup pula. Macam mana nak isi barang ni? Duit yang ada tak cukup walau setakat nak penuhkan kedai ni. Lama aku dengan Abah termenung kat ruang tamu rumah Bang Eri. Abah kata, pinjam Bang Eri lah, bayar lah 100 seminggu... Tapi aku sangkal, sebab kalau nak mintak tolong Bang Eri, jangan lah untuk ini.

Tiba-tiba Abah kata lagi, "Pie berani   pinjam Tekun?"

Aku kata aku berani tapi mesti lebih daripada 5000 ringgit. Adalah sebabnya.

"5000 apo ni? kita pinjam 10000!" Jreng jreng jrengggg!!!

Terima kasih kat Om Idih.. beliau lah yang tolong sehingga pinjaman tu berjaya. Rupanya untuk OKU tak perlu bayar bunga. 10000 pinjam..10000 bayar..Wow!

Aku bebaskan Abah untuk deco kedai tu... Abah memang power bab bertukang ni. Tak adalah pakai modal yang banyak untuk itu...Bulan Mac 2016.. aku mula niaga di tapak tu. Sewa RM400 sebulan.

Siap lah semuanya. Betul lah kata Abah. Aku akan dapat berkedai balik. Aku dapat ramai customer tetap. Cuma zaman GST ni memang ada kurang sikitlah daripada sebelum GST.

Sejak patah hati untuk bercinta..aiseyhh.. Aku tiba-tiba gemar mendaki gunung. Awal bulan April 2016, aku berjaya menawan Gunung Irau di Cameron Highland... syiokkk uuuhh!

Hari raya Aidilfitri. Syukur ke hadrat ilahi. Ini adalah hari raya paling bermakna bagi aku. Aku dapat tengok riak wajah Abah yang paling ceria. Semua anak cucu Abah berkumpul. Da Wen dan family datang dari Bukit Tinggi.Indonesia.  Abang Eri dan family dari Johor. Kak Dina dan family dari Kedah. Pertama kali Abah pimpin doa di pusara Arwah Bang Yon. Waktu itu, aku dengar suara Abah sebak ketika menyebut Arwahi Yon Elvison dalam doanya.... Aku pun sebak, tapi cover macho lah.

Nah! Babak seterusnya dalam hidup aku bermula. Siri baru. Episod baru.

26 Ogos 2016- Abah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Abah pergi buat selama-lamanya. Setelah semua masalah aku selesai. Ketika aku sedang berada di atas jalan yang sebenar. Menuju matlamat sejati. Abah pun pergi tak kembali. Ahh.. ini lah peristiwa yang paling aku akan ingat walaupun aku hidup 1000 tahun lagi. Abah is the real Abah. Insan paling aku kagumi... Semoga Abah ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Aminn.

Sebelum tu. Abah ada bela kucing. Kucing tu datang ke rumah masa dia masih kecik. Abah suka kucing tu sebab dia makan nasi. Kami namakan ia. Kucing Coklat.

Kucing Coklat dah jadi salah satu dari ahli keluarga kami. Gelagat kucing ni buat kami tak kering gusi. Hilang stress melayan. Warna bulu dia unik. Ramai yang suka. Comel. Sampai kucing tu dah berusia setahun dan dah dua kali beranak. Tapi anak kucing tu habis mati semuanya. Kami pun sedih tengok Kucing Coklat meratap bangkai anak dia.

Sebulan sebelum Abah jatuh sakit, Kucing Coklat tak balik rumah. Mungkin dah mati. Kata Abah, "rasa macam hilang keluarga". Bayangkan, daripada kecik kucing tu tidur dengan Abah.

Kucing Coklat hilang.. beberapa minggu lepas tu, Abah pun sakit tenat. Dan pergi setelah 2 minggu berjuang menahan sakit di Hospital Nora Ismail. Bt Pahat.Johor.

Semoga Kucing Coklat akan menjadi tunggangan Abah di Akhirat nanti.

Baby Kenari. Kenderaan pertama aku. Panjang langkah aku ke mana-mana. Tapi sejak kena curi pada tahun 2014. Sama tarikh dengan kehilangan pesawat MH370. Dan jumpa balik 3 bulan sudah tu, Baby Kenari dah banyak masalah. Nak jual tak boleh. Terikat perjanjian dengan mahkamah. So.. aku pun repair jugak lah sikit-sikit. Sebelum puasa kelmarin, aku pergi IPD Seremban, tanya pesal perjanjian tu. Polis tu kata, perjanjian tu dah habis dah.. kes pun dah selesai.

Dengan berat hati, aku terpaksa jual Baby Kenari sebulan selepas Abah pergi.. Rindu nak bergendang dan menyanyi kalau drive Baby Kenari sorang-sorang. Tapi, adakalanya, kita perlu melepaskan beban yang tidak-tidak. Atau sebenarnya, aku putus asa. Bye Baby Kenari!

Sekarang aku guna van Nissan C20. Aku namakannya..... Vader. Merujuk kepada Darth Vader. Vilain filem Star Wars yang badass!!! Vader artinya Father atau Ayah... mula-mula nak bagi nama Babah bersempena dengan Abah. Vader.

Tiba-tiba, Rouge One Star Wars Story pula ditayangkan. Pagi aku dah gerak naik bas pergi BP Mall (naik bas lagi save. Tambang pergi balik 2 ringgit sebab OKU). Ada Darth Vader pulakk... terperanjat kita. Sebab sebelum tu memang aku tak ada tengok teaser ke trailer ke...so..memang tak tau apa lah. Bila suara Imperial Anthem tu keluar seiring dengan kelibat Darth Vader yang suka cekik pakai dia punya Force.... Fuhhhh...Rouge One is awesome! Walaupun sekadar cameo untuk beberapa scene.. tapi puas hati!! Apatah lagi masa last scene, Darth Vader fight dengan Rebel Scum. Power wooo!!

Tak disangka-sangka.. seorang lagi teman kami pergi bertemu Ilahi. Iskandar terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Iskandar tewas di tempat kejadian...

Tahun 2016 juga aku jadi sangat berani untuk meluahkan perasaan pada seorang kenalan ni. Kenalan istimewa.. Wati (Bukan nama sebenar). Walaupun dia berat untuk menolak.. It's okay lah...Yang penting aku tak loser lagi. Lepas ni, aku pun tak mahu berfikir untuk itu buat sementara. Tunggu Iza habis belajar... baru aku on. Biarlah. Jodoh itu pasti.. Tapi mati pun pasti jugak.

Begitulah ceritanya.

2016 memang akan aku ingat sampai bila-bila. Tapi aku tetap move on!! Kekal semangat menempuh tahun yang baru. New Chapter!! New Hope!!

Untuk tahun 2017... azam aku sederhana.. sekadar untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Aku mahu memanfaatkan masa. Lebih mandiri. Lebih berkualiti. Lebih hebat.... Simple...

Semoga Allah meredhai.











Sabtu, 26 November 2016

Mencarut

Tak tau. Aku sama sekali tak tau. Apa salah aku dan di mana silapnya. Semua yang aku buat tak jadi. Setiap kali aku cuba ikhtiar, ia pasti akan dipatah-patahkan. Mereka fikir aku apa? Sekarang aku dah mula meluat, aku dah mula bosan, aku dah jemu.....

Aku rancang sesuatu hal dan apa yang aku fikir selalunya bukan hanya untuk waktu singkat tapi untuk jangka masa panjang. Aku fikir sendiri dan aku tak pernah terpengaruh dengan sesiapa dan apapun. Aku punya falsafah dan haluan aku sendiri. Aku tak pernah berfikir untuk menjadi sesiapa, aku adalah aku.

Kalau orang berfikir nak beli rumah, aku lebih suka berfikir tentang perusahaan yang akan aku tinggalkan kepada keturunan ku nanti. Aku dah berfikir terlalu dalam dan jauh. Lepas ni aku akan punya beban demi beban yang bakal aku tanggung. Maka itu aku tak hanya berfikir tentang langkah yang sejengkal, aku berfikir tentang kehidupan 1000 tahun lagi.

Tapi mereka tak pernah yakin. Malah aku, terpaksa akur atas nama jasa dan budi yang telah mereka taburkan selama ini. Padahal semua ini adalah milik ku.

Fuck!!!

Jumaat, 25 November 2016

"Sempat Aku Panggil Dia Ayah"

Aboy dan Ulis gigih mengabulkan hasrat ku. Batu bata di susun rapi satu persatu di atas lantai. Malam ini, lantai kayu kedai berukuran 10×12 meter ini sedang digantikan dengan batu pasir yang telah aku beli siang tadi.

Aku berdiri di luar kedai memerhati mereka bekerja. Malam semakin larut menyentuh pagi. Hasrat ini mesti dikabulkan malam ini.

Aboy seperti suka menyertai pekerjaan ini, mungkin kerana akhirnya malam ini dia dapat memaksa keringatnya keluar setelah sekian lama terperam.

Ulis yang mudah berpeluh itu aku lihat sudah tak terkira berapa kali dia menguap. Rokok dinyalakan sebatang demi sebatang dengan alasan menangguhkan rasa mengantuknya.

Di sebelah kiri tempat aku berdiri mengawasi Aboy dan Ulis bekerja, Abang Hamka yang juga salah seorang peniaga di DownTown MS Parit Raja ini datang menghampiri  tempat aku berdiri.

"Kau berdiri macam ni teringat aku akan arwah ayah kau. Masa mula-mula arwah bikin kedai ni dulu. Di sinilah arwah berdiri tengok Ulis dan Aboy bertukang. Kagum betul aku dengan arwah."

"Haihhhh... Sempat aku panggil dia 'Ayah'."

Khamis, 24 November 2016

Aku Dan Ulis

"Kita dah sampai sini. Kita dah lepaskan diri kita dari masalah dengan orang itu. Biar mereka tahu yang kita tak sanggup menanggung masalah dan beban mereka. Dulu kita mahu ke sini mencipta haluan kita sendiri. Kekangan mereka, kejelekan mereka, kezaliman mereka, semua itu kita jadikan alasan supaya kita bisa lari dan datang ke tempat ini." Kataku memandang tajam mata Bang Ulis yang berhenti merungut tentang cakap orang.

"Sampai di sini, kita cuma perlu fikirkan apa yang perlu kita buat hari ini dan besok malah selanjutnya. Lupakan sejenak masa lalu itu kerana mengingat masa lalu yang semacam itu kadang-kadang hanya mematah-matahkan semangat kita yang sedang berjuang menimbul-nimbulkan semangat. Berfikir tentang cakap-cakap orang kalau sampai kita takut untuk berbuat perkara yang baik untuk diri kita sendiri dan keluarga adalah hasutan syaitan buat memerangkap kita ke dalam kegelapan."

"Mulai hari ini, apa yang mesti ada dalam diri dan fikiran kita hanyalah rencana dan ikhtiar bagi meneruskan hidup yang lebih baik. Hiraukan perkataan yang mahu mematah-matahkan semangat ini. Kita mesti fokus. Fokus. Kita ada tanggung-jawab malah persoalan yang lebih besar untuk dirungkai. Jawapannya hanya akan kita temukan di akhir hayat kita nanti."

Ulis memandang ku sayu. Matanya tergenang air.

"Perkataan dan pesan pie ni... sama sangat dengan arwah Abah... abang nampak Abah yang bercakap dengan abang tadi." -ulis

Catatan

Mahu berdiri lama lagi
Sampai esok?
Tidak.
Sampai malam ini?
Tidak.
Sampai bila?
Sampai kamu jemu dan bosan.

-Broga Hill

Rabu, 23 November 2016

Apa yang buruk?

Apa yang buruk?

Mungkin... waktu dia tiba-tiba merajuk,
Ahh tapi itu kelemahan aku...tak pandai baca hati.. aku selalu pentingkan diri..
Atau... saat dia mula 'overthinking' atau terlalu pesimis tentang perihal dirinya...
Walhal aku yang sepatutnya begitu..
Hmm..
Dan..ketika dia menjebak ku jatuh hati kepada nya tapi... dia menghalang ku untuk mengungkapkannya..

Biarlah,
Dunia memang begini,
Semua datang dan pergi,
Sementara aku tetap tinggal di sini...
Menanggung hening dan sepi..

Selasa, 22 November 2016

Siulan Bungkam

Pagi ini,
Dia tak lagi berdiri di tepi tingkap,
Tiada erti tirai jendela tersingkap,
Terang tak bernyawa di himpit gelap,
Sang merpati lesap tak kunjung hinggap,

Setiap kisah yang dia cipta,
Hikayat kalbu yang terungkap,
Hilang dan mati di tengah hidup,
Tiada satu yang berakhir senyum,
Malah tiada yang melambai tangis,

Dia telah melakar sendiri langit untuknya,
Di antara sepi mencengkam pelangi,
Serta pilu membungkam siulan murai,
Meski tiada mentari,
Meski tiada bintang,
Meski awan berlalu tak menyapa,
Meski angin meniupkan kesenduan,
Biarlah,
Dia telah melakar sendiri akan langitnya.

Isnin, 7 November 2016

Yang Tinggal Cuma Janji ku Pada Ayah

Aku,
Tak ada lagi waktu,
Buat sempat ku berehat,
Aku dipaksa gerak,
Tapi gerak ku ini terbatas,
Dibatas belenggu yang tak mampu ku lepaskan,
Aku punya jalan selesa,
Sampai selesai semua ini terlerai,
Tapi aku terbelenggu di atas jalan sejauh jiwa ku pada langit biru,
Segalanya semakin sukar, semakin payah,
Yang tinggal kini cuma janji ku pada ayah,
Aku akan tetap tegar melayani hidup ini,
Hidup sepeninggalannya,
Dan sampai waktu itu nanti,
Aku pun akan turut pergi....

Sabtu, 5 November 2016

Hujungnya.

Lihat lah senja yang berlabuh,
Meninggalkan kita di atas luka-luka,
Serta darah yang tak tersurutkan,
Juga dendam yang mematikan,

Apakah ini hujungnya?
Jiwa kita menerawang di antara hidup yang singkat,
Mata kita menembusi warna keheningan dan kesenduan,
Hakikat nya kita sering tinggal di atas kehilangan dan sirna,

Apakah ini hujungnya?
Dua jalan masih bertelagah,
Tapi keduanya sama berduri,
Sedang kita terbelenggu di antara janji dan harapan,
Hakikatnya kita sering tinggal di atas kehilangan dan sirna.

Sabtu, 1 Oktober 2016

Soal Demi Soal

Semalam seorang teman ku bertanya,
"Di manakah kita?"
Isi kepala ku bertelagah,
Di antara kenyataan dan penyataan,
Nyatanya "kita di tempat tinggi"
Penyataannya "di manakah kita?"
Aku sendiri pun hilang,
Malah kabur ditelan kabut,

Tahukah masa sukar yang telah aku lalui,
Supaya kita melihat jelas fajar menyinsing,
Supaya jauh kita dari hiruk pikuk dan keheningan,
Hingga yang tinggal cuma angin dan hembusan nafas kita,

Teman ku masih tetap memaku dengan soalnya,
Dan aku mesti memandang jauh ke hujung nyawa,

Buat Mata Muda Penerus Lagenda Mata Tua.

Aku tahu apa yang kau rasa,
Yang terkandung dalam hati mu,
Tatkala melihat aku di balik ketabahan mu,
Ketika aku masih mencuba mengerjakan kecintaan ku meski kudrat tak selayaknya seperti mu,
Meskinya kau sukar mencari kesempurnaan dalam kekurangan ku,
Yang kau tahu aku degil, aku keras hati, aku hanya tahu bermain-main dengan kelenaan,
Aku tahu kalau dulu,
Sewaktu aku yang periang datang mengadap mu,
Meminta sedikit wang buat mengisi masa kecil ku,
Dan kini aku tak seperti yang kau manjakan dulu,
Aku tahu kau memperhatikan aku,
Itu tanggung jawab yang tinggal,
Tak mengapa,
Cuma,
Jangan sesekali kau anggap aku yang setakat begini,
Sedang mati dalam kesunyian.

Jumaat, 30 September 2016

Siapakah Aku Saat Ini?

Semakin aku membisu,
Semakin sibuk jiwa ku berbisik,
Soal perjalanan serta destinasi,
Sempit sesak singkat menuju keinginan,
Siapa pun tak akan mampu mendiamkan,
Sisi gelap di antara terang dan harapan,
Sendirian aku terpaku di dalamnya,
Setelah pendiri pergi tak kembali lagi,
Siapa kah aku ketika ini?
Siapa kah aku tanpa nya?
Selama ini aku hidup dengan prinsipnya,
Sedangkan saat ini,
Susuk tubuh nya tinggal dalam bayangan,
Surut semakin surut,
Segenap ruang dada yang pernah terisi,
Seisi panorama keindahan semesta kehidupan,
Semesta dunia,
Sedangkan saat ini,
Sedikit pun madah tak membina sukma ku,
Sejarah silam tentang aku dan dia menjadi kitab buat merungkai rahsia lebih besar,
Sekarang hanya itu yang tinggal,
Supaya aku tahu tentang diri ku,
Sampai aku tahu dan rindu pada Tuhan,
Sampai aku tenang menyeberang titian menuju ke dalam dakapannya,
Sampai aku bahagia di bawah segenap keredhaan Nya.

Rabu, 14 September 2016

Damai Lah Di Sana Abah

Abah.

Dalam blog ni telah beberapa kali aku menyebut nama itu. Abah.

Tentang peribadinya, nasihat dan pedoman hidup yang diajarnya aku isi dalam blog ini. Boleh kata semua yang aku tuliskan di sini adalah kata-kata Abah. Blog ini dilahirkan oleh rasa kagum ku pada Abah.

Saat aku mengarang entri ini, Abah telah pun meninggalkan kita semua hampir sebulan yang lalu.

Sebenarnya saat ini aku masih buntu untuk dimulakan dari mana kehidupan baru ini. Tapi semakin aku mengarang dan mengetik papan kekunci membina kata-kata satu persatu, semakin aku hampir kepada jawapannya.

Abah tak pernah terlepas satu hal pun dalam mengajar aku dan iza dalam berusaha menjalani kehidupan, tapi Abah tidak pernah mengajarkan kami untuk hidup tanpa beliau di sisi.

Atau perlu aku biarkan Abah hidup dalam hatiku kerana aku tak mungkin pula mahu melupakan raut wajahnya. Ahh. Ini merupakan kerinduan paling dahsyat pernah aku rasakan.

Mujurlah, aku punya pengalaman menghadapi kehilangan anggota, ia adalah sesuatu yang lebih rapat berbanding manusia.  Kemujuran itu menjadikan aku agak bersedia menghadapi kehilangan.

Almarhum juga pernah berkata berkali-kali,

"Jangan putus asa dengan Allah"

Kali ini aku faham arti nya., semua dugaan ini adalah nikmat dari Allah supaya aku menjadi lebih kuat dan bersedia menghadapi kehidupan seterusnya.

Aku pun melihat perjalanan ku masih panjang dan jauh. Tanggungjawab pun semakin banyak. Perjuangan semakin getir. Tapi membesar dengan kata-kata, teguran dan tunjuk ajar Abah menjadikan aku kuat dan tenang menelusuri segala kemungkinan yang bakal datang sesudah ini.

Di saat-saat terakhir Abah pergi meninggalkan namanya yang indah, Abah masih menginspirasi aku untuk melalui saat-saat getir seperti itu. Dia tenang dan tersenyum melayan kami yang tak henti berdoa kepada Allah semoga segalanya dipermudahkan. Aku mesti jadi seperti Abah, di saat itu dia masih tenang dan tak sekalipun mengeluh.

Malah saat itu almarhum masih sempat bertanyakan keputusan ujian akhir semester anak perempuan yang menjadi hasil dan bukti dari perjuangannya, Iza. Abah memang selalu menemankan Iza menanti keputusan ujian sejak Iza mulai melanjutkan pelajarannya di universiti. Malam itu adalah yang terakhir. Besoknya, Abah pergi menurut kehendak ilahi.

Sebelum ini, cukup Abah seorang menguatkan semangat Iza, hari ini, tugas itu tidak mampu untuk aku tanggung seorang diri.

Aku perlu ramai orang...Amak, Abang Eri, Kak Epi, Kak Dina, Bang Zal, Kak Niki serta seluruh ahli keluarga besar. Juga teman-teman nya, Enys, Tasya, Mira dan lain-lain. Sahabat dekat ku, Aboy Fitri, Akim, Angah, Awer, Hanis, Shuk, Aboy Azwar, Dush, Lis dan ramai lagi.

Ini adalah perjuangan dan harapan Abah. Ia mesti diteruskan kalau aku mahu mengaku sebagai legasinya. Dan ia mesti disudahkan.

Semoga Abah tersenyum dan bahagia di sana.

.......

Dia pernah berkata,
Dipetik dari firman Maha Pengurnia,
Dijadikan amanat buat hidup di dunia,
"Tuhan tak menjadikan makhluknya tanpa berguna"
"Jangan berputus asa dengan nikmat Allah"
"Untuk hidup yang selamat, cukup Berjalan Lurus Berkata lah Yang Benar"
"Belajar untuk dapat kerja itu sia-sia"
"Jangan pernah menghitung-hitung nikmat Allah"
"Jika duka itu datang, jangan sedih, mungkin itu adalah lebih baik untuk kita"
"Kalau rasa apa yg kita mahu katakan itu tak guna, baik diam"
"Jantung kita berdegup menyebut 'Allah'..iringilah ia dengan lidah dan hati menyebut Allah apabila kita diam"

Sedikit pituah Abah yang menjadi panduan serta kekuatan buat ku.



Selasa, 19 April 2016

"Tangan kau kenapa dik?"

"Tangan kau kenapa dik?"

Atau,

"Tangan tu memang dari kecik ke?"

Begitu lah antara soalan lazim yang amat sangat kerap diaju kan oleh masyarakat terhadap aku.

Lalu, jawab aku.

"Eksiden bang,"

Haha, part lepas ni akan jadi subjek bagi topik karangan aku kali ni,

"Eksiden motor ea?"

"Kena langgar dengan lori bang, naik motor, arwah kawan saya rider, saya duk belakang, yang arwah tu terus jatuh bawah tayar lori."

Respon orang tu adalah pada wajah nya akan sedikit berbentuk aneh dan kelakar,

Yang bagus akan terus kan sesi temuramah macam tanya aku tinggal kat mana, kerja ke tak, well...

Yang menjengkelkan akan seperti ini,

"Itu lah budak-budak sekarang, tak ada nak fikir perasaan orang tua, dilarang marah, dah kena baru tau menyesal."

Erkk..orang macam ni adalah masalah yang lebih besar daripada semua masalah yang pernah ada dalam sejarah dunia.

Geng...

Pertama sekali, takdir memang tak boleh nak dielakkan, walau macam mana pun kita berhati-hati, berjaga-jaga, musibah tetap kan datang. Cuma, lain orang, lain pula bentuk nya.

Apa yang perlu bagi kita ialah, selalu bersedia untuk menghadapi perjalanan hidup sesudah ditimpa sesuatu musibah.

Sesudah bukan ketika.

Erti nya, musibah akan ada untuk setiap orang. Apabila musibah itu datang, kita mesti menerima dengan hati terbuka. Iya lah kan.. nama pun musibah bukan hadiah. Walaupun di kemudian nya nanti ia akan jadi hadiah. Nak disalah kan, bila fikir balik nak salah kan siapa? Buang masa sebenarnya. Oh, melainkan sesuatu musibah yang menuntut kita supaya menuntut . Tapi itu kan memang akan ada prosedur.

Cuma, untuk move on dari musibah tersebut bila pulak nak mulai?

Haaaa....kat situ lah peranan masyarakat. Tolong orang yang ditimpa musibah dan dugaan ini untuk move on. Bukan buat dia rasa yang dia salah atau orang lain salah.

Macam tu juga lah dengan orang tua, bantu anak tu supaya tak patah semangat, tunjuk kan dia peluang. Bukan suruh fikir pasal orang tua. Sebab mana kita tau dia tak fikir pasal orang tua? Tak mungkin jugak masa dia tengah melarat tu nak fikir pasal orang tua?

Sekarang aku cacat, tangan kudung, sebelah lagi tak berapa berfungsi. Tapi okay lah, aku masih boleh buat perkara yang aku suka. Yang cakap macam tu tadi...iya lah..dia kan tak kenal aku.

Sebab tu lain kali tanya, tak pasal-pasal dia kena marah dengan Abah..

Haha



Rabu, 13 April 2016

Aku Mendaki Gunung

Ah. Kali ni, aku nak cerita tentang mendaki gunung. Eh? Dah kenapa kan tiba-tiba cerita pasal gunung? Haaa begini cerita nya....

Asal nya aku orang yang malas nak menghadapi sembarang tantangan melainkan perkara yang aku suka. Misal nya, aku suka kalau lah ada awek cun yang nak couple dengan aku. Akan ku rentasi lautan berapi, ranjau berdiri walaupun sukar. Perghhhhh!!

Tapi apabila perkara yang aku tak suka tiba-tiba datang daripada perkara yang aku suka tersebut. Sampai perkara yang aku tak suka tu buat aku tersungkur teruk dan nyaris tak boleh bangun lagi.

Tapi!

Aku kan Syafie anak Yusran, aku tak boleh duduk diam, tiba-tiba aku jadi sangat mengidam dengan tantangan. Maka aku metafora kan semua ini dengan 'puncak'.

Bukan lah nak jadi 'hiker' dan mencipta apa-apa record, cuma nak mencabar diri. Bayang kan aku mendaki tak pakai tangan, aku cuma perlu langkah yang besar dan peha yang kuat. Bayangkan setiap tentangan memerlukan aku berfikir dengan cepat dan muktamad.

Aku cuma ingin merasakan kepayahan luar biasa untuk mencapai matlamat. Begitu lah kira nya. Harap faham.

Sebab benda ni bukan pasal fitness siapa paling bagus, gunung mana lebih susah, siapa yang lebih hebat, tapi...

Ini tentang pengalaman dan matlamat.

Aku masih ingat waktu aku kata kat Daus yang naik gunung best,

Daus jawab,

"Setiap pendakian, akan ada kisah yang berlainan,"

Itu yang buat aku tertarik. Sebab tu bila orang cerita pasal gunung, apa yang aku tanya bukan trek atau tinggi nya, tapi permandangan di puncak.

Lepas ni, kalau PC aku dah elok, aku akan ceritakan pengalaman ni. Menaip kat smartphone tak feel lah..

Khamis, 17 Mac 2016

Subjektif

Ketika berdepan dengan mu,
Seluruh jiwa ku terpaku,
Tersekat semua rasa yang sepatut nya ku alir kan keluar di hadapan mu,
Begitu juga di mimpi,
Di suatu saat aku bisa tidur dan berhenti dari berfikir tentang kehidupan,
Kau hadir dalam tidur ku itu,
Sehingga aku membuka mata,
Menghadap kenyataan,
Aku masih belum menyatakan hasrat di hati,
Meski pun engkau telah dalam dakapan ku tadi.

Rabu, 16 Mac 2016

Subjektif

Angin,
Berhenti lah bertiup kencang,
Saat ini aku terlalu kedinginan,
Dihembus pelbagai kata dusta dan nista,
Dikecam banyak gelar dan nama,

Hujan,
Jangan lah terlalu lebat,
Aku sudah kuyup disiram duka dan air mata,
Hingga tiada lagi bekalan pakaian buat persalinan.

Selasa, 8 Mac 2016

Deklarasi Rakyat

Begini lah hendak nya. Mereka bersatu untuk memulih kan keadaan ini. Diketepikan juga fahaman politik dan kepentingan lain demi menghidupkan api harapan kita semua. Malay Dilema semakin bertemu makna sejati serta isi nya yang sebenar jikalau kesatuan ini ditegakkan dengan sokongan padu daripada kita yaitu manusia yang amat mengidamkan kesejahteraan. Menerima idea baru dengan terbuka dan membahaskan ia dengan suasana ilmiah bukan dengan menyebut kesalahan bahasa dan ejaan. Begitu pula lah harapan ku.

Semoga kesatuan ini tidak terhenti sehingga berjaya dalam visi dan misi nya, tapi diteruskan dalam apa jua bentuk sampai selama nya.

Mungkin semua yang terjadi adalah berpunca daripada lelaki tua berumur 90 an itu, tapi kali ini beliau mungkin juga mahu memperbaiki keadaan. Semua orang tak lari dari kesilapan di masa lampau termasuk kita, tapi kali ini semuanya mesti diketepikan.

-deklarasi rakyat Mac 2016-

Isnin, 7 Mac 2016

Subjektif

Dengar lah,
Ku buka suara hati,
Adalah lebih baik begini,
Kau pergi sama seperti sebelum ini,
Tiada kucupan tiada tangan yang melambai,
Semua pergi di bawa kabut malam sunyi,
Sayu.....
Tiada lagi kurasa,
Semua akan tersimpan dan terkubur,
Jadi pusara tak bernama.

Mencari Waktu

Mencari waktu,
Demi ratna hidup ku,
Melihat sayap nya kembang,
Di antara limpahan cahaya,
Menunjukkan jalan ke pintu harapan,
Di mata nya titi menyeberangi keresahan,
Mimpi semalam ratna berkedip sekali,
Sebelum waktu bertukar menjadi perih,
Membawa kembali sendirian,
Mencari waktu,
Menunggu ratna datang lagi,
Mendengar cerita nya,
Tentang indah nya berdua di puncak cahaya.

Ahad, 6 Mac 2016

Kesepian

Perasaan masih milik kesepian,
Dalam kesibukan suara,
Dalam hiruk pikuk keramaian,
Dalam gelak tawa,
Malah saat biduan mendendang lagu pesta,
Diiringi pula bunyi gendang menghidup kan semangat,
Ketika melodi gitar lincah memukau sukma dan seluruh jiwa,
Walau aku turut di tengah-tengah orang ramai yang ikut sama bernyanyi,
Hingga bergema ruang panggung ini,
Bergetar tiang dan tunggak,
Bagaimanapun bahagia cuba menawan hati,
Kesepian sudah mencengkam seluruh jiwa.

Khamis, 3 Mac 2016

Akar Lemah

Wahai langit dan sekalian awan,
Aku masih tumbuhan yang menumpang,
Di samping pepohon dan tanah,
Akar ku lemah,
Yang ada cuma untuk berpaut,
Agar tak jatuh lalu di telan bumi.

Selasa, 1 Mac 2016

Nyanyi

Ke mana hendak ku nyanyi kan?
Irama angin bertiup kencang,
Lewat semua yang melintang,
Mata hampa dan jiwa meronta,
Hanya bulan tempat ku bercerita,
Walaupun sinar nya juga sayu,
Awan malam hitam menutup nya,
Tetap ku dalam dakapan nya,

Kerana ada yang bersandar pada duri,
Ada juga yang berdiri di atas api,
Aku terpuruk ke jurang sepi,
Tiada sudi dengar kan suara hati.

Ahad, 21 Februari 2016

Bintang Terang.

Bintang masih terang,
Dalam dakapan malam,
Tiada jalan,
Tiada tangga,
Hanya kita beradu kata dan tawa,
Berganding telunjuk menghitung indahnya,
Bintang riang kerdip nya,
Menyapa hati ku yang sayu,
Yang terhenti menyambut tawa mu,
Kerana ada awan kan membawa kamu pergi.

Resah ku lelah,
Menanti apa pun yang datang,
Biarlah bermandi kan pilu,
Dan berdiri pergi tinggal kan sandaran kenangan.

Bintang terang,
Dakapan malam.

Ahad, 31 Januari 2016

BR1M

BR1M.

Ia adalah satu bentuk bantuan kerajaan bagi meringan kan sedikit beban rakyat yang berpendapatan rendah. Telah dilaksanakan sejak diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak pada Belanjawan 2012 dan masih berterusan sehingga Bajet 2016 baru-baru ini.

Baik lah. Bagi aku sebagai rakyat yang turut melewati sepak terjang pergelutan ekonomi di negara ini, BR1M ialah satu langkah yang baik oleh kerajaan yang bertanggungjawab ke atas keluh kesah rakyat. Kos hidup yang semakin meningkat mahal nya, bantuan ini dapat lah sedikit mengurangkan beban rakyat.

Kita ketepikan dahulu hal politik, kerana Najib Razak diangkat menjadi Perdana Menteri atas tiket politik oleh sebab itu, segala usaha kerajaan, termasuk bantuan ini dianggap mempunyai motif politik kerana Najib Razak itu orang politik. Semua tindak tanduk nya adalah usaha beliau dan komponen parti nya bagi mengekalkan atau meningkat kan kepercayaan rakyat untuk pilahanraya seterusnya.

Skandal atau tuduhan yang pelbagai macam telah menimbulkan persoalan lebih besar tentang ketelusan pemerintah, maka boleh jadi seluruh rakyat ikut mengkritik, mempersenda dan menolak pemerintahan Najib Razak atau parti nya, UMNO. Namun, kekebalan pemerintah banyak memainkan peranan buat menangkis serta men'sampah'kan segala kritikan dengan mudah.

Ketepikan hal itu.

Aku ingin lagi mengulas tentang daya pemikiran masyarakat atau mentaliti. Aku tidak faham sama sekali tentang segelintir orang yang berkata ...

"Kutuk kerajaan, tapi ambik BR1M juga"

Apa sebenarnya yang mereka fikirkan sebelum menyatakan itu?

Hal biasa apabila ada yang menjawab bahawa duit bantuan adalah punya kita, suatu ketika dahulu parti pembangkang menggunakan kenyataan ini sebagai bahan kempen,

"Mereka bagi kita ambil, sebab itu duit kita, tapi kalau undi, undi kami(pembangkang)".

Dan baru-baru ini, ada pula yang telah menemui cara untuk menjawab kembali jawapan yang tadi itu,

"Apa yang kita bagi untuk kerajaan? Rokok pun hisap yang tak ada cukai"

Mungkin kerana kenyataan yang baru ini tersangat lah nampak kebodohan dan sangat primitif, maka tak ada yang mahu menjawab. Dibiarkan mereka itu dengan angan-angan memiliki kereta mewah hasil simpanan duit rokok seumur hidup.

Kutuk kerajaan tapi ambil BR1M.

Kutuk kerajaan yang di sini bukan seperti mengutuk seseorang atau mengumpat seperti mana yang difahami semestinya. Mengutuk atau mengumpat seseorang seperti teman atau jiran, itu kita memang tidak memberi kan apa-apa kerjasama atau tidak pula kita ada dalam periuk nasi mereka atau mereka  dalam periuk nasi kita. Berlainan benar dengan yang ini. Di mana kita mengutuk ketidak adilan, kezaliman dan kelemahan kerajaan. Dan ini tidak hanya buat perseorangan tapi buat semua warga. Kerana perbelanjaan negara adalah apa yang kita hasil kan setiap hari. Bekalan air, elektrik dan sebagainya didapatkan dari apa yang kita hasil kan.

Pemerintah juga memainkan peranan besar bagi mengekalkan keadilan rakyat nya juga keseimbangan ekonomi nya dan menghindari sebarang bentuk prejudis dalam pengagihan tugas dan hasil negara.

Dan kita berhak sebagai rakyat membuat kritikan atau menyokong sesuatu kritikan dari siapa pun, dan kita juga berhak untuk membela dan mempertahan kan seseorang dari sesuatu kritikan.

Bab ambil BR1M. Kenapa? BR1M itu adalah salah satu usaha untuk meningkatkan kepercayaan rakyat kepada pemerintahan kini, itu biasa, setiap negeri yang di bawah pemerintahan parti pembangkang pun ada usaha mereka untuk meningkat kan kepercayaan rakyat, tapi biar lah dengan cara yang begini,

bagi bantuan wang, biasiswa, air percuma dan sebagai nya.

Tapi terus kan lah mengkritik, selagi mereka dengar suara rakyat, teruskan lah mengkritik mereka. Ini negara demokrasi. Sehingga lah suatu masa mereka mulai kelihatan pekak.

*aku tak ambil br1m kali ni, birokrasi buang masa.

Jumaat, 29 Januari 2016

Review Buku. -Hamka

Selesai sudah aku menelaah buku berjudul Islam:Revolusi Ideologi Dan Keadilan Sosial karangan Buya Hamka. Salah seorang tokoh besar filosofi dan agamawan di rantau ini. Ditulis semasa revolusi di Indonesia sekitar tahun awal kemerdekaan republik itu dari cengkaman imperialis Belanda.

Melalui bacaan ini, telah membuka mata dan mendorong semangat bagi aku untuk membaca lebih banyak buku lagi. Kerana aku sudai mulai faham akan kata-kata beliau yang terkenal, "Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup".

Hidup ini mimpi. Tapi bukan permainan tidur. Kerana kita hidup dalam mimpi ini. Dan mimpi mesti diterjemahkan. Dan dalam mimpi, tiada yang mustahil.

Hamka cuba memperbaiki fikiran umat tentang revolusi. Menceritakan hampir semua kelahiran ideologi dan revolusi di sepanjang garisan sejarah bumi. Serta bagaimana pandangan Al Quran mengenai nya.

Seperti tentang fahaman Marxisme yang menjadi cikal bakal keruntuhan pemerintahan Tsar di Rusia. Beliau memetik kata tokoh revolusi Indonesia, Sjarifudin Prawinegara. "Marxisme itu terdapat pada nya separuh daripada Al Quran, cuma ia tidak dapat yang separuh lagi"

Diterangkan juga cara pemerintahan negara Islam. Yang membela minoriti. Tiada yang nama nya kapitalis sedang dibebaskan semua orang untuk berniaga dan bersaing mengumpul harta. Tapi dibatasi oleh zakat dan jizyah bagi non muslim sebagai pengagihan kepada kaum yang melarat dan memerlukan.

Sekalian manusia ialah khalifah di muka bumi. Begitu lah pemimpin mesti mendengar teguran rakyat kerana kita adalah khalifah manakala pemimpin adalah sekadar wakil yang kita angkat melalui suara banyak.

"Kalau engkau miring, akan kami tegak kan dengan pedang ini"

Kata suatu kaum kepada khalifah kedua Islam, Umar Al Khatab.

Begitulah serba sedikit yang terdapat dalam buku setebal 500 muka surat ini.

Bagi aku, ini adalah buku yang bagus untuk perpaduan. Tak ada yang dikatakan menyimpang dari jalan, semua nya dianggap berjasa kepada sejarah perkembangan pemikiran serta perjuangan menolak kezaliman walau apa pun pegangan sesuatu tokoh tersebut.

Islam:Revolusi Ideologi Dan Keadilan Sosial.

Ahad, 24 Januari 2016

Kekasih Di Langit Biru.

Bagaimana cara nya?
Hendak ku berikan sesuatu,
Buat kekasih di langit biru,
Awan yang engkau serak kan,
Kasih yang engkau bentang kan,
Tangis ku di malam sayu,

Mungkin aku yang terdekat,
Walau hanya aku yang dilihat,
Hingga terik panas kau sekat,
Jiwa ku dan kasih mu terlekat,
Namun kekuatan ku singkat,
Langit dan bumi tak melekat,
Kerana kasih mu itu rindu ku melarat,

Bagaimana cara nya?
Semoga tangisan ini,
Dan sebahagian hati,
Adalah cukup buat kasih mu.



Mentari Yang Sama

Aku ingin nanti,
Semua yang ku lihat,
Hanya satu,
Menjunjung nama indah,
Hingga pun mata ku pejam,
Nama indah itu yang teratas,

Aku ingin nanti,
Semua persimpangan ini,
Di hujung nya bertemu dengan mentari,
Cinta agung yang di bawah nya rembulan,
Di situ tiada lagi kesakitan terasa,
Apabila hanya garis jalur pelangi berbeda warna,
Dan semua bintang kerdip bersama,

Ini cuma mimpi,
Nanti kan bangkit kembali,
Melihat cinta berdiri sendiri,
Itu lah cahaya dambaan hati,
Tiada yang menangis, tiada yang memaki,

Cuma bayang resah,
Cuma suara gundah,
Mengenang tanah,
Tak kembali sudah.

Kelabu

Berdiri di atas satu puncak,
Satu di antara ribuan gunung,
Yang memasak lapisan bumi,
Agar tak bercerai,
Agar terlonggok dalam sedikit lembah,
Di dalam nya bergaul jutaan hati,
Pelbagai tona,
Yang berdiri di atas sini adalah kelabu,
Kelabu menggapai cahaya terang sejati,
Yang tidur itu gelap,
Tak ada sedikit sinar pun menyentuh nya,
Dan yang paling terang,
Menghulur pelbagai jambatan, tali, mahupun tangga,
Buat siapa yang mahu menawan cinta abadi,

Lembah di kaki gunung,
Tona masih berperang,
Di atas bumi tak bercerai,
Yang gelap itu ditindih pembawa cahaya,
Sambil mengusap lembut mahkota permata,
Dari atas kerusi dia menunjuk arah untuk diterangkan,
Bunuh semua gelap,
Bunuh semua gelap,
Jangan sampai ada sisa,

Kerana yang tersisa itu akan jadi kelabu,
Kelabu seperti yang di atas sini,

Jumaat, 22 Januari 2016

Apa Sudah Jadi Dengan Malaysia?

Apa sudah jadi dengan Malaysia? Ekonomi semakin mendesak, padahal berhabis kekuatan yang telah dikerah kan buat kesejahteraan ekonomi, namun ia terus menerus merudum. Iya maklum lah, kemajuan teknologi maklumat di masa kini, maklumat itu mudah sekali kita dapat kan walau berapa batu pun jaraknya. Oleh sebab itu lah, sebilangan besar rakyat yang selama ini dibuai oleh saluran televisyen dan akhbar penjilat, telah dikejutkan oleh media luar negara dengan berita pendedahan berkenaan dalang kepada kejatuhan ekonomi negara selama ini. Gempar.

Sebagai muslim, aku diajar supaya tidak terus tuduh melulu, harus lah diselidik terlebih dahulu sesuatu dakwaan itu. Takut pula nanti menganiaya.

Tapi. Pemerintahan ini telah biasa dengan amalan kroni yang sangat melampau. Maka tukang selidik pun dilantik oleh orang yang kena tuduh. Sebab yang dituduh itu lah pemerintah negara ini. Maka segala kuasa yang ada, adalah di bawah tangan orang itu. Dan tukang selidik tersebut merupakan golongan penjilat dan pak turut. HaHa!

Apa nak jadi dengan Malaysia?

Maka tertunggang terbalik lah jawapan tukang selidik merangkap tukang jilat, adalah beberapa drama pemecatan tukang selidik yang datang dari golongan tak sebulu. Kemudian, di alih kan pula pandangan masyarakat oleh viral dungu dan bodoh di beberapa laman sosial. Tentang apek pukul macai, tentang macai maki apek, orang Islam pegang anjing, tentang anjing lahirkan ibu kambing. Sampai dungu bergaduh dengan si tolol tentang hal yang tak kenyang di perut. Padahal tukang tuduh sedang menghunus tangan nya ke langit dan meng'klaim' diri nya 'berdarah pahlawan'. AHaHa!

Mungkin lah, tidak lah hairan dengan pak cik songkok tinggi yang melinang kan air mata gembiranya tatkala mengamati pidato 'haram jadah' tersebut, kerana orang itu berdarah pahlawan dan tak takut mati. Pak Cik itu bangga sebagai melayu sejati. Masha Allah.

Rakyat semakin terbeban. Sebelum ini aku bercerita tentang sekeping roti, tapi ini separuh roti saja lah yang mampu.

Dia suruh kita ubah gaya hidup, tapi roti kosong tersebut beli jet peribadi mewah dengan harga beratus juta ringgit serta kos penyelenggaraan bernilai berpuluh juta. Oh iya, jet tersebut atas nama kerajaan tapi jet peribadi untuk urusan rasmi negara. Yang Di Pertuan Agong dan Perdana Menteri boleh kongsi-kongsi. Tapi dengar cerita juara menabung peringkat dunia berambut kembang bercincin jutaan ringgit itu, menggunakan jet tersebut keluar negara dengan sesuka hati dan riang gembira, kenapa tak ada siasatan?

Haaa..tak guna juga disiasat. Yang siasat pun satu jamban juga.

Apa nak jadi dengan Malaysia?

Semua dah jadi beban. Orang kata jangan merungut, kita mesti mensyukuri nikmat yang diberikan oleh kerajaan,

Lindungi lah kami ya Allah.

Khamis, 21 Januari 2016

Aturan

Aturan. Iya lah. Memang lah selalu akan ada penentangan di kerana manusia itu hati nya selalu mahu kan kebebasan. Akal nya selalu mahu luah kehendak. Di kerana kan aturan pelbagai macam, maka terasa lah dunia ini menjadi sempit. Mungkin yang disalahkan kapitalis, atau juga disalahkan sang 'kuku besi'.

Namun, sanggup atau tidak, aturan harus diturut seisi tubuh. Keinginan hati perkembangan fikiran terpaksa diabaikan. Kenapa? Kerana perut sedang lapar, tekak selalu kering, poket dah bersawang. Sanggup atau tidak, aturan mesti juga diturutkan.

Tapi, kalau pun aturan itu kita ikut tetapi usaha dan badan terus dihisap, namun perut masih juga lapar, bila kita cuba mengadu, kita pula ditampar, apa lagi daya kesabaran kita? Paling tak mampu ditelan apabila disuruh pula kita ini berjimat cermat sedang apa yang kita peroleh pun tak cukup buat sekeping roti.

Dapat lah pula kita lihat keadaan di luar sana, bagaimana mereka mengatur buat mengisi perut orang banyak. Malah buat perkembangan akal dan kebebasan hati.

Dari khabar di luar itu lah yang pasti nya menaikkan semangat kita untuk menentang aturan tersebut. Iya lah, setiap revolusi yang tercetus adalah pedoman buat revolusi seterus nya. Revolusi yang terbaru dibakar pula oleh kisah revolusi sebelumnya. Memang begitu lah sejarah.

Apa yang cuba aku sampaikan adalah tentang mentaliti masyarakat setempat. Pandangan aku, seperti mereka ini kembali menjadi primitif. Disingkat cerita, mereka atau sebenarnya kita, merasakan kemerdekaan 31 Ogos 1957 itu sudah cukup. Tahu kah sebelum itu, telah banyak kejayaan melepas kan diri daripada cengkaman penjajah dan kezaliman? Kita selalu lihat merdeka itu berkait dengan penjajah sahaja. Sedangkan merdeka nya masyarakat itu adalah daripada cengkaman kezaliman pemerintah.

Kalaupun tarikh itu kita diisytiharkan merdeka, tapi yang mengambil alih tampuk kepimpinan bukan pula dari rakyat, yang memegangnya tidak lah ada beza nya dengan penjajah, apakah kisah perjuangan kemerdekaan itu kita habis kan begitu saja? Ini bukan sekadar kuasa dikembali kan kepada rakyat, tapi ini tentang perut yang lapar. Tentang sekeping roti.

Kalau mungkin zaman penjajah kita masih mampu untuk makan sebungkus roti setiap hari, tapi hari ini, sekeping roti pun terpaksa dibagi-bagi. (Begitu lah misal nya). Mana yang lebih buruk?

Ini bukan pula menghasut. Tapi ini sekadar menyedar kan. Revolusi tidak perlu tubuh kan angkatan pemberontak, tidak perlu molotov dan pertumpahan darah, tapi mentaliti mesti di revolusikan terlebih dahulu.

Huraian 1. Azam Tahun Baru.

Untuk karangan yang ini, aku ingin pula menghurai salah satu isi penting daripada karangan sebelum nya, tentang "Fasa Baru O.H.T". Atas sebab blog ini akan terus aku isi kan sehingga akhir hayat maka perlu lah hendaknya aku huraikan  sejurus mengembangkan isi daripada karangan atau catatan sebelumnya supaya padan dengan perkembangan akal dan fikiran ku. Jika nanti umur ku tak seperti yang diharap, semoga apa yang tercatit di laman ini, boleh lah dijadikan wasiat atau cukup sekadar kenangan bagi semua orang yang pernah melihat, merasa atau nanti baru tersedar akan kehadiran ku dalam hidup nya. Namun, cukup lah Allah yang mengetahui dan meredhai sekalian hamba nya.

Azam Tahun Baru.

Tentang azam tahun baru, iya lah. Tahun baru bagi orang banyak, ialah seperti buku baru, boleh jadi judul yang baru menggantikan judul yang lama, atau juga sebagai penerus pada judul yang lama cuma kesan dan impak nya mungkin dilebihkan sedikit sebanyak. Yang pasti azam tahun baru, sama ada tercapai ataupun tidak, azam baru pasti juga dipasang, judul baru tetap juga dituliskan, meski isi nya bakal berbeza.

Ada yang mahu kurus, ada yang mahu membina potongan badan yang cantik, ada yang mahu bela rambut dan janggut. Itu kalau untuk permandangan mata dan boleh jadi buat meyakinkan diri, menguatkan hati tatkala berhadapan dengan orang banyak.

Namun, di usia menjejak tahun ke 25, terlihat pula di hadapan ku akan perjalanan yang lebih sukar, juga dunia ku yang semakin sempit, banyak tanggung jawab menjadi tugas, banyak tugas menjadi pekerjaan. Maklum, aku tidak berminat untuk memilih hidup di dalam mana-mana sistem, melainkan sesuatu sistem yang tak mempersulitkan perkerjaan ku. Tapi hidup ini juga kan sistem. Segala nya atas aturan dan kehendak Allah kerana Dia lah tuhan tempat sekalian alam bergantung.

Maka itu lah suatu sistem yang perlu bagi aku sebagai manusia  tempuh kan. Segala yang terjadi dan bakal terjadi atas kehendak dan rahmat Allah. Oleh itu, tiada kuasa bagi aku supaya mengetahui akan apa yang terjadi. Yang terjadi terjadi lah, dan aku perlu menempuh nya kerana hikmah itu pasti. Melalui hikmah kita belajar menjadi lebih baik.

Oleh sebab itu, azam tahun baru yang sebenarnya telah aku pasang kan waktu Maal Hijrah kelmarin, tapi di kerana kan diri yang masih berangan punya umur panjang, malah perlu juga sedikit masa, maka dengan itu aku berazam,

"Aku nak jaga solat, sambil belajar agama"

Kenapa?

Sebab sistem yang kita tempuh ini pula  telah bercampur-campur tekanan nya. Tekanan ekonomi, tekanan emosi, tekanan fikiran, tekanan birokrasi dan pelbagai macam tekanan. Dan aku perlu suatu aturan yang menuntun bukan sekadar fizikal dan akal ku, tapi juga hati.

Dan dengan cara mendekat kan diri dengan Allah saja lah yang mampu membantu aku dalam segala macam hal. (Ini akan dihuraikan lagi). Tersesat seperti bertukar agama atau syirik, itu tetap juga seseorang itu bertuhan. Tetapi tersesat di dalam suatu daerah yang tidak kita tahu susur jalan nya, keadaannya, atau seperti mata yang ditutup dan kita di apit dua tembok dan kepala dikunci mendongak ke atas. Itu lebih merbahaya. Tak tentu mana nak di hulur langkah, semua nya jadi tak kena dan tak menjadi.

Oleh itu, aku perlu kan penunjuk jalan di mana pun aku terdampar, aku perlu kan suara yang selalu dekat supaya dapat membisikkan aku arah di kala aku buta. Aku perlu tukang papah yang siap sedia membantu aku bangkit kalau tersungkur, dan aku perlu kan cahaya yang tak mampu dikuasai malam. Dan semua itu perlu penyatuan di antara kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. Dan Allah lah sebaik-baik tempat bergantung. Memang kita rasa tuhan terkadang mendatangkan kecewa dengan aturannya, tetapi di mana lagi tempat bergantung selain Allah?

Semoga azam ini tercapai.



Isnin, 18 Januari 2016

Perpaduan.

Bercakap tentang isu yang terdekat. Berkenaan perpaduan yang masih rapuh di negara ini. Maklum, manusia memang akan sering terjerumus ke dalam kejahilan walaupun pada awal nya manusia belajar untuk punya prinsip. Kejahilan yang aku maksud kan ialah, 'fanatik'.

Isu perkauman yang belum surut, malah sudah semakin tinggi gelombang nya. Namun, bukan sahaja perkauman yang melibatkan antara kaum, antara parti politik dan parti politik juga tak lepas. Orang kata "aku tak suka menonton bola sepak, sebab diorang rasis",

Kalau kita pergi ceramah agama sekalipun ada panelis yang menimbul-nimbulkan soal perbedaan agama dengan melampau-lampau. Sehingga orang dungu yang menghadamkan kenyataan panelis itu akan menghinakan pegangan dan prinsip orang lain. Padahal surah Al Kafirun sudah cukup bagi kita memahami tentang diri, menghadapi golongan yang berbeda dengan kita.

Maka tak perlu menghina kan, cukup fikirkan tanggung jawab kita dengan Allah. Allah tempat kita bergantung, tiada kuasa selain kuasa Allah dan setiap kekuasaan adalah milik Allah.

Akan tetapi, kita hidup di dalam negara berbilang kaum, bersatu atas nama Malaysia, mestinya kita mengisi yang lemah, berguru dengan yang bijak, mencontohi yang baik, meneguhkan yang rapuh meski berbeda-beda. Ini melibatkan sekian kaum, bukan pada melayu sahaja, cina dan india, semenanjung dan borneo, kaum agama dengan kaum pemikir, kaum tua dan kaum pelajar, mesti duduk bersama dalam meja bundar, berbagi pendapat dan rasa hati tentang sesuatu yang menyentuh hal negara.

Membina sebuah rumah batu, struktur rumah tersebut tidak lah terdiri sepenuh nya daripada batu. Kerana kayu, plastik, air dan api, semuanya turut bergaul dan bercampur supaya terbinanya sebuah rumah batu. Begitu juga tanah, batu, pasir dan pepohon yang bersama-sama menjadi tebing dan lantai menentukan aliran air sungai sampai bertemu laut di muara.

Kita sudah lebih setengah abad mengecap kemerdekaan, tapi kita masih sebuah bangsa yang tak mengenal antara satu sama lain. Bagi aku, tak ada yang layak untuk dipanggil negarawan, ahli agama atau budayawan jikalau masalah seperti ini masih berterusan.

Sekali lagi aku kata kan, bahawa karangan ini disampaikan buat semua kaum yang masih mati dalam kegelapan fanatik.

Kerana ini bukan lagi zaman di mana pelbagai mitos di cipta tukang karut bagi menunjukkan kemegahan bangsa nya, ini adalah zaman semua bangsa bersatu melawan iblis dan syaitan yang menggoda manusia menelan dunia, melupakan diri serta mengabaikan tanggungjawab.

Ahad, 17 Januari 2016

Aku Islam Keturunan

Iya, aku memang Islam dari keturunan. Islam kerana beribu-bapa kan orang Islam.

Namun, sekarang aku telah berada dalam peringkat usia di mana pelbagai pengaruh masuk ke dalam otak, ada di antara nya seakan menarik ku dengan propaganda dan mimpi-mimpi bahawa aku akan temukan diri sendiri dan kebenaran melalui nya. Aku tidak menolak semua pengaruh itu dengan ludahan dan lemparan batu, aku lebih suka berfikir akan nya, lalu ku kenali apa yang aku 'pegang' saat ini. Sehingga lah hari ini, aku yang tidak punya banyak ilmu pengetahuan , berani mengakui dan bersaksi bahawa..

'Tetap lah Islam ini agama ku, hanya Allah tuhan ku, Muhammad nabi ku, dia lah utusan Allah, hamba Allah dan tiada lagi rasul atau nabi sesudah nya.'

Di saat fitnah yang sedang mengalir kan lumpur nya, mengeruh kan air yang terpancar jernih, semua pengakuan di atas, mulai dari saat ini, adalah di atas pilihan ku. Tiada yang mempengaruhi ku selain pengaruh Allah yang maha esa.

Dan aku mengakui Islam adalah kejahteraan dan kesatuan. Pelengkap kepada segala nilai dan kemuliaan yang ada di dunia.

Dan aku tak menghina atau memperolok kan ajaran yang ada sebelum Al Quran, mahupun ideologi di zaman ini. Kerana yang lain itu telah membawa diri ku yang lemah, memahami akan agama yang terlalu sempurna ini.

Kerana Allah ialah perancang teragung.

Sabtu, 16 Januari 2016

ISIS

ISIS.

Tentang itu, aku hanya baru tahu sekadar melalui media massa. Seperti Osama Laden, nama yang bertanggungjawab ke atas ranap nya WTC, hanya media yang menjadi tumpuan buat mengetahui sejurus mengenali organisasi ini. Namun, seiring dengan zaman di mana setiap akal manusia telah diberi hak untuk berfikir, justeru itu setiap kenyataan dan perkhabaran dari media tidak lagi ditelan bulat-bulat. Sejak daripada perbualan anak dan bapa, juga perbincangan sekumpulan teman-teman di meja restoran mamak hingga lah ke seluruh dunia, segala nya tentang organisasi militer ini, perlakuannya, tindakannya dan yang lebih penting siapakah mereka?

Menurut nama nya yang semua tahu, mereka ini mahu menubuhkan sebuah pemerintahan Islam. Namun, cara mereka amat lah bertentang dengan cara yang diajar oleh Al Quran dan Sunnah.

Baik lah, aku mahu terus kepada pendapat aku yang sangat ketandusan ilmu. Malah, masih cuba merangkak untuk belajar.

Kejadian di Paris yang didakwa berasal daripada letupan bunuh diri terroris, kemudian Turki dan Jakarta. Aku tak mahu untuk cuba mengerti tentang fikiran dan kefahaman mereka ini, jika benar dakwaan tersebut atau tidak, aku langsung menganggap mereka ini fanatik.

Melihat orang tak bersalah menjadi korban, apa beza nya dengan Zionis bersama penindasan ke atas penduduk Palestin dengan orang ini?

Dengan ringkas tentang apa yang aku faham dengan keyakinan seorang mukmin, Islam ajaran yang sempurna. Islam itu kesatuan atau keseimbangan, seperti manusia tidak boleh hanya bertumpu ke langit kerana bumi harus dihidupkan.

Juga perintah menunaikan solat jumaat, disuruh manusia meninggalkan segala kesibukan dikala terdengar azan pertama berkumandang, duduk bersama masyarakat tak kira pangkat mendengar isi khutbat, berdiri rapat dalam 'saf' menghadap wajah kepada 'pencipta langit dan bumi' buat sekalian minit di antara beribu minit dalam seminggu. Selesai, diperintah langsung oleh Allah tanpa ada syarat mahupun sekatan,  meneruskan pencarian dan kesibukan di muka bumi,  Allah tak menyuruh hamba Nya tidur atau duduk saja di masjid dengan melagu-lagu kan bacaan Al Quran dan nyanyian zikir dari pagi hingga ke pagi.

Memperjuangkan syiar Islam, ingin syahid, bukan membunuh orang yang tidak terlibat. Seperti sebuah pertandingan bola sepak, pertandingan adalah di antara Malaysia dan Sepanyol, 11 pemain setiap pasukan di atas padang, jadi pertandingan adalah di antara 11 orang pemain Malaysia menentang 11 orang pemain Sepanyol, keputusan pertandingan adalah dari kegigihan pemain kedua pasukan ini, bukan di antara 11 pemain Malaysia dengan seorang mak cik yang sedang berbelanja sayur di pasar.

Mak Cik tersebut tidak ada kena mengena dengan hal ini.

Siapa pun di belakang ISIS, apapun fahaman nya, tujuannya, kerja mereka ini salah. Sama dengan Zionis, Nazi, Teino Heika, Mussolini, Smeut dan sekalian penindas, pencabul hak manusia dan agama.

Khamis, 14 Januari 2016

Sistem

Bermula dari monarki ke oligarki, kemudian aristokrasi, diganti dengan tirani dan diktator, dan akhir nya demokrasi. Tak lupa juga republik dan ahli senat nya. Maharaja dan mahligai nya.

Begitu dengan sekian revolusi di awal kurun pertama masihi sehingga sekarang membentuk pelbagai sistem pemerintahan di seluruh dunia. Ada pemerintahan demokrasi pelbagai rupa, monarki yang mutlak atau yang dibatas, monarki yang seperti Pyong Yang dan sebagainya. Ada juga negara yang "beraja" kan ahli religius dan spritual seperti Ayatollah Khomeini di Tehran dan Paus di Vatican.

Bagaimana pun kemajuan sesebuah pemerintahan dengan sistem yang ada itu, tidak lah dapat mengubah perhatian dan kenangan indah umat Islam terhadap sistem syura di zaman Khulafa ar Rashidin, ketika Abu Bakar as sidiq mewarisi kepemimpinan Rasullullah s.a.w, di saat Umar Al Khatab memerintah dengan penuh nilai keinsafan serta penakhlukan nya bagi membebaskan manusia dari penindasan bersama nilai Islam, Uthman Bin Affan dengan usaha nya mengumpul kan Al Quran di saat ramai penghafaz yang telah mati, lalu Ali Bin Abi Talib yang memerintah dengan kebijaksanaan nya.

Sistem syura adalah sebuah sistem pemerintahan yang mempunyai keseimbangan dari semua aspek politik, ekonomi dan hajat manusia. Semuanya berdasarkan mesyuarah dan perbincangan berdasarkan Al Quran dan Hadis sahih. Diutamakan wahyu Allah dan sabda nabi s.a.w berbanding teori seseorang. Jika sesuatu hal itu tidak jelas di dalam Al Quran dirujuk ke Hadis, jika tak jelas juga baru dibincang melalui qias dan ijmak ulamak. Sesuai dengan perkembangan akal manusia yang mulai belajar memerintah, walau sesuatu hal telah diputuskan oleh ulamak, namun kalau seseorang menjumpai kenyataan di dalam Al Quran dan Hadis tentang masalah itu, terbatal lah keputusan yang tadi itu dan kembali menurut AlQuran dan Sunnah.

Sistem yang penuh dengan perkembangan ilmu, keinsafan dan tanggungjawab. Setiap hal diselidiki, diamati lalu dibincangkan. Tidak dijalankan dengan nafsu dan kepentingan diri. Khalifah atau Amirul Mukminin mementingkan tanggungjawab ke atas rakyat berbanding diri dan keluarganya sendiri kerana insaf akan jawapan di hadapan Allah di akhirat nanti.

Tidak seperti sekarang, terbalik, pemimpin menakutkan rakyat dengan hukum agama agar mentaatinya, bukan mentaati Allah, supaya mudah darah rakyat dihisap tanpa kita sedar atau tanpa kita ambil kisah. Kita hampir kembali ke zaman dahulu.

Rabu, 13 Januari 2016

Islam Tiada Bangsa.

Di zaman ini, Islam di sini adalah bangsa, seperti mana yang terjadi bagi Yahudi. Agama dikaitkan dengan bangsa dan aliran. Di setengah negara berkata Islam ialah Sunni, Islam adalah Syiah, Islam ialah Salafi, dan di sini pula, Islam ialah Melayu.

Tapi tak pula semua dari mereka itu faham makna dari nama yang mereka sebut itu. Mereka menganggap agama adalah sesuatu untuk dibanggakan atau dimegahkan padahal Islam itu ialah suatu ajaran yang mengajar akan kesejahteraan dan keselamatan bagi umat di zaman ini.

Yahudi adalah agama yang diturunkan buat Bani Israel ketika diceritakan di dalam kitab Al Quran bersama kisah nabi Musa dan tentangan nya terhadap pemerintahan zalim, Firaun di Mesir. Taurat diturunkan kepada nabi Musa a.s sebagai petunjuk buat baginda mengajar umat nya pada zaman itu, yang digelar Bani Israel sehingga berhasil menjatuh kan pemerintahan firaun yang meng-klaim diri nya sebagai tuhan. Dengan Taurat, Bani Israel berjaya keluar daripada penindasan penguasa zalim yang dilakhnat Allah S.W.T.

Sepanjang kurun itu, Allah mengutuskan ramai nabi dan rasul silih berganti buat Bani Israel, meneruskan pengajian Taurat sehingga bangsa ini pernah mencapai zaman gemilang nya di waktu Nabi Daud bersama kitab Zabur yang terkandung zikir meng-esa kan Yang Maha Kuasa juga Nabi Sulaiman memerintah sebuah negara Yahudi.

Waktu berganti waktu, berdiri pula kekaisaran Rom yang menyebabkan keruntuhan negara Yahudi. Taurat dan Zabur semakin hilang dari keimanan Bani Israel, maka banyak di antara mereka itu berpecah belah atas punca yang sedikit. Lahir Nabi Isa a.s yang diutus sebagai rasul menyampai kan khabar gembira dari Maha Pencipta. Namun, akhirnya Nabi Isa dianiaya oleh bangsa nya. Kerajaan Rom menghukum salib baginda. Sesuai dengan keyakinan seorang muslim, baginda diangkat ke langit sebelum tukang fitnah tersebut menganggap nya telah mati.

Begitu lah ringkasan kisah tentang Bani Israel penganut agama Yahudi. Dan Yahudi untuk Bani Israel. Sedangkan, beratus tahun sesudah itu, di saat berdiri nya patung-patung berhala di sekeliling Kaabah. Sebuah binaan yang didirikan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anak nya Ismail a.s, di tengah gurun pasir, jauh ditengah jazirah arab. Setelah muncul nya Bani Hasyim yang akhir nya menjadi pembesar di Mekah. Mekah yang terpencil, jauh dari pengaruh dua empayar besar Rom dan Parsi, jauh dari tamadun dan peradaban, jauh dari ilmu pengetahuan dan pendidikan, lahir lah Nabi Muhammad s.a.w, Rasul terakhir yang pernah ada dalam kitab suci Taurat, Zabur dan Injil. Yang baru terbukti, kisah kelahirannya juga tercatat dalam kita suci pengikut Veda jauh di pinggir Sungai Indus.

Lokasi kota Mekah yang dikelilingi gurun pasir itu adalah salah satu faktor baginda adalah salah seorang dari kebanyakan penduduk Mekah yang buta huruf. Yatim piatu dan terpuji. Begitulah sedikit pengenalan tentang pesuruh Allah yang terakhir ini. Menyampai kan risalah kebenaran.

Antara yang pertama baginda sampaikan, baginda adalah manusia biasa, cuma baginda menerima wahyu dari Allah. Islam adalah agama sekalian manusia, sekalian bangsa, sekalian alam. Manusia tiada ras dan kasta, semua manusia itu sama, yang agung hanya Allah s.w.t.

Sekali ditekankan. Islam bukan untuk suatu golongan. Islam bukan untuk suatu bangsa.

Islam untuk sekalian alam. Kesejahteraan buat sekalian alam.

Nabi Muhammad , penutup segala nabi dan rasul, tiada lagi rasul sesudah baginda, Al Quran pelengkap dan penutup segala kitab.

Rasul Allah yang terakhir itu berkata,  Islam ialah rahmat buat sekalian alam. Jadi mengapa pada masa kini, dari mana pula datang nya, Islam adalah untuk Melayu? Ini sesat bukan? Tiada rasul lagi selepas Nabi Muhammad s.a.w.

Apapun aliran dan mazhab, tak ada satu pun yang berpendapat bahawa Islam adalah dikhusus kan bagi bangsa nya.

Islam menuntut umat nya mengenali sesama manusia, oleh kerana itu manusia dilahir kan berbeza-beza. Tapi orang itu menggunakan Islam untuk memecah belah kan manusia.

Islam Nabi Muhammad s.a.w itu mudah, agama tidak di dalam cermin kan, semua orang berhak untuk mendekati nya dan Islam juga bebas untuk mendekati orang.

Baik Nasrani, Buddha mahupun Hindu, tidak ada satu pun yang mengaitkan agama dengan bangsa tertentu, kecuali Yahudi yang dikaitkan dengan Bani Israel. Dan kita telah mulai seperti mereka.

Selasa, 12 Januari 2016

Sekatan

Politik. Semua sudah tahu definisi nya. Tapi maksud dari seorang yang bergerak dalam politik masih sukar untuk difahami. Apa sebab dia mahu berpolitik? Sekadar mahu kan kuasa supaya mudah urusan bisnes dan kesejahteraan buat diri nya sendiri atau dia diangkat penyokong nya yang yakin jaminan kesejahteraan dan keadilan buat semua golongan rakyat.

Kemudian nya bagi kita memilih, apakah benar dia akan melaksanakan janji dan candangan nya yang indah-indah itu?

Persoalan demi persoalan terjawab dan selalu nya banyak yang tidak memuaskan, merugikan. Akhirnya, kita cuba untuk menentang dengan pelbagai kritikan atas setiap tindak tanduk nya, supaya dia memberi faham atau memperbaiki masalah yang dinyatakan oleh rakyat. Sayangnya, dia sudah memegang tampuk pemerintahan dan dia telah pun menutup segala ruang buat kita untuk bersuara. Yang lantang mengkritik dipenjara atau ramai juga yang menerima tawaran untuk menjadi penjilat.

Maka itu lah, akhir nya rakyat tadi merasa ditindas.

Lebih menyakit kan, hadir pula segolongan orang yang menggunakan nama tuhan bagi membenarkan tindakan pemerintah yang jelas nyata melanggar ajaran setiap kitab suci dan segala undang-undang dasar yang pernah ada bagi sebuah pemerintahan adil dan saksama, yang pernah tercatat dalam sejarah peradaban dunia. Harapan manusia dibunuh atas nama jalan ke syurga rekaan golongan tersebut.

Ini bukan kisah masa lalu, masa lalu sudah jadi sejarah, jadi pengajaran buat sesuatu yang lebih sempurna. Tapi ini juga bukan cuma kisah yang terserah kita untuk ambil kisah atau tidak. Ini yang terjadi di masa kini.

Sekatan kembali menjajah.

Isnin, 11 Januari 2016

Fasa Baru OneHandTyper.

Sampai suatu masa, aku dah tak tahu apa lagi nak dikongsikan dalam blog ni. Semacam kehidupan yang berhenti sebentar atau 'brek'. Cuma secara tak sedar, aku masih sedang berfikir. Kehidupan masih memberi ruang untuk aku berfikir. Maklum lah, sekolah tak tinggi, jadi semua kena belajar sendiri.

Tahun ni, aku bakal berusia 25 tahun masihi. Usia di mana aku sepatutnya bebas untuk berfikir dan memilih. Dan aku kembali mengutip banyak buku teks dan insya Allah akan bergerak pula ke alam rujukan yang lebih dalam dan luas.

Mungkin tak sesuai untuk aku maksud kan di sini, tapi perlu lah aku berterus terang yang aku mulai keliru dan jemu dengan segala bentuk perbedaan pegangan dan aliran, sesuatu yang kemudian diperbesarkan lalu terpecah belah lah umat manusia semua nya. Dari semua perselisihan ini lah yang akhir nya menjadi jalan bagi orang jahat mengambil kesempatan buat kepentingan politik dan kuasa. Yang akhirnya orang berpendapat umat ini menuju kemunduran.

Aku sekadar ingin mencari jawapan, bukan untuk menjadi lain dari mayoritas.

Segala nya akan aku kongsikan di blog ini. Walaupun blog ni tak ada popular nya, tak ada pula pengikut nya, mungkin ada yang menuduh penulis ini 'syok sendiri', akan aku pekak kan telinga selain komen dan kritikan secara ilmiah dan munasabah.

Di alam realiti, aku kurang teman yang mahu ikut mendengar perkongsian ini, maka sekali lagi aku katakan, mujur lah ada onehandtyper sebagai penelan segala buah fikiran aku yang terperam.