Khamis, 2 Mei 2013

Gadis Bertudung Merah.

Apabila terdengar lagu ST12 sebuah band boy berentak melayu dari Indonesia bertajuk Biarkan Aku, mengingatkan aku kepada suatu peristiwa atau kenangan sewaktu aku di Pekan Baru, Riau, Indonesia beberapa tahun lalu. Dimana aku terpikat dengan seorang gadis manis yang ternyata pertama kalinya aku terpikat bukan kerana pakej fizikal serta wajah anggun anugerah Tuhan itu, tetapi kerana kesantunannya, adabnya serta peribadinya.

Kata orang lama, ''makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah'' , itulah yang aku alami kerana terlalu memikirkan cuitan kenalan yang tak aku sangka terbalas. Lagu tersebut berkumandang sewaktu aku menanti jawapan daripada gadis itu. Bagi aku, dia sangat elok, lagu bertajuk Gadis Bertudung Merah milik kumpulan Wali Band cukup untuk menggambarkan ciri-ciri gadis itu.

Namun, tempoh terlalu singkat di tanah Sumatera, maka tidak banyak yang aku simpan tentangnya. Aku pulang ke Malaysia dengan rasa rindu yang masih aku rasa. Kerana lama tak berhubung, kami lost contact dengan sebuah hubungan otomatis terhenti. Aku terpaksa lupakan walau bukan mudah untuk menghapuskan sesuatu yang sudah terukir kemas di dalam hati. Tapi aku mesti lupakan supaya tidak ukiran itu menjadi luka.

Kelmarin aku kembali ke Pekan Baru, mengubat rindu pada keluarga sebelah ibu. Adik aku, Iza ditemui oleh sepupu kami Tia. Tia ialah teman sekepala buat Iza dan aku juga lebih selesa untuk berbual dengan Tia. Tak tahu kenapa? Mungkin Tia lebih sesuai dengan cara pergaulan kami berbanding yang lain.

Sudah 3 tahun kami tidak ketemu, ternyata Tia sudah gadis. Walau perawakan agak ke arah 'tomboi' tapi wajah gadis nya itu sudah mula terserlah. Tiba-tiba beliau mendekati telinga aku lalu berbisik tentang sesuatu yang sudah lama terhapus lenyap dari benak fikiran aku. Tentang Gadis Bertudung Merah.

Keadaan yang sudah lama pergi itu tiba-tiba kembali meresap mengingatkan kepada sebuah kisah tak kesampaian penghujungnya. Seperti bangunan yang dirancang megah tetapi gagal ditamatkan pembinaannya lalu terbengkalai dan dilupakan, dibiarkan dalam semak-samun dan belukar.

Namun, apa yang diceritakan oleh Tia tentang gadis itu ternyata berbalik 360 darjah dari apa yang diceritakan oleh beliau 3 tahun lalu tentang peribadi indah gadis tersebut. Walau Tia jauh lebih muda dari aku, tapi pemikirannya sudah lebih matang berbanding usianya, masalah dalam keluarga besar ini sudah terhafal oleh nya. Gadis tersebut merupakan adik kepada abang ipar Tia. Tidak hairanlah jika Tia tahu banyak cerita tentang gadis tersebut.

Tia mengkhabarkan tentang gadis yang pernah aku simpan di dalam hati, aku seperti timbul di permukaan air di tengah hutan sunyi yang berkurun lama tak berkocak apabila disentak dengan nama gadis tersebut,

''Kak Ela lari rumah sama lelaki, tak ketemu sampai kini, tak tahu di mana dia, lelaki itu sudah menghamilkan Kak Ela dan lelaki itu seorang Kristen.''

''..keluarga tidak kisah jika lelaki itu yang dia mahukan, keluarganya bisa terima, tetapi lelaki itu seorang Kristen dan mereka takut jika Kak Ela masuk Kristen.''

Aku terkilan, sangat terkilan dengan apa yang terjadi, bukan kerana aku yang tidak dapat bersama meniti hidup bersama gadis itu, tetapi kerana persoalan yang lebih penting, mengapa perkara begini boleh terjadi? Dia baik, dia solehah tapi kenapa terjadi begini? Terlalu tak masuk akal bagi aku untuk gadis seperti dia memperlakukan perkara sebegini.

 Di manakah silapnya? Bukan kerana gadis itu menjalin darah dengan seorang Kristen, tetapi kenapa dia berubah dan tak seperti dulu? Seperti masa-masa aku terpesona dengan peribadinya.

Mudah untuk kita jawab,

Pendirian. Prinsip. Itu tiang kepada peribadi kita.

Walaupun seseorang itu sudah menjadi manusia yang baik, sebaik malaikat sekalipun. Jika tiang itu tak mampu terjaga, maka, runtuhlah mahligai indah yang sekian lama terpuji kebaikannya.

Jika tiang itu rapuh, maka rapuhlah dia ditempuh oleh ujian Allah swt.

Na'uzubilllah.

*semoga Allah memberi petunjuk dan mengembalikan gadis kepangkuan keluarganya dan dugaan ini selesai sempurna sifatnya. Amin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan