Khamis, 19 Julai 2012

Ramadhan Countdown-3 (Langit dan Bumi)

Hari ini Khamis 29 Syaaban 1433h, Maghrib nanti maka ada lagi 1 hari sebelum datangnya Ramadhan. Ketika menaip catatan ini, cuaca agak dingin kerana hujan renyai-renyai sedikit turun walhal langit masih kelihatan cerah. Tiba-tiba abah menjelaskan cuaca begini memang sering berlaku menjelang pertukaran bulan Islam apabila bulan mula berselisih dengan matahari. Kata beliau lagi, kalau nak tengok anak bulan sekarang ini memang tak nampak kerana langit ketika ini kelihatan mendung berpunca daripada fenomena tersebut. Lebih kurang begitulah keterangan abah yang sebenarnya setiap tahun menjelang Ramadhan abah akan bercerita tentang ilmu falak sehingga menjadi rutin kepada adik aku melihat bulan penuh setiap 15 haribulan dalam kalendar hijrah. Abah memang meminati ilmu falak dan kini nampak seperti minatnya itu mula mempengaruhi adik aku yang mula menunjukkan minat terhadap bidang ini.

Kemudian, aku terfikir akan ciptaan Allah di langit seperti bulan, matahari dan semua bintang-bintang sebenarnya mempengaruhi ekosistem dan bencana yang berlaku di bumi. Allah menciptakan segala yang di langit dan di bumi itu bergantung antara satu sama lain menjadikan apa yang berlaku di sekeliling kita sangat logik dan saintifik. Jika berlaku gerhana matahari atau bulan pasti akan diadakan solat sunat gerhana bagi memohon dijauhkan dari bencana, begitu juga agama lain ada cara mereka tersendiri selain menganggap sesuatu yang sial akan tiba. Seperti fenomena pasang surut yang dipengaruhi bulan begitu jugalah bintang-bintang lain turut mempengaruhi apa yang berlaku di bumi maka cukup bagi kita dengan meyakini bahawa Allah itu maha pencipta serta percaya kepada qada dan qadar maka dengan ini kita bisa memahami tentang apa yang dikatakan sebagai hikmah. Oleh itu, Allah menyuruh kita untuk belajar akan segala yang ada di langit dan di bumi supaya kita tahu akan kebenaran dan mengakui Allah itu maha bijaksana.

Bagaimana kita boleh menyangkal semua ini dicipta oleh Allah sedang Dia sendiri menuntut hambaNya supaya belajar serta membongkar misteri-misteri kejadian dan itu tandanya Allah tidak sesekali ingin membutakan mata kita melainkan kita sendiri yang membutakan mata kita sendiri dengan tidak mahu belajar.    Sebahagian dari kita sering mempersendakan kepercayaan agama lain yang dianggap tahyul tetapi kita tidak pernah berfikir kenapa agama ini benar dan kenapa kepercayaan itu perlu ditertawakan sedang Allah itu meliputi keseluruhan langit, tanah, angin, cahaya, tumbuh-tumbuhan dan manusia jadi memang apa yang kepercayaan tersebut rasakan sebenarnya Allah tetapi mereka tidak mendapat kebenaran dan akidah seperti kita. Oleh itu, bersyukurlah dengan rahmat yang Allah berikan kepada kita ini iaitu sebuah agama yang benar. Begitu juga dengan golongan atheis yang menolak kewujudan Tuhan dalam kejadian alam, mereka juga buntu apabila tiada penglibatan Tuhan dalam setiap kejadian maka kita perlu bersyukur kerana kita sudah tahu lama akan jawapan kepada setiap kejadian itu.


Iaitu ''La illa ha illallah'' -tiada tuhan selain Allah-



Tiada ulasan:

Catat Ulasan