Ahad, 4 November 2012

Lain Dari Yang Lain.

Aku tahu dan mungkin setahu-tahunya tetapi masih tidak maha tahu seperti yang berkuasa di atas itu. Mata mereka yang bukan aku itu pasti ada tafsiran berdasarkan konteks-konteks tersendiri tentang aku. Memang mungkin ada yang mentafsirkan aku berdasarkan prinsip, perwatakan, sifat dan sikap. Sememangnya, lebih mudah tafsiran tersebut berdasarkan sikap kerana situasi lah yang menguji sikap kita maka, lebih mudah kiranya jika kerja mentafsir itu dilihat melalui sikap.

Dikaji daripada asal dahulukala sewaktu aku mula mengenal dan dikenali oleh dunia, hingga kini dan mungkin selamanya aku ialah seorang yang pendiam, berdiam tapi tidak akan terdiam. Terdiam oleh tentangan yang tidak munasabah dan kurang rasional. Tidak pula aku ini saja lebih rasional malah, apabila dipuji aku segera tunduk kerana tidak mahu diri ini tinggi lalu meninggalkan jasa yang menjulang aku tadi. Tidak pula aku terlalu memuji sembarangan kerana takut dia akan mendabik dada kesombongan maka aku agak memilih untuk memuji.

Tetapi, aku bukan maksum, aku bukan Tuhan. Aku masih manusia biasa, cuma kerajaan menggolongkan aku sebagai Orang Kelainan Upaya atau dulunya Orang Kurang Upaya atau bahasa pasar nya ''Cacat''. Tidak mengapa, aku redha jika ada yang mentafsir aku sebagai Si Cacat atau Si Kudung kerana aku masih ''lain dari yang lain''.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan