Rabu, 14 November 2012

Hijrah Bukan Lari.

Sudah menjelma 29 Zulhijjah iaitu hari terakhir 1433 tahun hijrah dalam kalendar rasmi Islam yang telah diasaskan oleh Amirul Mukminin, Khalifah Umar Al Khattab. Syukur kita kepada Allah Subhana Wa Taala atas sumbangan besar khalifah Islam kedua tersebut serta kesejahteraan buat beliau dan sahabat lainnya yang tidak berhenti berjuang memartabatkan agama Allah serta rasulNya yakni Islam. Wasiat dari seorang kekasih Allah yang tak akan terlupakan bagi mereka yang bersyukur iaitu Al Quran dan Sunnah yang menjadi pedoman agung buat dunia. Walhamdullillahirabbil a'lamin.

Hari ini, menjelang sudah rembulan 1 Muharram 1434 hijrah. Dan umat muslimin akan mula mengingati peristiwa hijrah umat Islam dari Mekah ke Madinah pada 1400 tahun dahulu. Dan pasti ada pula penerangan dan pencerahan berkenaan pengertian hijrah di majlis-majlis sambutan ma'al hijrah di masjid-masjid berdekatan.

Tapi kita kena ingat bahawasanya ma'al hijrah itu bukan hanya tentang tahun baru atau penukaran kalendar walaupun tiada kalendar Hijrah di negara ini melainkan sedikit kerana ditenggelami oleh nombor-nombor dengan fon bersaiz besar pada kalendar masihi. Mungkin ia bagi memudahkan masyarakat negara ini membuat count-down tahun baru masihi. Nombor-nombor kecil tarikh Hijrah itu hanya mendapat perhatian pada bulan Ramadhan sahaja kebanyakannya kerana masyarakat yang berpuasa pada bulan tersebut sibuk membuat count-down raya aidilfitri. Tapi hijrah itu bukan sekadar kalendar. Akan tetapi untuk diri kita sendiri yang perlu mengerti hikmah peristiwa tersebut serta pengajarannya buat kita sendiri yang sememangnya perlu berpindah untuk sebuah kebaikan dan kejayaan di akhirnya.

Berpindah itu bukan hanya sekadar fizikal tetapi rohani juga perlu berpindah. Nabi Muhammad SAW mendapat tentangan dahsyat oleh masyarakat kampung halaman negeri kesayangannya iaitu Makkah lalu terpaksa meninggalkan kota suci tersebut atas petunjuk Allah SWT. Namun akhirnya, baginda menjadi pemimpin di perantauan dan akhirnya berjaya mencerahkan Makkah dengan Islam serta memadamkan jahilliyah di kampung halamannya itu.

Zaman sebelum baginda, Nabi Yusuf juga berjaya dengan melakukan sedemikian sehingga menjadi raja di Mesir walaupun sebelum itu baginda dianiaya oleh saudaranya sendiri, bersusah payah berdikari kerana meninggalkan keluarga, difitnah oleh isteri tuannya, disumbat ke dalam penjara tetapi akhirnya baginda berjaya menjadikan mimpi baginda semasa kecil itu menjadi realiti sambil memberi kesedaran kepada saudara-saudaranya.

Hijrah itu bukan sama maksudnya dengan istilah melarikan diri daripada masalah tetapi hijrah itu suatu bukti bagi orang-orang yang bijaksana bagi merancang kehidupan untuk sebuah kejayaan. Kerana orang yang bijak tidak memilih kemudaratan buat dirinya tetapi memilih sesuatu yang lebih baik buat dirinya. Contohnya, rakyat Yathrib itu menerima dakwah Islamiyah dengan keyakinan yang tinggi sehingga mereka menyambut meriah akan ketibaan Rasullullah SAW berbanding majoriti penduduk jahilliyah Makkah yang membaling batu ke atas Nabi Muhammad SAW sewaktu berkhutbah di Bukit Safa. Maka, manakah yang lebih baik?
Berhijrah ke Yathrib atau baginda terus teraniaya di kampung halamannya sendiri?

Aku juga sedang berusaha untuk berhijrah. Sama-samalah kita berdoa untuk kejayaan kita sendiri.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan