Ahad, 25 Disember 2011

Aku ada kampung yang indah

Wow!
Nak dekat sebulan juga tak 'post' apa-apa 'entry'. Musim tengkujuh ni jalur internet jadi sangat lemah dan bercampur pula dengan urusan yang menyibukkan aku untuk diuruskan supaya ia terurus lalu selesai. Bermula 29 Nov. hingga 11 Dis. kelmarin pula, aku merelakan diri untuk pulang ke kampung halaman yang buat pertama kalinya aku jejakkan kaki bersama Abah dan adik. Maklumlah kampung jauh di seberang Selat Melaka sana.

Bukit Tinggi,Agam,Sumatera Barat,Indonesia. Aku rasa ramai yang tahu akan tempat ini dan yang tak tahu tu sila  gunakan carian google anda. Ya, bangga ada kampung yang indah dan terkenal seperti ini. Dikelilingi sawah, ladang-ladang yang traditional, udara nyaman, kedinginan yang selesa, ketenangan serta pemandangan yang indah. Penduduk yang peramah, sopan-santun, beradab dan beradat, suka bergotong-royong, mengambil berat dan aku rasakan kehidupan kekeluargaan di antara penduduk kampung di sini.

Kemudian, aku mengerti apa arti adat yang dicipta oleh orang kampung lazimnya di MinangKabau ini. Kebetulan ada kenduri kahwin diadakan bagi meraikan tuan rumah iaitu pihak pengantin lelaki untuk berangkat ke rumah pihak pengantin perempuan di kota Padang yang kira-kira 4-5 jam perjalanan. Aku teringin untuk melihat orang-orang lelaki mengerjakan istiadat 'berunding' sebelum menjamah selera. Aku cuba dengar kata-kata madah halus lembut mereka semasa membuat rundingan antara wakil tetamu dan wakil tuan rumah(rasanya begitulah). Aku jadi hairan apabila mereka membincangkan akan kebenaran untuk menjamah makanan yang sudah pun terhidang. Mereka duduk bersila mengelilingi ruang tamu dan tengah-tengah ialah makanan. Semua dapat mendengar apa yang dirunding. Kemudian, ada yang membantah kerana masih ada yang tidak cukup maka bertambah sakit lutut aku bersila sebab selagi ada yang tidak cukup, makanan masih belum boleh dijamah lalu perlulah dicukupkan atau ada alasan dan semua bersepakat dalam rundingan barulah boleh dijamah hidangan tersebut.

Tujuan nya, ialah sebagai penghargaan terhadap tuan rumah dan acara yang diadakan. 'Berunding' bukan sahaja pada kenduri ini tetapi sejak awal perancangan untuk perkahwinan ini. Aku faham bahawa adat iaitu kebiasaan yang ditetapkan itu merupakan kunci kerjasama antara penduduk bagi mengikat erat tali silaturrahim. Sebab itu aku katakan hidup di sini bagaikan sebuah keluarga. Basa basi mereka yang terpuji, seorang sakit semua sakit, seorang bodoh maka semua terasa bodoh, seorang berjaya maka semua terasa bangga dan susah untuk jadi sombong di sini.

Aku tak pernah harungi indahnya kampung. Suatu pagi aku bersama abah dan adik berjalan kaki mengelilingi Negeri Panampung(fahami pembahgian pemerintahan R.I).

Ku lihat Gunung Merapi tersergam indah gagah megah di hujung sawah,
Terima Kasih Allah kerana takdirkan abah lahir di sini,

Aku ada kampung yang indah !!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan