Rabu, 6 November 2013

Kebebasan dan TanggungJawab

Kebebasan itu memang sejak dulunya pernah berkali-kali dituntut oleh masyarakat di setiap peradaban dunia di setiap kurun dan dekad, hingga kehari ini, pastinya akan ada suatu gerakan, golongan atau pertubuhan yang dibina bagi menuntut kebebasan yang bilamana terjadinya pelbagai peristiwa seperti demo, pemberontakan atau perperangan. Seperti yang berlaku di tanah arab.

Aku sebagai seorang insan yang dilahirkan dalam beragama Islam yang ditradisikan daripada orang tua ku lalu aku masih terus menganutnya apabila angin usia bertiup ke dalam lubang-lubang pengertian dan makna yang membawaku bersama ke dalam nya, maka di dalam lubang-lubang itu aku teguh mempercayai bahawa agama ini adalah yang terbaik dan tersuai buat aku yang lahir di zaman penuh kekeliruan ini, bagi aku agama ini lahir daripada sebuah perjuangan menuntut kebebasan hak yang layaknya bagi manusia.

Jika diteliti kisah asalnya di mana hadirnya agama ini, apabila Nabi Muhammad s.a.w mengasingkan diri di Gua Hira' kerana kecewa dengan ketidak adilan yang berlaku di Mekah. Lalu malaikat Jibril datang membawa wahyu lalu memberitahu Muhammad itu ialah pesuruh Tuhan. Kemudian dipaksanya nabi yang tidak tahu membaca itu untuk membaca wahyu pertama yang dibawa oleh Jibril kepadanya. Aku pasti semua tahu kisah selanjutnya.

Aku menaip tentang perkara ini bukan untuk menunjuk kemuliaan diri sendiri kerana aku percaya bahawa kemuliaan itu hanya di sisi tuhan ku. Makna kebebasan hak itu telah membuahkan kerungsingan di atas pepohon fikiran ku. Kerana ramai yang mengecapi kebebasan lalu mensia-siakan anugerah itu untuk mendatangkan bala bencana. Seperti sistem demokrasi yang di mana rakyat berhak bebas memilih pemimpinnya, tetapi kenapa mesti ada provokasi yang mampu mencetuskan perbalahan?. Begitu juga pemimpin yang diperjuangkan oleh rakyat, mengapa mesti menyalah gunakan kuasa itu.? Perlu kita sedar bahawa jika sebelum itu kita dikongkong dengan sistem beraja mutlak dan monarki di mana kepimpinan hanya dimahkotai oleh golongan istana. Lalu rakyat berjaya menggulingkan sistem itu kerana mendakwa berlaku ketidakadilan dan rasa tertindas, lalu digantikan dengan sistem yang lebih bebas yang kita namakan sebagai demokrasi. Pemimpin berhak dipilih oleh rakyat. Bukan kah perbuatan seperti tadi mampu merosakkan merosakkan erti kebebasan tersebut?

Begitu juga dengan kebebasan hak seperti hak bersuara, hak bersosial dan sebagainya. Semua itu perlu disertakan dengan tanggungjawab. Kita perlu bertanggungjawab ke atas apa yang kita mahukan dan kita kerjakan. Contohnya, di negara ini, kelab malam bebas di buka sehingga larut malam, semua orang bebas meneguk alkohol walau melanggar prinsip atau adat namun kita dibebaskan untuk menikmatinya. Tanggungjawab bagi seseorang yang sedang dipengaruhi kesan alkohol itu supaya mengawal dirinya dan tidak membuat kacau atau mengganggu orang lain. Apabila berlaku sesuatu yang buruk maka orang ini mesti bertanggungjawab sama ada membayar ganti rugi atau dihukum. Kemungkinan juga kelab-kelab malam akan ditutup, tetapi ia hampir mustahil berlaku di negara berdaulat ini.

Perkara ini perlu dipelajari dan diketahui bahawa kebebasan yang kita kibarkan itu perlu ditiup kan dengan tanggungjawab. Seperti memacak bendera di kawasan yang berangin dengan harapan ia akan terus berkibar, namun jika angin berhenti bertiup? Mampukah ia berkibar sendiri? Begitulah kita yang memperjuangkan kebebasan jika tidak disertakan dengan tanggungjawab maka erti perjuangan yang dipadatkan dengan etika dan idea itu rosak pengertian nya. Semuanya tetap bergerak namun tiada roh malah merosakkan.

Oleh kerana itu, Jibril menyuruh Muhammad membaca meskipun sudah diangkat paling tinggi darjatnya di sisi Allah. Kerana Islam tidak pernah menyuruh penganutnya berpakaian seperti orang arab untuk menjadi Islam. Islam menuntut penganutnya belajar dan oleh itu makin tinggi ilmu nya maka makin tinggi kemuliaannya. Maksud aku, bukan jadi ustaz atau ulamak, tetapi pemahaman ke atas hak dan jatidiri itu. Perkara itu bukan islam saja yang ajar bukan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan