Isnin, 16 September 2013

Khayal Hilangkan Masalah?

Aku masih sedang cuba untuk menerima pendapat segelintir atau umum nya para sahabat yang kalau dipandang melalui kalangan mereka boleh menjadi sebahagian besar yang mempunyai fahaman bahawa khayalan mampu menghilang kan masalah.

Maaf, sebelum kamu mula meneliti perkataan seterusnya ini, sememangnya aku tidak pernah berbicara tentang ini kerana aku boleh menerima atas apa yang mereka amalkan namun, aku tidak dapat menerima pendapat yang mereka cuba alaskan.

Masalah hilang dengan khayalan.

Khayalan yang aku maksud kan adalah berkhayal dengan bahan-bahan khayal seperti dadah dan alkohol contohnya.

Maaf sekali lagi aku pohon kan kerana aku bukan jenis yang melarang tetapi cuma memikirkan alasan itu. Bagaimanakah masalah boleh dihilangkan? Adakah mereka mengenal konsep khayal atau mabukan itu sebenarnya?

Khayal atau mabukan adalah apabila seseorang itu mula hilang daya waras nya sehingga kesan bahan yang di ambil itu hilang. Jika begitu, persoalannya, adakah masalah dan kegusaran itu hilang lenyap selamanya selepas kesan bahan tersebut hilang? Adakah begitu?

Atau khayalan itu adalah sekadar bius bagi menghilangkan sebentar rasa sakit ketika kita cuba mendapatkan ketenangan untuk berehat? Adakah begitu?

Jika ia dianggap bius yang mengebaskan tubuh fikiran supaya menangguhkan sebentar rasa sakit dek keserabutan dan kegusaran, jika itu alasannya aku setuju menerima nya. Tapi jangan kata berkhayal itu mampu menghilangkan masalah kerana orang lain yang sedang bangun mencari arah bakalan tertipu.

Kita tidak mampu menghilangkan masalah melainkan kita menghadapinya. Apabila kesan bahan itu habis maka kita akan memikirkan kembali masalah itu dan yang paling ditakuti sebenarnya ialah, masalah yang datang apabila sedang berada di bawah pengaruh. Maklum lah, dadah itu, seluruh authoriti dunia berjaya menewaskan nya dan ia sudah dikategorikan sebagai jenayah yang berat, adapun hukuman baginya adalah sehingga mencapai tahap hukuman mati mandatori. Bahaya untuk sebuah masa depan cerah yang kita rancang sejak kecil.

Kembali aku mengulang bahawa aku tidaklah sesekali berniat untuk mempersenda, tetapi mempersoalkan alasan yang khayalan mampu menghilangkan masalah. Adakah dengan menjadikan diri separuh waras mampu untuk kita memikirkan cara menyelesaikan masalah? Maaf, mungkin aku tidak mengerti perasaan mereka dengan amalan tersebut.

Bagi aku, ciptaan Tuhan itu tiada yang sia-sia walau nyamuk dan agas sekalipun, semuanya berperanan besar terhadap penghidupan dunia dan alam semesta malah juga untuk dunia akhirat.

Allah juga menyediakan pelbagai nikmat untuk manusia kerana kita dilengkapi dengan 5 deria untuk kita mengenal serta akal untuk kita berfikir. Kenapa akal diberi tetapi kita masih perlu berfikir? Kenapa Tuhan tidak memberi terus akal yang berisi penuh dengan ilmu kepada kita jika benar manusia ialah makhluk nya yang terpilih?

Aku akan cuba terangkan dilain bahagian. Cuma apa yang ingin aku katakan ialah, rasakan, nikmati segala apa yang telah Tuhan sediakan di langit dan di bumi, tetapi jangan lah sehingga berlebih-lebihan. Kerana semua nikmat itu adalah untuk difikirkan bukan membinasakan.

Tuhan tidak membinasakan melainkan kita yang meminta untuk dibinasakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan