Ahad, 24 Mei 2015

One.Hand.Typer

Semakin lupa saya akan usia blog ini sejak pertama kali hujung jari telunjuk tangan kanan saya mengetik sejurus meluah kan segala isi hati dan pemikiran ke dalam ruang-ruang karangan blogspot.com. Sejak daripada sekadar coretan mahupun catatan membawa kepada sedikit pencerahan berserta pula ulasan, pendapat dan cerita yang sedikit sebanyak memberi sedikit usikan hati bagi mereka yang pernah menyelam blog yang semakin menyepi ini.

Sejujurnya, apa yang pernah saya sampaikan melalui onehandtyper adalah sekadar memenuhi kepuasan hati sendiri yang gemar bercerita tentang persoalan sambil menunjukkan cara saya menelusuri perjalanan hidup sebagai seorang yang mampu saja dianggap sebagai hilang upaya dan harapan setelah kehilangan upaya kedua-dua tangan akibat kemalangan beberapa tahun lalu.

Demikian lah, saya teringin menayangkan pada orang bagaimana cara saya yang tak kalah degil nya tetap tegar mengejar impian dan cita-cita meski mustahil dilihat orang. Menayang dan menunjuk kan bagi saya adalah tidak lebih sekadar ingin berkongsi cara dan gaya saya menempuh kehidupan yang entah ke mana pula henti nya nanti. Kerana saya berfikiran bahawa kita semua adalah sama saja nama nya, cuma terserah kita untuk memahami makna nya. Kita sama berkongsi menempuh kehidupan di dunia ini cuma terserah kita mencari cara yang cocok dengan emosi dan mental kita. Kita adalah sama, manusia yang mencari ketenangan serta tak kurang juga yang berhempas pulas  melewati sepak terjang masalah walau tidak kurang juga yang lari dari masalah meskipun hal itu tak mungkin mundur mengejar. Kita sama berjuang dalam hidup. Maka demikian saya kongsikan cara dan gaya saya mendaki meski kemuncak nya masih belum terinjakkan oleh kaki saya. Begitu juga bagi kita, hendak lah sama berkongsi cerita dan cara kita menempuh liku kehidupan.

Kenapa saya terlalu ingin berkongsi? Kenapa saya mahu bercerita?

Seperti remaja lain nya, sekali lagi saya nyatakan bahawa kita semua punya ketersamaan objektif dalam konteks menyesuaikan diri dengan kehidupan. Segalanya bersendi kan pada bagaimana cara kita untuk melewati sesuatu jalan mahupun rintangan yang melintang di hadapan mata kita. Cara pemikiran juga menjadi asal kepada ketahanan mental serta emosi apabila rintangan yang tidak salah jika ingin dimaksudkan dengan musibah, dugaan atau ujian datang memberat ke pundak kita.

Maka di usia semuda ini, saya punya orang sekeliling yang berbagai ragam pula apabila menerima sesuatu yang mereka rasakan penghadang jalan-jalan mereka menuju matlamat yang diimpikan. Malah ada pula yang berkeluhan bersama maki-makian ke atas kesakitan yang mereka fikir telah memburukkan seluruh kehidupan mereka sehingga ada juga yang semahu-mahunya mempersoalkan tujuan ia dihidupkan di muka bumi ini sambil sendawa kekenyangan.

Iya, saya sering tertawa kecil melihat telatah mereka itu. Maka nya, terlahirlah persoalan untuk saya dewasakan. Apakah orang itu, yang berkeluhan itu, tidak memandang saya yang serasanya lebih layak untuk berbuat demikian?

Dan tidak lah layak pula bagi orang semacam saya untuk memberi penjelasan kepada nya tentang kelakuan yang terlalu menjengkelkan itu. Tapi kadang-kadang saya cuba juga menegur, ada yang faham tapi lebih banyak pula yang tidak menghiraukan teguran itu. Ah, mungkin juga kerana mereka punya mentaliti biasa masyarakat bahawa orang yang bersekolah tinggi atau orang-orang berpangkat saja yang boleh menegur mereka malah saya sekadar peniaga pasar malam yang bercita-cita melawat Muzium Louvre di Paris suatu hari nanti bukan lah siapa-siapa untuk diamati.

Oleh yang demikian lah, maka saya cuba mengungkap kan segalanya melalui blog ini. Kerana mungkin juga rasa rendah diri yang terlalunya hingga melunturkan keyakinan saya yang sepatutnya harus lantang menyatakan apa yang sepatutnya saya kongsikan. Maka itu, saya tidak menerbitkan kebanyakan catatan ke laman sosial seperti facebook dan twitter. Kerana itu lah, blog ini tidak lagi dikunjungi orang.

Adapula yang sudah mengkolumkan berblogging itu sudah tidak pula relevan, namun bagi saya pula, itu cuma lah anggapan bagi mereka yang pernah berblogging dek kerana ikut-ikutan dengan trend dan pemakaian orang lain yang mereka rasa mampu menampakkan kewujudan mereka di kalangan orang yang sedang mengkagumi serta memuja sesuatu seperti yang mereka kejarkan itu. Tidak pula pernah bagi saya untuk mengakui bahawa saya tidak pernah tergolong seperti itu. Sedia maklum saya juga melalui dan mengalami proses mengkontrakan diri dalam kesamaran mata masyarakat sampai pernah tindakan yang tidak-tidak saya lakukan. Malah tidak pula saya mengaku bahawa hari ini kematangan telah melengkap ke setiap tindakan serta keputusan yang diambil kerana terdapat juga banyak nya proses tersebut masih sedang saya alami.

Namun, menerima pelajaran dan teguran sekeling itu sedang saya cuba sematkan di antara sifat-sifat saya. Kerana saya percaya bahawa individu atau sesuatu apa pun perlu mencari jalan yang sepatutnya apabila melalui batasan tanpa merobohkan batasan-batasan itu melainkan apabila batasan itu menghadang jalan kita mendapatkan kebenaran dan hak. Sekali lagi saya simpulkan di sini supaya difahami dengan membawa kembali kepada pendapat yang tadi iaitu kita semua sama apabila semua orang akan harus melalui proses pembelajaran dan penyesuaian diri dalam kehidupan menuju kesuksesan, identiti dan keberhasilan. Jadi, orang yang beranggapan bahawa berblogging itu sudah tidak relevan tidak lah ada salah nya, mungkin juga mereka itu sudah punya platform yang lebih bagus malah lebih lantang seperti menerbitkan Zine, majalah atau jurnalis. Hendaknya.

Ketika ini, saya masih tetap memenuhkan ruang yang tersedia di onehandtyper.blogspot walau tidak saya terbitkan di laman sosial. Kerana mengarang tiba-tiba menjadi ketagihan yang menggilakan jari telunjuk tangan kanan ini untuk mengetik kekunci pada keyboard sebagai menterjemah rasa hati melalui huruf-huruf rumi menjadi sebuah karangan.

Sampai saat ini saya masih lupa dan malas pula untuk saya ingat, usia onehandtyper.blogspot.com. Pernah juga punya keinginan untuk menutup blog ini dan mencipta blog yang lain atau tidak berblogging lagi. Tapi atas permintaan dan dorongan teman-teman, maka saya lanjutkan usia halaman ini sampai saya pula bertemu dengan umur yang terakhir  buat saya.

Semoga Allah merahmati kita semua.
Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan