Ahad, 10 Jun 2012

Northern

Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan, Bertambah Pengalaman.

Hari ini merupakan hari terakhir cuti sekolah pertengahan tahun selama 2 minggu. Banyak perkara yang aku lakukan bagi mengisi hari-hari cuti ini walaupun aku memang sudah lama bercuti. Sebenarnya, keutamaan cuti ini adalah untuk adik aku yang berada di tingkatan 5 maka, aku kotakan saja permintaannya untuk ke mana saja. Lalu beliau mengambil kesempatan ini sebaik-baiknya dengan memberi cadangan yang agak mustahil buat aku iaitu bercuti di Negeri Jelapang Padi yang terletak beratus-ratus kilometer dari rumah kami.

Memanglah kami pernah beberapa kali ke sana memandangkan keluarga kakak kami menetap di sana tetapi aku tidak pernah memandu Baby Kenari sejauh itu. Namun, dengan keyakinan kepercayaan kepada Allah swt, aku gagahi jua. Salah seorang sahabat baik aku iaitu Adek(vokalis Throw-ma) juga ikut serta dalam perjalanan yang panjang ini.

Alhamdullillah, kami selamat pergi dan pulang dengan izin Allah yang maha kuasa kerana tanpa izin-Nya aku sekali-kali tidak mampu memecut kereta sejauh ini serta apapun takkan selamat tanpa Allah yang menguasainya. Segalanya berjalan dengan lancar dan tiada perkara yang buruk berlaku.

Masih terbayang-bayang akan indahnya permandangan di Kedah terutamanya semasa mengelilingi Gunung Jerai, selepas melawat Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang menempatkan tapak-tapak candi lama yang ditemui oleh ahli-ahli arkeologi. Pelbagai maklumat yang aku faham daripadanya serta memuji kebijaksanaan Allah mengatur semua kaum-kaum ciptaannya.

Ustaz Azhar Idrus menemani perjalanan kami dengan ucapan kuliyah yang banyak diisi dengan lawak jenaka lalu mencuit hati kami melalui pemain cd di dalam kereta dan ia menambah menarik perjalanan ini. Perjalanan di Kedah mengingatkan aku kepada Sumatera Barat yang masih tak terlawan indahnya tetapi Tuhan sengaja menciptakan sesuatu itu ada lebih dan kurang nya maka lain pula pengalaman yang aku perolehi di sini dan segalanya ialah kurniaan Allah.

Tidak lupa juga Pulau Mutiara yang masih pesat membangun seperti dahulu walaupun sudah dilanda tsunami politik. Masih kelihatan jambatan kedua sedang dibina di sebelah selatan jambatan sedia ada yang menghubungkan terus dari tanah besar ke Bayan Lepas. Kami bersiar-siar di bandar Georgetown, Batu Feringgi dan Padang Kota Lama yang menempat kota yang dibina oleh Sir Francis Light iaitu pengasas kepada Pulau Pinang.

Selama 3 hari bermula Selasa kami menginap rumah kakak di Sungai Petani lalu kami pun berangkat pulang pada petang Jumaat. Perjalanan ke Tampin agak pantas berlalu, kata Adek ''Selangor, KL macam takde je.'' hehehe. Seronoknya kami apabila tiba kembali ke Tampin. hip hip hooray!!

Namun, masih ada satu lagi perjalanan jauh iaitu EURO2012!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan