Ahad, 17 Jun 2012

Gadis Peristiwa Tangga

Seperti khayalan yang menjelma menjadi realiti atau mimpi manis yang tiba-tiba berdiri di tepi katil semasa bangun dari tidur sambil sinaran mentari pagi menyinar menembusi tingkap dan lubang-lubang udara lalu menerangi peristiwa itu. Begitulah nikmat nya. Malu nak cerita sebenarnya, tapi hati ni terasa begitu girang gembira seperti ingin dijeritkan rasa manis yang melonjak-lonjak di dalam dada ini. Maka, OneHandTyper engkaulah sahabat yang sudi mendengar luahan ini.

Seperti semua tahu, abah ialah seorang peniaga pasar malam dan setiap hari Sabtu beliau berniaga di Rembau yang jaraknya hanya 20 kilometer dari Tampin. Selalunya abah akan berangkat dahulu ke Rembau kira-kira pukul 5 petang dan akan aku susuli selepas waktu Maghrib bersama Iza dan Baby Kenari supaya abah bisa meninggalkan barang jualannya kepada kami untuk menunaikan kewajipan perintah teragung Allah iaitu solat fardhu. Lagi pula pasar malam ini selalu dikunjungi oleh ramai warga setempat menjadikan pasar malam hari sabtu sebagai harapan untuk abah mendapatkan hasil jualan yang banyak maka abah yang biasanya berniaga seorang diri terpaksa mengharapkan bantuan kami di sini.

Pekan Rembau merupakan tempat tinggal kepada seorang gadis yang aku kenal di sekolah teknik dahulu. Aku tidak ingat bagaimana aku boleh berkenalan dengan dia dahulu cuma yang aku ingat dia merupakan teman wanita kepada salah seorang teman sekamar ku di asrama sekolah ini. Bagi mereka yang mengenali aku masa itu, aku memang seorang yang pendiam kepada mereka yang aku tidak biasa untuk ketawa. Begitu juga dengan pelajar perempuan, aku tidak campur bergaul dengan mereka seperti pelajar lelaki yang lain sehingga aku berada di tingkatan 5 pun mereka ingat aku ialah palajar junior kerana mereka tidak pernah nampak aku sebelum ini. Begitulah 'nope' nya aku. Aku pula mengambil sikap menegur bila perlu maksud nya jika tidak ditegur aku akan diam dan tidak akan menyapa menjadikan aku nampak sombong di mata mereka walaupun sebenarnya aku seorang yang pemalu dalam berkata-kata terutama kepada orang-orang yang aku segani atau agak sombong.

Perkenalan bermula apabila seorang guru memanggil aku ketika sedang duduk-duduk membaca majalah di hadapan perpustakaan sekolah. Beliau meminta aku supaya memanggil pelajarnya yang bernama Izol kelas 5 Binaan Bangunan dan aku terus pergi ke kelas tersebut yang berada di tingkat 2. Ketika hampir tiba di bangunan kelas tersebut aku dapati pelajar kelas itu sedang menuju ke bengkel mereka dan kelihatan beberapa pelajar perempuan sedang menuruni tangga sedangkan aku masih lagi di tangga bawah dan tidak kelihatan langsung pelajar bernama Izol. Aku bercadang untuk menyampaikan saja niat guru tadi kepada pelajar perempuan yang aku pasti bahawa mereka dari kelas yang sama, semoga disampaikan saja arahan itu kepada Izol. Apabila kelihatan saja seorang pelajar yang pertama di atas tangga tersebut aku terus bertanya maka bermulalah bibit perkenalan.

  ''wey, Izol kelas ngkorang kan?''

Dia memandang aku sambil memberi respon seperti terkejut, mungkin kerana tindakan aku yang tiba-tiba. Tetapi kemudiannya.,

 ''eh, hai. Izol kelas kitorang kenapa?'' tanyanya dan aku jawab
 ''Oh ngkorang nak pergi mana ni? Kalau jumpa dia cakap Cikgu Isa nak jumpa''
 sambil tersenyum dia berkata ''Nak pergi bengkel, Izol kat bengkel lah, jomlah ikut aku sekali pergi     bengkel'' dia mempelawa. ''Tak apalah kau cakap saja lah kat dia, okey?'' aku menolak.
''Okay boleh.''

Aku menghindar dari situ dan baru beberapa langkah tiba-tiba dia mengimbau ku kembali

''hey awak, junior ey?'' dah agak dah.hmm

''taklah form 5''

''kelas apa?''

''5 Mechy 2'' jawabku.

''oh ye ke? oke bye.'' sambil melambai dengan senyuman yang diukir nya manja seperti khas dibuat untuk aku.

Lama juga aku terpaku hairan dengan perbuatannya tapi aku hiraukan walau dah ada bibit-bibit syok sendiri dalam beberapa saat tapi aku hapuskan segera. Populariti aku semakin meningkat di sekolah apabila aku bermain drum dan jamming bersama sekumpulan teman-teman yang minat dengan muzik lalu setiap kali jamming di Seremban semasa balik wajib seorang teman merakam dengan menggunakan telefon bimbit berkameranya. Minggu berikutnya apabila pulang semula ke asrama semua penghuni datang memberikan kata-kata pujian kepada ku kerana mereka kagum dengan permainan drum yang dilihat mereka menerusi rakaman telefon bimbit. Video tersebut tersebar sehingga ke seluruh asrama termasuk asrama perempuan. Maka ramailah yang tertanya-tanya siapakah orang yang bermain drum ini kerana maklum lah, aku tak popular.  Namun, video itu berjaya menaikkan rating aku. Maka makin ramailah yang ingin menuruti kami ke studio jamming apabila balik wajib.

Suatu hari yang agak jauh garis waktunya dengan peristiwa tangga tadi, ketika balik wajib kami pun jamming di Seremban. Semasa sedang semangat menghentak snare dan anak-anak drum yang lain tiba-tiba seorang teman masuk ke studio bersama teman wanitanya yang merupakan gadis peristiwa tangga tadi. Waktu itu aku masih belum ada perasaan padanya melainkan keliuran kerana kecantikannya tetapi dia tetap seorang awek dan aku wajib menunjukkan kehebatan ku. Mungkin kerana terlalu bising gadis tersebut menonton dari luar melalui tingkap kecil. Aku sempat menjelingnya dan memang sah matanya tepat ke arah ku. Lalu mereka pun beredar dari studio dan tinggallah kami menghabiskan sesi.

Pulang semula ke asrama, aku baring di atas katil sambil membaca buku novel komsas, tiba-tiba aku terdengar teman sekamarku yang ke studio tadi berkata-kata tetapi seperti memerli gurau,

''bie, Pie tu kat sekolah I tengok diam je, tapi power main drum, tak sangka, I suka tengok muka dia, macam ex I.''

lalu disahut oleh teman lain ''haha, kau dah boleh bergaduh dengan Pie dah lepas ni.''

1 dorm ketawa dan sedikit ada yang serentak menyebut ''uiyoooo''

Di situ aku mula menyimpan hati kepadanya secara diam walaupun ramai kenalan yang mempersonakan gadis tersebut dan gadis itu sendiri rasanya tidak menaruh apa-apa pada ku. Tapi aku gemar membiarkan rasa itu bermain-main di dalam hati kerana tak sanggup aku membuangnya.

Sempat jugalah kami berbual-bual mesra terutamanya semasa hari balik wajib tetapi hanya sebentar sahaja kerana aku menghormati teman lelakinya yang juga sahabat baik ku. Kami juga pernah satu bas kerana dia pulang ke Rembau dan aku ke Tampin namun aku hanya memandang jauh daripada seat belakang.

Tamat zaman persekolahan, dia pun sudah tidak lagi kelihatan namun rasa itu tetap terpendam hingga ke hari ini. Aku pun mengalami kemalangan dan takdir terus menyusun jalan-jalan hidup ku hingga membawa ku menaip cerita ini.

Di hari raya pada tahun yang sama aku kemalangan, teman-teman sekolah mengadakan reunion di Port Dickson, dipendekkan cerita aku menumpang kereta teman sekolah yang duduk di Tampin dan mereka 1 kelas dengan gadis peristiwa tangga tersebut semasa pulang mereka bercadang untuk beraya di rumah gadis tersebut. Sebenarnya, aku berasa gembira yang teramat tetapi aku sembunyikan dan suruh mereka sahaja masuk ke rumahnya sambil aku tunggu di dalam kereta untuk tidur atas alasan keletihan.

Tiba di rumahnya, kelihatan dia sedang berdiri di muka pintu menyambut kedatangan kami,

Rasa terpersona tidak mampu membuatku menipu diri sendiri, lalu mengambil keputusan untuk ikut sekali naik ke rumah. Gadis tersebut menyambut 3 teman ku dengan ucapan selamat hari raya maaf zahir batin tetapi aku,

 ''alaaa kesianya Pie ngantuk, letih sangat ni, jom kita makan, engkorang ni tak bagi dia makan ey?''
yup, ketiga-tiga teman lain menjadi hairan, tetapi mereka pandai berfikiran positif dan menganggap itu memang gurauan apabila aku dimanjakan olehnya.

Semasa makan, teman ku bernama Haziq ingin menyuapkan aku namun gadis itu pula yang duduk disebelahku dan menyuapkan makanannya sedang kami berkongsi makanan tersebut di dalam satu pinggan serta sudu yang sama. Maka terliurlah mereka.

Semasa sedang mengunyah aku memandang ke lantai tiba-tiba,

''kenapa kau tengok dia pulak?'' kata Haziq
''suka hatilah, aku rindu tengok muka dia'' balasnya di sebelah kanan telinga aku.

Lalu aku memandangnya dan senyum begitu juga dia, sedang yang lain berlakon mengasah-ngasah penumbuk. Ya, mereka satu kelas dahulu dan mereka sudah biasa bergurau melainkan aku, seorang Alien di sebuah planet yang tiada penghuni selain aku. Maka, selepas itu kami pulang dan tiada lah kami berjumpa lagi. Kejadian ini bukan bermaksud aku meyakini bahawa dia suka pada aku tetapi hanya mimpi ku yang tercapai kerana dia kata dia suka tengok muka aku dan aku juga begitu, terasa ingin berjumpa dengannya. Malah dia sudah pun berpunya. Huhumm

Sejak abah berniaga di Rembau aku selalu berharap dapat bersua dengannya suatu masa nanti kerana katanya selalu juga ke pasar malam. Hampir setahun juga tetapi tidak jua kelihatan akan dia maka rasa keinginan itu makin kulupakan.

Tetapi entah mengapa hari ini aku meminta izin abah untuk bersiar-siar sebentar di sekitar pasar malam tersebut. Seperti ada yang menarik-menarik tubuh ku membawanya mengelilingi pasar malam ini. Sambil itu aku terus berdoa supaya dapat lah kiranya bersua dengannya. Di suatu kawasan, sedang aku bersiar-siar seorang diri kelihatan di hadapan terdapat 3 orang berdiri di tengah-tengah laluan membelakangi aku. Aku memandang seorang gadis bertudung hitam berbaju biru yang bersama dalam 3 orang tersebut. Tiba-tiba gadis itu menoleh kebelakang dan memandangku yang berada dalam jarak 5 meter dari nya. Sepatutnya aku ingin menarik mata ku tetapi aku perasan akan raut wajah nya seakan-akan mengecam aku lalu aku pandang kembali dia lalu aku pula cuba mengecamnya.

Sehinggalah gadis itu menyapa ''ui!'' dan aku segera balas ''ui!''.

MasyaAllah ! Ya Salam Ya salam !~~~ (masyaallah-maher zain)

Itulah gadis peristiwa tangga. Kamu semua boleh bayangkan berapa gembira dan semangatnya aku selepas akhirnya Allah perkenankan doa ku untuk bersua dengannya apabila melihat panjangnya catatan ku tentang dia.

Beberapa kali kami bersilisih di situ dan dia menjemputku beraya di rumahnya tahun ini. Maka perlu aku kembalikan size aku yang dulu. Supaya dia tetap suka tengok muka aku.

 Amin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan