Selasa, 17 Januari 2012

Hikmah Menangguh Bosan

Selasa jan 3.33 petang waktu jam dinding rumah aku yang paling sahih sekali. Rumah aku ni tak ada televisyen tapi selamatlah ada rezeki beli laptop ni dulu maka ada juga lah penangguh bosan untuk aku. Tapi semakin bosan, okay aku blogging tapi tak tahu apa nak diceritakan kat engkau-orang ni. Maka, terbaring terlentang lah aku di lantai ruang tamu merenung siling rumah mencari punca dan asbab supaya bermain-mainlah fikiran yang dah mula suntuk ni. 

Renung, tenung, temenung dan bangun semula.
Tenung pula bilah-bilah kipas berkejar-kejaran.
Tapi tak boleh juga ia menghiburkan hati.
Jangan tanya kenapa tak bukak youtube atau main game?
Sebab aku dah buat perkara tersebut berulang-kali.
Sejak daripada masa Tuhan bagi laptop ni lagi.

Bakar rokok Duo-M lepak di laman rumah menghadap Gunung Tampin. Pukul 3 ni hari masih panas lagi tapi aku tak boleh buat apa-apa dah. Sehinggalah pukul 4 aku masih bersila di lantai halaman rumah merenung kebesaran Ilahi. Memukau jiwa dan aku terpesona. Menonton sekalian awan berarak, langit biru meluas, matahari gagah bercahaya berlatar suarakan kicauan burung berbagai nada. Terlalu banyak yang menghiburkan walau tak sampai 1 jam aku menonton dan menatap kebijaksanaan Ilahi. 

Harap semua ini dapat kekal sehinggalah tiada lagi bias mentari mengusik aku.

                                                                       gambar hiasan.
Gunung Tampin. 

Biarkan Mereka Berlawan

Sorak dan tempik di sana sini.
Sorakan dialun tanpa seni.
Perkosa telinga yang berjeriji besi.
Tunggu dibebas oleh sorakan yang bijak berseni.

Tak perlu risau mereka berlawan.
Kita fikir hasil tanaman.
Dengan harapan kita jual tanaman.
potong separuh ulat yang makan.

Secara paksa kita rela.
Tanpa kita tahu hilang semua.
Kita dapat tak setimpal usaha.
Peti suara membodek hilangkan prasangka.

Tak perlu risau mereka berlawan.
Selagi fikiran tak sejauh banjaran.
Tanah kita gurun.
Hujung banjaran suburnya tanaman.

Berfikir itu tak sia-sia.
Memilih berlian atas kepala?.
Atau mutiara dalam minda?
Kebaikan supaya ikut berlawan.

Tak perlu risau mereka berlawan.
Kita pilih kebenaran.
Dan ikut berlawan.
Menentang rompakan kesempatan.
Lalu kita ikut mereka berlawan.

Jumaat, 13 Januari 2012

Susah Senang Sabar Syukur Kehidupan

Hidup ni macam mana sebenarnya?
Susah ke senang?
Masa susah kita bilang susah tapi orang lain bilang senang.
Masa senang kita bilang senang tapi orang lain bilang susah pula.
Jadi seperti apa hidup ini?
Senang atau susah untuk hidup?
Barangkali hidup ini hanya untuk pening kan kepala.

Aih.
Tak guna lagi tertanya-tanya begini.
Buat apa merasa hati diramas-ramas derita.
Didesak nya hati itu ke tekak.
Ingin dijerit kan moga terlontar keluar muntahan derita itu.
Tapi mustahil terurai nya derita semudah itu.

Aku rasa,
Orang senang perlu menempuh perjalanan kaki beratus kilometer di padang pasir.
Orang susah perlu terkurung di sebuah rumah mewah dan kemewahan dunia.
Baru lah agaknya si hidupan mengaku berakal itu tahu gerangan nya hidup di antara susah dan senang.

Dalam senang jangan menipu supaya tak ditipu Tuhan.
Dalam susah jangan marah supaya tak dimarah Tuhan.

*susah senang sabar syukur

Khamis, 12 Januari 2012

Kekecewaan Terakhir

''Nak diluah mati mak, Nak ditelan mati bapak''
Suatu peribahasa melayu unik yang tak pernah lagi menjangkiti cara aku untuk menyelesaikan sesuatu. Sebelum ini jasad ku seperti air yang mudah mengalir semasa menyelesaikan suatu penjelasan. Biarlah dengan siapa pun. Tapi kali ini aku terpaksa selesaikan masalah itu dengan melanggar kata-kata yang terlanjur iaitu nasihat aku untuk tidak lari daripada masalah. Ya, aku terpaksa lakukan tetapi dengan membentuk cara itu sebagai cara untuk mengurangkan sedikit tekanan bagi peribahasa di atas. Tekanan untuk sebuah penjelasan.

Musim di mana angin monsun Januari bertiup, sebelumnya ialah musim hujan Disember di mana tekanan bermula. Waktu tersebut merupakan ketibaan sebuah kekecewaan terakhir untuk Abah. Aku nekad dan tekad ini lah kekecewaan terakhir untuk Abah dan aku berdoa supaya ia tidak akan berlaku lagi. Apa sebenarnya kekecewaan itu amat lah sukar untuk aku terangkan kerana ceritanya terlalu panjang dan rumit tetapi apa yang penting untuk semua di sini fahami ialah pengajaran dari cara aku untuk menghadapi tekanan peribahasa itu.

Cara ini memang terlalu bahaya dan tambah merumitkan jika ia gagal seperti dirancang. Pertama aku kenal pasti masalah dan tekanan tersebut daripada akar dan pangkal iaitu 'takut untuk memberitahu'. Kemudian aku bertanya 'kenapa takut?'. Jawapannya kerana aku terpaksa melihat kekecewaan dan rasa terkilan abah di hadapan aku sendiri atas perbuatan yang aku sembunyikan dari pengetahuan abah selama hampir setahun, dan perkara itu merupakan harapan besar abah untuk aku tapi ia sudah habis tiada berharga lagi. Itu yang sebenarnya yang aku takuti iaitu melihat abah terkilan dan aku wajib memberitahu awal sebelum beliau memeriksa 'harapan' itu esok maka berjangkit sudah peribahasa itu tapi, tidak dapat tidak beliau wajib tahu awal.

Jika diberitahu, sama juga dan jika tak diberitahu juga sama. Aku tetap akan melihat beliau kecewa. Jadi, aku perlukan seseorang untuk membongkar rahsia ini kepada abah dan perlunya ada seseorang memperjelaskan perkaqra ini kepada abah. Maka aku perlukan 2 orang. Pertama, untuk membuka rahsia. Kedua, untuk memperjelaskan rahsia dan masalah tersebut kerana takut abah tidak memahami sesetengah perkara. Orang pertama mestilah mewakili aku dan orang kedua sebagai penilai dan penganalisa.

Dan aku? Aku perlu lari bersembunyi sementara proses yang aku atur berlaku. Maka, pagi embun menitis di depan pintu aku hidupkan enjin kereta menderu cemas ke masjid mengejar solat Subuh berjemaah meminta Allah melindungi dan semoga Dia melancarkan aliran penyelesaian yang aku atur ini. Aku tak akan tinggalkan abah seorang diri tertanya-tanya akan keberadaan aku. Maka, aku lantik adik aku yang berada di asrama sebagai orang pertama dan saksi kental dengan hujah kuat buat aku yakin melantik 'beliau'. Aku menuju ke asrama adik lalu memperjelaskan perkara itu dan mengajar caranya.

Caranya. 1. Pergi ke sekolah berjumpa 'beliau' yang berada di kantin. 2. Hubungi abah dan minta beliau datang ke sekolah. 3. Ceritakan hal ini secara 'direct' kepada abah dihadapan 'beliau'. 4. Masa seeloknya semasa rehat supaya tak mengganggu jadual kelas adik aku.

Cara yang mudah dan tiada apa-apa 'pressure'.

Lalu aku pergi sementara menunggu semua ini selesai. Mujur aku ada seorang kawan yang berkerja di kantin sekolah tersebut yang aku boleh gunakan sebagai pemerhati. Aku mengarah ke Seremban kerana Hanis juga sahabat aku berkerja di sana. Dia aku gunakan untuk menemani aku lalu dia memohon cuti 1 hari.

Alhamdullillah, semuanya selesai. Tiada mak dan bapak yang mati.

Aku tahu abah tak akan marah kerana beliau faham aku yang bertiang kepada nya. Dalam dirinya seperti ada paterian sumpah mengukir janji berusaha untuk anak-anak yang masih beliau rasa bergantung di bawah nya. Sabar dan keimanan seperti menahan hati nya dari gusar dan resah. Penghargaan nya begitu tinggi kepada agama sehingga aku terkesan. Inilah kekecewaan terakhir untuk abah.

*aku memandu sendirian ulang-alik ke Seremban.

Sabtu, 7 Januari 2012

2012

Tahun 2012. Masa aku buat 'entry' ni, sudah genap 1 minggu usia tahun baru ini. Sungguh sekejap, seperti melangkahi lopak-lopak air di atas perjalanan. Dulu kecoh juga filem 2012 kerana plot filem tersebut yang berkisar kan kehancuran bumi pada tahun 2012. Yang taksub dengan filem tu memang telah pun membisingkan tentang kiamat pada tahun 2012. Hari ini atau sejak seminggu lepas telah pun berinjak-injak angka 2012 pada permukaan helaian-helaian kalendar tapi suara-suara bising itu ternyata tiada lagi.

Tapi tak tahu lah. Mungkin esok,lusa,minggu depan,bulan depan atau tidak berlaku.

Orang kita ni selalu banyak alasan untuk menolak sangkaan yang kiamat itu makin atau sudah hampir. Seperti menunggu kedatangan Dajjal, Imam Mahdi, Nabi Isa dan tanda-tanda sahih lain. Apakah kita tahu rupa Dajjal? Imam Mahdi juga tidak tahu dan menyangkakan bahwa diri beliau ialah Imam Mahdi yang menjadi penyelamat kelak. Allahua'lam.


Khamis, 29 Disember 2011

25-12

Ahad, 25 dis. ialah Krismas atau Hari Natal.
Selamat Hari Natal ! Walaupun ada spekulasi bahawa haram bagi muslimin mengucapkan 'merry christmas' tapi apa masalahnya di sini?  Kenapa haram? Ada yang kata, murtad kalau ucapkan itu?

Sebab apa? Sebab mereka Kafir lalu bila kita ucapkan maka kita pun jadi kafir?

Aku bukan nak jadi radikalis atau pemberontak tapi cuba lah fikirkan. Aku rasakan perkataan 'kafir' itu sangat keras di lontarkan sehingga ia menjadi kata-kata cacian dan makian untuk orang yang berkelakuan seperti kafir. Istilah 'kafir' digunakan untuk manusia yang mengingkari atau tidak mengakui kebenaran agama Islam. Jadi, perkataan itu ialah untuk mereka yang bukan Islam.

Yang percaya Islam itu lah muslim. Yang tidak percaya itu lah kafir.

Tapi apa masalah nya dengan muslim yang mengucapkan 'merry christmas' kepada orang beragama Kristian yang kita golongkan sebagai kafir?

Sebenarnya begini, perbincangan para ulama atau Ijma' telah mengharamkan nya kerana muslim tidak boleh meredhai hari kebesaran mereka kerana Allah tidak meredhai nya. Tapi bukankah Allah menyuruh kita berbaik-baik sesama manusia? Jika diikutkan Allah bukan sahaja tidak meredhai hari perayaan mereka tapi tidak meredhai agama mereka dan setiap individu yang muslim gelarkan sebagai kafir itu. Tapi Allah menyuruh kita untuk berbaik-baik sesama Manusia maksudnya berbaik-baik dengan semua manusia tidak kira bangsa,agama dan ideologi.

Tak salah berbuat apa pun untuk menguatkan keimanan tapi salah bila kita menjauhkan diri dan berpisah-pisah dengan orang beragama lain kerana ini dunia bukan syurga. Semua nya kita kongsi di dunia ini. Semasa zaman Jahillilliya di Mekah dahulu, setiap suku kabilah di kota itu suka berperang dan berbunuh-bunuhan sesama suku sehingga ada yang tempoh perperangan tersebut berlanjutan selama 40 tahun. Itu merupakan salah satu perkara yang merungsingkan Nabi Muhammad s.a.w sehingga baginda mengasingkan diri ke Gua Hira' sehingga Rasullullah s.a.w diperintahkan untuk menyebarkan syi'ar Islam sebuah agama yang harmoni sehingga akhirnya semua kabilah itu bersatu. Bagaimana dengan kisah Muhajirin dan Ansar yang hampir berperang? Bukankah Rasullullah s.a.w yang menyatukan mereka atas petunjuk Allah?

Islam itu indah. Bukan untuk jadi sombong dan bertambah ingkar dan kufur. Islam ialah untuk segalanya maka  bersyukurlah kita lahir dalam agama ini dan terus membesar bersama Islam.

Islam itu indah. Tapi keindahan itu bukan sahaja untuk mereka yang Islam tetapi untuk golongan yang 'kafir' itu merasakan juga keindahan Islam dengan berbuat baik kepada mereka seperti biasa.

Semua agama tidak kira Samawi atau Aryan pasti mengajar penganutnya supaya hormat-menghormati sesama manusia dan begitu juga dengan Islam. Bayangkan jika muslim itu mencerca mereka maka apakah agaknya pandangan mereka pada kita? Fikirkan.

Islam itu indah.

Ahad, 25 Disember 2011

Aku ada kampung yang indah

Wow!
Nak dekat sebulan juga tak 'post' apa-apa 'entry'. Musim tengkujuh ni jalur internet jadi sangat lemah dan bercampur pula dengan urusan yang menyibukkan aku untuk diuruskan supaya ia terurus lalu selesai. Bermula 29 Nov. hingga 11 Dis. kelmarin pula, aku merelakan diri untuk pulang ke kampung halaman yang buat pertama kalinya aku jejakkan kaki bersama Abah dan adik. Maklumlah kampung jauh di seberang Selat Melaka sana.

Bukit Tinggi,Agam,Sumatera Barat,Indonesia. Aku rasa ramai yang tahu akan tempat ini dan yang tak tahu tu sila  gunakan carian google anda. Ya, bangga ada kampung yang indah dan terkenal seperti ini. Dikelilingi sawah, ladang-ladang yang traditional, udara nyaman, kedinginan yang selesa, ketenangan serta pemandangan yang indah. Penduduk yang peramah, sopan-santun, beradab dan beradat, suka bergotong-royong, mengambil berat dan aku rasakan kehidupan kekeluargaan di antara penduduk kampung di sini.

Kemudian, aku mengerti apa arti adat yang dicipta oleh orang kampung lazimnya di MinangKabau ini. Kebetulan ada kenduri kahwin diadakan bagi meraikan tuan rumah iaitu pihak pengantin lelaki untuk berangkat ke rumah pihak pengantin perempuan di kota Padang yang kira-kira 4-5 jam perjalanan. Aku teringin untuk melihat orang-orang lelaki mengerjakan istiadat 'berunding' sebelum menjamah selera. Aku cuba dengar kata-kata madah halus lembut mereka semasa membuat rundingan antara wakil tetamu dan wakil tuan rumah(rasanya begitulah). Aku jadi hairan apabila mereka membincangkan akan kebenaran untuk menjamah makanan yang sudah pun terhidang. Mereka duduk bersila mengelilingi ruang tamu dan tengah-tengah ialah makanan. Semua dapat mendengar apa yang dirunding. Kemudian, ada yang membantah kerana masih ada yang tidak cukup maka bertambah sakit lutut aku bersila sebab selagi ada yang tidak cukup, makanan masih belum boleh dijamah lalu perlulah dicukupkan atau ada alasan dan semua bersepakat dalam rundingan barulah boleh dijamah hidangan tersebut.

Tujuan nya, ialah sebagai penghargaan terhadap tuan rumah dan acara yang diadakan. 'Berunding' bukan sahaja pada kenduri ini tetapi sejak awal perancangan untuk perkahwinan ini. Aku faham bahawa adat iaitu kebiasaan yang ditetapkan itu merupakan kunci kerjasama antara penduduk bagi mengikat erat tali silaturrahim. Sebab itu aku katakan hidup di sini bagaikan sebuah keluarga. Basa basi mereka yang terpuji, seorang sakit semua sakit, seorang bodoh maka semua terasa bodoh, seorang berjaya maka semua terasa bangga dan susah untuk jadi sombong di sini.

Aku tak pernah harungi indahnya kampung. Suatu pagi aku bersama abah dan adik berjalan kaki mengelilingi Negeri Panampung(fahami pembahgian pemerintahan R.I).

Ku lihat Gunung Merapi tersergam indah gagah megah di hujung sawah,
Terima Kasih Allah kerana takdirkan abah lahir di sini,

Aku ada kampung yang indah !!

Isnin, 28 November 2011

Hujan

Haih.

Selalu memang mulanya november, mulanya juga musim tengkujuh. Maka mulalah fenomena kebiasaan di kawasan tanah rendah seperti pantai timur,utara dan johor iaitu banjir. Alhamdullillah , kawasan tempat tinggal aku tak termasuk dalam golongan tanah rendah. Tapi aku simpati dengan mangsa-mangsa banjir seperti yang aku tonton di berita tadi apabila petani kerugian kerana sawah mereka ditenggelami air. Hujan juga menyebabkan tanah runtuh sehingga hampir mengorbankan nyawa beberapa penghuni rumah di gua musang,kelantan dan landasan kereta api di terengganu yang ditimbus tanah runtuh lalu mengganggu perjalanan ktm.

Sabarlah.
Hujan itu rahmat.
Tuhan tak pernah memberi bencana.
Melainkan atas perbuatan tangan-tangan manusia itu sendiri yang membuat bencana.
Iktiar serta usaha supaya dapat mengelak daripada perkara yang tidak diingini.
Aku hanya mampu simpati dan mendoakan.

*abah aku juga mengalami kesulitan untuk berniaga kerana hujan,
tapi apakan daya, ini bumi bukan syurga.

Bumi akan tandus dek panas matahari, betapa pemurah Allah kepada makhlukNya apabila hujan tetap dicurahkan membasahi bumi yang tandus dibakar matahari, kemudian dikeringkan semula dengan matahari supaya makhluk nya berfikir akan realiti hidup yang sebenar dan kerana kasih Allah kepada manusia walau ramai yang kufur.

na'udzubillah.

Rabu, 23 November 2011

Se-bahasa




Banyak pula aku tengok blog-blog ala-ala aktivis yang post berkenaan game bolasepak antara Malaysia dan Indonesia. Terutama sekali berkenaan kutuk-mengutuk antara penyokong dua negara se-bahasa ini. Aku katakan se-bahasa kerana orang-orang kita faham apa yang dileterkan mereka iaitu indonesian dan mereka faham apa yang dimaki-maki oleh kita malaysian.

Yeah !!
Se-bahasa !!

Masalah nya bagi aku di sini -

-malaysian kutuk indonesian = aku bengang.
-indonesian kutuk malaysian = aku bengang.

konklusi nya = konflik.

Tapi mulanya aku malas nak post pasal benda tahi ni sebab aku sendiri konflik. HAHA !

Okaylah.

Aku enjoi dengan game hari itu,  perlawanan yang sengit + menarik. Tuan rumah hebat menyerang manakala timnas kita kental bertahan dan lebih taktikal. Walaupun tuan rumah bersama ratusan ribu gelora bung karno mendahului seawal minit ke-5 hasil tandukan Gunawan Dwi Cahyo tapi final kembali seimbang di minit 35, diimbangi oleh Asrarudin Putra Omar.  Tiada gol selepas itu hinggalah di bawa ke penentuan penalti.

Timnas kita menang penentuan penalti tersebut 4-3 sekaligus mempertahan emas 2 tahun lalu.

2 tahun berturut-turut kita 2 negara se-bahasa,serumpun,se-bangsa dan se-saudara menguasai 2 final terpenting di Asia Tenggara. Tumpuannya sehingga jauh ke Eropah. Se-dunia lihat 2 negara se-bangsa menguasai final di rantau kita ini. Bagi aku, tak kira lah siapa menang, tetap kita juga yang menang, maksudnya bangsa kita juga.

Tak apa lah. Ini hanya pendapat aku yang lebih suka untuk bersorak-sorak. Kedua-dua tim sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk menang cuma niat yang menetukan kemenangan. Contohnya-

apabila penyokong timnas Indonesian yang menonton penuh rasa kebencian dan dendam bersama sumpah seranah lalu perbuatan tersebut mengelilingi perlawanan bersama warna merah. Oleh itu, player mereka lebih teringin untuk menghancurkan pemain malaysian daripada menjaringkan gol kemenangan. Tak hairan lah apabla Titus Bonai yang mendapat julukan 'Messi Asia Tenggara' tidak dapat menembusi gawang Khairul Fahmi seorang 'focus point'.

pemain timnas pula dengan penuh kesabaran menghadapi gelora bungkarno. Ingat, Allah suka orang yang sabar. Do'a orang yang sabar teraniaya ni diterima Allah sebab itu lah orang teraniaya selalu menang.

Masalah sebenarnya di sini yang ingin aku beritahu ialah tentang 'orang sabar selalu untung'. Oleh itu, malaysian tak perlu nak mencaci kepada cacian mereka tapi sabar dan berikan semangat kepada timnas kita yang slumber melalui ratusan ribu cacian betul-betul di sekeliling mereka sedang kita hanya tahu perbuatan mereka daripada saluran media kita yang juga tidak kurang rasis nya. Senang cerita, tak perlu nak gelabah.

Separuh akhir Piala Tiger (aff suzuki kini) 2004. Timnas menang 2-1 ke atas Indonesian di hadapan pelontar-pelontar botol di gelora bungkarno. Menjelang 2nd leg di bukit jalil, penyokong kita ingin membalas perbuatan penyokong garuda. Penuh stadium pada malam itu bersama jalur gemilang dan sorakan provokasi sehingga bergegar stadium apabila Khalid Jamlus menjaringkan gol seawal minit ke-5+. Tapi bagaimana kita boleh tewas 1-4 pada hari itu lalu menyingkir kan malaysian dengan malu yang teramat di hadapan ribuan penyokong sendiri? Jawapannya adalah kerana kita sendiri yang hadir bersama dendam.

Tak salah untuk provakasi penyokong lawan, tapi tak perlu keterlaluan sehingga menimbulkan ketegangan. Mengejek pasukan lawan tidak memberi apa-apa bantuan kepada pemain sebenarnya malah merugikan mereka. Contoh bila terjadi rusuhan, kita sebenarnya telah menyusahkan pemain dan pengurus semuanya malah menyusahkan orang lain juga. Jadi, hentikan provokasi sesama kita lalu berdamailah. Sebab benda ni dah ketinggalan zaman dah. World Cup 2010 kelmarin pun dah ada istlah 'say no to racism'. Afrikan duduk bersama-sama penyokong lawan di tempat duduk stadium masa itu. Tak ada isu-isu provokasi pun?
Afrikan tu !!

Tak kira malaysian atau indonesian, sebenarnya kita telah diracun dengan konflik ekonomi, kawasan dan ideologi oleh orang-orang politik kita maka tiada kena mengena langsung dengan rakyatnya atau bangsanya. Hanya masalah individu tidak boleh dinisbah kan dengan bangsanya. Faham kan? Penat taip ni.

malaysian dan indonesian.
Kita bukan berjiran .
Tapi saudara.

Masalah

Banyak betul masalah datang, nak halau memang tak boleh sebab nanti lagi banyak ia datang. Kalau lari lagi teruk masalah tu kejar. Jadi memang tak boleh nak lari dari masalah kerana sebanarnya, nak tak nak kena lalui juga masalah tu baru lah ia pergi. Alhamdullillah, Tuhan kurniakan aku hati yang tabah melalui sahabat-sahabat sekeliling yang sangat prihatin dengan masalah aku. Mereka lah pendengar setia segala luahan ku. Walaupun aku hilang keupayaan fizikal tapi sahabat tetap tidak hilang. Syukur lah.

Berbalik kepada masalah.

Ramai orang tersungkur dan mengangap mereka sudah kalah apabila masalah tiba termasuk juga kebanyakan orang yang mati bunuh diri. Perkara ini terjadi adalah kerana mereka ini cuba lari daripada masalah tapi perbuatan itu lebih mengundang kehampaan lalu tiada jalan lain lagi selain bunuh diri. Dalam Islam, membunuh diri ialah salah satu dosa besar, mungkin kerana punahnya Iman mereka kepada Allah.

Apa guna nya masalah ?

Aku tidak berapa mahir tentang IT tapi aku pernah menggunakan sebuah browser internet iaitu Internet Explorer. Masalah pada browser ini ialah 'kelembapan' yang pernah mengundang amuk pada aku. Tapi aku dengan sabar memuat naik browser baru iaitu Mozilla Firefox yang lebih pantas dan kini aku menggunakan Google Chrome yang lebih baik sehingga aku dengan berani dan sewenang-wenangnya membina akaun-akaun sosial seperti Facebook, Twitter, Tumblr dan Blogspot. Tanpa masalah PC kita pasti masih menggunakan Pentium, suatu yang lebih lembab daripada kini. 

Sebenarnya, masalah merupakan cara Tuhan untuk memaksa hambanya sebagai khalifah untuk lebih maju. 
Oleh itu, tersangat lah rugi bagi mereka yang lari daripada masalah.

Cara mengatasi ?

Mudah saja. 
Hadapi saja masalah itu.
Tak usah lari. Iringkan do'a bersama. Agar dijauhkan kesulitan dalam urusan.